InsyaAllah, tika artikel ini disiarkan, beberapa hari saja lagi kita umat Islam seluruh dunia akan menyambut Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang ditunggu-tunggu oleh semua. Ada yang tunggu sebab tak sabar nak menambah pahala memandankan Ramadhan adalah bulan yang paling mudah untuk menjana pahala kepada-Nya melalui amal ibadah yang dilakukan. Ada juga yang tak sabar sebab sebulan lepas Ramadhan, kita akan sambut Syawal, raya lah pulak. Puteri saya Ayuni Syafiqah (6 tahun) dan putera saya Azfar Suhail (5 tahun) pun dah tak sabar nak puasa. Dah berjanji dengan saya nak puasa penuh tahun ni macam Upin dan Ipin.
Tak kisahlah apa pun keseronokan dan hasrat anda, sememangnya Ramadhan adalah bulan mulia. Semua akui hakikat ini termasuklah meraka yang sebelum ini kurang menjalankan perintah Allah SWT. Ada mereka yang tak sembahyang tapi bila tiba bulan Ramadhan, Alhamdulillah solat lima waktu tak pernah tinggal. Ada yang tak menutup aurat, bila tiba Ramadhan, Alhamdulillah, penampilan berubah dengan bertudung litup. Dah tak ada lagi sesi gossip menggossip. Tak ada lagi sesi mengutuk, tak ada lagi sesi menengking atau caci maki. Malah tak ada lagi siri dedah sana buka sini. Bila ada yang terlebih cakap atau terlebih gaya, pasti ada yang akan ingatkan… opss.. bulan puasa ni!!!
Bila Syawal tiba, ramai antara mereka ini yang kembali ke rupa dan perwatakan asal seperti sebelum tibanya Ramadhan. Dah mula tinggal solat semula. Tudung yang cantik sebelum ini dah jadi hiasan dalam almari. Pejabat dah kecoh semula dengan siri-siri gossop. Suami kembali menengking isteri dan isteri mula meninggikan suara kepada suami semula. Kenapa? Apakah hanya di bulan Ramadhan kita diwajibkan solat? Apakah hanya di bulan Ramadhan kita perlu menutup aurat dan menjaga penampilan kita? Apakah hanya di bulan Ramadhan suami dan isteri perlu berinteraksi dan berkomunikasi dengan baik? Sejak bila pulak ada hadis atau ayat yang menyatakan, perlu melakukan segala suruhan dan perintah Allah serta meninggalkan segala larangan-Nya bila tiba bulan Ramadhan? Sebab ada hadis yang cakap, kiamat akan berlaku dalam bulan Ramadhan, maka perlulah bertaubat sekejap ya… nanti dah lepas Ramadhan, buat semula untuk bertaubat lagi Ramadhan akan datang? Begitu??
Apa jaminan hayat anda akan panjang sampai Ramadhan akan datang? Muda lagi? Jangan lupa, buah yang muda juga boleh gugur ke bumi. Kalau betul umur anda panjang pun, mampukah taubat anda di usia tua memadamkan segala kejahatan anda di usia muda? Ya, kalau bertaubat bersungguh-sungguh, Allah akan ampunkan tapi perlu diingat, nak bertaubat ni bukan macam selera nak makan. Rasa nak makan mee sup, pesan kat gerai kemudian dah boleh makan. Taubat ni perlu lahir dari hati yang ikhlas. Kalau dah terlalu lama hidup dalam lubang najis, nak cucikan diri tu bukannya senang kan… pinjam kata-kata Nabil: lu fikirlah sendiri…
Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak sangat kes, bukan sahaja kes rumahtangga tetapi kes melibatkan keperibadian individu, yang sampai ke pengetahuan saya. Statistik pihak berkuasa juga menunjukkan kadar kes jenayah meningkat, bukan berkurangan. Kes rogol, kes ragut, kes bunuh, keganasan terhadap pasangan dan anak-anak, kes bunuh diri, buli kawan di sekolah, kes anak gadis lari dari rumah dan macam-macam sangat. Kenapa? Bukan semuanya salah ibu yang mengandungkan kemudian melahirkan dan membesarkan. Bukan semua juga salah ayah yang mendidik dan membimbing. Bukan semua juga salah kecanggihan teknologi kini. Hakikatnya, untuk menjadikan sesuatu perkara itu realiti, bergantung kepada diri sendiri.
Jangan cuba-cuba sebab bermula dari cuba-cuba itulah akan jadi suka-suka dan akan buruk padahnya. Dengan cuba-cuba jugalah seseorang yang tak pernah terlibat dalam perkara yang menjelikkan, boleh menjadi seorang yang amat menjelikkan di mata masyarakat. Saya tak menyalahkan mereka yang berbuat salah, malah saya bukan menghina anda yang terlibat dalam setiap perkara yang melanggar hukum syarak dan moral masyarakat timur. Saya tak katakan saya ini baik apatah lagi terlalu baik. Kita semua manusia, yang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Namun, bila dah tau kita tersilap dan bersalah, janganlah terus melakukan kesilapan tersebut.
Bila anda dah mula menunjukkan perubahan, maka teruslah berubah demi yang lebih baik. Jika anda boleh insaf dan melakukan kebaikan tika Ramadhan ini, saya sarankan dan mengharapkan anda teruskan perubahan anda itu hingga ke akhir hayat. Ambillah peluang bermula Ramadhan ini untuk meningkatkan keunggulan keperibadian kita kerana Ramadhan terlalu sempurna, 10 hari pertama adalah rahmat, 10 hari pertengahan (selepasnya) adalah keampunan dan 10 hari terakhir adalah keselamatan.
Mungkin perbincangan kali ini lain dari yang lain namun ini juga resipi yang tidak dapat dinafikan perlu kita ambil peduli di dalam meneruskan kehidupan seharian kita. Selamat berpuasa kepada semua….
****Siaran Ogos 2009