23 Jun 2009

Jika ingin menjadi orang ketiga

Saya baru selesai membincangkan isu menjawab persoalan mengenai salahkah menyintai suami orang. Saya yakin, sama seperti isu asal, perbincangan kali ini akan mengundang pelbagai respons yang mampu menggoncang kesabaran saya. Tak mengapalah, bergoncang tidak semestinya akan runtuh. Saya hanya berpegang kepada satu prinsip: qulil haq lau kana murran (berkata benarlah walaupun pahit). Kali ini, fokus saya masih berkenaan isu yang sama cuma kali ini tumpuan saya kepada mereka yang berhasrat untuk menjadi orang ketiga. Seperti yang pernah saya tegaskan, saya tidak menghina anda yang sanggup menjadi orang ketiga sebaliknya saya amat menghormati dan respek dengan mereka yang berjaya menjadi orang ketiga seperti yang disarankan oleh syarak. Tahniah kerana berjaya menempah sekaki payung emas di syurga. Saya ikhlas. Saya sendiri?? Jika terpaksa menerima kehadiran orang ketiga, saya akan berusaha sedaya upaya menjadi madu yang terbaik namun saya berdoa, saya tidak diuji dengan perkara tersebut, nauzubillah!

Kembali ke topik perbincangan. Segala yang akan saya bincangkan di sini, bukan lahir daripada emosi tetapi bersumber daripada penyelidikan dan kajian serta pandangan dan pengalaman mereka yang telah melalui jalan-jalan menjadi orang ketiga. Tak banyak resepinya, hanya satu iaitu bersifat jujur dan ikhlas dari mula. Jujur dan ikhlas untuk menjadi orang ketiga, tanpa ada niat untuk mengambil alih kedudukan isteri sedia ada. Jujur dan ikhlas ketika melangkah kaki ke dalam keluarga sedia ada dengan mengenalkan diri sejak awal lagi. Bukan hanya muncul tika rahsia tersimpan mula dihidu isteri sedia ada atau tika merasakan hak anda sebagai isteri mula diabaikan oleh suami. Memang payah untuk mengenalkan diri sejak mula. Bimbangkan respons dan tindakbalas isteri sedia ada. Bimbang dikatakan perampas. Bimbang dituduh perosak bahagia. Bimbang kasih anda terlarang dan terhalang. Namun, itulah hakikat yang perlu anda tempuh. Bukan sahaja anda tetapi juga bakal suami anda.

Jangan sesekali menyokong sikap bakal suami yang ingin merahsiakan hubungan anda berdua walau apa juga alasannya. Letakkan diri anda ke dalam diri isteri sedia ada tak kiralah pertama, kedua atau ketiga. Relakah anda ditipu oleh suami sendiri? Konon alasan ada mesyuarat hingga ke dinihari atau kerja luar selama seminggu, bila anda tahu hakikatnya suami anda beristeri baru, apakah anda dengan rela dan suka hati akan merenjis mawar dan menabur bunga rampai? Rata-rata kes yang sampai ke pangkuan saya, isteri akan mula hilang kepercayaan kepada suami. Keadaan ini bukanlah sesuatu yang baik. Perkahwinan yang wujud selepas perkahwinan sedia ada tidak boleh menjadi punca kepada kemusnahan perkahwinan sedia ada tersebut. Samalah juga, sebuah kebahagiaan terlalu sukar untuk dibina di atas kekecewaan orang lain apatah lagi kekecewaan yang tidak wajar diterima. Saya maksudkan tidak wajar kerana seorang suami tidak wajar menipu isterinya hatta untuk perkara kebaikan sebagai contoh menjaga hati isteri sekali pun.

Tanyakan pada diri anda sendiri, jika sekali anda tertipu, mudahkah untuk anda kembali mempercayai si penipu tadi? Perlu diingat juga, jika bakal suami anda boleh menipu isterinya, dia juga boleh menipu anda. Jika bukan hari ini atau sekarang, mungkin esok atau hari-hari depan nanti. Lantas, bersikap jujurlah sejak mula. Katakan pada bakal suami, anda ikhlas ingin menjadi isterinya yang sah, berkongsi kasih dengan isterinya yang sedia ada. Matlamat tersebut hanya akan tercapai sekiranya bakal suami anda juga bersikap jujur dan berterus terang dengan isterinya. Ketepikan rasa bimbang dan risau. Hasrat dan impian anda bukanlah satu perkara yang melanggar moral atau syarak. Anda dan bakal suami anda ingin mewujudkan satu hubungan yang halal. Sudah semestinya juga anda dan bakal suami anda menjaga hubungan yang bakal dihalalkan itu agar tidak tercemar dengan perkara yang haram dan dilarang syariat. Jangan pula melakukan perkara terkutuk kemudian memaksa isteri sedia ada menerima anda kerana kandungan anda sekarang. Kalau perkara ini berlaku, jangan salahkan isteri bakal suami anda jika dia tidak menerima anda.

Apabila anda dikenalkan kepada bakal madu anda, terimalah dulu apa saja luahan perasaannya. Seperti yang sedia dimaklumi, tidak ada wanita yang bersorak gembira menerima berita suaminya akan kahwin lagi. Di sinilah anda dan bakal suami anda perlu mainkan peranan. Berusaha untuk meyakinkan bakal madu anda bahawa anda bukan ingin merampas kasih tetapi ingin berkongsi. Ingat!!! Bukan sekadar menyatakan tetapi lahirkan segala hasrat itu daripada hati anda yang ikhlas. Anda bukan sekadar berusaha meyakinkan bakal madu anda menerima hubungan anda dan suaminya tetapi anda perlu meyakinkan bahawa kehadiran anda tidak akan mengubah kasih sayang bakal suami anda kepadanya. Bukan sekadar menakluki hati bakal madu tetapi tawanlah juga hati anak-anak bakal suami anda. Dalam masa yang sama, berdoalah mohon Allah memudahkan segala urusan anda dan bakal suami anda.

Sekiranya anda telah berusaha namun hasrat anda masih tidak kesampaian, terimalah.... mungkin bukan takdir anda untuk menerima sekaki payung emas ketika di syurga nanti. Terimalah suratan, anda tidak ditakdirkan untuk hadir sebagai orang ketiga. Berdoalah dan percayalah.... akan ada jodoh untuk anda juga satu hari nanti, jika bukan di dunia, anda akan memperolehi jodoh paling abadi di akhirat nanti.

****Siaran September 2007

Menjawab persoalan salahkah menyintai suami orang?

Awal Januari yang lalu, saya telah bincangkan mengenai persoalan: salahkah menyintai suami orang? Terus terang, perbincangan tersebut menyebabkan saya menerima pelbagai emel dan sms yang boleh dikatakan 70% daripadanya adalah memarahi, mencaci maki malah ada satu sms yang mengkafirkan saya dengan alasan, saya telah menolak kehendak syariat. Respons pelbagai itu berlanjutan hingga masuk ke bulan Jun walau hakikatnya, perbincangan di awal Januari itu mempunyai sambungannya dengan satu perbincangan tambahan bertajuk: isteri sanggup dimadukan jika...

Terus terang, ada antara sms tersebut yang membuatkan saya panas hati. Siapa tak panas hati kalau menerima kata-kata caci maki yang melampau-lampau malah sampai sanggup mengkafirkan saya? Namun, alhamdulillah saya berjaya mengawal kemarahan saya. Caranya, semua sms tersebut saya biarkan tanpa balasan: terima, buka, baca kemudian abaikan. Bila dibaca semula beberapa hari kemudian, saya akan tergelak sendiri. Inilah manusia, pantang ditegur pasti akan terus melatah. Apatah lagi jika meyakini perbuatan mereka benar, maksud ayat al-Quran pun sanggup dimanipulasi, ambil yang kena dengan kehendak diri sahaja, yang lain-lain dipinggirkan ke tepi. Saya tahu dan faham sangat dengan maksud ayat yang mengharuskan poligami: Kahwinlah kamu dua, tiga atau empat.

Malangnya, ramai antara kaum lelaki malah kaum wanita yang terlibat di dalam isu poligami ini terlupa dengan sambungan ayat tersebut: ”Tetapi jika kamu tidak mampu berlaku adil, memadailah dengan satu!” Mungkin terlupa atau sengaja melupakannya. Atau mungkin betul kata sesetengah orang, tak habis belajar. Belajar sekadar yang kena dengan kehendak diri sendiri sahaja. Apa yang dirasakan tak perlu, buat tak tau atau buat tidak peduli sedangkan isu ketidak adilan inilah yang menjadi permasalahan di dalam poligami. Ada antara sms tersebut menyatakan: lebih baik menerima cinta suami orang yang memang akan tau kita sedang menjejak masalah kerana kita boleh bersedia berbanding menerima cinta lelaki bujang yang diharapkan takkan membawa masalah tetapi akhirnya turut memberikan derita dan sengsara. Betullah kata pepatah, banyak udang banyaklah garamnya, ramai orang bermacam-macam juga perangai dan prinsip hidupnya.

Jika itulah prinsip hidup anda, kenapa mengeluh dan mengadu apabila diri ditimpa masalah? Apakah persediaan yang boleh anda lakukan untuk menghadapi ranjau dan onak di dalam kehidupan poligami sedangkan anda tidak tau apa yang bakal anda lalui? Memperkemaskan diri dengan pelbagai kata-kata motivasi atau berjumpa pawang dan bomoh untuk menundukkan suami? Jika itulah persediaan anda, terus terang saya katakan, anda belum bersedia sebaliknya anda menempa masalah sendiri. Inilah yang dikatakan orang, tak ada beban batu digalas, tak ada penyakit mencari sakit. Jangan salah faham, terus terang saya bukanlah anti poligami. Saya masih ada iman dan tau yang mana baik dan yang mana buruk. Malah dua sahabat baik saya adalah isteri kedua kepada seorang suami. Saya masih berhubungan dengan mereka dan merekalah contoh kes yang saya utarakan di dalam isu isteri sanggup dimadukan jika...

Saya juga tak menghina anda yang berpoligami cuma saya membenci pelaksana poligami yang membuat hukum sendiri. Tak kiralah lelaki atau perempuan, kedua-duanya sama sahaja. Jika anda suami dan anda gagal berperanan sewajarnya sebagai seorang suami kepada isteri-isteri anda, anda memang layak dimarahi kerana anda bersikap dayus. Jika anda perempuan, antara isteri yang dimadukan suami tetapi anda gagal untuk berkongsi sedangkan anda merelakan perkongsian sejak awal, anda berada di kedudukan yang lebih rendah berbanding suami. Kenapa? Seperti yang selalu saya tegaskan, keadilan suami di dalam poligami adalah bergantung kepada kesediaan para isteri. Jika anda isteri pertama yang terpaksa menerima poligami, saya akui memang sukar namun demi kasih kepada suami, relakanlah kerana ketidak relaan anda mampu membawa suami ke jalan yang tidak diredhai-Nya. Jangan sesekali mengongkong suami kerana suami anda sudah mempunyai tanggungan dan tanggungjawab baru. Bantulah suami anda menjadi seorang suami yang bertanggungjawab. Jika anda sebagai isteri yang hadir di dalam keluarga sedia ada, ingatlah kedudukan anda. Jangan berbangga jika anda lebih muda atau lebih berpendidikan dan berharta. Status anda itu takkan mengubah apa-apa hak anda sebagai isteri yang dipoligamikan. Hak anda dan isteri sedia ada adalah sama tiada bezanya. Jika mahukan hak anda dipelihara, peliharalah juga hak madu-madu anda.

Ada juga yang menyatakan, saya gagal memahami jiwa gadis lanjut usia yang belum bertemu jodoh dan jodoh di depan mata hanyalah lelaki milik seorang isteri. Saya sendiri lewat bertemu jodoh, tika usia hampir 30 barulah saya bergelar seorang isteri. Sebelum itu, saya pernah dilamar untuk menjadi isteri kedua kepada seorang lelaki, ahli perniagaan berjaya. Kakak yang mengatur jodoh tersebut beriya-iya menasihati, sebagai seorang peguam yang rutin kerjanya adalah sentiasa sibuk, memang takkan ada masalah jika saya menerimanya. Namun, saya akui, saya tidak sanggup melukakan hati kaum sejenis saya. Saya cuba letakkan diri saya di dalam kasut isteri pertama. Nauzubillah, saya tidak mampu. Ketidakmampuan itu berjaya menolak rasa kasih dan sayang yang saya dambakan daripada seorang lelaki bernama suami. Saya hanya berdoa, jika ditakdirkan saya bertemu jodoh, biarlah dengan lelaki yang bukan suami orang dan hingga tiba detik itu, mohon dijauhkan daripada segala hasutan syaitan.

Tanyakan pada diri, di mana anda ingin berada? Jika anda memilih air, jangan bising jika anda kesejukan. Jika anda memilih api, jangan kecoh jika anda panas terbakar. Keputusan, anda yang tentukan.

****Siaran Ogos 2007

16 Jun 2009

Isteri juga berhak membubarkan perkahwinan

“Suami saya telah berkali-kali menipu saya. Setiap kali tembelangnya pecah kerana menjalinkan hubungan hingga terlanjur dengan wanita lain, dia akan meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Saya telah beberapa kali juga minta suami melepaskan saya tetapi suami saya enggan. Saya benar-benar buntu. Apakah yang perlu saya lakukan?”

”Puan, saya telah berkahwin selama tiga tahun dan dikurniakan seorang anak perempuan yang kini berusia dua tahun. Masalah saya ialah sejak awal perkahwinan, suami tidak memberikan wang perbelanjaan. Segala keperluan saya uruskan sendiri termasuklah keperluan anak. Bukan tak pernah minta tetapi alasan suami, saya sendiri bekerja dan mampu menyara diri sendiri. Suami hanya keluarkan belanja untuk sewa rumah, itupun saya tetap perlu berikan separuh. Perbelanjaan dapur jauh sekali. Saya bingung puan, saya ada suami tetapi segalanya saya uruskan sendiri. Anak pun tak dipeduli. Rumah dijadikan sebagai tempat tidur dan menukar pakaian. Saya betul-betul bingung. Saya pernah memohon agar dilepaskan tetapi suami enggan. Bantulah saya.”

Petikan dua kes di atas adalah antara ratusan emel dan sms yang saya terima daripada para isteri yang bingung: mahu keluar daripada perkahwinan yang ternyata menyiksakan tetapi suami enggan melepaskan. Saya tak pasti kenapa perkara seperti ini boleh merunsingkan para isteri kerana rasanya dah banyak perbincangan sama ada oleh saya atau orang lain yang menjelaskan mengenai hak seorang isteri. Bahkan di dalam kursus perkahwinan yang wajib dihadiri oleh setiap pasangan pengantin, perkara ini telah diterangkan dengan jelas. Mungkin kekalutan emosi menyebabkan segala malumat terkumpul sebelum ini hilang tanpa dapat di’recall’ kembali. InsyaAllah, saya akan jelaskan semula di sini.

Sebenarnya, bagi setiap isteri, anda mempunyai hak yang jelas dan tersendiri. Hak sebelum anda menerima status seorang isteri, hak semasa anda memegang status sebagai seorang isteri dan hak selepas anda dilucutkan status sebagai isteri. Sebelum perkahwinan, anda berhak memilih pasangan hidup anda. Walaupun ayah atau datuk mempunyai kuasa wali mujbir iaitu berhak mengahwinkan anda tanpa keizinan anda, namun Islam menjelaskan bahawa mendapatkan keizinan anda terlebih dahulu adalah lebih baik.

Semasa tempoh perkahwinan, anda berhak mendapatkan nafkah zahir berupa makan minum, tempat tinggal, pakaian dan segala keperluan hidup yang lain. Ingat ya, keperluan dan bukan kemewahan. Jika anda mendapat kemewahan, itu adalah bonus untuk anda. Anda juga berhak mendapatkan layanan yang baik daripada seorang suami. Jika anda gagal memperolehi hak-hak ini, di sinilah hak anda yang ketiga boleh anda tuntut daripada suami iaitu hak untuk membubarkan perkahwinan. Siapa kata isteri tiada kuasa talak?? Saya pernah jelaskan dahulu, isteri memang tidak diberikan kuasa oleh Islam untuk melafazkan talak tetapi Islam adalah agama yang adil. Walaupun ucapan talak adalah hak suami tetapi isteri mempunyai kuasa untuk membubarkan perkahwinan melalui beberapa cara lain iaitu takliq, khuluk, fasakh malah isteri berkuasa untuk memaksa suami melafazkan talak.

Perkara paling mudah untuk isteri membubarkan perkahwinan ialah melalui takliq kerana anda hanya perlu mengesahkan bahawa ucapan suami telah berlaku. Takliq tidak terbatas kepada ucapan yang dibuat oleh suami selepas akad nikah sahaja seperti yang terlampir di bahagian belakang surat akuan nikah. Sebaliknya jika suami ada melafazkan apa-apa pergantungan syarat kepada perkahwinan dan ianya berlaku, anda berhak membawa kes ke mahkamah. Paling penting, anda perlu mengadukan kes anda ke pihak yang berkenaan. Jangan mengambil jalan mudah dengan mengatakan syarat telah berlaku maka takliq juga telah berlaku. Anda perlu dapatkan pengesahan daripada pihak berkuasa. Selain takliq, anda mempunyai hak yang luas untuk menuntut fasakh. Undang-undang dan syarak menetapkan beberapa sebab untuk anda memohon pembubaran perkahwinan melalui fasakh antaranya atas sebab kegagalan suami menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami, suami mendera fizikal dan mental dan suami hidup melanggar batasan hukum syarak. Bagi kes suami curang sama ada suka berpoya-poya dengan perempuan apatah lagi hingga kes melanjurkan diri hingga melakukan hubungan kelamin tanpa perkahwinan, sikap suami anda itu boleh dijadikan alasan untuk anda memohon fasakh.

Cuma yang menjadi masalah kepada permohonan fasakh ialah pembuktian. Kebanyakan isteri mengadu kepada saya tentang kesukaran untuk membuktikan kes melalui permohonan fasakh. Saya akui, kes fasakh merupakan kes yang agak berat untuk dibicarakan. Bukan payah atau sengaja menyusahkan sebaliknya hakim memerlukan bukti yang kukuh. Perlu diingat, fasakh bererti perkahwinan anda dipisahkan oleh mahkamah bererti hakim yang memutuskan kes bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pembubaran perkahwinan anda. Kerana itulah, pembuktikan kes fasakh perlu jelas dan kukuh. Sebenarnya, bukan sahaja fasakh malah apa saja tuntutan kes, pembuktikan mestilah jelas dan kukuh. Anda tidak boleh ke mahkamah dan tunjukkan kesan lebam atau pukulan di badan semata jika ingin mendakwa suami anda dengan kes deraan fizikal. Sebaliknya anda perlu laporkan kejadian kepada pihak polis, dapatkan salinan aduan. Kemudian berjumpa dengan doktor dan dapatkan pengesahan bahawa kesan lebam atau luka yang anda perolehi adalah kesan daripada penderaan.

Yang penting, anda tau cara yang betul untuk mendapatkan hak anda. Bukan menyusahkan tetapi demi keadilan semua pihak. Paling penting juga, anda perlu kuat dan tabah untuk mendapatkan hak anda. Semoga berjaya!!

****Siaran Ogos 2007

Talak bukan satu permainan

“Saya berasa musykil dengan talak yang dilafaz suami, untuk makluman puan kami baru bernikah di sempadan berwalikan ayah saya 5 bulan yang lalu dan saya merupakan isterinya yang ke-2. Dr awal pernikahan kami memang menghadapi masalah rumahtangga yang datang dari madu saya, tapi sebelum bernikah memang suami menjanjikan yang dia akan tangani segala masalah tapi selepas bernikah lain jadinya, ternyata suami sendiri tak mampu menegur dan mengawal sikap isterinya dari memaki hamun dan menyerang saya. Baru-baru ni akibat dari pertengkaran saya jadi tak tahan dengan kehidupan sekarang, mana tidak nya hingga saya hampir kehilangan karier saya akibat dari masalah rumahtangga yang saya hadapi.

Dalam keadaan bertengkar masih jelas di ingatan sambil menampar pipi kanan saya sambil kata "abang ceraikan ayang sekarang" dan sekali lagi masa dia mengambil barang dalam kereta dia kata "nak sangat minta cerai sekarang abang lepas ayang" saya yang tergamam dan terkejut hanya berdiam diri. kemudian tak sampai sejam suami datang memeluk saya dan mengatakan yang dia langsung tak dak niat di hati nak ceraikan saya, katanya dia dalam keadaan marah...dia mengucap mangatakan minta saya lupakan semua ni katanya dia benar benar jadi lupa dan tak ada sebarang niat untuk ceraikan saya, saya merasa ragu-ragu dengan status hubungan kami.....”

Ini adalah petikan emel yang baru saya terima hari ini. Sebenarnya emel ini adalah antara puluhan emel yang menanyakan mengenai hal yang sama. Saya akui agak lambat memberi respons mengenai isu ini kerana saya berpendapat, maklumat yang berkaitan dengan isu ini telah banyak dibincangkan dan mampu diperolehi daripada pelbagai sumber. Malahan, bagi setiap pasangan yang bakal berkahwin, maklumat yang berkaitan dengan isu ini telah dibincangkan dan dihuraikan dengan panjang lebar. Namun, pengalaman saya berdepan dengan mereka yang mendepani isu-isu berkaitan talak dan perceraian ini, kebanyakannya enggan mengetahui dan tidak ambil peduli tentang maklumat seperti ini. Ya lah, seperti yang selalu saya tegaskan, tiada individu (kecuali satu kes yang pernah saya jelaskan dulu) yang inginkan perceraian berlaku di dalam perkahwinannya. Malah, ada yang beranggapan, mengambil tahu mengenai isu talak dan perceraian seolah-olah akan menerima badi, pasti akan berlaku di dalam hidupnya satu hari nanti jika maklumat tersebut diketahui. Entah camanalah prinsip sedemikian boleh timbul sedangkan ramai ulama, ustaz ustazah dan mereka yang lain yang tahu dan arif mengenai isu talak dan perceraian masih hidup bahagia dengan perkahwinan mereka.

Kembali kepada kes yang diutarakan. Jika dilihat kepada situasi pertama, suami secara terang dan jelas melafazkan bahawa dia menceraikan si isteri. Bagi kes-kes sebegini, sama ada si suami berniat atau tidak, sama ada suami sedar atau dalam keadaan marah, talak adalah dikira jatuh kerana suami melafazkan perkataan cerai: satu perkataan yang secara jelas memberi maksud talak. Sebaliknya jika berada di dalam situasi kedua iaitu suami melafazkan perkataan ’melepaskan’, lafaz ini dikira sebagai lafaz kinayah iaitu lafaz yang tidak jelas dan tika inilah, niat suami melafazkan perkataan tersebut diambil kira. Jika suami niatkan perkataan ’lepas’ itu dengan maksud cerai, talak dikira jatuh. Jika tidak, hubungan perkahwinan masih dikira ada.

Lafaz-lafaz lain yang selalunya disebut oleh suami yang boleh dikirakan sebagai lafaz kinayah ialah ’pergilah kau balik ke rumah mak bapa kau’, ’keluar kau dari rumah ini’, ’lebih baik kita berpisah sahaja’ dan beberapa perkataan lagi. Jika anda sebagai isteri berdepan dengan situasi sebegini, segeralah laporkan ke unit nikah, cerai dan rujuk di pejabat agama yang berdekatan dengan tempat anda. Jangan sibuk-sibuk memaksa suami menjelaskan niatnya, lebih banyak buruk daripada baiknya. Biarlah pihak berkuasa yang menentukan niat di sebalik perkataan yang disebut oleh suami anda. Jika suami menggunakan lafaz jelas seperti perkataan cerai atau talak, sama ada suami menyebutnya atau menulisnya atau mengirimkan sms atau emel kepada anda, segeralah juga laporkan kepada pihak berkuasa.

Andai tidak lama selepas lafaz soreh (jelas) tersebut diucapkan dan suami kembali ke pangkuan anda, anda TETAP PERLU MEMBUAT ADUAN bagi memudahkan diri anda sendiri di belakang hari. Walaupun secara jelas, jika anda kembali bersama suami, anda dan suami boleh dikategorikan sebagai telah rujuk menurut hukum syarak tetapi aduan tetap perlu untuk mengira jumlah talak yang pasti. Namun, jika suami secara jelas menyebut perkataan cerai dengan talak tiga, jangan ambil mudah walaupun suami kembali ke pangkuan anda kerana antara anda dan suami dikira telah berlaku talak bain kubra iaitu talak yang tidak boleh dirujuk. Hubungan antara anda dan suami telah tamat dan jika berlaku percampuran, ianya adalah haram.

Lantaran itulah, jangan terlalu mudah bermain dengan perkataan cerai atau talak. Walau dalam apa juga keadaan dan situasi yang berlaku antara anda dan pasangan anda, sentiasalah tenangkan diri dan kawal emosi anda, jangan sampai kewarasan fikiran anda hilang. Perkahwinan dan perceraian bukanlah satu perkara cubaan atau mainan. Perkahwinan dan perceraian bolehlah diumpamakan sebagai api. Kita perlukan perkahwinan tetapi jika gagal dijaga, perkahwinan akan merosakkan kehidupan anda. Begitu juga dengan perceraian, ada tikanya perceraian itu perlu tetapi jika tersalah membuat kiraan, perceraian boleh memakan diri anda sekeluarga. Pertimbangkanlah segalanya dengan akal yang waras, bukan hanya mengikut emosi sendiri.

****Siaran Ogos 2007

13 Jun 2009

Ajar anak erti hidup yang sebenar

Hujung minggu baru-baru ini, saya mengambil kesempatan untuk keluar bersama dengan suami dan anak-anak. Bukan ke mana-mana pusat peranginan, sekadar membawa anak-anak berjalan di pusat beli belah sambil membeli beberapa barang keperluan dan makan. Ketika baru saja melangkah kaki keluar dari restoran makanan kegemaran anak-anak, puteri sulung saya cepat saja menjerit: ”Ummi! Ayang nak CD Dora!” sambil tangannya mengarah ke kedai CD berhampiran yang sedang menayangkan siri kartun kegemaran anak saya itu. Memandangkan Dora bukan sekadar siri kartun biasa tetapi terkandung juga pembelajaran di dalamnya, kehendak si anak saya turuti. Ketika saya sedang membelek CD Dora pilihan Ayuni, tiba-tiba sahaja dia menjerit: ”Ummi! Ayang nak Spongebob jugak lah!”

Alahai anak! Cepat-cepat saya panggil Ayuni, tunjukkan paparan harga pada kedua-dua CD yang dihajatinya. ”Ayang tengok ni! Berapa ni?” Ayuni melihat kemudian memandang saya. ”24 la Ummi!”. Walau baru berusia empat tahun, Ayuni dah pandai membilang dan mula belajar mengira matematik mudah. ”Ha! Kalau dua ni, berapa? Banyak kan?” Ayuni mengangguk. ”Nanti nak beli susu Ayang ngan Adik lagi. Nak beli buku Ayang. Macam-macam lagi nak guna duit tau. Ummi beli satu ja lah, boleh? ”Ok. Ummi beli satu ja, nanti bila-bila Ummi ada duit, Ummi beli lagi, boleh tak?” ”InsyaAllah, nanti bila-bila Ummi beli kalau ada duit ya!” Ok! Terima kasih, Ummi!” Alhamdulillah, Ayuni tetap gembira. Mungkin ada yang pelik, kenapa saya bawakan kisah di atas untuk perbincangan kali ini? Tujuan saya membawakan kisah benar yang berlaku kepada saya dan puteri sulung saya ini hanya dengan satu tujuan: kanak-kanak akan faham tentang erti hidup jika diberitahu keadaan yang sebenarnya.

Ya, anak kita perlu diajar dan didedahkan tentang erti hidup yang sebenar. Mereka perlu dididik bahawa bukan mudah untuk hidup di atas muka bumi ini. Setiap individu yang hidup di muka bumi ini mempunyai kewajipan dan tanggungjawab dan paling penting, perlu bijak mengatur dan mengurus hidup sendiri. Terus terang, saya agak berkira walau dengan anak-anak sendiri. Bukan kedekut seperti watak Haji Bakhil, dah diberikan sejumlah duit, setahun dah tak boleh minta apa-apa lagi. Sebenarnya, saya tidak mahu anak-anak saya tersilap menilai erti kehidupan yang sebenar. Bukan bererti permintaan anak-anak saya kesampingkan, bergantung kepada keadaan dan apakah permintaan mereka serta kewajarannya. Jika bermanfaat, akan saya usahakan walau ada kalanya hanya setelah permintaan tersebut hilang daripada mulut anak-anak. Kerap kali permintaan anak-anak saya biarkan dulu dengan alasan: Ummi belum ada duit. Pernah juga puteri sulung saya yang agak petah berbicara menempelak: Ummi ni setiap hari pergi kerja pun, tak der duit ker?

Tika itulah, saya mengambil kesempatan menerangkan keadaan yang sebenar, tentang betapa hidup ini mempunyai pelbagai keperluan. Keperluan adalah perkara yang perlu didahulukan. Perkara-perkara yang berupa kemewahan dan kurang atau tidak perlu, boleh dipinggirkan. Tak lupa, saya berpesan kepada anak-anak, mereka boleh dapatkan apa juga yang mereka hajati dengan syarat mereka perlu belajar dan berusaha keras untuk mempunyai wang sendiri. Kedua-dua anak saya telah saya ajar menabung. Setiap hari selepas pulang dari kerja, mereka mesti menghulurkan tangan meminta wang untuk dimasukkan ke dalam tabung. Tapi, ada syaratnya; jika saya sampai di rumah dan saya dapati, barang-barang anak-anak sama ada permainan atau alat tulis mereka berselerak, duit tabung takkan diperolehi. Bukan mendera tetapi sebagai satu bentuk ganjaran atau balasan dan untuk mereka sedar bahawa setiap kehendak tidak mungkin dapat diperolehi dengan mudah. Bak kata pepatah: rezeki takkan datang bergolek.

Saya percaya, ada yang kurang bersetuju dengan saya. Sesetengah ibu bapa merasakan, apalah salahnya jika segala harta yang diusahakan selama ini diberikan kepada anak-anak. Kalau bukan anak-anak sebagai pewaris yang akan menikmati segala penat lelah, siapa lagi? Ada juga yang mengambil pendirian, tidak mahu kekecewaan mereka di usia muda tatkala hajat tidak dilaksanakan oleh ibu bapa masing-masing turut dirasai oleh si anak. Ya, saya akui ada kebenaran di sebalik pendapat tersebut namun perlu diingat, ada risiko di sebalik pendapat dan prinsip tersebut. Ada banyak keburukan daripada kebaikannya. Saya telah berhadapan dengan pelbagai kes mengenai anak-anak yang tidak berjaya hidup sendiri lantaran ditabur dengan segala kemewahan dan kemudahan sejak awal.

Saya yakin, ramai yang tahu dan maklum dengan kata-kata hikmah: jika anda berikan seseorang seekor ikan maka anda membantunya untuk kehidupan sehari sebaliknya jika anda berikan seseorang itu sebatang pancing maka anda membantunya untuk hidup sepanjang hayat. Tak perlulah saya perjelaskan lagi maksudnya kerana saya yakin, ramai yang sedia memakluminya, bezanya terpulang kepada setiap individu untuk mengaplikasi hikmahnya ke dalam hidup.

Yang mampu saya ingatkan: walau anda adalah ibu atau bapa, anda tetap seorang manusia yang akan pergi menemui Tuhan Yang Maha Esa bila tiba masanya kelak. Bayangkan jika saat itu anak-anak anda yang sepatutnya telah mampu hidup berdikari namun dek kerana sikap anda yang terlalu memanjakannya, anak anda terpaksa menjalani sebuah kehidupan yang mati... renungkan dan fikir-fikirkan lah.... Tak salah menyayangi anak-anak sepenuh hati tetapi jangan musnahkan hidup mereka kerana kasih sayang anda yang tidak kena pada tempatnya. Moga kita akan menjadi ibu bapa yang mampu membahagiakan anak-anak kita. Amin!

****Siaran Ogos 2007

Setiap anak adalah amanah

Isnin baru ni, debar di hati saya kencang ketika menunggu untuk berjumpa doktor bagi pemeriksaan kandungan yang hampir berusia lapan bulan. Namun, debar di hati bukan kerana memikirkan perjumpaan dengan doktor sebaliknya kerana memikirkan bahawa pada saat yang sama, adik saya (Suraini atau saya panggil Angah) bakal melahirkan anaknya yang ketiga. Sungguh-sungguh saya bermohon kepada Allah agar kali ini, adik saya itu dianugerahkan dengan anak perempuan kerana itulah hasratnya setelah dua anaknya sebelum ini adalah lelaki. Memandangkan kedua-dua anaknya sebelum ini lahir melalui pembedahan, begitu juga kali ketiga ini, saya bermohon agar Allah menunaikan hasrat adik saya itu, lantaran kasihan. Saya tak pasti pendapat orang lain namun bagi saya, walaupun bersalin melalui pembedahan, sakitnya tak seteruk sakit bersalin secara biasa namun penjagaan selepasnya itu yang membuatkan saya berpendapat, lebih baiklah bersalin secara normal, jika terpaksa, tak boleh nak kata apa lagi lah kan, rezeki masing-masing.

Tak lama selepas tiba di pejabat, saya menerima sms daripada Bapa memberitahu Angah dah selamat, dapat anak lelaki. Tergenang air jernih di mata saya, bersyukur dan sedikit sedih juga sebenarnya mengenangkan hasrat adik saya sejak kelahiran anak kedua, masih belum dipenuhi oleh Yang Maha Esa. Memikirkan keadaan Angah yang masih perlukan rehat, saya segera mengirimkan sms kepadanya: Salam. Along dah dapat berita daripada Bapa. Tahniah ya! Tak pe lah anak lelaki juga pun. Setiap anak tu adalah amanah daripada Allah. Jaga diri elok-elok ya! Sejak detik itu juga, saya sentiasa memohon kepada Allah agar dibukakan pintu hati adik saya untuk menerima anak lelaki ketiganya kali ini dengan berlapang dada. Semalam, saya hubungi Angah, alhamdulillah, dia ceria dan saya yakin, dia menerima ketentuan Ilahi dengan tenang.

Mungkin ada yang pelik, kenapa sampai begitu sekali tahap kerisauan saya? Bukan tidak percayakan adik sendiri tetapi bimbang kes-kes yang pernah saya kendalikan menimpa batang hidung sendiri. Ya lah, cubit paha kanan, paha kiri akan terasa juga kan? Sebenarnya, terdapat beberapa kes berkaitan yang pernah saya kendalikan sebelum ini. Antaranya, seorang ibu yang ditakdirkan menerima tiga anak perempuan berturutan. Kali ketiga kelahiran, si ibu berterus terang, tak reti nak rasa apa, suka atau benci. Kesannya, anak ketiganya itu dipinggirkan, nauzubillah. Jangan pelik kerana setiap wanita dan ibu juga adalah manusia biasa yang dikurniakan dengan akal dan juga emosi. Apabila emosi gagal dikawal oleh akal yang waras, keadaan sedemikian memang akan berlaku.

Lantaran itu, insan sekeliling perlu memainkan peranan untuk sentiasa menyedarkan si ibu, mungkin juga si bapa. Setiap individu perlu ingat dan tanamkan di dalam fikiran bahawa setiap anak yang dilahirkan ke dunia ini adalah anugerah dan amanah daripada Allah. Sama ada anda mengharapkannya atau tidak, tanggungjawab anda adalah sama: sebagai ibu dan bapa, anda perlu menjaga, mendidik dan mengasuh si anak menjadi seorang insan. Bukan sekadar dengan memberi makan minum sebaliknya anda wajib memberikan sepenuh perhatian, belaian dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. Lagipun, tiada bezanya antara anak lelaki atau anak perempuan. Walau apa juga jantinanya, si anak tetap anak anda, anugerah dan amanah daripada Yang Maha Esa.

Si anak tak pernah minta dilahirkan ke dunia ini sebaliknya anda, sebagai ibu dan bapa, yang bertanggungjawab mengenalkan si anak dengan kehidupan dunia. Lantas, setelah anda lahirkannya ke dunia, kenapa dia dibiarkan tanpa perhatian dan kasih sayang? Anak anda tidak sama dengan anak sesetengah binatang yang mampu hidup berdikari di awal usia sebulan. Anak anda akan tetap memerlukan anda di sepanjang hayatnya hatta setelah si anak mempunyai anak sendiri.

Saya faham, ada ibu bapa yang mengharapkan akan menerima anak lelaki setelah dikurniakan anak perempuan, begitulah juga sebaliknya. Saya juga mengharapkan dan mendoakan yang sama semasa mengandungkan anak kedua, memohon kepada Allah agar dikurniakan dengan anak lelaki pula setelah dianugerahkan anak perempuan pada kelahiran pertama. Alhamdulillah, permintaan saya dimakbulkan. Tak salah anda mengharap dan memohon kepada Allah tetapi anda wajib menerima apa juga keputusan dan ketentuan-Nya kerana setiap ketentuan-Nya itu bukanlah sia-sia, pasti ada hikmahnya. Saya juga tidak terlepas daripada pasrah menerima takdir-Nya. Kandungan saya kali ini, bukanlah saya harapkan. Sebaik sahaja menerima keputusan, memang sah saya mengandung lagi, sungguh saya terkejut namun saya tanamkan di dalam fikiran, ini adalah anak saya dan saya akan menerimanya.

Kenapa? Kerana saya cuba memahami bagaimana perasaan ibu atau wanita yang tidak berpeluang menimang cahayamata. Sudah pasti mereka amat mengharap, sedangkan saya dan anda di luar sana yang berpeluang menimang cahayamata, tak kira apa juga jantinanya, sewajarnyalah kita semua bersyukur dengan kehendak-Nya. Semoga kita semua mampu memberikan yang terbaik untuk kebajikan anak-anak kita, amin!!!

****Siaran Ogos 2007

02 Jun 2009

Batasan berkawan bagi seorang isteri

Berkawan biar beribu, bercinta biarlah satu. Saya yakin, ramai di kalangan pembaca yang maklum dan arif dengan falsafah ini. Malah ramai juga yang menukar falsafah tersebut menjadi pelbagai falsafah lain menurut citarasa dan kehendak sendiri. Tak kisahlah walau apa pun falsafah yang anda cipta, yang penting setiap perkara ada limit dan batasannya termasuklah istilah berkawan bagi seorang isteri. Ingat ye! Ada bezanya bila seorang gadis atau wanita menjadi isteri kepada seseorang berbanding dirinya sewaktu bergelar bujang, dara atau janda. Walau secanggih mana pun ketamadunan dunia kini, status dan martabat seorang isteri tetap sama, tidak pernah berubah daripada dulu, kini dan selamanya. Tak kiralah isteri tersebut bekerja ataupun menjadi suri rumah sepenuh masa. Semuanya tertakluk kepada satu prinsip pergaulan yang sama iaitu setiap isteri mempunyai batasan yang tersendiri di dalam berkawan dengan seorang lelaki.

Ya, batasan yang saya maksudkan ialah apabila anda berkawan dengan seorang lelaki. Kalau dengan perempuan, masih ada batasannya tetapi tidaklah seperti batasan yang perlu ada apabila anda berkawan atau bersahabat dengan seorang lelaki. Mungkin selama ini ramai lelaki yang mengkategorikan saya sebagai pejuang fenimisme kerana merasakan artikel-artikel saya lebih menyokong wanita. Saya tak marah malah berbangga kerana kalau bukan saya sebagai wanita yang memperjuangkan hak-hak dan isu-isu kewanitaan, siapa lagi? Kali ini, walau saya yakin ada di kalangan kaum wanita yang kurang suka dengan penampilan isu di dalam perbincangan kali ini namun saya tetap akan membincangkan sebagai satu isu dan hak yang setiap wanita terutamanya kaum isteri ketahui dan ambil peduli. Bagi saya, perkara yang benar perlu ditegakkan walaupun pahit untuk ditelan kerana hanya yang pahit mampu menjadi ubat yang mujarab.

Kembali kepada tajuk perbincangan. Kenapa isu ini saya timbulkan? Kerana terlalu banyak aduan yang saya terima daripada para suami yang berasa tidak sedap hati melihat cara dan corak isteri masing-masing berkawan dan bersahabat. Malahan, ada isteri yang mempersoalkan hak asasi mereka apabila persahabatan mereka dengan lelaki lain dipersoalkan oleh suami masing-masing? Seperti yang saya tegaskan di awal tadi, ada perbezaan yang jelas dan ketara apabila seorang gadis atau wanita sah menjadi isteri kepada seorang lelaki. Jika tahap ketaatan boleh berubah daripada seorang ibu dan bapa kepada seorang suami, ini kan pula tahap dan batas pergaulan sehari-hari.

Bukan bererti seorang isteri tidak boleh berkawan dengan mana-mana lelaki tetapi cara dan corak anda berkawan dan bergaul, itu yang diambil kira. Jika sebelum ini anda bebas menerima atau membuat panggilan, menghantar atau menerima sms ataupun berbual bersemuka atau berjumpa, semua itu mempunyai batasan yang tersendiri setelah anda sah menjadi milik sepenuhnya kepada seorang lelaki bernama suami. Anda masih boleh berkawan dengan syarat sebagai seorang kawan yang biasa-biasa sahaja. Anda tidak boleh berkongsi rahsia apatah lagi berkongsi rasa dengan kawan-kawan lelaki anda walau sekadar rasa simpati. Bukan bermaksud anda tidak boleh dipercayai tetapi satu perkara yang jelas ialah ’wanita adalah fitnah’. Kata-kata ini bermaksud apa sahaja perlakuan kita sebagai wanita mampu menimbulkan buruk sangka yang kesannya adalah perkara yang tidak diingini. Jika tidak, tidak timbullah pendapat ulama yang mengharamkan kaum wanita yang mempunyai suami yang mampu membiayai perbelanjaan rumahtangga sepenuhnya, keluar bekerja.

Pendapat ini timbul adalah sebagai satu tindakan bagi menyekat pergaulan seorang wanita terutamanya seorang isteri. Bukan bererti menyekat kebebasan seorang wanita tetapi membantu wanita menjadi seorang wanita dan isteri yang solehah, yang diredhai suami dan Ilahi. Di dalam kebanyakan kes melibatkan hubungan kawan yang melampau antara seorang lelaki dan wanita hatta isteri orang ini, mengundang masalah yang berat termasuklah menjejaskan hubungan suami isteri. Ada juga isteri yang membandingkan suaminya dengan kenalan barunya hingga sanggup menduakan suami, nauzubillah. Memang tidak dapat dinafikan, tidak semua isteri yang mempunyai kawan lelaki gagal memainkan peranan sebagai seorang kawan seperti yang ditetapkan oleh syarak. Inilah yang termasuk di dalam kategori wanita yang mengetahui batasan untuk berkawan dengan seorang lelaki.

Perkara yang peling penting ialah setiap daripada lelaki yang menjadi kawan, sahabat atau kenalan anda perlu diketahui oleh suami anda. Bermaksud, seorang isteri diharamkan berkawan dengan mana-mana lelaki yang tidak disukai atau dilarang oleh suaminya. Kecualilah rakan sekerja di pejabat kerana mereka adalah orang yang memang akan berurusan sepanjang masa dengan anda termasuklah klien atau pelanggan syarikat tempat anda bekerja. Terkecuali juga di dalam kes-kes suami yang bertindak cemburu buta. Walaupun mereka tidak perlu dikenali oleh suami anda, anda tetap mempunyai tahap pergaulan yang tersendiri. Anda tidak boleh sewenangnya keluar makan berdua-duaan sahaja ataupun keluar ke mana-mana atas urusan persendirian dan bukannya urusan kerja. Jika anda bertindak di luar batasan tersebut, anda boleh dikategorikan sebagai isteri yang curang walaupun anda tidak melakukan apa-apa perkara yang melanggar batasan syariat.

Kenapa? Seperti yang sentiasa saya tegaskan, seorang isteri adalah hak mutlak seorang suami. Suami mempunyai hak mutlak ke atas anda kerana suami adalah insan yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kebajikan anda, makan minum anda, tempat tinggal, pakaian, perubatan dan lain-lain perkara yang berkaitan dengan kehidupan anda termasuklah segala dosa yang anda lakukan, suami akan turut sama mendapat habuannya. Lantas, jagalah maruah anda sebagai isteri.

*****Siaran Julai 2007

***Mulai September 2011- Kunjungi Pejabat Perundingan Keluarga & Guaman Syarie beralamat di Aras 1, Blok C, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya; untuk khidmat konsultansi bersemuka. Hubungi 03-79676117 untuk temujanji terlebih dahulu.

***Bagi mereka yang tidak dapat bersemuka, boleh gunakan temujanji melalui telefon atau chat YM. Hubungi 013-2545965 atau layari http://bersamasuzana.blogspot.com untuk maklumat lanjut.


Belajarlah untuk setia

Kalau tak salah penghitungan saya, dua minggu lepas saya dah bincangkan mengenai batasan berkawan bagi seorang isteri. Minggu ini, fokus saya masih kepada mereka yang bernama isteri dan isunya adalah hampir sama. Bezanya adalah, dua minggu lepas mengenai isteri orang yang akrab berkawan dengan lelaki luar. Kali ini pula adalah mengenai luahan perasaan isteri-isteri yang merasakan mereka telah tersalah pilih suami masing-masing kerana menyangka teman lelaki mereka kini adalah lebih baik dalam segala aspek berbanding suami mereka. Malah, ada isteri yang berperasaan sedemikian walau hakikatnya suaminya adalah seorang yang bertanggungjawab tetapi tetap yakin tersalah pilih kerana kembali bertemu cinta pertamanya, nauzubillah min zalik.

Kes-kes yang saya utarakan ini bukan kes rekaan tetapi fenomena yang benar-benar terjadi. Mungkin benar kata orang, dunia kini di akhir zaman. Lantaran itulah banyak perkara-perkara pelik dan aneh berlaku. Bagi saya, kes-kes sebegini sememangnya satu perkara yang pelik kerana jarang-jarang berlaku. Jarang sangat kaum wanita yang secara semulajadinya terkenal dengan sikap lemah lembut, pengasih dan penyayang akan beralih kasih. Kaum wanita sememangnya sinonim dengan sifat yang setia. Sejak dulu kala, hampir semua kaum wanita akan kekal setia pada suami walau apa jua keadaannya. Namun, sejak penghujung tahun lepas, saya menerima banyak luahan rasa daripada para isteri yang kononnya baru menemui cinta sejati. Suami di sisi terpinggir kasih lantaran cinta isteri beralih arah kepada teman lelaki. Entah apa sebabnya namun yang pasti, seperti yang telah saya jelaskan, ada ulama yang mengharamkan wanita keluar ke tengah masyarakat jika keadaan tidak memerlukan demi mengelakkan daripada berlakunya kes-kes yang tidak diingini.

Kembali kepada topik perbincangan. Saya faham, ada yang berpendapat, setiap individu termasuk wanita mempunyai hak untuk memilih yang terbaik. Saya akui kebenaran pendapat tersebut tetapi perlu diingat, hak memilih bagi seorang wanita adalah tertutup setelah anda secara sah menjadi isteri kepada seorang lelaki yang bertanggungjawab dan menjalankan kewajipannya menunaikan hak-hak yang wajib dan perlu kepada anda sebagai isterinya dan anak-anak. Saya ulangi, hak yang wajib dan perlu. Apabila hak-hak tersebut berjaya dipenuhi oleh suami anda maka segala sikap pendiam ataupun tidak romantis suami anda adalah terkecuali dan tidak boleh menjadi alasan untuk anda mencari lelaki lain.
Andai suami anda bukan cinta pertama atau juga bukan pilihan hati anda sendiri ketika menjejakkan kaki ke gerbang perkahwinan, tidak bererti anda mempunyai hak untuk mencari atau mendapatkan apatah lagi menerima cinta lelaki lain.

Persamaan hak yang sering dilaungkan oleh pejuang-pejuang wanita bukanlah meliputi hak untuk bertukar pasangan sewenang-wenangnya. Ada isteri yang mempertikaikan, jika suami berhak mempunyai lebih dari satu isteri, kenapa isteri tidak berhak mencari yang terbaik daripada suami? Paling mengejutkan saya, ada isteri yang bertanya: jika suami boleh beristeri empat, kenapa isteri tidak? Ketahuilah, isteri tidak boleh bersikap seperti suami kerana anda adalah wanita yang dibekalkan dengan rahim dan secara fitrahnya memiliki sifat ar-rahim iaitu pengasih dan penyayang. Anda juga adalah penentu salasilah keturunan berdasarkan benih yang dimasukkan ke dalam rahim anda. Jika anda dibenarkan bersifat seperti suami, runtuhlah institusi kekeluargaan.

Ingatlah juga, jangan terlalu mengejar yang terbaik. Tanyakan pada diri, adakah anda adalah yang terbaik? Mungkin ramai yang pernah terbaca mengenai kisah seorang lelaki yang terlalu cerewet di dalam mencari bakal isteri. Seorang demi seorang dicadangkan oleh rakan dan taulan tetapi ditolak dengan alasan, inginkan yang terbaik. Ditakdirkan satu hari, si lelaki berjumpa dengan seorang gadis yang diyakininya adalah yang terbaik untuk dirinya. Bila tiba satu hari si lelaki berhasrat untuk menyunting si gadis, si lelaki tersentak kerana si gadis tidak berhasrat untuk menamatkan hubungan mereka dengan jalinan istimewa kerana si gadis inginkan yang terbaik. Tak perlulah saya rumuskan moral cerita tersebut kerana saya yakin, ramai yang memahaminya.

Kepada para isteri, belajarlah untuk setia. Takkan ke mana perginya layanan mesra lelaki yang anda rasakan lebih romantis berbanding suami anda. Memanglah asyik dan seronok kerana tika ini anda dibuai emosi dan bisikan syaitan yang akan sentiasa berusaha menyesatkan anak cucu Adam. Wanita sememangnya senjata utama syaitan, mudah disesatkan dan mudah juga digunakan untuk menyesatkan orang sekeliling. Sedarlah juga, kebanyakan lelaki yang mendekati anda hanyalah untuk keseronokan semata-mata. Sekadar layanan menghabiskan masa. Terlalu banyak kes yang saya terima berkesudahan dengan kisah duka. Teman lelaki menghilangkan, suami di sisi turut pergi setelah patah hati.

Terimalah suami anda seadanya kerana seperti dirinya yang anda rasa mempunyai kelemahan dan kekurangan, begitulah juga anda. Seperti yang selalu saya tegaskan, suami dan isteri adalah saling melengkapi dan menyempurnakan. Lihatlah dan carilah kelebihan dan keistimewaannya. Cuba sempurnakan kekurangannya tanpa berusaha untuk menambahkannya lagi. Setiap manusia sama sahaja, masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan. Tanamkan di dalam hati, cinta suami anda adalah cinta sejati. Anda pasti memiliki kebahagiaan yang anda cari, insyaAllah.

*****Siaran Julai 2007