05 Mei 2010

Takliq adalah talak bersyarat

Saya yakin, ramai yang pernah dengar mengenai takliq. Namun saya percaya, masih ramai yang belum memahami sepenuhnya tentang takliq. Saya pernah berdepan dengan isteri yang tidak tahu bahawa si suami telah melafazkan takliq kepadanya. Bagi si isteri, takliq adalah lafaz yang diucap oleh si suami selepas akad nikah seperti yang terdapat pada surat akuan nikah. Syukur juga tika itu, syarat yang ditetapkan oleh si suami bagi membatalkan perkahwinan mereka masih belum terlaksana.

Ya! Secara mudah, bermaksud menggantung perkahwinan kepada syarat yang tertentu yang jika berlaku syarat tersebut, perkahwinan akan dibubarkan. Sebagai contoh, suami melarang isteri keluar dari rumah dan menyebut; Jika kamu (isteri) keluar dari rumah, jatuh talak (sama ada disebut jumlah talak atau tidak). Dalam kes ini, perkahwinan digantung kepada syarat isteri tidak boleh keluar dari rumah. Bererti, sekiranya isteri keluar dari rumah walau dengan apa alasan sekalipun, talak dikira jatuh.

Ucapan yang diucap oleh suami selepas selesai akad nikah juga adalah satu takliq yang ditetapkan oleh Undang-undang Keluarga Islam bagi menjaga kebajikan kaum wanita bernama isteri. Ya! Takliq ada di dalam hukum syarak dan di dalam peruntukan undang-undang. Namun, takliq bukan satu jalan untuk anda menggantung perkahwinan anda sesuka hati mengikut emosi anda sendiri.

Kembali kepada kes pada awal perbincangan; menurut si isteri, suaminya selalu sangat melafazkan tentang jatuh talak. Ada tikanya ketika isteri sedang mencuci pinggan, suami akan lafazkan: baik-baik cuci pinggan tu, jatuh pecah nanti jatuh talak. Pernah satu hari ketika isteri baru duduk berehat di ruang tamu, tiba-tiba suami ucapkan; awak tak boleh tengok tv ari ni, kalau tengok tv juga jatuh talak. Banyak lagi insiden lain yang suami kaitkan dengan talak. Ketika bertemu saya, wanita tersebut baru meraikan ulangtahun perkahwinan yang kedua dan sedang hamil lima bulan. Dia berjumpa dengan saya kerana keliru bila suami ucapkan, tak boleh balik bersalin di kampung, nanti jatuh talak.

Menurut wanita tersebut, dia pernah tanyakan kenapa suami selalu sebut pasal talak. Jawapan suami, tak nak si isteri abai tanggungjawab sebagai isteri. Sungguh benar kata orang, banyak udang banyak garam, banyak orang, banyak la ragamnya…

Memang benar, takliq dibenarkan di dalam Islam tetapi untuk kemaslahatan khasnya kebajikan isteri dan itulah juga yang ditetapkan oleh undang-undang. Takliq bukan senjata untuk suami mengongkong, mengancam atau mengugut isteri.

Di dalam satu kes, seorang isteri disuruh oleh suami agar balik ke rumah (dari pejabat) pada pukul tiga. Jika isteri engkar, akan jatuh talak tiga. Isteri yang bimbangkan kata-kata suami segera meninggalkan pejabat pada pukul tiga dan tiba di rumah selepas pukul tiga. Sebaliknya suami marah-marah kerana suami maksudkan isteri perlu ada di rumah pada pukul tiga. Isteri yang sedang sarat mengandung hanya mampu menangis.

Keadaan jadi gawat apabila selepas seminggu suami meminta maaf dan ingin kembali kepada isteri, dengan alasan dia tidak memaksudkan kata-katanya sebelum itu. Apa lagi yang nak dimaksudkan jika jelas perkataannya jika isteri tak balik pukul tiga, jatuh talak tiga. Bukan talak rajie sebaliknya talak bain kubra, tak boleh rujuk malah tak boleh nikah semula kecuali selepas isteri bernikah dengan lelaki lain dan kemudiannya bercerai.

Di dalam satu kes yang lain pula, seorang lelaki yang baru selesai melafazkan akad nikah, membisikkan kepada isterinya; Jika I tak dapat U malam ni, jatuh talak tau. Mungkin bergurau tetapi kuasa Allah, memang benar si suami gagal 'mendapat' isteri pada malam tersebut. Kecohlah bila sehari kahwin dah terpaksa bercerai.

Satu perkara yang pernah ditanyakan kepada saya juga, boleh tak ucapan takliq dibatalkan atau ditarik balik? Jawapannya: Tidak boleh. Takliq adalah sama status dengan lafaz talak, bezanya takliq adalah talak bersyarat. Jika takliq telah diucap, tidak boleh ditarik balik atau dibatalkan. Jika takliq dilafazkan sama ada bergurau atau marah, hakikatnya sama seperti talak, takliq tersebut tetap sah dan diambil kira malah akan menyebabkan perkahwinan berakhir sekiranya syarat yang diucap di dalam takliq tersebut berlaku.

Kesimpulannya, jika takliq telah diucap dan syarat yang ditentukan berlaku, maka kes perlu dirujuk ke Mahkamah Syariah berhampiran. Biar pihak yang berkuasa tentukan status kes anda. Jika anda berhasrat untuk bersama semula sebagai suami isteri (bagi kes takliq dengan talak rajei), khabarkan kepada pegawai bertugas agar kes anda dapat disegerakan.

Namun ingat!! Jangan menipu fakta kes. Ada kes isteri yang menipu Mahkamah, memberikan bukti-bukti palsu malah ada yang sanggup menipu alamat terkini suami dengan harapan suami tidak hadir ke Mahkamah dan kes boleh diteruskan tanpa pembelaan suami. Sekiranya permohonan takliq anda disahkan dan bekas suami merasakan anda menipu, bekas suami mempunyai hak untuk mengemukakan permohonan membicarakan semula kes di Mahkamah. Setiap individu ada haknya tetapi jangan sampai menipu kerana matlamat tidak menghalalkan cara.

****Siaran Oktober 2008

4 ulasan:

abang berkata...

salm perkenalan ....

seronok membacanya

Bingai @ Bangang berkata...

Terima kasih kerana ilmu yang anda kongsikan bersama. Sungguh bermunafaat. Saya bukanlah ustad atau mahir di segi ugama tetapi melalui pengalaman saya ingin menyentuh dua perkara di sini.

1. Kebanyakan wanita tidak mengambil perhatian terhadap taklik yang dilafazkan oleh suaminya ketika pernikahan dahulu. Seringkali apabila saya bertanya pada mereka samada mereka ingat atau tidak taklik tersebut, mereka akan menyatakan tidak tahu keujudan taklik mungkin kerana terlalu gembira ketika pernikahan. Diharap jurunikah memberikan kefahaman sejelas-jelasnya seperti yang dilakukan di beberapa tempat.

2. Huraian talak bain kubra (talak tiga) selalunya sekerat jalan sedangkan talak begitu adalah penting. Contohnya seperti yang Cik/Puan nyatakan:

"talak bain kubra, tak boleh rujuk malah tak boleh nikah semula kecuali selepas isteri bernikah dengan lelaki lain dan kemudiannya bercerai."

Penerangan sekerat jalan seperti ini menyebabkan ramai masih mengambil mudah kerana ianya boleh dilakukan dengan "Cina Buta".

Hukum tersebut sebenarnya memberi peluang kepada pasangan bekas suami isteri tadi mencuba hidup dengan pasangan yang lain. Sekiranya terdapat keserasian maka mereka harus meneruskan ikatan tersebut sehingga berlaku penceraian di antara mereka. Hukum ini tidak menghalalkan perkahwinan kontrak hanya untuk memperbaharui lesen perkahwinan mereka yang terdahulu.

Islam sentiasa memberi peluang untuk umatnya berpatah balik sekiranya mereka melakukan kesilapan tetapi peluang tersebut bukan untuk dipergunakan sewenang-wenangnya. Sekiranya selepas talak pertama masih tidak persefahaman, Islam memberikan peluang sehingga talak kedua. TETAPI, apabila sehingga talak tiga, maka Islam mahu umatnya mencari kesedaran dengan perbandingan dengan pasangan yang lain.

Diharap kepada semua, setiap kali kita menyentuh bab talak tiga maka hendaklah diterangkan dengan jelas walaunpun untuk sepintas lalu.

Maaf kerana cuba mengajar sedangkan bukan taraf saya untuk berbuat demikian. Semoga kita bersama mendapat keredhaanNya. Walahualam.

e-Direktori Bloggers Malaysia

Suzana Ghazali berkata...

Sdra B&B; terima kasih atas komen anda. Sbnrnya petikan ini adalah artikel yg disiarkan di dalam Resipi Hidup MW. Topik sy tentang takliq dan sy perlu ulas terperinci tentang takliq shj dan psl talak 3, ada huraian dlm artikel lain. Sy tk boleh hurai semua sekaligus sbb kolum sy terhad ruangannya. Apa pun, terima kasih atas komen anda!

Tanpa Nama berkata...

salam.. saya ingin bertanyakan mengenai talak takliq yg dilafazkan ketika akad nikah dimana sekiranya si suami tidak memberi nafkah selama 4 bulan maka jatuhlah talak satu.. so, ape yg sy nak tahu adakah talak itu jatuh kerana sisuami itu sudah pun 5bulan tidak memberi nafkah keatas isteri itu.. apakah tindakan yg perlu si isteri lakukan ?