30 Julai 2011

Bezakan antara cinta dan nafsu

Agaknya, memang benar pendapat yang mengatakan, dunia dah nak terbalik. Kiamat dah hampir berlaku. Kenapa tiba-tiba saya bangkitkan pasal kiamat? Bukan nak menakut-nakutkan pembaca. Sekadar memberikan jawapan kepada persoalan yang timbul di fikiran sendiri, kenapa lah sejak akhir-akhir ini, makin kerap kes isteri curang dan berlaku tidak jujur kepada suami sampai ke pengetahuan saya. Bukan melalui pengakuan suami sebaliknya pengakuan si isteri sendiri.

Dalam satu pengakuan melalui emel kepada saya, seorang isteri hanya mengenal erti cinta sejati dan rasa nikmat melakukan hubungan kelamin setelah berhubungan secara sulit dengan bekas teman lelakinya semasa zaman persekolahan dahulu. Menurut si isteri, kepuasan dan kenikmatan yang dirasai bersama si suami tidak setanding nikmat yang diperolehi melalui hasil ‘kerja tangan’ teman lelakinya biarpun hubungannya bersama teman lelaki baru terjalin akrab semula kurang tempoh tiga bulan berbanding perkahwinannya yang telah mencecah 12 tahun dan dikurniakan empat cahayamata.

Dalam pengakuan yang lain pula, menerusi sistem pesanan ringkas yang dihantar ke talian temujanji (diuruskan oleh pembantu saya) kemudian dipanjangkan ke telefon bimbit saya, seorang isteri mengeluh tentang sikap suami yang lebih banyak menumpukan perhatian kepada mencari pendapatan keluarga. Menurut si isteri, suaminya bekerja sebagai seorang kakitangan awam. Selesai tugasan pejabat, suaminya akan pulang ke rumah. Selepas solat Maghrib dan makan malam bersama, suaminya akan ke bengkel tidak jauh dari rumah mereka untuk bekerja hingga awal pagi. Bukan sebulan dua tetapi dah lebih lima tahun memandangkan hanya suami seorang bekerja bagi menampung keperluan keluarga yang makin bertambah dan ahlinya juga bertambah ramai.

Kesunyian yang dirasai oleh si isteri diubati dengan kehadiran seorang lelaki, bermula hanya kerana tersilap sms, seterusnya berkawan, jadi akrab dan pernah beberapa kali tersasar jauh dari batasan moral dan agama. Kini, si isteri bingung bagaimana untuk melepaskan diri dari ikatan si suami memandangkan si isteri yakin, lelaki buah hatinya itulah sahaja yang amat memahami dan mampu membahagiakan dirinya.

Ada beberapa pengakuan lagi yang plot ceritanya hampir sama. Naik mual dan menyampah bila saya membacanya. Maaf lah, bukan saya tak cuba faham tetapi saya tidak mampu untuk bersubahat dalam perkara mungkar. Kenapa mungkar? Ya!! Anda dah diikat dengan kasih yang suci, cinta setia seorang suami yang sanggup bersusah payah dan berkorban demi kepentingan kehidupan anda dan anak-anak sebaliknya anda, sesenang hati menuding jari menyalahkan suami konon gagal mengubat sepi di hati anda dan dengan alasan tersebut, anda mengambil peluang menjalin hubungan dengan lelaki lain. Bukan sekadar hubungan kawan atau cinta sebaliknya melakukan hubungan jenis, yang dilarang dan dikutuk oleh agama dan masyarakat. Nak saya berikan anda panduan untuk keluar dari ikatan yang halal dan suci seterusnya membolehkan anda memilih cinta yang bagi anda adalah agong dan mulia??

Ampun dan maaf!! Saya takkan bersubahat dalam perkara tersebut. Saya tahu, saya bertugas memberikan anda jalan penyelesaian. Saya juga faham, menurut prinsipnya, kaunseling bermaksud satu proses dan juga aktiviti pertolongan yang dilakukan menggunakan pengetahuan dan teknik untuk tujuan menolong individu berubah daripada keadaannya sekarang kepada satu keadaan yang dikehendakinya. Walaupun begitu, prinsip kaunseling juga menyebut, seseorang kaunselor termasuk perunding itu mesti bercakap tekus dan jujur. Inilah kejujurannya. Saya takkan bantu anda untuk mengikut nafsu anda.

Ya!! Apa yang anda rasai tika ini bukanlah cinta, bukan kasih sayang sejati sebaliknya hasutan nafsu dan bisikan syaitan. Tolonglah bezakan antara cinta sejati dan nafsu syaitan yang dilaknati. Terus terang, dah banyak sangat kes serupa yang saya terima daripada aduan para suami. Dek kerana tidak mahu dikatakan suami yang dayus, para suami yang setia ini bersetuju melepaskan isteri yang tercinta, bagi memberi ruang kepada si isteri mengecap kebahagiaan yang dihajati. Namun, tak lama, si isteri akhirnya kembali menagih semula kasih setia si suami yang sudah mula pudar dan tawar apabila kekasih hati bukanlah seperti lelaki yang diimpikan sebelum ini. Ini bukan sebuah cereka atau skrip drama sebaliknya beberapa kisah benar yang saya kendalikan.

Tolong lah….!! Saya merayu kepada para isteri yang menghadapi keadaan serupa. Jangan cuba-cuba menjalinkan hubungan mesra dengan lelaki tanpa pengetahuan suami anda. Haram dan berdosa hukumnya, jadi tambah berdosa bila anda bertindak mengkhianati cinta dan curang kepadanya. Terus terang, jika saya lah teman lelaki anda, saya juga akan mempermainkan anda kerana bagi saya, jika anda sanggup khianat dan curang kepada suami yang telah dikahwini bertahun-tahun, anda juga boleh curang kepada cinta lelaki lain. Tak gitu?? Fikir-fikirkanlah agar anda tidak tertipu dengan nafsu sendiri….

**** Siaran Jun 2009

**** Dapatkan diskaun istimewa bagi khidmat konsultansi tru fon atau chat YM sepanjang Ramadhan ini...

26 Julai 2011

Cerai halal tapi boleh jadi haram

Dalam tempoh lebih 11 tahun berkecimpung dalam kerjaya saya sebagai Peguam Syarie seterusnya menumpukan sepenuh perhatian dalam konsultansi sebagai Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Alhamdulillah... ramai yang menjadi klien saya temasuklah dari kaum lelaki walau nisbahnya 30:1. Semalam, seorang daripada empat klien yang bertemujanji menerusi klinik saya, hampir semuanya dek kerana topik Bila Sayang Bertukar Benci, adalah seorang lelaki yang terkenal dengan rutin kerjanya yang sibuk dan ada tikanya tak menentu tetapi amat mengambil berat tentang rumahtangganya dan paling penting, lelaki ini amat mencintai isterinya. Saya tahu segalanya itu berdasarkan luahan hatinya dan pemerhatian saya selama tempoh rundingcara diadakan. Jika tidak, lelaki ini takkan menitiskan air mata bila saya mintak untuk berjumpa dengan si isteri dan menutup sesi saya dengan kata-kata: Saya usahakan untuk menasihatinya. Percayalah, jika yakin kita berada di jalan yang benar, berdoalah mohon kepada-Nya agar isteri berubah dan kembali sayang dan taat. Kita berusaha, mohon daripada-Nya yang terbaik, Dia maha Mengetahui...

Sedikit kisahnya: lelaki ini seorang doktor yang tidak menghalang niat suci isteri untuk sambung belajar kemudiannya menjalankan perniagaan sendiri. Dek kerana sibuk dengan perniagaan, si isteri mengabaikan kesepian yang dialami oleh si suami menyebabkan si suami terpandang kasih seorang wanita lain. Namun, disebabkan cinta yang menebal kepada si isteri, hubungan kasih dengan wanita lain hanya berjalan dalam tempoh yang amat singkat, kalau lah seorang wanita hamil, belum sempat pun menghabiskan trimester pertama. Si suami berterus terang dengan isteri, mengharapkan pemahaman dan perubahan sikap si isteri. Sebaliknya si isteri menjadikan kesilapan si suami sebagai alasan untuk mengizinkan dirinya mempunyai hubungan rapat dengan rakan kongsi perniagaannya malah ketika bertemu saya, si suami menyatakan isterinya itu meluahkan rasa tidak suka lagi kepada dirinya. Si suami juga menerima pengakuan rakan kongsi perniagaan si isteri, mengesahkan hubungan intim antara mereka dan hasrat untuk mereka bersatu selepas berlaku pembubaran perkahwinan.

Saya percaya, ada di kalangan pembaca yang merasakan, baru padan dengan muka si suami, siapa suruh buat hal. Mungkin juga ada yang berpendapat, kasih dan sayang tak boleh dipaksa, kalau dah tak suka, bercerai je lah jawapannya. Ya, bercerai memang ada di dalam Islam dan ia adalah halal walaupun tidak disukai oleh Allah SWT. Namun, perlu diingat, cerai juga boleh berubah menjadi haram apabila perceraian tersebut tidak berasaskan alasan dan sebab yang wajar dan munasabah di sisi hukum syarak. Bagaimana nak tentukan sebab dan alasan yang munasabah di sisi syarak? Seperti yang pernah saya tegaskan, perkahwinan di dalam Islam mempunyai prinsip dan hikmah yang tersendiri. Antara hikmahnya ialah bagi memupuk perasaan kasih sayang di antara suami dan isteri, kerana fitrah manusia inginkan kasih sayang dan belaian daripada orang yang tertentu. Hikmah perkahwinan yang paling penting juga adalah untuk melahirkan manusia yang bertanggungjawab dalam menjalankan amanah Allah SWT. Bermaksud, perkahwinan bukanlah satu keseronokan sebaliknya adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh setiap pihak, suami dan isteri.


Kembali kepada kes tadi, si isteri telah gagal di dalam merealisasikan hikmah perkahwinan berkaitan menjadi seorang yang bertanggungjawab, menjadikan si suami gagal menikmati hikmah perkahwinan berkaitan kasih sayang di antara suami dan isteri. Haiii!! Nak salahkan isteri juga? Kan ke si suami pun mempunyai rutin kerja yang sibuk dan ada tikanya tak menentu? Ya, saya akui tetapi dah itu tugas, peranan dan tanggungjawab suami, untuk bekerja dan mencari nafkah keluarga. Kalau semua orang nak kerja 9am hingga 6pm, apa akan jadi jika berlaku kes kecemasan dan membahayakan nyawa? Pekerjaan sebegini adalah juga tuntutan syarak asalkan tanggungjawab lain sebagai suami tidak diabaikan. Isteri pun bekerja dan perlukan berikan perhatian kepada kerjanya? Ya! Memang betul tetapi tidak tepat. Islam tidak melarang kaum wanita keluar untuk bekerja asalkan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan antaranya tidak mencuaikan tugas dan tanggungjawab terhadap suaminya atau tugas ibu terhadap anaknya dan menghindari pergaulan yang membawa kepada perkara maksiat.


Berdasarkan penerangan si suami, si isteri telah melanggar syarat-syarat tersebut. Maka, dalam keadaan sebegini, walaupun hikmah perkahwinan untuk kedua-dua pasangan suami isteri berkongsi kasih sayang telah tiada dek kerana kegagalan menjalankan tanggungjawab yang patut, hukum si isteri memohon cerai dalam kes sebegini adalah haram dan berdosa. Sebagai isteri, seseorang itu hendaklah menjaga batas pergaulan dan perhubungan agar tidak wujud kasih terhadap lelaki lain, selain si suami. Memang teman lelaki lebih memahami, lebih menyayangi dan lebih romantik namun jangan tertipu. Bak kata orang... dah belum dapat!! Kepada kaum lelaki, beringatlah!! Kalau teman wanita anda boleh curang kepada suaminya kerana anda, tak mustahil satu hari nanti... dia juga boleh curang dengan anda kerana lelaki lain pula!!

****Siaran Jun 2009