“Saya sedih la kak, mak dan ayah saya mengatakan saya sial, saya ni bawak malang. Sekarang ni, saya risau sial dan malang saya akan menyusahkan suami saya pulak…”
Di atas adalah antara luahan seorang wanita muda dalam
temujanji menerusi panggilan telefon bersama saya minggu beberapa hari yang
lalu. Sebenarnya, luahan sebegini dah acap kali juga saya dengar, saya terima
melalui e-mel malah kiriman SMS menerusi talian temujanji. Bukan saja luahan
diri sendiri mengakui kesialan dan malangnya diri tetapi juga luahan kata-kata
yang dihamburkan oleh insan yang disayangi, betul-betul menikam hati hingga
kata-kata tersebut dipercayai dan sentiasa berlegar mengganggu emosi.
Benarkah anda sial? Anda membawa malang? Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Tidak ada jangkitan, tiada sial, tidak ada kecelakaan
burung hantu dan tidak ada bala di bulan safar…”(Hadis Riwayat Bukhari).
Hadis ini menjelaskan setiap makhluk yang diciptakan oleh
Allah SWT tidak mempunyai sial ataupun membawa sial ataupun malang kepada
sesiapa pun juga. Malah, setiap makhluk ciptaan-Nya: manusia, haiwan,
tumbuh-tumbuhan, cakerawala dan segala makhluk halus atau seumpamanya,
mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri. Kita manusia, sudah pasti
lebih istimewa daripada makhluk lain ciptaan-Nya memandangkan kita dikurniakan
dengan akal. Akal yang sewajarnya kita gunakan untuk berfikir, mencari rahsia
di sebalik setiap kejadian yang berlaku dan bukan dengan sewenang-wenangnya
memperakui kesialan dan malang seseorang.
Anda bukan sial. Anda bukan malang. Anda juga bukan
pembawa sial malah bukan juga pembawa malang. “Habis tu, kenapa ada saja yang
tak kena?” Senaraikan apa yang tak kena kemudian selidik secara teliti, apa
punca dan sebabnya. Pasti ada sebab lain dan sebab itu bukanlah kerana nasib
anda!!! Paling penting juga, hidup kita sehari-hari bukan berpandukan kepada
nasib. Hakikat sebenar kehidupan kita telah ditulis storylinenya oleh Allah SWT sejak kita masih berada di alam roh. Ia
seakan sebuah skrip drama yang dilakonkan di pentas sandiwara. Bezanya, skrip
ciptaan Allah SWT boleh berubah dan bertukar dengan doa.
Ya!! DOA!!! Ramai yang tidak mempercayai kelebihan dan
keistimewaan doa. Doa yang bersungguh-sungguh, penuh mengharap, insyaAllah akan
didengar dan dimakbulkan oleh-Nya. Saya ulangi, bersungguh-sungguh dan penuh
mengharap!! Kenapa? Analogi mudah, kalau anda inginkan sesuatu daripada
seseorang, apakah anda akan dapat benda yang anda inginkan hanya dengan
permintaan yang sekadar bergurau dan tidak serius? Jika sesama manusia pun kita
perlu bersungguh-sungguh, kenapa tidak dengan Dia? Ya!! Dia tau dan amat
mengetahui tapi anda tetap perlu tunjukkan keseriusan anda sebagai tanda
kebergantungan sepenuhnya.
“Kalau begitu, kenapa kisah hidup saya tidak ada cerita
bahagia? Hanya derita? Hanya tangisan?” Tunggu… apa maksud anda bahagia? Apa
pula maksud derita? Gagal dalam bercinta? Gagal dalam perkahwinan? Dapat suami
yang abai tanggungjawab? Dapat isteri yang tak tau hormatkan anda? Tidak
bekerja? Senaraikan lah…. saya yakin, bukan semua itu milik anda. Sekarang,
senaraikan pula perkara-perkara yang tidak mendukacitakan: bertemu kawan,
berborak sama-sama, bermain dengan anak, berbual di telefon dengan ibu bapa,
makan malam istimewa, terima ucapan hari jadi dan macam-macam lagi… yang telah
anda alami berbelas atau berpuluh tahun dalam jangka masa hayat anda kini.
Benarkah tidak pernah ada cerita bahagia??
Anda rasa diri anda sial dan malang tapi anda masih mampu
membelanjakan wang membeli majalah ini. Anda rasa diri anda sial dan malang
tapi anda masih mampu membelek majalah ini. Tahukah anda, ada orang lain yang
hidupnya lebih sial dan malang (jika itu lah pendirian anda) daripada anda?
Tak percaya? Perhatikan sekeliling anda, pasti ada orang
lain yang lebih teruk lagi nasibnya. Tak ada? Atau anda enggan mempercayainya!!
Saya berikan kes mudah: bersyukurlah kerana anda bukan tergolong dalam mangsa
keganasan di Palestin, anda bukan mangsa kecelakaan gempa bumi dan paling
penting, biar apa pun ujian yang Allah SWT berikan kepada anda, anda masih
mampu terus menghembus nafas di muka bumi ini, nikmat hidup yang takkan ada
sesiapa pun boleh berikan jaminannya kepada anda, sebagai satu peluang untuk
anda membina kecemerlangan diri kerana anda memang istimewa dan boleh
cemerlang.
Percayalah kepada diri sendiri, percayalah anda bukan
sial, anda juga bukan malang. Anda ada keistimewaan, anda ada kelebihan yang
tersendiri. Buang semua kata-kata karut yang menghantui emosi dan minda anda.
Bangunlah bermula detik ini, capailah apa juga impian anda dengan usaha tanpa
lelah, tanpa putus harap kerana kita ada Dia untuk mengharap dan terus
berharap.
****Siaran Disember 2009