03 Jun 2011

Belajar menghargai dan bersyukur

Baru ni, semasa memberikan ceramah berkaitan keganasan terhadap wanita, seorang peserta mengajukan soalan memohon pandangan terhadap kes yang menimpa kawannya: seorang suri rumah sepenuh masa, mempunyai tiga cahayamata, suami bekerja biasa dengan pendapatan bulanan RM1000 lebih sikit. Masalahnya, kawan peserta tadi rasa tertekan dengan kehidupannya yang tidak selesa dan serba kekurangan. Ada masalah lain? “Tak ada, hanya itu sahaja. Apa nasihat yang boleh saya berikan kepada kawan saya tu?” Jawapan saya pada hari tersebut, ingin saya kongsikan dengan pembaca semua kali ini.

Mungkin di fikiran anda telah ada beberapa persepsi. Tak kisah la apa persepsi anda, bertepatan dengan topik kali ini, sewajarnya sebagai seorang individu yang waras dan beriman, kita seharusnya menghargai apa yang kita perolehi dan bersyukur. Rakan peserta tadi mempunyai suami yang bertanggungjawab, sudah pastilah sebab menjawab persoalan saya, adakah masalah lain, jawapannya tidak ada. Biarpun hanya mampu mendapatkan RM1000 lebih sikit sebulan namun hasil pendapatan tersebut digunakan sewajarnya untuk keperluan isteri dan anak-anak.

Ya, saya akui, RM1000 belum cukup untuk memberikan kehidupan yang sempurna dan selesa. Namun, sebagai isteri, anda tidak sewajarnya mengeluh atau berasa tertekan. Anda wajar tahu, ada wanita lain yang bernama isteri hanya menerima hasil pendapatan suami RM500 sebulan, ada yang hanya RM300 sebulan namun mereka ini bersyukur dan menghargai setiap apa yang diterima, yang diberikan kepada mereka oleh Allah. Jangan bandingkan kehidupan anda dengan wanita yang bersuamikan lelaki berpendapatan RM3000, RM5000 atau lebih-lebih lagi!!

Jika ditanyakan kepada wanita yang bersuamikan lelaki berpendapatan tinggi, apakah mereka selesa dengan kehidupan mereka? Hanya yang tahu menghargai anugerah hidup sahaja yang akan bersyukur dan menerima seadanya. Sebaliknya, mereka yang tidak tahu menghargai, gaji suami RM50,000 pun belum cukup untuk memberikan mereka keselesaan dan kesempurnaan hidup.

Inilah masalah yang berlaku di dalam masyarakat kita. Memandang tinggi pada tempat yang tidak sepatutnya. Bukan saya tak benarkan anda memandang kepada mereka yang berkedudukan dan berharta tetapi pandanglah dengan pertimbangan yang wajar. Bukan bererti saya sarankan anda berasa selesa dengan apa saja pemberian Ilahi sebaliknya apa yang saya maksudkan ialah, menghargai dan bersyukur, bukan mengeluh dan biarkan diri tertekan, itu tandanya anda melawan kehendak takdir. Dalam kes sebegini, suami tidak boleh dipersalahkan sama sekali. Kenapa? Kerana suami telah berusaha sedaya upaya untuk memberikan nafkah keluarga. Mengikut syarak juga, kewajipan suami menanggung nafkah adalah memenuhi keperluan berdasarkan kemampuannya.

Bermaksud, sekiranya suami mampu memberikan isteri dan anak-anak makan setiap hari berlaukkan ikan dan sayur dan sesekali berlaukkan ayam ayau daging, maka suami tidak boleh dipersalahkan kerana tidak mampu memberikan isteri dan anak-anak makan ayam dan daging setiap hari. Sebaiknya juga, isteri-isteri dalam kes sebegini, berusaha membantu suami bagi meningkatkan taraf ekonomi keluarga. Ya, tanggungjawab memberi nafkah adalah tanggungjawab suami tetapi bukan bererti isteri boleh lepas tangan dan hanya menyimpan rasa marah, dendam dan tertekan dek ketidakupayaan suami memenuhi hasrat hati anda. Dah jika anda tahu suami anda tidak mampu melayan kehendak anda yang suka berbelanja besar atau hidup mewah, kenapa dia tetap pilihan anda? Kenapa tak pilih orang yang lebih kaya dan berada?

Ingatlah!! Bila akad ijab dan qabul disahkan oleh dua saksi perkahwinan, antara anda telah wujud satu perjanjian, untuk sama-sama berkongsi kesenangan dan kesusahan, anda sama-sama bertanggungjawab untuk membahagiakan pasangan anda, memberikan ketenangan hati kepadanya dan anda juga bertanggungjawab membantu pasangan anda tika berada dalam kesempitan dan kesusahan. Namun, pengecualian bagi kes-kes melibatkan suami yang malas dan enggan berusaha. Sebagai isteri, anda wajar terima kekurangan suami yang hanya mampu berikan pendapatan dan kehidupan yang sederhana namun anda tidak wajar menerima kelemahan suami yang enggan berusaha dan tidak bekerja.

Ayuni, puteri sulung saya pernah tanyakan, kenapa saya suka tonton siri Bersamamu TV3 malah saya ajak anak-anak menonton bersama. Jawapan saya: Kita kena tengok orang yang lebih susah daripada kita, barulah kita akan hargai kehidupan kita. Hargai, bersyukur, berusaha dan berdoa agar kehidupan kita pada hari-hari mendatang adalah lebih baik daripada hari ini dan paling penting, agar hidup kita sentiasa dalam redha-Nya.

*** Siaran Mei 2009

***Bagi mereka yang perlukan khidmat konsultansi daripada saya, temujanji bersemuka akan diadakan di KL Sentral, Kuala Lumpur sahaja bermula Isnin hingga Jumaat pada setiap minggu dan Sabtu (minggu kedua dan keempat sahaja). Bagi mereka di luar Kuala Lumpur, boleh gunakan temujanji menerusi panggilan telefon atau chat Yahoo Messenger. Maklumat lanjut, hubungi talian 013-2545965 atau layari http://bersamasuzana.blogspot.com

Tiada ulasan: