Minggu ini, saya nak bincangkan tentang konsep keganasan
yang saya kongsikan bersama ramai peserta Seminar Menangani Keganasan Terhadap
Wanita anjuran Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat. Pengalaman memberikan lebih daripada 15 siri ceramah tersebut
memberikan saya satu maklumbalas: masih ramai lagi kaum wanita khususnya isteri
yang belum memahami erti dan maksud keganasan rumahtangga. Rata-rata wanita
memahami keganasan berlaku apabila seorang isteri dipukul, ditempeleng,
disepak, diterajang dan pelbagai lagi bentuk keganasan melibatkan fizikal.
Hakikatnya,
menurut psikologi, keganasan ialah sebarang bentuk perlakuan yang mendatangkan
bahaya, bukan sahaja dalam bentuk fizikal tetapi melalui apa juga cara atau
teknik yang boleh menyebabkan gangguan mental dan emosi kepada mangsa. Berasaskan
definisi ini, apa-apa perlakuan yang boleh mendatangkan bahaya kepada mangsa
adalah suatu keganasan. Malah, mana-mana perbuatan yang menyekat dan menafikan
hak dan kebebasan seseorang itu juga dianggap sebagai keganasan.
Secara ringkasnya, keganasan terhadap seorang wanita atau
isteri boleh diklasifikasikan kepada lima jenis iaitu:
1.
Keganasan Fizikal merangkumi perbuatan seperti memukul,
menumbuk, menampar, menggigit, menendang, melukakan, mematahkan tulang,
membaling barang dan menggunakan senjata kepada mangsa. Juga perbuatan
menghalang keperluan manusia seperti makan, minum, tidur dan juga tempat
perlindungan;
2.
Keganasan Seksual iaitu sesuatu yang merangkumi apa juga
perlakuan atau pertuturan secara berulangan, dilakukan sama ada secara fizikal,
gerak isyarat atau ucapan berunsur seks seperti di tempat kerja. Termasuklah
menyentuh tubuh, diajak berulang-ulang untuk memenuhi temujanji secara paksa
dan pujuk rayu supaya melakukan seks serta menggunakan gambar-gambar lucah di
tempat kerja;
3.
Keganasan Sosial berlaku apabila wanita sering didorong
untuk bergantung kepada pasangan masing-masing dan diasingkan dari mendapatkan
sokongan luar. Malah wanita ini akan dikongkong serta dilarang daripada keluar
untuk bekerja atau mengetahui dunia luar;
4.
Keganasan Kewangan melibatkan seseorang wanita yang
dihalang dari mencari pekerjaan atau tidak dibenarkan untuk membuka akaun bank
atau menyimpan wang pendapatannya sendiri. Termasuk juga wanita yang bekerja
tetapi ditahan daripada menggunakan haknya sendiri malah hak tersebut diambil secara
paksa atau paksa rela oleh orang lain, menyebabkan
wanita tersebut bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk mendapatkan wang
walaupun untuk keperluan asas sendiri. Serta tidak mempunyai simpanan yang
mencukupi untuk kes-kes kecemasan:
5.
Keganasan Psikologi dan Emosi (yang jarang diketahui oleh
wanita) meliputi perbuatan seperti ugutan, penghinaan termasuk juga caci maki
dan kata-kata sindiran dan sinis. Walaupun mangsa tidak mengalami sebarang
bentuk kesan luka yang boleh dilihat namun mangsa boleh mengalami tekanan
perasaan yang amat teruk juga hilang upaya untuk mengawal emosi secara normal yang
kesan jangka pendek atau jangka panjang boleh menyebabkan kemungkinan mangsa melakukan
sesuatu yang di luar kawalan.
Saya yakin, ramai pembaca masih lagi ingat dengan kisah
ibu yang menjerut leher anak-anak, ibu yang membakar diri bersama anak-anak dan
beberapa kes lain. Kajian mendapati si ibu atau wanita tadi mengalami
kemurungan yang tinggi yang punca asalnya adalah disebabkan tertekan dengan
sikap suami atau saudara sekeliling. Jika anda berdepan dengan situasi tekanan
perasaan disebabkan sikap suami atau isteri (ada juga kes suami menjadi mangsa
keganasan ya) yang kasar, keras, baran, sering mencaci maki, bercakap dengan
kasar dan suara yang tinggi hingga mengganggu ketenangan fikiran anda,
bermaksud anda telah pun menjadi mangsa keganasan.
Ada yang tanya saya ketika sesi ceramah: Kalau dah tinggi
suara boleh jadi keganasan, takkanlah tak boleh nak marah langsung? Saya tak
nafikan, dalam melayari bahtera perkahwinan, ada tikanya berlaku pergaduhan
yang menyebabkan berlakunya tinggi suara. Ya! Kalau sesekali bergaduh tu,
memanglah adat berumahtangga tapi jika selalu dan setiap kali itu juga
ayat-ayat bisa yang tak sepatutnya dilafazkan kepada isteri atau suami
dikeluarkan sebagai contoh mencaci pasangan dengan perkataan babi, pelacur,
setan dan sebagainya, itu bukan lagi pergaduhan sebaliknya satu penderaan: anda
telah terlibat dalam kes keganasan melibatkan emosi dan psikologi.
Bagaimana pula nak buktikan kes keganasan emosi dan
psikologi ini? Tungguuuu!!!
****Siaran Oktober 2009.
****
Seminar Perkasa Wanita pada 30 Jun (RM100 sahaja) dan Bengkel
Pengendalian Kes di Mahkamah Syariah pada 7 Julai (RM150) sahaja. Diskaun
istimewa untuk penyertaan kedua-duanya sekali. Maklumat lanjut hubungi talian 013-2545965
atau layari http://seminarwanitaperkasa.blogspot.com/.