28 Oktober 2014

Cinta bukan lesen buang ibu bapa


Jika anda masih ingat, awal Januari yang lalu, ada dua kisah sedih yang dipaparkan di media (yang sempat saya baca dan sampai ke pengetahuan saya): satu kes seorang ayah ditinggalkan di hentian bas dan satu lagi kes seorang ayah ditinggalkan di pusat rawatan. Kedua-dua kes berlaku di utara tanahair dan dalam tempoh masa yang terlalu hampir. Percaya atau tidak, sebenarnya kes meninggalkan ibu bapa dalam erti kata membiarkan mereka hidup sendiri telah banyak berlaku. Itu yang berjaya dilaporkan media. Yang tak dapat diketahui media? Yang meninggalkan ibu bapa di rumah orang tua? Yang biarkan ibu bapa sendirian di kampung? Tak ziarah, tak jenguk, ada yang hanya kirimkan wang dan berapa ramai pula yang tak kirimkan wang, hilang tak ada khabar berita. Paling malang bagi ibu bapa, bila anak ini kembali ke kampung setelah sekian lama hanya kerana inginkan geran tanah untuk dipajak atau dijual bagi mendapatkan bantuan kewangan syarikat. Nauzubillah!!

Saya nak ingatkan pembaca tentang kes buang ayah di hentian bas. Mengikut laporan media, khabarnya seperti yang diceritakan oleh si ayah: anak lelakinya meninggalkannya di hentian bas bersama sebungkus pakaian setelah menantunya tidak dapat menerima kehadirannya di rumah mereka. Andai itu kebenarannya, satu persoalan, apakah status yang layak buat si anak? Maaf jika agak kasar tetapi bagi saya, si anak tadi lebih lembu daripada lembu yang dicucuk hidungnya!! Kenapa lembu? Ya lah!! Memang semua orang tahu, lembu dicucuk hidungnya agar mengikut tuannya ke mana saja diheret pergi. Namun, ada masanya lembu yang telah dicucuk hidung ini akan membantah, meronta-ronta cuba melepaskan diri, enggan mengikut langkah tuannya. Tapi si anak tadi?

Ya!! Cinta dan kasihkan isteri. Apa peruntukan undang-undang atau hukum yang berikan anda keizinan untuk meminggirkan ibu bapa malah membuang mereka di tepi jalan atau mana-mana kawasan disebabkan anda cinta dan kasihkan isteri atau suami anda? Saya akui, ketaatan seorang anak perempuan bertukar takhta daripada ibu bapa kepada suaminya selepas si anak berkahwin namun bukan sampai membuang atau menyisikan ibu bapa. Ketaatan kepada suami bertempat dan berbatas. Menyisihkan atau membuang ibu bapa tidak termasuk di dalam ketaatan yang perlu dan wajar diikuti. Sebagai anak lelaki pula, takhta ketaatan anda tidak pernah berubah. Malah, jika anda beristerikan wanita yang tidak benarkan anda berlaku baik kepada ibu bapa, harus bagi anda menceraikan isteri tersebut. Ingat! Cintakan isteri jangan sampai jadi lelaki dayus!

Itu cerita buang ibu bapa selepas kahwin. Kes buang ibu bapa sebelum kahwin pun dah banyak. Ada banyak kes anak gadis lari daripada rumah kerana mengikut kekasih. Saya yakin, pembaca semua maklum dengan kes-kes sebegini dan maklum juga dengan kesudahan ceritanya: anak gadis ini kembali semula ke pangkuan ibu bapa kerana hidup tersiksa malah ada kes, memerlukan bantuan pihak tertentu untuk mengembalikan mereka ke pangkuan ibu bapa. Ada yang tak lari tetapi menentang ayah sendiri di mahkamah syariah kerana si ayah tidak mengizinkan perkahwinan dengan jejaka pilihan hati.

Peruntukan undang-undang membenarkan seorang anak gadis memohon kepada mahkamah syariah agar si ayah yang enggan mewalikan atau mengizinkan perkahwinannya, tanpa alasan yang munasabah menurut syarak, supaya bersetuju dan mewalikan perkahwinannya. Peruntukan juga jelas, jika si ayah tetap enggan setuju maka mahkamah syariah boleh benarkan si anak berkahwin menggunakan wali hakim. Peruntukan ada dan diakui demi kebaikan individu namun dari segi moral, apakah menyaman ayah sendiri di mahkamah atas nama cinta kepada seorang lelaki, sesuatu yang wajar?

Saya akui, ada kes melibatkan alasan keengganan si ayah bukan sesuatu yang wajar dan munasabah menurut syarak. Harus diingat! Syarak menegaskan, setiap anak wajib taat dan hormat kepada ibu bapa. Ya! Ketaatan kepada ibu bapa juga terbatas kepada perkara yang tidak menyalahi syarak. Enggan menerima lelaki pilihan anda bukan perkara yang melanggar syarak biarpun alasan keengganan tersebut tidak munasabah menurut syarak. Melawan ayah sendiri di mahkamah bererti anda tidak hormatkan ayah anda sendiri. Anda telah melukakan hatinya. Anda sanggup mengenepikan cinta sejati ibu bapa yang menjaga, mendidik dan menyayangi anda sejak anda kecil semata-mata kerana cinta seorang lelaki yang hadir ketika anda telah berusia belasan atau puluhan tahun? Sungguh anda zalim!!

Bukan saja zalim kepada ibu bapa anda tetapi anda zalim kepada diri anda sendiri. Percayalah!! Biar sedalam mana cinta si dia kepada anda, biar berjuta kali ucapan cinta dilafaz, biar beribu kali pelukan dan belaian diberi, cinta seorang lelaki atau perempuan takkan sama dengan cinta dan kasih sayang ibu dan ayah. Bukan mendoakan tetapi terlalu banyak kes serupa, natijahnya hanya satu: anda yang bertindak membuang ibu bapa atau melawan ibu bapa kerana cinta si dia, takkan hidup bahagia dan jika berkahwin, perkahwinan anda akan dibubarkan juga akhirnya, andai masih tiada restu ibu bapa. Ingatlah! Restu Allah hanya ada jika kita punya restu ibu bapa…

****Resipi Hidup, Februari 2010.