06 September 2012

Bukan cinta atau harta asas bahagia


“Tak mau ah! Hang tak pi, aku pun tak mau pi!”

Meneliti ayat di atas, apakah yang terlintas di fikiran anda kini? Rasa-rasanya, siapa yang mengucapkan ayat tersebut? Seorang kanak-kanak? Atau seorang dewasa?

Sebenarnya, dua hari lepas (tika perbincangan ini disediakan) adalah hari ulangtahun kelahiran Mak saya yang ke 55, juga ulangtahun kelahiran adik kelima saya kali ke 26. Seperti biasa, setiap ulangtahun kelahiran ahli keluarga disambut dengan jamuan makan beramai-ramai. Bezanya kali ini sambutan untuk Mak diadakan di rumah baru saya di Bandar Laguna Merbok. Bagi menambahkan kemeriahan, saya mengajak Tok dan Wan (ibu dan bapa kepada Mak saya berusia sekitar 90an) untuk turut serta kebetulan rumah Tok tak jauh pun dari rumah saya, dalam 15Km sahaja.

Ayat di atas tadi dilafazkan oleh Wan saya ketika diusik oleh Tok; mintak Wan bersiap untuk ikut saya dan dia tak pergi sebab kena ada orang tunggu di rumah. Terus terang, nampak jelas kasih dan sayang antara pasangan yang masing-masing telah mengenakan tongkat bagi membantu mereka berjalan. Adik lelaki saya berusia 25 tahun sempat mengorek rahsia kasih sayang Tok dan Wan tak lama selepas itu bila Tok dan Wan ikut pula ke rumah Mak di Sik. Kata Tok: “Kahwin dulu sebab orang tua suruh. Tak tau pun sayang ka, kaya ka. Wan pun kerja tukang sapu sampah ja. Tapi sebab dah terima jadi suami, kena terima dengan ikhlas la….” Ringkas ja jawapan Tok tapi cukup untuk saya kongsi dengan pembaca semua rahsia utama kekalnya perkahwinan mereka yang dikurniakan 12 orang cahayamata, hampir 100 cucu dan dah berpuluh cicit dan ciut (anak cicit- ikut kata Tok la) sekarang ni.

Ya! Rahsia utama untuk kekal bahagia ialah ikhlas atau lebih tepat lagi niat yang ada ketika berkahwin seterusnya ketika menjalani hari-hari mendatang selepas perkahwinan tersebut. Saya yakin, ramai mengetahui mafhum hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya maka baginya Allah dan rasul-Nya. Barangsiapa berhijrah kerana harta dunia, dia akan memperolehinya dan jika kerana wanita maka dia akan dapat menikahinya. Maka setiap hijrah itu berdasarkan setiap apa yang diniatkannya!!”

Hadis ini menjelaskan bahawa di dalam setiap apa jua pekerjaan atau tindakan yang kita lakukan, asas utama yang menentukan halatuju dan keputusan pekerjaan atau tindakan tersebut ialah niat kita. Begitu jugalah halnya dengan perkahwinan. Jika seseorang berkahwin kerana rupa paras yang cantik, dia akan memiliki paras yang cantik tersebut dan bila tiada lagi paras yang cantik, maka perkahwinan mula goyah dan goncang lantaran usaha mendapatkan rupa cantik yang lain. Jika seseorang itu berkahwin kerana harta, dia akan memiliki harta idamannya tetapi bila harta tiada lagi, perkahwinan akan bermasalah disebabkan kecenderungan untuk mendapatkan seorang yang lain yang mampu memberikannya harta idamannya. Sama juga jika perkahwinan hanya kerana keinginan seks semata-mata, perkahwinan akan bermasalah bila keperluan seks tidak berjaya dipenuhi.

Ya! Saya akui, antara hikmah perkahwinan ialah untuk menghalalkan hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan tapi perlu diingat, bukan itu hikmah utama malah terdapat beberapa hikmah lain yang dah selalu sangat saya tegaskan melalui ruangan ini. Pokoknya, jika anda ikhlas menerima pasangan anda, berkahwin dengan niat untuk berkongsi hidup bersama-sama tak kira dalam suka atau duka asalkan di dalam redha-Nya, insyaAllah anda akan bahagia, sama seperti Tok dan Wan saya tadi. Sebabnya, bila anda ikhlas menerima pasangan anda dan mempunyai niat untuk setia tak kira apa jua situasinya, secara automatiknya anda akan berusaha memberikan yang terbaik kepada pasangan anda, berusaha menjalankan segala peranan dan tanggungjawab yang patut dan perlu di sepanjang tempoh perkahwinan anda malah anda boleh menerima segala kekurangan yang tiba-tiba hadir tanpa diduga serta bersedia memberi peluang agar pasangan kembali berubah. Paling utama, keikhlasan anda dan niat anda menerima pasangan anda di awal perkahwinan juga akan mampu mengubah sikap anda yang tersasar dan tersesat tika berdepan liku-liku perjalanan perkahwinan anda.

Paling penting, kedua-duanya kena ikhlas dan berniat yang serupa lah. Kalau anda seorang saja yang ikhlas dan berniat untuk setia dalam apa jua keadaan sebaliknya pasangan anda hanya pura-pura ikhlas dan punyai niat tersembunyi yang nyata bukan untuk kekal setia walau dalam apa juga situasi, memang sukarlah untuk kekal bahagia. Seperti yang selalu saya kongsikan dalam ceramah saya; suami dan isteri kena bertindak serupa Wonderpets; apa yang penting… kerjasama! Perlu kedua-duanya bekerjasama! InsyaAllah, biar bukan bermula dengan cinta, biar tiada harta asalkan ikhlas dan berniat baik, insyaAllah perkahwinan akan tetap bahagia!!

****Siaran Mac 2010

02 September 2012

Canting dengan cantik hasil akan menarik


Syawal sudah pun hampir ke penghujungnya. Ramadan juga sudah ditinggalkan. Alhamdulillah juga, sejak hari pertama puasa, anak-anak saya kekal bertahan berpuasa penuh setiap hari hinggalah ke hari ini. Syukur juga, anak-anak saya kekal kuat dan bersemangat setiap minit meniti hari-hari puasa mereka. Tidur siang? Jangan haraplah, ada sajalah aktiviti yang nak dilakukan oleh mereka.

Ada rakan-rakan yang terkejut bila dapat tahu mengenai prestasi anak-anak saya. Ya lah, Ayuni berusia enam tahun dan Suhail pula baru lima tahun. Saya tak nak ceritakan tentang bagaimana anak-anak saya mampu bersabar dan bertahan, anda boleh masuk ke blog saya, ada ceritanya di sana. Kali ini saya nak bincangkan tentang kenapa saya melatih anak-anak saya berpuasa, bersembahyang, melakukan beberapa kerja rumah yang ringan dan beberapa rutin hidup yang lain.

Bak kata pepatah yang memang ramai telah maklumi, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitu juga dengan tajuk perbincangan kali ini, jika kita nakkan hasil yang menarik dan disukai ramai, tugasan mencanting perlulah dilakukan dengan penuh tekun dan sabar agar nampak cantik. Setiap ibu dan bapa pastinya mengharapkan agar anak atau anak-anak mereka mampu menggembirakan hati mereka bila mereka sudah berada di usia emas kelak. Tak kisahlah siapa anak mereka tika dewasa asalkan anak tersebut mampu membahagiakan mereka. Kegembiraan dan kebahagiaan paling penting bagi setiap ibu bapa. Tak guna ada anak atau anak-anak yang berpelajaran tinggi, berpangkat dan berharta tetapi gagal memberikan kebahagiaan dan kegembiraan kepada ibu bapa.

Namun, nak jadikan anak atau anak-anak sebagai pemberi kegembiraan dan kebahagiaan tika usia emas bukanlah kerja mudah. Tugasan tersebut terletak di bahu ibu dan bapa bermula dari ubun si anak masih lagi lembut. Tugasan paling penting ialah memberikan didikan agama khususnya didikan akhlak kepada si anak, insyaAllah anak-anak yang terdidik dengan didikan mulia ini akan membesar menjadi anak-anak yang mampu memberikan kebahagiaan dan kegembiraan kepada ibu bapa.

Teringat satu kes yang pernah saya kendalikan, seorang ayah meluahkan rasa sedih dan kecewa juga kesal dengan sikapnya yang tersilap di dalam mendidik anak-anak. Pak Cik yang hampir sebaya dengan Bapa saya bercerita: Dia mempunyai empat orang anak, tiga lelaki dan seorang anak perempuan. Alhamdulillah, keempat-empat anaknya berjaya di dalam pelajaran masing-masing hingga mampu menyambung pelajaran ke luar negara dan tiga daripadanya telah menjawat jawatan tinggi bila kembali ke Malaysia (yang bongsu masih lagi belajar di luar negara). Sudah pasti ada antara pembaca yang teruja dengan prestasi anak-anak Pak Cik tersebut, sama seperti saya tika itu.

Namun, apabila tiba-tiba Pak Cik tersebut menangis, buat saya dan rakan saya terkejut. Bila disoal, Pak Cik menyoal semula: “Camana Pak Cik nak gembira kalau tiga daripada empat anak Pak Cik tu dah mula panggil Pak Cik, babi?!” Pak Cik terus menangis, air mata saya mula mengalir deras, sungguh saya teringatkan Bapa saya tika itu. Tak lama Pak Cik menyambung: “Pak Cik lupa nak ajar anak-anak Pak Cik ilmu agama, Pak Cik tak ajar tentang akhlak mulia. Pak Cik hanya tumpukan kepada prestasi akademik, Pak Cik abaikan tanggungjawab mengajar anak-anak tentang solat, puasa dan macam-macam lagi kewajipan sebagai seorang Islam….”

Itu kisah lebih 10 tahun lalu, tika baru setahun saya berada di dunia kerjaya. Saya masih ingat dengan jelas tangisan Pak Cik tersebut. Jauh di sudut hati, saya tak nak Bapa juga Mak saya menangis sedemikian. Paling penting juga, saya sendiri tak nak menangis sama seperti Pak Cik tersebut tika saya sudah berusia sepertinya. Lantaran, bila saya menerima anugerah dengan darjah kebesaran bernama ‘Ummi’ pada awal tahun 2003, saya bertekad untuk mendidik dan memberikan yang terbaik kepada Ayuni dan adik-adiknya selepas itu.

Kepada ibu bapa di luar sana, jangan terus menuding jari kepada anak-anak yang gagal memberikan kegembiraan kepada anda. Tak mustahil, kegembiraan tersebut tidak berjaya anda perolehi kini disebabkan sikap anda sebelum ini. Walaupun begitu, bukan bererti anda perlu terima saja natijah kesilapan lalu. Buktikan sesalan anda dengan berdoa agar anak-anak anda berubah sikap dan berubah menjadi anak-anak yang mampu menggembirakan anda. Kepada anak-anak pula, mungkin ada kesilapan ibu bapa dalam mendidik anda tetapi sebagai seorang yang berakal dan waras, anda boleh bezakan yang baik dan yang buruk dan satu perkara yang baik ialah menggembirakan ibu bapa tika hari tua mereka. Gembirakanlah mereka, insyaAllah anak-anak anda juga akan gembirakan anda bila anda dah tua kelak…

****Siaran Oktober 2009