29 Januari 2009

Maafkan walau sukar melupakan

Dalam masa beberapa hari saja lagi seluruh umat Islam akan menyambut ketibaan Aidil Fitri. Pasti masa ini kanak-kanaklah yang paling gembira namun orang dewasa pun apa kurangnya kan? Mesti dah tak sabar-sabar nak balik beraya di kampung, dapat berjumpa semua sanak saudara. Namun, dalam kesibukan persediaan menyambut hari raya ini, ada insan yang menjeruk hati. Dalam minggu ini sahaja, saya menerima lima emel dengan masalah yang sama. Bukan kes berebut nak balik beraya di mana tetapi tidak ada hati nak balik beraya di kampung lantaran hati masih terluka dengan sikap dan kata-kata beberapa insan yang berada di kampung. Ada kes terasa hati dengan mak ayah sendiri. Ada kes terluka dengan gelagat saudara sendiri. Ada juga kes panas hati dengan sikap keluarga mertua dan ipar duai.

Hmmmm… kalau hati sakit, terluka atau panas membara dengan seseorang, memanglah sukar nak bergembira bersama. Memang lumrah, hati akan ceria dan gembira jika bersama mereka yang menyenangkan hati kita. Sebaliknya jika terpaksa bersama dengan mereka yang telah menyakitkan hati, jangankan nak ketawa, senyum pun belum tentu. Namun, satu perkara yang perlu diambil kira. Insan yang anda tak ingin jumpa atau meraikan hari mulia bersama adalah insan yang penting di dalam hidup anda. Ibu bapa adalah insan yang menyebabkan anda lahir ke dunia. Mertua anda adalah insan yang bertanggungjawab memberikan kehidupan kepada pasangan anda. Sanak saudara, ipar duai, mungkin tidak menyumbang banyak kepada kehidupan anda tetapi mereka adalah rantaian darah daging anda. Walau ke mana anda pergi, walau ke mana anda lari, hubungan darah antara anda dan mereka tak boleh dinafikan.

Bak kata pepatah: air dicincang takkan putus. Begitulah anda dengan sanak saudara dan ipar duai anda. Kalau dengan ibu bapa, lagilah… kalau kata ‘uh’ anda dikira derhaka, tambah pulak anda menyimpan benci dan dendam kepada mereka. Saya faham, banyak kes yang saya terima mengenai kelukaan hati anak-anak akibat tindakan tidak wajar ibu bapa. Ada juga kes adik terluka hati dengan sikap kakak. Macam-macam kes ‘perang dingin adik beradik’ ni… namun, ingatlah… kita ni manusia yang tak lepas daripada melakukan kesilapan. Bukan ibu bapa atau saudara anda saja tersilap, anda juga pasti pernah tersilap. Jika belum pun, mungkin akan tiba masa, anda juga akan tersilap walau bukan dengan mereka. Dah namanya manusia yang serba serbinya tidak sempurna.

Lantas, bersempena dengan ketibaan Syawal ini, ikhlaskan hati… senyum dan maafkanlah insan-insan yang telah menjerukkan hati anda. Walau kesalahan mereka setinggi langit atau seluas lautan sekali pun, maafkanlah. Sedangkan Allah yang Maha Esa mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya. Nabi Muhammad s.a.w juga mengampunkan umatnya… siapalah anda untuk menghukum seseorang tanpa memberikan pengampunan. Biarlah mereka enggan mengakui kesilapan sendiri. Biarlah mereka tetap menyalahkan anda walau hakikatnya anda tidak bersalah. Biarlah… yang penting Dia lebih tahu siapa yang benar. InsyaAllah, satu hari nanti, kebenaran pasti terserlah, walau bukan di dunia tetapi di akhirat nanti. Anda takkan hina di sisi-Nya jika memaafkan mereka. Pengadilan Allah yang Maha Kuasa lebih baik daripada pertimbangan manusia.

Percayalah… bila anda dengan rela memaafkan, hati akan akan lebih tenang. Anda takkan kisah jika berhadapan dengan mereka. Anda pasti mampu bersahaja seperti tidak pernah ada kelukaan yang anda alami. Ya… memang sukar melupakan. Ada tikanya, walau hati telah memaafkan namun kesakitan masih terasa apatah lagi bile bertentang mata dan bersemukan dengan penyebabnya. Jika itu berlaku, ingatlah Allah. Ingatlah bahawa Dia lebih tau siapa yang benar dan siapa yang tidak. Ingatlah bahawa anda telah memaafkan mereka dan anda terima kesilapan mereka. Dalam masa yang sama berdoa agar mereka berubah, tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama. Paling penting, anda tidak mengikut jejak mereka menyakiti hati orang lain dengan sengaja.

Saya akui, ada manusia yang akan berasakan dirinya menang bila anda bersikap memaafkan tanpa adanya permohonan. Bukan sekadar meraikan kemenangan tetapi ada jenis manusia yang akan berterusan menyakiti hati anda bila anda bersikap memaafkan. Biarkan… biarkanlah manusia buta itu dengan sikap degilnya. Biarlah anda bersikap mengalah kerana hakikatnya anda tidak kalah. Anda lah manusia yang menang malah anda tak rugi apa-apa apabila memaafkan mereka dan menerima kesilapan mereka. Percayalah… hati dan jiwa anda akan lebih tenang dan bahagia setelah memaafkan. Anda takkan rasa sakit hati, takkan rasa semak otak malah anda akan rasa lebih gembira menghadapi hari-hari seterusnya sebab anda tau, Dia lebih mengetahui segalanya. Tidak mustahil, setelah beberapa lama nanti, mereka akan sedar juga dengan kesilapan mereka.

Lantaran, bersempena hadirnya Syawal tidak lama lagi, maafkanlah insan-insan sekeliling anda. Akuilah kelemahan dan kesilapan mereka. Berkumpullah bersama-sama meraikan hari kebesaran ini. Jangan bersendiri atau menyembunyikan diri apatah lagi membawa diri atau melarikan diri. Masalah, keserabutan dan kesakitan takkan hilang dengan melarikan diri. Amalkanlah saranan Rasulullah s.a.w: jika orang membaling batu ke arah kita, hulurkanlah pisang ke arahnya. Percayalah, bila api dilawan dengan air, api takkan membara malah akan mudah padam. Yang tinggal hanyalah linangan air. Bak kata Aishah di dalam lagunya: Kemaafan dendam yang terindah…

*Saya sekeluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Aidil Fitri. Maaf jika pernah terkasar bahasa atau ada tulisan saya yang menyakitkan hati mana-mana pihak. Bukan niat saya untuk menghina, sekadar berkongsi pengalaman hidup manusia moga kita sama-sama mendapat pengajarannya. Salam Aidil Fitri dan moga berbahagia.*

****Siaran Oktober 2006

***Mulai 7 September 2011, kunjungi Pejabat Perundingan Keluarga & Guaman Syarie beralamat di Aras 1, Blok C, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya; untuk khidmat konsultansi bersemuka. Hubungi 03-79676117 untuk temujanji terlebih dahulu.

***Bagi mereka yang tidak dapat bersemuka, boleh gunakan temujanji melalui telefon atau chat YM. Hubungi 013-2545965 atau layari http://bersamasuzana.blogspot.com untuk maklumat lanjut.

Tiada ulasan: