Pernahkah secara tidak disengaja atau tiba-tiba anda rasa bagai ada yang tak kena dengan pasangan anda? Akhirnya perasaan tidak kena tersebut terjawab juga satu masa, sama ada cepat atau pun lambat. Benar? Pernah alami? Saya nak kongsikan satu kes yang baru saya terima. Seorang isteri sering saja rasa gelisah dan tak senang hati apabila suaminya keluar daripada rumah dengan alas an uruskan perniagaan. Setiap kali memandang wajah suami; bagaikan si suami menyembunyikan sesuatu. Pernah rasa tak senang hati tersebut diluahkan kepada si suami tetapi si suami hanya ketawa besar. Kata si suami: gangguan perasaan saja. Si isteri yang taat dan patuh berusaha tenteramkan perasaan sendiri.
Si isteri hanya berdoa mohon Allah berikan ketenangan, jangan sampai merosakkan hubungan perkahwinan. Berbelas tahun melawan gerak hati, akhirnya rahsia gerak hatinya terjawab selepas kematian si suami – si suami telah berkahwin lagi tanpa pengetahuannya, mempunyai anak yang hampir sebaya dengan anak-anaknya dan lebih menyedihkan hingga tika saat ini - setelah hampir tujuh tahun pemergian si suami – dia masih tidak dapat memaafkan sepenuhnya penipuan si suami yang sanggup tidak berterus terang dengannya.
Kronologi kes ini; si isteri langsung tidak berjumpa apa-apa bukti yang boleh mengaitkan si suami dengan wanita lain. Si suami kekal macam biasa walaupun sering kerja luar atau balik lewat malam dengan alasan menguruskan perniagaan – biarpun selepas kematiannya, si isteri yang bertindak sebagai ‘rakan kongsi diam’ terpaksa melunaskan hutang berjumlah lebih 40juta. Persoalannya, bagaimana si isteri boleh rasakan semacam ada yang tidak kena dengan si suami, seakan si suami menyembunyikan sesuatu daripadanya?
Dalam satu kes yang lain; seorang isteri tak pernah ambil peduli mengenai telefon bimbit suami atau pun beg kerja si suami. Hinggalah tiba satu hari, si isteri terasa nak sangat membuka beg kerja suami dan nak periksa mesej-mesej kat telefon bimbit suami. Gerak hati diikut; pecah rahsia suaminya baru berkahwin lagi di sempadan Negara. Sama seperti kes pertama tadi; tiada petunjuk, cuma rasa hati yang mendorong si isteri nak memeriksa beg dan telefon bimbit. Kenapa?
Ya!! Itulah kuasa gerak hati. Mungkin ada yang berpendapat, gerak hati itu lebih kepada turutkan emosi atau ikutkan nafsu dan syaitan. Bagi saya, gerak hati berbeza dengan emosi atau nafsu. Saya tiada statistik yang tepat tetapi berdasarkan pengalaman saya lebih 12 tahun dalam bidang konsultansi ini, gerak hati seseorang tak kiralah suami atau isteri, ibu atau bapa atau anak-anak; adalah satu anugerah daripada Allah bagi menjaga kerukunan hubungan dan keharmonian berkeluarga.
Perlu diingat! Hubungan sebagai suami isteri adalah satu hubungan yang sah dan diiktiraf oleh syarak. Sama juga hubungan antara ibu dengan anak atau bapa dengan anak. Lantas, apabila seseorang melakukan sesuatu yang mencemarkan kesucian hubungan tersebut, Allah akan bantu dengan memberikan satu rasa tidak senang hati sebagai petunjuk dan isyarat, ada yang tidak kena dengan hubungan yang sepatutnya dipelihara kesuciannya. Sama juga jika insan tersayang terlibat dengan sesuatu kecelakaan, Allah akan berikan rasa tersendiri kepada diri seseorang itu dan gerak hatinya boleh rasakan bagai ada yang tidak kena biarpun kecelakaan tersebut belum dikhabarkan kepadanya.
Bagaimana nak bezakan antara petunjuk Ilahi atau pengaruh emosi? Perkara pertama yang membezakan antara dua perkara tersebut ialah kekerapan anda mempunyai rasa tersebut. Jika anda memang selalu risau, selalu saja bimbang tanpa apa-apa sebab atau memang sentiasa rasa tidak tenang; itu adalah pengaruh emosi. Berkemungkinan mempunyai sejarah tertentu yang jadikan anda sebegitu. Sebaliknya jika anda tidak pernah rasa bimbang atau tak sedap hati dan tiba satu masa secara tiba-tiba saja anda rasa bagai ada yang tidak kena; itulah dia kuasa gerak hati.
Bila dah rasa sebegitu, jangan terus gelabah sebaliknya bermunajat mohon petunjuk daripada Allah. Jika benar ada yang tidak kena bakal menimpa, mohon diberikan kekuatan dan bantuan untuk jalan penyelesaian. Paling utama: jangan biarkan gerak hati tadi menguasai minda sebab jika minda dikuasai gerak hati bererti anda biarkan emosi menguasai anda. Sebaliknya pastikan minda ada stabil, rasional dan mampu menguasai gerak hati. Berhati-hati dalam melaksanakan apa saja yang tergerak dek hati anda. Jika ia tidak bercanggan daripada syariat, berkemungkinan itu adalah petunjuk daripada-Nya. Maka, sentiasa bermunajat dan berserah kepada-Nya untuk sentiasa membantu anda dalam segala aspek hidup. DIA akan berikan jawapan melalui gerak hati anda, insyaAllah!!
****Siaran Disember 2010