Saya
pernah bincangkan mengenai isu kecurangan pasangan yang disiarkan menerusi satu
akhbar harian tempatan. Rentetan daripada perbincangan tersebut, saya menerima
satu pendapat yang mempertikaikan ulasan saya menerima suami yang curang. Di
dalam perbincangan tersebut, saya jelaskan; bagi suami/lelaki, kalau sekadar
berkawan atau bercinta; bagi saya masih belum boleh dikatakan curang. Berbeza
dengan isteri/wanita; syarak mengharamkan isteri menyimpan rasa suka apatah
lagi rasa cinta kepada lelaki selain suami. Jika isteri bercinta dengan lelaki
lain; isteri ini boleh dikategorikan sebagai curang; tak kira apa pun sebabnya
termasuk kegagalan suami menunaikan tanggungjawab. Lelaki hanya boleh dikatakan
curang jika perkenalan atau percintaannya dengan wanita lain menjadi faktor si
suami ini mengabaikan tanggungjawabnya yang patut dan wajar di sisi syarak kepada
isteri dan anak-anak.
Komen yang saya terima daripada
seorang lelaki itu mempertikaikan ketulusan hati saya sebagai seorang wanita
kerana tidak memahami hati suci seorang isteri hingga membenarkan penipuan
berlaku. Bagi pengirim komen ini, curang (cheating) bermaksud tipu maka tak
kiralah apa pun perlakuannya termasuk mengadakan hubungan dengan wanita lain
selain isteri; ia termasuk dalam definisi curang. Merujuk kepada Kamus Dewan;
saya bersetuju dengan definisi yang diberikan oleh pengirim komen. Curang
dimaksudkan dengan tidak lurus hati; tidak jujur; khianat. Terus terang; saya
akui maksud tersebut dan bersetuju tanpa sebarang bantahan.
Namun; kecurangan seorang lelaki
bukan saja perlu didefinisikan mengikut kamus bahasa sebaliknya perlu
dijelaskan juga dengan ketentuan syariat yang membenarkan lelaki yang layak
untuk berkahwin lebih daripada satu. Jika curang yang ditetapkan oleh kamus
bahasa diterima pakai tanpa sebarang pindaan atau syarat; bermaksud kita telah
mengenepikan kebenaran syarak. Ya lah! Nak kahwin lagi mestilah perlu kenal dan
cinta. Kalau kenal dan cinta itu menjadi salah sebab berlaku curang, salahkah
ketentuan syariat menerusi surah an-Nisa’ ayat 3 yang bermaksud: “Maka kahwinlah dengan perempuan lain yang menyenangkan hatimu;
dua, tiga atau empat. Jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil (terhadap isteri-isteri itu), maka kahwinilah seorang saja.”?
Semua
orang maklum tentang maksud ayat ini. Ingin saya tegaskan sekali lagi; ayat ini
bukan mewajibkan kaum lelaki berpoligami tetapi hanya memberi kebenaran kepada
lelaki yang layak. (rujuk perbincangan saya Fahami Kehendak Adil Menurut Syarak
melalui ruangan ini beberapa minggu lalu). Bererti tidak semua lelaki layak
untuk berkahwin lebih daripada satu. Memang pahit jika bermadu tetapi buat kaum
wanita; ada sebab dan hikmahnya Allah mensyariatkan poligami. Poligami bukan
hanya bonus kepada kaum suami tetapi juga adalah bonus buat para isteri.
Saya
tak faham perasaan wanita? Rugilah saya menjadi wanita selama hampir 36 tahun
ini jika saya tak faham. Namun; perasaan dan sensitiviti saya sebagai wanita
tidak boleh menjadi alasan atau ukuran apatah lagi menjadi piawaian atau standard tika
saya menjalankan amanah dan tanggungjawab saya sebagai Perunding Psikologi
Keluarga dan Guaman Syarie. Memang sukar bagi wanita menerima kehadiran cinta
wanita lain di dalam diri suami. Sakit. Pedih. Hanya yang mengalami betul-betul
memahami. Ada yang luahkan; kalau suami cakap terus terang; sakit hati tak
seteruk ini. Yang lain pula akui; kalau suami nak kahwin lain, cakap je terus
terang, tak lah rasa sakit hati daripada tiba-tiba saja tau suami dah kawin
lagi. Macam-macam lagi luahan wanita yang terpaksa menerima kehadiran orang ketiga
di dalam hubungan cintanya bersama suami.
Satu
perkara yang sama; semua wanita akan sakit hati dan tak boleh terima suaminya
mempunyai cinta baru. Bukan saja dah ada cinta baru; tika suami baru berhajat
nak wujudkan cinta baru pun, isteri boleh menyinga kalahkan singa betina. Sebab
apa? Fitrah wanita: tak boleh berkongsi. Hati akan sakit, cemburu akan
menguasai diri. Itu hakikat! Isteri Rasululllah SAW pun cemburu. Pernah berlaku
isu sakit menyakitkan hati antara mereka. Sarah, isteri Nabi Ibrahim melakukan
pelbagai cara untuk menghapuskan cinta Nabi Ibrahim kepadanya setelah
mengetahui kewujudan Siti Hajar dalam hidup baginda. Apakah kita boleh katakan
Nabi Ibrahim curang? Rasulullah SAW juga curang?
Seperti
yang saya tegaskan sejak awal; tidak semua lelaki layak berpoligami. Bermaksud;
lelaki yang layak berpoligami tidak boleh dikategorikan sebagai curang selagi
mana suami ini berusaha melaksanakan tanggungjawabnya yang wajar menurut syarak
kepada isteri dan anak-anak.
Emosi
isteri tercalar? Islam bukan zalim. Emosi isteri diambil kira oleh syarak
tetapi tidak diutamakan. Perlu fahami konsep redha. Poligami adalah ketentuan
syarak bermaksud bukan satu musibah sebaliknya adalah hikmah. Jika suami layak,
mampu berlaku adil; isteri wajib menerima perkahwinan baru si suami. Jika
enggan? Enggan bermaksud anda engkar kehendak Ilahi; anda tidak redha dan
melawan takdir Ilahi. Hati sakit? Kenapa perlu sakit sedangkan suami anda
berlaku adil? Tak boleh terima ada wanita lain dalam hidup suami? Siapa anda kepada
suami? Suami anda hanyalah pinjaman yang dipinjamkan oleh Allah, satu hari Dia
akan ambil juga.
Tak
boleh terima juga? Itu ego anda. Bukan kasih sayang yang setia. Isteri yang
setia akan membantu suaminya menjalankan tanggungjawab sebagai suami kepada
dirinya dan madunya kerana madunya juga mempunyai hak yang sama dengan dirinya-
dengan syarat; suami tidak abaikan tanggungjawab yang patut menurut syarak. Tak
sanggup, nak cerai? Haram bercerai jika tanpa alasan yang munasabah menurut
syarak. Tidak sanggup berkongsi kasih bukan alasan yang
munasabah berdasarkan syarak sebaliknya berdasarkan emosi dan hukum menuntut
cerai dalam keadaan tersebut adalah haram berdasarkan satu hadis: Rasulullah
SAW bersabda yang bermaksud: “Mana-mana perempuan yang memohon cerai daripada
suaminya tanpa sebab yang munasabah maka haram ke atasnya bau syurga.” -riwayat
Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad.
***Siaran November 2010