13 November 2012

Hubungan seksual suami isteri satu toleransi



Pertama sekali, saya mohon maaf andai ada dari kalangan pembaca yang merasakan topik perbincangan saya kali ini agak melampau. Hakikatnya, perbincangan mengenai hubungan seksual suami isteri bukan sesuatu yang melampau atau lucah sebaliknya perlu juga diberikan perhatian agar keharmonian hidup bersuami isteri berjaya dicapai. Saya terpanggil untuk membincangkan topik ini setelah berhadapan dengan satu kes gangguan kebahagiaan dan ketenangan dalam hidup berumahtangga yang berpunca daripada masalah seksual. Walaupun sebelum ini saya dah pernah berhadapan dengan banyak kes serupa namun kali ini, kedua-dua pasangan suami isteri bermasalah dalam hubungan seksual yang berpunca daripada kehendak istimta’ yang berbeza menyebabkan hubungan yang sepatutnya berjalan dengan aman dan penuh kasih sayang bertukar menjadi satu pergaduhan dan kebencian yang berlarutan hingga lebih 10 tahun.

Hakikatnya, istimta’ atau foreplay memang diharuskan di dalam Islam, bertujuan untuk memberikan ketenangan dan keselesaan kepada kedua-dua pihak iaitu suami dan isteri ketika melakukan hubungan intim. Diulangi, untuk memberikan ketenangan dan keselesaan kepada kedua-dua pihak bererti bukan sahaja suami malah bukan sahaja isteri tetapi kedua-duanya perlu merasa selesa dan merasai nikmat dan kepuasan daripada hubungan intim yang dilakukan. Malangnya, ramai yang berpendapat, kepuasan di dalam hubungan intim hanyalah hak suami sebaliknya isteri dibiarkan memujuk kepuasan sendiri. Seperti topik kali ini, hubungan intim suami isteri adalah satu kewajipan toleransi antara suami dan isteri.

Kenapa toleransi? Kan ke ada hadis yang menegaskan, kalau suami nak, isteri perlu melayan walau tika itu berada di atas bonggol unta?! Saya masih berusaha mencari matan dan perawi yang tepat bagi hadis tersebut. Namun, ada juga hadis lain yang serupa tetapi jarang diambil peduli: Menurut Anas bin Malik r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda: “Jika seseseorang antara kamu melakukan hubungan kelamin dengan isterinya, dia hendaklah bersungguh-sungguh. Apabila dia hendak menyelesaikan hajatnya itu (mencapai kepuasan) sedangkan isterinya belum sampai klimaksnya, maka janganlah dia tergesa-gesa (untuk menamatkan persetubuhan tersebut) sehingga hajat isterinya diselesaikan pula.” - hadis riwayat al-Suyuthi.

Hadis ini meminta agar para suami menjaga perasaan isteri ketika berjimak dan melakukannya dengan niat agar kedua-dua belah pihak mencapai kenikmatan. Janganlah para suami hanya memikirkan kepuasan diri sendiri tanpa memastikan isteri mereka juga sudah mencapai klimaks. Termasuklah aktiviti-aktiviti istimta’ yang dikehendaki oleh setiap pasangan. Tak perlulah saya jelaskan satu persatu tentang aktiviti-aktiviti tersebut. Jika ada yang belum tahu, belajarlah dari sumber-sumber yang sahih dan benar dan paling penting, perlakuan istimta’ tersebut bukanlah sesuatu yang dilarang di dalam Islam.

Biarpun istimta’ adalah harus dan digalakkan namun, masih sama dengan kepuasan hasil hubungan intim yang perlu dialami dan dirasai oleh kedua-dua pihak, maka istimta’ yang dilakukan juga mestilah disenangi dan dipersetujui juga oleh kedua-dua pihak, bukan sebelah pihak sahaja. Perlu ditegaskan tentang satu hakikat, setiap lelaki dan wanita mempunyai keinginan untuk memenuhi kehendak seks mereka namun kehendak dan kepuasan setiap individu adalah berbeza. Samalah juga halnya dalam hal istimta’ ini. Ada jenis suami yang sukakan aksi-aksi yang baginya adalah panas, hangat dan membangkitkan keinginannya untuk berhubungan namun ada aksi-aksi tersebut yang tidak disenangi oleh isteri.

Dalam keadaan seperti ini, sewajarnya si suami berunding dan berbincang dengan isteri. Seperti yang selalu saya tegaskan, hubungan perkahwinan bermaksud sebuah komunikasi tanpa batas antara suami dan isteri. Selalulah berbincang dan berterus terang serta cuba fahami dan terima kelebihan juga kekurangan dan kelemahan pasangan. Bukan sahaja isteri malah ada kes, suami tidak dapat menerima aksi ganas isteri dalam hubungan intim. Jawapannya sama sahaja, berbincang demi keselesaan dan kepuasan bersama. Jika anda sukakan aksi A sebaliknya pasangan anda tidak suka, lakukanlah aksi-aksi lain yang disukai oleh kedua-duanya dan masing-masing merasa selesa dan merasai nikmatnya. Paling penting, menerima bahawa kehendak manusia berbeza dan setiap individu mempunyai kehendak dan kepuasan serta keselesaan yang tersendiri.

Perlu ada perbincangan, berterus terang dan toleransi serta menerima kelemahan pasangan kerana hubungan seksual suami isteri adalah hak dan tanggungjawab bersama suami isteri, bukan sebelah pihak sahaja. Kegagalan bersikap sedemikian akan menyebabkan berlakunya perselisihan dan kesannya, hikmah perkahwinan yang dianjurkan oleh syarak, tak mungkin dapat dicapai. Ingatlah!! Seks bukan hanya kehendak nafsu tetapi boleh menjadi ibadah dan mendapat pahala jika kena caranya…

 ****Siaran Jun 2009

11 Oktober 2012

Tanggungjawab wanita dalam eddah dan ihdad



Rasanya ramai yang tahu tentang eddah walau tak ramai yang benar-benar maklum dan faham. Yang difahami ialah tentang hak yang boleh diperolehi tetapi ramai yang masih tak tahu tentang tempoh masa malah tentang tanggungjawab seorang isteri yang berada di dalam masa eddah. Secara ringkas; eddah ialah tempoh menunggu tertentu yang perlu dijalani oleh seorang wanita yang diceraikan oleh suami atau yang kematian suami. Syarat penting, wanita ini telah melakukan persetubuhan dengan si suami. Bermaksud, jika wanita yang diceraikan atau yang kematian suami itu masih belum ‘bersama’ dengan suaminya maka wanita ini tidak perlu melalui eddah.

Tempoh eddah juga berbeza mengikut jenis perceraian dan keadaan wanita yang dibubarkan perkahwinannya itu. Bagi wanita yang hamil, tempoh eddahnya ialah tamat tempoh kandungannya itu sama ada secara kelahiran biasa atau keguguran, tak kiralah wanita hamil ini diceraikan atau kematian suami. Bagi wanita yang masih didatangi haid dan rutin haidnya adalah normal, tempoh eddahnya ialah sebanyak tiga kali suci. Bagi wanita yang haidnya tidak normal, telah putus haid atau belum kedatangan haid maka eddahnya ialah tiga bulan. Bagi wanita yang kematian suami dan dia tidak hamil, eddahnya ialah empat bulan sepuluh hari. Sekiranya seseorang wanita kematian suami dan dia pula sedang hamil, eddahnya ialah melahirkan anak kandungan tersebut ataupun keguguran, seperti yang telah saya jelaskan di awal tadi.

Ada yang bertanyakan, kenapa perlu ada tempoh eddah? Hakikatnya, fungsi utama wujudnya tempoh eddah ialah untuk membersihkan rahim wanita daripada sebarang unsur yang mungkin wujud hasil hubungannya dengan bekas suaminya sebelum ini. Mudahnya, untuk menentukan nasab atau keturunan anak yang lahir selepas pembubaran perkahwinan itu. Tempoh eddah juga berperanan sebagai satu tempoh untuk memberi peluang kepada bekas suami isteri yang berpisah memikirkan semula tindakan yang diambil sebelumnya. Berkemungkinan di dalam tempoh tersebut, kedua bekas suami isteri itu menyedari bahawa mereka saling memerlukan maka rujuk semula boleh dilakukan. Tempoh eddah juga sebagai tanda perkabungan atau IHDAD bagi wanita yang kematian suami.

Seperti permulaan bicara; fokus saya dalam perbincangan kali ini ialah tentang tanggungjawab dan kewajipan seorang isteri ketika menjalani tempoh eddah dan ihdad. Bagi wanita yang diceraikan dengan talak rajie; dia dikira masih berada di bawah jagaan bekas suami. Bermaksud jika wanita ini ingin keluar ke mana-mana tempat atau melakukan apa-apa perkara yang tidak biasa dilakukan ketika di dalam tempoh perkahwinan, wanita ini wajib mendapatkan izin bekas suaminya. Fakta penting! Tempat atau perlakuan yang tidak biasa dilakukan dalam tempoh perkahwinan. Jika nak ke tempat kerja atau ke pasar atau membawa anak-anak bermain di taman permainan seperti rutin biasa sebelum pembubaran perkahwinan, tak perlukan izin bererti kalau bekas suami melarang tanpa alasan munasabah berdasarkan syarak; larangan tersebut boleh diabaikan.

Wanita ini juga haram menerima pinangan lelaki lain apatah lagi keluar bersama lelaki lain. Kenapa haram? Kerana bekas suami masih mempunyai hak ke atas bekas isteri selama tempoh eddah masih belum berakhir. Malah bekas suami masih berhak ke atas aurat bekas isteri. Bermaksud lelaki dan wanita yang bercerai tetapi masih di dalam tempoh eddah; tak perlu menutup aurat yang wajib seperti layaknya di hadapan ajnabi. Si isteri boleh dedahkan rambutnya, masih boleh tinggal sebumbung malah tak salah kalau si isteri nak sediakan makan minum dan segala keperluan si suami. BEZANYA: tanggungjawab melayan suami di peraduan tidak perlu ditunaikan jika si suami tiada niat untuk rujuk semula.

Jika berlaku hubungan kelamin dan selepas hubungan; masing-masing sekadar bermaksud melampiaskan kehendak masing-masing dan tidak berniat untuk merujuk semula maka si isteri tadi perlu memulakan semula tempoh eddahnya. Sebagai contoh: tempoh eddah dah berlalu dua kali suci, masih ada sekali suci sahaja lagi. Berlaku persetubuhan dan si suami secara terang mengatakan tiada niat nak rujuk maka si isteri perlu mulakan semula bereddah sebaik sahaja selesai hubungan. Jika ditakdirkan berlaku persenyawaan; maka anak itu berhak dibin atau dibintikan dengan si ayah dan tempoh eddah akan tamat selepas anak tadi dilahirkan.

Bagi wanita yang kematian suami; eddahnya sama malah ihdadnya lebih berat. Wanita ini tidak boleh pergi ke mana-mana tempat kecuali tempat yang biasa seperti ke tempat kerja atau pasar atau ke tempat pengajian.

Wanita ini juga dilarang berhias dan bersolek tetapi bukan sampai perlu tampil buruk hingga menjejaskan pandangan. Cukup sekadar pakaian biasa dan kemas tanpa sebarang calitan gincu atau celak atau alat solek lain yang menyerlahkah kecantikan kecuali bedak asas. Malah sama seperti wanita di dalam tempoh eddah cerai biasa; wanita ini haram menerima pinangan lelaki atau pun keluar bersama lelaki lain yang ajnabi. Biarpun suaminya telah tiada bererti tidak mungkin ada rujuk tetapi larangan ini sebagai tanda si isteri bersedih atas kematian si suami.

Mungkin nampak seperti agak kolot tetapi setiap kehendak dan saranan syarak mempunyai sebab dan hikmah. Jika larangan ini dilanggar, DIA saja berhak tentukan kedudukan anda di sisi-Nya! Wallahua’lam.

****Siaran Ogos 2010

06 September 2012

Bukan cinta atau harta asas bahagia


“Tak mau ah! Hang tak pi, aku pun tak mau pi!”

Meneliti ayat di atas, apakah yang terlintas di fikiran anda kini? Rasa-rasanya, siapa yang mengucapkan ayat tersebut? Seorang kanak-kanak? Atau seorang dewasa?

Sebenarnya, dua hari lepas (tika perbincangan ini disediakan) adalah hari ulangtahun kelahiran Mak saya yang ke 55, juga ulangtahun kelahiran adik kelima saya kali ke 26. Seperti biasa, setiap ulangtahun kelahiran ahli keluarga disambut dengan jamuan makan beramai-ramai. Bezanya kali ini sambutan untuk Mak diadakan di rumah baru saya di Bandar Laguna Merbok. Bagi menambahkan kemeriahan, saya mengajak Tok dan Wan (ibu dan bapa kepada Mak saya berusia sekitar 90an) untuk turut serta kebetulan rumah Tok tak jauh pun dari rumah saya, dalam 15Km sahaja.

Ayat di atas tadi dilafazkan oleh Wan saya ketika diusik oleh Tok; mintak Wan bersiap untuk ikut saya dan dia tak pergi sebab kena ada orang tunggu di rumah. Terus terang, nampak jelas kasih dan sayang antara pasangan yang masing-masing telah mengenakan tongkat bagi membantu mereka berjalan. Adik lelaki saya berusia 25 tahun sempat mengorek rahsia kasih sayang Tok dan Wan tak lama selepas itu bila Tok dan Wan ikut pula ke rumah Mak di Sik. Kata Tok: “Kahwin dulu sebab orang tua suruh. Tak tau pun sayang ka, kaya ka. Wan pun kerja tukang sapu sampah ja. Tapi sebab dah terima jadi suami, kena terima dengan ikhlas la….” Ringkas ja jawapan Tok tapi cukup untuk saya kongsi dengan pembaca semua rahsia utama kekalnya perkahwinan mereka yang dikurniakan 12 orang cahayamata, hampir 100 cucu dan dah berpuluh cicit dan ciut (anak cicit- ikut kata Tok la) sekarang ni.

Ya! Rahsia utama untuk kekal bahagia ialah ikhlas atau lebih tepat lagi niat yang ada ketika berkahwin seterusnya ketika menjalani hari-hari mendatang selepas perkahwinan tersebut. Saya yakin, ramai mengetahui mafhum hadis Rasulullah SAW: “Sesungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan rasul-Nya maka baginya Allah dan rasul-Nya. Barangsiapa berhijrah kerana harta dunia, dia akan memperolehinya dan jika kerana wanita maka dia akan dapat menikahinya. Maka setiap hijrah itu berdasarkan setiap apa yang diniatkannya!!”

Hadis ini menjelaskan bahawa di dalam setiap apa jua pekerjaan atau tindakan yang kita lakukan, asas utama yang menentukan halatuju dan keputusan pekerjaan atau tindakan tersebut ialah niat kita. Begitu jugalah halnya dengan perkahwinan. Jika seseorang berkahwin kerana rupa paras yang cantik, dia akan memiliki paras yang cantik tersebut dan bila tiada lagi paras yang cantik, maka perkahwinan mula goyah dan goncang lantaran usaha mendapatkan rupa cantik yang lain. Jika seseorang itu berkahwin kerana harta, dia akan memiliki harta idamannya tetapi bila harta tiada lagi, perkahwinan akan bermasalah disebabkan kecenderungan untuk mendapatkan seorang yang lain yang mampu memberikannya harta idamannya. Sama juga jika perkahwinan hanya kerana keinginan seks semata-mata, perkahwinan akan bermasalah bila keperluan seks tidak berjaya dipenuhi.

Ya! Saya akui, antara hikmah perkahwinan ialah untuk menghalalkan hubungan kelamin antara lelaki dan perempuan tapi perlu diingat, bukan itu hikmah utama malah terdapat beberapa hikmah lain yang dah selalu sangat saya tegaskan melalui ruangan ini. Pokoknya, jika anda ikhlas menerima pasangan anda, berkahwin dengan niat untuk berkongsi hidup bersama-sama tak kira dalam suka atau duka asalkan di dalam redha-Nya, insyaAllah anda akan bahagia, sama seperti Tok dan Wan saya tadi. Sebabnya, bila anda ikhlas menerima pasangan anda dan mempunyai niat untuk setia tak kira apa jua situasinya, secara automatiknya anda akan berusaha memberikan yang terbaik kepada pasangan anda, berusaha menjalankan segala peranan dan tanggungjawab yang patut dan perlu di sepanjang tempoh perkahwinan anda malah anda boleh menerima segala kekurangan yang tiba-tiba hadir tanpa diduga serta bersedia memberi peluang agar pasangan kembali berubah. Paling utama, keikhlasan anda dan niat anda menerima pasangan anda di awal perkahwinan juga akan mampu mengubah sikap anda yang tersasar dan tersesat tika berdepan liku-liku perjalanan perkahwinan anda.

Paling penting, kedua-duanya kena ikhlas dan berniat yang serupa lah. Kalau anda seorang saja yang ikhlas dan berniat untuk setia dalam apa jua keadaan sebaliknya pasangan anda hanya pura-pura ikhlas dan punyai niat tersembunyi yang nyata bukan untuk kekal setia walau dalam apa juga situasi, memang sukarlah untuk kekal bahagia. Seperti yang selalu saya kongsikan dalam ceramah saya; suami dan isteri kena bertindak serupa Wonderpets; apa yang penting… kerjasama! Perlu kedua-duanya bekerjasama! InsyaAllah, biar bukan bermula dengan cinta, biar tiada harta asalkan ikhlas dan berniat baik, insyaAllah perkahwinan akan tetap bahagia!!

****Siaran Mac 2010

02 September 2012

Canting dengan cantik hasil akan menarik


Syawal sudah pun hampir ke penghujungnya. Ramadan juga sudah ditinggalkan. Alhamdulillah juga, sejak hari pertama puasa, anak-anak saya kekal bertahan berpuasa penuh setiap hari hinggalah ke hari ini. Syukur juga, anak-anak saya kekal kuat dan bersemangat setiap minit meniti hari-hari puasa mereka. Tidur siang? Jangan haraplah, ada sajalah aktiviti yang nak dilakukan oleh mereka.

Ada rakan-rakan yang terkejut bila dapat tahu mengenai prestasi anak-anak saya. Ya lah, Ayuni berusia enam tahun dan Suhail pula baru lima tahun. Saya tak nak ceritakan tentang bagaimana anak-anak saya mampu bersabar dan bertahan, anda boleh masuk ke blog saya, ada ceritanya di sana. Kali ini saya nak bincangkan tentang kenapa saya melatih anak-anak saya berpuasa, bersembahyang, melakukan beberapa kerja rumah yang ringan dan beberapa rutin hidup yang lain.

Bak kata pepatah yang memang ramai telah maklumi, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitu juga dengan tajuk perbincangan kali ini, jika kita nakkan hasil yang menarik dan disukai ramai, tugasan mencanting perlulah dilakukan dengan penuh tekun dan sabar agar nampak cantik. Setiap ibu dan bapa pastinya mengharapkan agar anak atau anak-anak mereka mampu menggembirakan hati mereka bila mereka sudah berada di usia emas kelak. Tak kisahlah siapa anak mereka tika dewasa asalkan anak tersebut mampu membahagiakan mereka. Kegembiraan dan kebahagiaan paling penting bagi setiap ibu bapa. Tak guna ada anak atau anak-anak yang berpelajaran tinggi, berpangkat dan berharta tetapi gagal memberikan kebahagiaan dan kegembiraan kepada ibu bapa.

Namun, nak jadikan anak atau anak-anak sebagai pemberi kegembiraan dan kebahagiaan tika usia emas bukanlah kerja mudah. Tugasan tersebut terletak di bahu ibu dan bapa bermula dari ubun si anak masih lagi lembut. Tugasan paling penting ialah memberikan didikan agama khususnya didikan akhlak kepada si anak, insyaAllah anak-anak yang terdidik dengan didikan mulia ini akan membesar menjadi anak-anak yang mampu memberikan kebahagiaan dan kegembiraan kepada ibu bapa.

Teringat satu kes yang pernah saya kendalikan, seorang ayah meluahkan rasa sedih dan kecewa juga kesal dengan sikapnya yang tersilap di dalam mendidik anak-anak. Pak Cik yang hampir sebaya dengan Bapa saya bercerita: Dia mempunyai empat orang anak, tiga lelaki dan seorang anak perempuan. Alhamdulillah, keempat-empat anaknya berjaya di dalam pelajaran masing-masing hingga mampu menyambung pelajaran ke luar negara dan tiga daripadanya telah menjawat jawatan tinggi bila kembali ke Malaysia (yang bongsu masih lagi belajar di luar negara). Sudah pasti ada antara pembaca yang teruja dengan prestasi anak-anak Pak Cik tersebut, sama seperti saya tika itu.

Namun, apabila tiba-tiba Pak Cik tersebut menangis, buat saya dan rakan saya terkejut. Bila disoal, Pak Cik menyoal semula: “Camana Pak Cik nak gembira kalau tiga daripada empat anak Pak Cik tu dah mula panggil Pak Cik, babi?!” Pak Cik terus menangis, air mata saya mula mengalir deras, sungguh saya teringatkan Bapa saya tika itu. Tak lama Pak Cik menyambung: “Pak Cik lupa nak ajar anak-anak Pak Cik ilmu agama, Pak Cik tak ajar tentang akhlak mulia. Pak Cik hanya tumpukan kepada prestasi akademik, Pak Cik abaikan tanggungjawab mengajar anak-anak tentang solat, puasa dan macam-macam lagi kewajipan sebagai seorang Islam….”

Itu kisah lebih 10 tahun lalu, tika baru setahun saya berada di dunia kerjaya. Saya masih ingat dengan jelas tangisan Pak Cik tersebut. Jauh di sudut hati, saya tak nak Bapa juga Mak saya menangis sedemikian. Paling penting juga, saya sendiri tak nak menangis sama seperti Pak Cik tersebut tika saya sudah berusia sepertinya. Lantaran, bila saya menerima anugerah dengan darjah kebesaran bernama ‘Ummi’ pada awal tahun 2003, saya bertekad untuk mendidik dan memberikan yang terbaik kepada Ayuni dan adik-adiknya selepas itu.

Kepada ibu bapa di luar sana, jangan terus menuding jari kepada anak-anak yang gagal memberikan kegembiraan kepada anda. Tak mustahil, kegembiraan tersebut tidak berjaya anda perolehi kini disebabkan sikap anda sebelum ini. Walaupun begitu, bukan bererti anda perlu terima saja natijah kesilapan lalu. Buktikan sesalan anda dengan berdoa agar anak-anak anda berubah sikap dan berubah menjadi anak-anak yang mampu menggembirakan anda. Kepada anak-anak pula, mungkin ada kesilapan ibu bapa dalam mendidik anda tetapi sebagai seorang yang berakal dan waras, anda boleh bezakan yang baik dan yang buruk dan satu perkara yang baik ialah menggembirakan ibu bapa tika hari tua mereka. Gembirakanlah mereka, insyaAllah anak-anak anda juga akan gembirakan anda bila anda dah tua kelak…

****Siaran Oktober 2009