Masih ingat lagi dengan janji saya pada keluaran yang lalu? Ya, saya janjikan untuk bincangkan tentang topik pilihan minggu ini yang menjadi punca kepada permasalahan di dalam perkahwinan seorang klien saya yang kesnya telah saya bincangkan sedikit pada keluaran lepas. Diringkaskan semula, klien saya ini terasa dikongkong oleh suami disebabkan tidak bebas bergerak dan berkawan lantaran perlu dapatkan izin suami yang ada tikanya tidak dibenarkan, perlu menurut kata suami yang ada tikanya tidak kena dengan naluri hatinya (antaranya perintah bertudung) dan pelbagai lagi hinggakan klien saya (bertemujanji dengan saya menerusi panggilan telefon) merasakan bercerai adalah keputusan terbaik.
Seperti yang selalu
saya katakan kepada setiap klien yang mendapatkan khidmat nasihat saya: saya
hanya boleh berikan jalan ke arah sesuatu keadaan dan saya tak dapat berikan
jaminan, mana satu keputusan yang terbaik. Sama juga dengan klien tadi, saya
berikan masa minima dua minggu untuk dia dapatkan petunjuk daripada-Nya dan
hingga detik itu, saya mohon agar dia berubah, cuba akur dengan kehendak baik
suami dan berusaha terima perubahan status diri yang juga bererti perubahan
tanggungjawab dan kewajipan. Sebabnya, suami dah baik: jalankan tanggungjawab
sebagai suami, tiada masalah pemberian nafkah, layan dengan baik cuma ada
masanya meninggikan suara dan diakui jika klien tadi melawan atau tinggikan
suara lebih dulu. Terkini, si suami kirimkan SMS yang saya dah bincangkan
minggu lepas.
Kembali kepada topik
perbincangan kali ini. Secara logiknya, klien saya tadi tak patut merasa diri
dikongkong hanya kerana perlu dapatkan izin suami untuk ke mana-mana atau
melakukan apa juga perkara. Ya!! Izin suami memang perlu tapi bukan bermaksud suami
mempunyai kuasa veto, langsung tak boleh dibawa berunding. Perkahwinan wujud
apabila seorang lelaki dan seorang wanita bersetuju untuk hidup bersama, saling
kasih mengasihi, berkongsi suka dan duka malah berkongsi cerita bahagia dan
derita serta masing-masing bersedia untuk menjalankan tanggungjawab dan peranan
yang perlu demi kebahagiaan sebuah perkahwinan. Berkahwin juga tidak bererti
seseorang isteri malah seorang suami juga, tidak boleh lagi berkawan dengan
orang lain. Malah jika itu berlaku, maksud saya tegahan dan larangan kepada
seorang isteri atau suami daripada berkawan dengan orang lain (contohnya
kehidupan sosial isteri/suami hanya berkisar antara suami/isteri dan anak-anak
sahaja), ia termasuk di dalam kategori keganasan sosial.
Ya lah, takkan lah 24
jam nak tengok muka suami atau muka isteri ja. Mustahil lah hari-hari nak
bersenda gurau dan berbual dengan suami atau isteri ja. Naluri dan sifat
semulajadi manusia memang suka berkawan maka teruskanlah walau anda dah jadi
isteri atau suami orang. BEZANYA, berkawan semasa bujang dah tak sama dengan
berkawan tika dah pegang status sebagai isteri atau suami orang. Berkawanlah
dengan beribu orang pun tapi tugas, peranan dan TANGGUNGJAWAB anda sebagai
isteri dan suami PERLU DIUTAMAKAN. Paling penting juga, kena lah sedar diri.
Kalau masa bujang suka rayau-rayau, lepak-lepak dan gelak besar dengan
kawan-kawan kat tepi kompleks beli belah, dah jadi isteri orang, takkan nak
buat benda yang sama, walaupun anda masih boleh keluar dengan kawan-kawan yang
sama. Jagalah tingkah laku dan perangai sebab status sebagai isteri atau suami meletakkan
anda ke satu peringkat yang lebih tinggi berbanding tika anda bujang.
Bukan tinggi dengan
pangkat tetapi tinggi dengan hormat malah Islam memberikan kelebihan kepada
hamba-Nya yang berkahwin. Contoh mudah, pahala solat tanpa jemaah bagi orang
yang berkahwin adalah sama dengan pahala solat orang bujang yang berjemaah.
Jika agama memberikan kelebihan tersebut, kenapa kita pula nak hina diri kita
sendiri? Tak boleh terima sebab dah biasa hidup tanpa kawalan? Atau masih belum
puas hidup membujang? Itu bukan alasan yang boleh diterima. Sebab? Kalau anda
belum puas membujang, kenapa kahwin? Cuba-cuba? Kerana cinta? Kalau cuba-cuba,
anda memang sengaja mencari beban. Cinta? Kalau cinta kenapa tak rela korbankan
kehendak yang tak berikan manfaat kepada cinta anda? Kahwin paksa? Jangan tipu,
tidak ada istilah kahwin paksa tika ini. Kalau benar pun anda disuruh kahwin
oleh ibu bapa anda, anda berhak menolak. Nak jaga hati ibu bapa? Habis tu,
menggadaikan tanggungjawab sendiri, memusnahkan perkahwinan yang sepatutnya
dipelihara, tak beri malu kepada ibu bapa, kepada diri sendiri?
Ingatlah!!
Perkahwinan adalah amanah dan tanggungjawab. Hikmah perkahwinan bukan sahaja
untuk suami isteri rasa bahagia dan tenang hidup bersama tetapi juga agar
setiap individu, suami dan isteri, menjalankan peranan dan tanggungjawab yang
perlu, bukan hanya menagih hak sendiri hingga mengabaikan kewajipan diri.
Perkahwinan juga perkongsian. Jadikan kawan-kawan anda sebagai kawan kepada
pasangan anda juga. Hubungan akan lebih akrab, segala aktiviti akan lebih mudah
malah boleh elakkan banyak masalah. Praktikkan juga amalan berbincang dan
berterus terang malah anda boleh jadikan pasangan anda sebagai sahabat karib
anda sendiri. Tiada yang mustahil jika anda berkehendak dan berusaha ke arah
itu. Bak kata hikmah yang popular: Berkawan biarlah beribu tetapi setia cinta
hanya kepada yang satu…
****Siaran Disember 2009