18 Ogos 2011

Perlu lebih sayangkan diri sendiri

Baru-baru ini, saya bertemujanji menerusi panggilan telefon bersama seorang wanita. Wanita yang ditakdirkan bertemu jodoh dengan lelaki yang boleh menjadi bapanya, sedang merana dan terseksa dek sikap suami yang tak sudah-sudah dengan kegilaan bermain perempuan. Dah macam-macam janji diberi tetapi suami tetap mungkiri. Paling menyakitkan hati, suami sanggup angkat tangan ketika memberikan jawapan kepada persoalan isteri yang bertanya mencari kebenaran bersama sebuah tangisan. Kesannya, isteri terlalu marah dan geram. Dalam perbualan tersebut juga, si isteri melafazkan, dia sanggup tidak menunaikan solat semata-mata inginkan suaminya menanggung dosanya itu.

Sehari sebelum itu, saya bersemuka dengan seorang wanita muda, perkahwinannya bakal berusia tiga tahun. Malangnya, sejak awal perkahwinan, si isteri terpaksa memujuk hati sendiri dek kerana enggan bergaduh dengan suami. Suami seorang yang berpendidikan, mampu menjawat jawatan lebih baik dan memperolehi pendapatan lebih daripada kerja sekarang. Malangnya, bukan hanya si isteri malah ibu suami (tinggal bersama mentua sebab suami anak tunggal) juga dah penat bersuara. Masalahnya, bukan sahaja pendapatannya kecil tetapi tidak tetap dan sejak hampir tiga tahun ini, dah banyak kali sangat dah tak terima gaji yang sepatutnya.

Akibatnya, si isteri yang terpaksa menanggung bebanan tanggungjawab sebab dah terlalu malu dan segan dengan ibu mentua yang banyak mengambil alih peranan anaknya sebagai suami. Bukan sahaja nafkah zahir malah si suami tidak mempedulikan nafkah zahir. Si isteri bingung nak berikan jawapan bila ibunya dan mentua bertanyakan tentang cucu. Ketika bertemu saya, si isteri dah putus harap namun bimbang untuk melepaskan ikatan perkahwinan kerana bimbang: bagaimana suaminya akan teruskan kehidupan, ibu mentua yang dah pencen bertambah uzur, risau jika tindakannya akan menambahkan bebanan perasan terhadap mentua dan risau jika si suami tidak dapat hidup selesa seperti sekarang.

Dua kes yang berbeza situasi dan faktanya tetapi mempunyai moral dan teladan yang sama untuk dikongsi di dalam perbincangan kali ini. Wanita pertama mula membenci. Wanita kedua pula terlalu menyayangi. Kebencian dan kasih sayang melampau ini hakikatnya boleh membinasakan diri kedua-dua mereka. Anda boleh menyayangi. Malah anda berhak menggantikan kasih sayang anda dengan kebencian setelah terlalu terluka namun yang paling penting, walau dalam apa juga keadaan dan situasi sekalipun, anda perlu lebih sayangkan diri anda sendiri.

Seperti kes pertama, wanita tersebut enggan solat semata-mata mahukan suami yang tidak menghargainya menanggung dosa perbuatannya. Hmmm… betul la tu. Si suami bertanggungjawab mempastikan isteri dan anak-anak menjalankan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya. Bila suami tak suruh atau tak larang, apatah lagi suami juga gagal menjalankan suruhan dan kehendak syarak, suami akan menanggung segala dosa tersebut. Namun, jangan lupa, bukan suami sahaja yang berdosa malah anda yang sengaja enggan menjalankan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan-Nya juga berdosa sama. Jika suami tak solat dan tak suruh anda lakukan solat, bukan bererti tanggungjawab anda terlepas begitu sahaja. Anda tetap wajib solat, puasa dan lakukan kewajipan lain sebagai Muslim. Jangan biarkan diri menanggung dosa hanya kerana inginkan suami anda berdosa. Itu tindakan bodoh namanya.

Bagi kes kedua pula, seperti nasihat saya kepada wanita tersebut, tak perlu risaukan keadaan suami jika ditakdirkan berlaku pembubaran perkahwinan. Sebab? Suami bukannya budak hingusan, bukan berusia dua atau tiga tahun tetapi dah lebih 30 tahun. Kalau tak nak usaha untuk mengisi perut sendiri, secara kasarnya boleh lah dikatakan: lantak lah apa nak jadi?!! Tak gitu? Bukan bererti saya mengajar anda bersikap zalim atau tidak berperi kemanusiaan tetapi saya nak suruh anda mengajar suami berperangai serupa, agar tahu erti hidup yang sebenarnya. Bukan senang nak isi perut dengan sepinggan nasi jika tidak mahu berusaha.

Teringat kes yang pernah saya kendalikan, seorang isteri sanggup menyara suami yang malas bekerja semata-mata tidak mahu pisahkan anak-anak dengan si bapa. Ditakdirkan Ilahi, perceraian terjadi juga apabila si isteri menghalau suami keluar dari rumah setelah sejumlah besar wang ‘digelapkan’. Bila terpaksa berusaha sendiri, barulah si suami tau betapa susahnya nak cari duit hinggakan tika anak kecil mereka masuk hospital, si suami mengirimkan sms mintak maaf tak dapat ziarah kerana perlu kerja cari duit lebih, dah tiga hari tak merasa nasi, terpaksa ikat perut makan roti sahaja,.

Lantas, tolonglah sayangi diri sendiri lebih daripada sayangkan orang lain dan tidak mustahil, kasih tulus tersebut mampu insafkan orang yang anda sayangi.

****Siaran Julai 2009

***Mulai 7 September 2001: Kunjungi Pejabat Perundingan Keluarga & Guaman Syarie beralamat di Aras 1, Blok C, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya; untuk khidmat konsultansi bersemuka. Hubungi 03-79676117 untuk temujanji terlebih dahulu.

***Bagi mereka yang tidak dapat bersemuka, boleh gunakan temujanji melalui telefon atau chat YM. Hubungi 013-2545965 atau layari http://bersamasuzana.blogspot.com untuk maklumat lanjut.

1 ulasan:

Nur Affa berkata...

betul tu.. org selalu menyalahgunakan maksud sayang... ketegasan itu pun merupakan salah satu tanda sayang..