18 Disember 2009

Ujian setanding iman dan ilmu

Setelah tiga kali temujanji bersama Puan H tertangguh disebabkan keadaan kesihatan anak dan saya sendiri, Alhamdulillah akhirnya pada hari Sabtu baru ni, dapat juga temujanji tersebut dilaksanakan. Puan H berusia awal 20-an, pada saya adalah satu usia yang terlalu awal untuk merasai kemelut hidup berumahtangga. Namun apa daya, dek kerana cinta dan kepercayaan, Puan H bersetuju menikahi suaminya lebih tiga tahun lepas tanpa persetujuan malah pengetahuan ahli keluarganya sendiri. Alasan suami Puan H tika itu, dia terlalu sayangkan Puan H dan tidak sanggup menunggu lama. Puan H masih belajar dan baru berusia 21 tahun, memang agak sukar mendapat izin keluarga untuk berkahwin walaupun hubungan Puan H dan suami diketahui dan direstui keluarga. Paling tragis, Puan H sanggup mengikut kehendak untuk berkahwin di sempadan.

Ujian mendatang apabila hampir setahun perkahwinan, Puan H mendapat tahu bahawa dirinya adalah isteri ketiga kepada suaminya yang pada mulanya mengaku telah bercerai dengan isteri terdahulu. Bagaikan langit menghempap kepala. Sukar dipercayai apatah lagi latar belakang suaminya yang dikenali sebagai seorang yang berpendidikan agama, bekerja di sebuah pejabat agama, dikenali sebagai ustaz dan menguruskan hal ehwal keagamaan. Kenapa lelaki yang beperwatakan sedemikian sanggup menipu dan bersikap tidak adil kepada isteri-isterinya?

Mmmm jawapan saya mudah sahaja. Ustaz pun manusia biasa. Terus terang, saya langsung tidak terkejut dengan kes yang saya kendalikan baru-baru ini. Sebabnya, ini bukan kes pertama. Sebelum ini, ada seorang isteri mengadu suaminya, seorang ustaz, suka menonton video lucah hampir setiap malam. Seorang ustaz juga bersikap kasar dan memukul isterinya. Seorang peguam syarie bersikap tidak adil terhadap tiga isterinya hinggakan isteri pertama ditinggalkan begitu sahaja, ibarat digantung tidak bertali. Hal anak-anak tidak diendahkan, semuanya terletak di bahu isteri. Anda juga pasti pernah membaca berita penangkapan imam berkhalwat dan berbagai kes lagi yang melibatkan insan-insan yang mempunyai ilmu dan pengetahuan agama, yang selalunya kita fikir adalah mustahil mereka sebegini boleh terlibat di dalam masalah akhlak dan kemelut rumahtangga.

Teringat kepada kata-kata seorang Ustaz tika saya masih bersekolah dulu. “Seseorang itu diuji oleh Allah sesuai dengan tahap iman dan ilmu yang dia ada. Kalaulah iman dan ilmu tahap koperal, syaitan yang datang menguji pun berpangkat koperal. Kalau iman dan ilmu seseorang di tahap jeneral, maka syaitan yang menguji pun berpangkat jeneral.” Maksudnya, ujian yang diberikan kepada seseorang itu adalah setanding dengan iman dan ilmu yang ada. Ayat al-Quran turut menjelaskan bahawa ujian setanding dengan kemampuan seseorang. Kemampuan itu jelas bererti ilmu dan iman yang ada. Terpulang kepada seseorang itu untuk mengawal nafsu di dalam dirinya agar tidak ‘berkawan’ dengan bisikan syaitan. Kenapa? Kerana nafsu di dalam diri kita sebenarnya adalah lebih jahat berbanding syaitan.

Setiap individu Muslim tahu, syaitan diperintahkan keluar daripada syurga dan turun ke dunia kerana enggan menyembah Nabi Allah Adam a.s. Namun, ramai yang tidak tahu bahawa nafsu yang ada di dalam diri kita adalah lebih jahat lagi. Kalau syaitan sekadar tidak mahu menyembah Adam kerana merasakan lebih mulia lantaran diciptakan Allah daripada api, nafsu pula lebih berani apabila enggan mengakui Allah sebagai penciptanya. Setelah beratus-ratus tahun dibenamkan ke dasar api neraka, selepas tiga kali peluang mengakui tuhannya, akhirnya barulah nafsu mengaku. Itulah dia nafsu yang sering menjadi kawan kita tanpa kita sedar. Lantas, jika seseorang itu gagal mengawal nafsunya, walau setinggi mana pun ilmu dan imannya, bila digoda dek syaitan yang setaraf pangkat dengan ilmu dan imannya, orang seperti ini akan bertindak di luar kepercayaan orang lain. Mengecewakan mereka yang menaruh harapan dan mencurah kasih sayang.

Kalau orang sebegini pun tidak boleh dipercayai, bagaimana nak tentukan jodoh? Bukankah mereka sebegini menduduki takhta pertama pilihan? Tentu ada yang bertanya sedemikian. Jangan risau, bukan semua ustaz atau orang yang berpendidikan agama tidak baik. Mereka yang bukan ustaz pun ramai yang baik. Faktor paling penting ialah berilmu dan mengamalkan ilmu yang dipelajari. Yang menjadi masalah ialah mempunyai ilmu tetapi enggan mengamalkan ilmu tersebut. Paling tak berguna ialah menyalahgunakan ilmu yang ada untuk kepentingan diri sendiri.

INGAT!! Kulit bukan isi. Biar siapa pun yang anda kenali, selidik sepenuhnya latar belakang dirinya. Bak kata orang, nak tau kebaikan seseorang tanyalah sahabatnya, nak tau keburukannya pula, tanyalah musuhnya. Masalah sekarang ini, terlalu ramai yang percaya cinta pandang pertama. Ada juga yang mengenepikan hal perwatakan dan sikap asalkan rupa menjerat pandangan dengan alasan sikap dan perangai boleh diubah sebaliknya rupa kekal. Hmmm jika masih ada yang berpendirian sebegini, fikirkanlah beribu kali. Islam menyarankan agar setiap individu mengenali pasangannya terlebih dahulu. Nak kenal pulak, jangan sampai mengenepikan hukum syarak. Paling penting, biar setinggi mana cinta dan rindu anda, serahkan segalanya kepada Yang Maha Esa. Mohon agar jodoh anda adalah yang terbaik untuk anda, yang dapat menyayangi anda seadanya dengan jujur dan ikhlas, yang dapat membimbing anda ke jalan yang diredhai Ilahi dan paling penting, dapat menerima keluarga anda seperti keluarganya sendiri. Bila anda berserah, apa juga ujian mendatang, anda akan tetap pasrah, insyaAllah!!

****Siaran Mei 2008

Tiada ulasan: