28 Oktober 2014

Cinta bukan lesen buang ibu bapa


Jika anda masih ingat, awal Januari yang lalu, ada dua kisah sedih yang dipaparkan di media (yang sempat saya baca dan sampai ke pengetahuan saya): satu kes seorang ayah ditinggalkan di hentian bas dan satu lagi kes seorang ayah ditinggalkan di pusat rawatan. Kedua-dua kes berlaku di utara tanahair dan dalam tempoh masa yang terlalu hampir. Percaya atau tidak, sebenarnya kes meninggalkan ibu bapa dalam erti kata membiarkan mereka hidup sendiri telah banyak berlaku. Itu yang berjaya dilaporkan media. Yang tak dapat diketahui media? Yang meninggalkan ibu bapa di rumah orang tua? Yang biarkan ibu bapa sendirian di kampung? Tak ziarah, tak jenguk, ada yang hanya kirimkan wang dan berapa ramai pula yang tak kirimkan wang, hilang tak ada khabar berita. Paling malang bagi ibu bapa, bila anak ini kembali ke kampung setelah sekian lama hanya kerana inginkan geran tanah untuk dipajak atau dijual bagi mendapatkan bantuan kewangan syarikat. Nauzubillah!!

Saya nak ingatkan pembaca tentang kes buang ayah di hentian bas. Mengikut laporan media, khabarnya seperti yang diceritakan oleh si ayah: anak lelakinya meninggalkannya di hentian bas bersama sebungkus pakaian setelah menantunya tidak dapat menerima kehadirannya di rumah mereka. Andai itu kebenarannya, satu persoalan, apakah status yang layak buat si anak? Maaf jika agak kasar tetapi bagi saya, si anak tadi lebih lembu daripada lembu yang dicucuk hidungnya!! Kenapa lembu? Ya lah!! Memang semua orang tahu, lembu dicucuk hidungnya agar mengikut tuannya ke mana saja diheret pergi. Namun, ada masanya lembu yang telah dicucuk hidung ini akan membantah, meronta-ronta cuba melepaskan diri, enggan mengikut langkah tuannya. Tapi si anak tadi?

Ya!! Cinta dan kasihkan isteri. Apa peruntukan undang-undang atau hukum yang berikan anda keizinan untuk meminggirkan ibu bapa malah membuang mereka di tepi jalan atau mana-mana kawasan disebabkan anda cinta dan kasihkan isteri atau suami anda? Saya akui, ketaatan seorang anak perempuan bertukar takhta daripada ibu bapa kepada suaminya selepas si anak berkahwin namun bukan sampai membuang atau menyisikan ibu bapa. Ketaatan kepada suami bertempat dan berbatas. Menyisihkan atau membuang ibu bapa tidak termasuk di dalam ketaatan yang perlu dan wajar diikuti. Sebagai anak lelaki pula, takhta ketaatan anda tidak pernah berubah. Malah, jika anda beristerikan wanita yang tidak benarkan anda berlaku baik kepada ibu bapa, harus bagi anda menceraikan isteri tersebut. Ingat! Cintakan isteri jangan sampai jadi lelaki dayus!

Itu cerita buang ibu bapa selepas kahwin. Kes buang ibu bapa sebelum kahwin pun dah banyak. Ada banyak kes anak gadis lari daripada rumah kerana mengikut kekasih. Saya yakin, pembaca semua maklum dengan kes-kes sebegini dan maklum juga dengan kesudahan ceritanya: anak gadis ini kembali semula ke pangkuan ibu bapa kerana hidup tersiksa malah ada kes, memerlukan bantuan pihak tertentu untuk mengembalikan mereka ke pangkuan ibu bapa. Ada yang tak lari tetapi menentang ayah sendiri di mahkamah syariah kerana si ayah tidak mengizinkan perkahwinan dengan jejaka pilihan hati.

Peruntukan undang-undang membenarkan seorang anak gadis memohon kepada mahkamah syariah agar si ayah yang enggan mewalikan atau mengizinkan perkahwinannya, tanpa alasan yang munasabah menurut syarak, supaya bersetuju dan mewalikan perkahwinannya. Peruntukan juga jelas, jika si ayah tetap enggan setuju maka mahkamah syariah boleh benarkan si anak berkahwin menggunakan wali hakim. Peruntukan ada dan diakui demi kebaikan individu namun dari segi moral, apakah menyaman ayah sendiri di mahkamah atas nama cinta kepada seorang lelaki, sesuatu yang wajar?

Saya akui, ada kes melibatkan alasan keengganan si ayah bukan sesuatu yang wajar dan munasabah menurut syarak. Harus diingat! Syarak menegaskan, setiap anak wajib taat dan hormat kepada ibu bapa. Ya! Ketaatan kepada ibu bapa juga terbatas kepada perkara yang tidak menyalahi syarak. Enggan menerima lelaki pilihan anda bukan perkara yang melanggar syarak biarpun alasan keengganan tersebut tidak munasabah menurut syarak. Melawan ayah sendiri di mahkamah bererti anda tidak hormatkan ayah anda sendiri. Anda telah melukakan hatinya. Anda sanggup mengenepikan cinta sejati ibu bapa yang menjaga, mendidik dan menyayangi anda sejak anda kecil semata-mata kerana cinta seorang lelaki yang hadir ketika anda telah berusia belasan atau puluhan tahun? Sungguh anda zalim!!

Bukan saja zalim kepada ibu bapa anda tetapi anda zalim kepada diri anda sendiri. Percayalah!! Biar sedalam mana cinta si dia kepada anda, biar berjuta kali ucapan cinta dilafaz, biar beribu kali pelukan dan belaian diberi, cinta seorang lelaki atau perempuan takkan sama dengan cinta dan kasih sayang ibu dan ayah. Bukan mendoakan tetapi terlalu banyak kes serupa, natijahnya hanya satu: anda yang bertindak membuang ibu bapa atau melawan ibu bapa kerana cinta si dia, takkan hidup bahagia dan jika berkahwin, perkahwinan anda akan dibubarkan juga akhirnya, andai masih tiada restu ibu bapa. Ingatlah! Restu Allah hanya ada jika kita punya restu ibu bapa…

****Resipi Hidup, Februari 2010.

07 November 2013

Doa masih perlukan usaha

Alhamdulillah, Kem Jati Diri Wanita Lembut Tetapi Bukan Lemah berjaya diadakan pada hari kedua Ramadhan yang lalu. Ada permintaan untuk kem seterusnya, insyaAllah, saya akan usahakan. Biarpun kem tersebut telah lebih dua bulan berlalu namun kes-kes yang diketengahkan sepanjang perjalanan kem masih membekas di hati saya. Terdapat beberapa kes yang paling meninggalkan kesan antaranya kisah wanita muda yang datang bersama bayinya yang masih menyusu, seorang isteri yang ditinggalkan bersama anak-anak dek kerana suami bekerja jauh dan dalam masa yang sama bertindak seolah-olah dirinya tidak beristeri dan punya anak, macam-macam lagi. Hari ini, saya terima satu emel daripada seorang peserta yang mendaftarkan diri tetapi gagal hadir tika program diadakan.

Menurut pengirim emel, perkahwinannya bakal berusia 19 tahun, dengan sepasang cahayamata berusia 18 dan 16 tahun. Sejak selepas melahirkan anak kedua, suaminya berubah sikap. Suami bekerja sendiri, selalu balik lewat malam, tak peduli hal makan minum isteri dan anak-anak atau apa-apa keperluan pun. Segalanya dibebankan ke bahu isteri. Mula dulu, suami pernah ditanya malah diminta wang belanja tetapi hanya tengkingan dan sumpah seranah diperolehi menyebabkan si isteri bertindak mendiamkan diri, tak peduli lagi apa pun tindakan suami. Si isteri hanya diam, menjalankan tanggungjawab sebagai isteri bila dikehendaki dan kadang-kadang, memberikan wang kepada suami yang dikatakan sebagai hutang, hingga sekarang belum pernah ada apa-apa bayaran.

Bagi mengelakkan pertengkaran, si isteri hanya diam, diam dan diam tetapi dalam masa yang sama, si isteri berdoa agar suaminya berubah dan menjadi seorang suami yang baik serta bertanggungjawab, hinggalah ke saat emel dikirimkan kepada saya, keadaan tetap serupa dengan keadaan 16 tahun lalu. Saya ditanya, kenapa setelah sekian lama, doanya masih belum dimakbulkan?

Saya pasti, telah ada di kalangan pembaca yang mula faham dengan pilihan topik saya kali ini. Ya!!! Memang betul la ada janji Allah SWT kepada hamba-Nya: “Mintalah nescaya Aku kabulkan.”  Sungguh pun begitu, meminta kepada-Nya tanpa melakukan apa-apa ikhtiar dan usaha, bukanlah satu tindakan yang betul. Allah dah janji: Dia takkan ubah nasib kita jika kita sendiri tak nak ubah. Tiada usaha dan ikhtiar samalah dengan tidak berkehendak kepada perubahan. Ya! Doa mintak berubah tapi kalau cuma meminta, meminta dan terus meminta, tanpa ada ikhtiar dan usaha yang selari dengan doa tersebut, sudah pastilah doa anda sia-sia.

Analogi mudah: Anda lapar. Anda berdoa kepada Allah agar anda rasa kenyang! Berdoalah 24 jam pun, secara logiknya lah, memang anda akan tetap rasa lapar walaupun tidak mustahil Allah boleh berikan anda rasa kenyang. Memang boleh, bila Allah sebut; “kun, fayakun!” Saya akui kebenaran tersebut. Cuma sebagai manusia, kita memang disuruh supaya ikhtiar dan usaha, bukan meminta dan berdoa sahaja. Kalau cukup sekadar doa, kenapa Rasulullah SAW berdakwah selama 23 tahun untuk menyampaikan kebenaran Islam? Baginda menghadapi pelbagai rintangan termasuk luka ketika perang, berlapar dan macam-macam lagi. Sebagai rasul malah kekasih Allah, bukankah lebih senang kalau baginda berdoa saja dan sudah pasti juga, doa baginda tidak terhijab langsung. Tetapi baginda tidak berbuat begitu. Pelbagai usaha dan ikhtiar dilakukan hingga kini, kita merasai nikmat beragama Islam.

Kalau Rasulullah SAW berusaha beserta dengan doa, apa lebih dan istimewanya kita yang hanya berharap kepada doa, tanpa melakukan sebarang usaha? Usaha terbahagi kepada macam-macam perkara. Merujuk kes di awal perbincangan, sepatut si isteri berbincang dengan suami. Tak nak bising? Apakah diam itu menyelesaikan masalah? Tak boleh berbincang, adukan kepada pihak berkuasa, kepada pejabat agama berdekatan. Anda kena faham, buat aduan ke pejabat agama bukan bermaksud anda akan bercerai atau perlu bercerai ya!!

Saya faham, semua orang ingin kekal dalam perkahwinan. Semua orang sayangkan perkahwinan. Pejabat agama bukannya nak menceraikan anda. Mahkamah juga bukan nak ceraikan anda. Pejabat agama boleh bertindak sebagai penasihat. Jika anda dan pasangan anda sukar untuk berbicara, wakil pejabat agama akan menjadi orang tengahnya. Kalau kes tak boleh diselamatkan, maka kes dibawa ke muka pengadilan, itu pun atas permintaan anda atau pasangan anda. Wakil pejabat agama takkan suka-suka saja mendaftarkan kes anda di mahkamah.

Seperkara lagi yang perlu diingat, sikap manusia tak mungkin berubah hanya dengan doa. Untuk ubah sikap, anda perlu tegur, beri nasihat, berbincang, bercakap dengan perlahan malah ada tikanya anda perlu bertegas. Bukan hanya diam dan diam dan diam bersama dengan doa dan doa dan doa. Apa pun perkara, keputusan, apa-apa saja yang berkaitan dengan hidup kita seharian, perlukan ikhtiar dan usaha. Doa adalah antara usaha yang perlu dilakukan bersama dengan usaha-usaha lain yang telah saya sebutkan tadi! Ikhtiar, usaha, doa, tawakkal! Berserah kepada-Nya setelah berusaha, Dia tau yang terbaik untuk anda!!

****Siaran Disember 2009. Sertai Bengkel Wanita JITU pada 14 Disember 2013. Info layari http://wanitajayaintelektrampilunggul.blogspot.com/

18 September 2013

Perkahwinan bukan penamat kebebasan bersosial


Masih ingat lagi dengan janji saya pada keluaran yang lalu? Ya, saya janjikan untuk bincangkan tentang topik pilihan minggu ini yang menjadi punca kepada permasalahan di dalam perkahwinan seorang klien saya yang kesnya telah saya bincangkan sedikit pada keluaran lepas. Diringkaskan semula, klien saya ini terasa dikongkong oleh suami disebabkan tidak bebas bergerak dan berkawan lantaran perlu dapatkan izin suami yang ada tikanya tidak dibenarkan, perlu menurut kata suami yang ada tikanya tidak kena dengan naluri hatinya (antaranya perintah bertudung) dan pelbagai lagi hinggakan klien saya (bertemujanji dengan saya menerusi panggilan telefon) merasakan bercerai adalah keputusan terbaik.

Seperti yang selalu saya katakan kepada setiap klien yang mendapatkan khidmat nasihat saya: saya hanya boleh berikan jalan ke arah sesuatu keadaan dan saya tak dapat berikan jaminan, mana satu keputusan yang terbaik. Sama juga dengan klien tadi, saya berikan masa minima dua minggu untuk dia dapatkan petunjuk daripada-Nya dan hingga detik itu, saya mohon agar dia berubah, cuba akur dengan kehendak baik suami dan berusaha terima perubahan status diri yang juga bererti perubahan tanggungjawab dan kewajipan. Sebabnya, suami dah baik: jalankan tanggungjawab sebagai suami, tiada masalah pemberian nafkah, layan dengan baik cuma ada masanya meninggikan suara dan diakui jika klien tadi melawan atau tinggikan suara lebih dulu. Terkini, si suami kirimkan SMS yang saya dah bincangkan minggu lepas.

Kembali kepada topik perbincangan kali ini. Secara logiknya, klien saya tadi tak patut merasa diri dikongkong hanya kerana perlu dapatkan izin suami untuk ke mana-mana atau melakukan apa juga perkara. Ya!! Izin suami memang perlu tapi bukan bermaksud suami mempunyai kuasa veto, langsung tak boleh dibawa berunding. Perkahwinan wujud apabila seorang lelaki dan seorang wanita bersetuju untuk hidup bersama, saling kasih mengasihi, berkongsi suka dan duka malah berkongsi cerita bahagia dan derita serta masing-masing bersedia untuk menjalankan tanggungjawab dan peranan yang perlu demi kebahagiaan sebuah perkahwinan. Berkahwin juga tidak bererti seseorang isteri malah seorang suami juga, tidak boleh lagi berkawan dengan orang lain. Malah jika itu berlaku, maksud saya tegahan dan larangan kepada seorang isteri atau suami daripada berkawan dengan orang lain (contohnya kehidupan sosial isteri/suami hanya berkisar antara suami/isteri dan anak-anak sahaja), ia termasuk di dalam kategori keganasan sosial.

Ya lah, takkan lah 24 jam nak tengok muka suami atau muka isteri ja. Mustahil lah hari-hari nak bersenda gurau dan berbual dengan suami atau isteri ja. Naluri dan sifat semulajadi manusia memang suka berkawan maka teruskanlah walau anda dah jadi isteri atau suami orang. BEZANYA, berkawan semasa bujang dah tak sama dengan berkawan tika dah pegang status sebagai isteri atau suami orang. Berkawanlah dengan beribu orang pun tapi tugas, peranan dan TANGGUNGJAWAB anda sebagai isteri dan suami PERLU DIUTAMAKAN. Paling penting juga, kena lah sedar diri. Kalau masa bujang suka rayau-rayau, lepak-lepak dan gelak besar dengan kawan-kawan kat tepi kompleks beli belah, dah jadi isteri orang, takkan nak buat benda yang sama, walaupun anda masih boleh keluar dengan kawan-kawan yang sama. Jagalah tingkah laku dan perangai sebab status sebagai isteri atau suami meletakkan anda ke satu peringkat yang lebih tinggi berbanding tika anda bujang.

Bukan tinggi dengan pangkat tetapi tinggi dengan hormat malah Islam memberikan kelebihan kepada hamba-Nya yang berkahwin. Contoh mudah, pahala solat tanpa jemaah bagi orang yang berkahwin adalah sama dengan pahala solat orang bujang yang berjemaah. Jika agama memberikan kelebihan tersebut, kenapa kita pula nak hina diri kita sendiri? Tak boleh terima sebab dah biasa hidup tanpa kawalan? Atau masih belum puas hidup membujang? Itu bukan alasan yang boleh diterima. Sebab? Kalau anda belum puas membujang, kenapa kahwin? Cuba-cuba? Kerana cinta? Kalau cuba-cuba, anda memang sengaja mencari beban. Cinta? Kalau cinta kenapa tak rela korbankan kehendak yang tak berikan manfaat kepada cinta anda? Kahwin paksa? Jangan tipu, tidak ada istilah kahwin paksa tika ini. Kalau benar pun anda disuruh kahwin oleh ibu bapa anda, anda berhak menolak. Nak jaga hati ibu bapa? Habis tu, menggadaikan tanggungjawab sendiri, memusnahkan perkahwinan yang sepatutnya dipelihara, tak beri malu kepada ibu bapa, kepada diri sendiri?

Ingatlah!! Perkahwinan adalah amanah dan tanggungjawab. Hikmah perkahwinan bukan sahaja untuk suami isteri rasa bahagia dan tenang hidup bersama tetapi juga agar setiap individu, suami dan isteri, menjalankan peranan dan tanggungjawab yang perlu, bukan hanya menagih hak sendiri hingga mengabaikan kewajipan diri. Perkahwinan juga perkongsian. Jadikan kawan-kawan anda sebagai kawan kepada pasangan anda juga. Hubungan akan lebih akrab, segala aktiviti akan lebih mudah malah boleh elakkan banyak masalah. Praktikkan juga amalan berbincang dan berterus terang malah anda boleh jadikan pasangan anda sebagai sahabat karib anda sendiri. Tiada yang mustahil jika anda berkehendak dan berusaha ke arah itu. Bak kata hikmah yang popular: Berkawan biarlah beribu tetapi setia cinta hanya kepada yang satu…

****Siaran Disember 2009

22 Ogos 2013

Suami wajib dihormati walau apa jua situasi

"Salam. Sejak kita kahwin dan sehingga ke saat ni, kita asyik bergaduh. Setiap kali bergaduh, awak mengambil keputusan untuk bercerai. Dah berpuluh kali awak minta saya ceraikan awak. Awak pun selalu cakap, awak tiada nafsu pada saya dan tak boleh nak hormat pada saya. Awak tidak melayan saya sebagai seorang suami. Awak menengking saya dan banyak berkasar dengan saya. Awak tak pernah nak belajar bersyukur dan berterima kasih. Saya tak akan menengking isteri jika isteri tak menengking saya. Skrg saya cuma fikirkan nasib anak shj. Kalau betul apa yg awak cakapkan pada saya bahawa awak dah benci pada saya dan dah tak boleh membahagiakan saya, awak buatlah apa yang patut…”

Di atas adalah satu mesej menerusi sistem pesanan ringkas yang dipanjangkan oleh klien saya kepada saya. Mesej daripada suaminya. Klien saya ini bertemujanji menerusi panggilan telefon bersama saya tidak lama dulu. Menurut klien saya ini, dia rasa dikongkong oleh suaminya, sukar nak bebas bersama rakan-rakan, terpaksa mengikut cakap suami dan macam-macam lagi, seolah kebebasannya disekat. Saya akan bincangkan mengenai sekatan hubungan social ini minggu depan, insyaAllah dan kali ini, seperti topik yang tertera, seorang isteri wajib, perlu dan wajar menghormati suami.

Seperti balasan SMS saya kepada klien tadi; mengulangi semula pesanan saya tika sesi temujanji sebelum ini; jangan berfikir menggunakan emosi sebaliknya gunakan fikiran yang waras. Jangan sampai menyesal belakang hari. Saya tak mendengar daripada suaminya, namun SMS si suami menyokong cerita-cerita klien saya sebelum ini. Klien mengakui, dia tak ada hati lagi kepada suami. Mengakui sering bergaduh. Kadang-kadang hanya tentang perkara kecil. Meneliti SMS si suami, saya yakin, ada tikanya juga, klien saya memulakan pergaduhan.

Ya!! Pergaduhan, pertengkaran, perkelahian memang biasa dalam perkahwinan tapi kalau tiap-tiap hari bergaduh, sepanjang masa berkelahi dan bertengkar, itu sudah jadi luar biasa. Kita semak semula hikmah dan prinsip perkahwinan, antaranya ialah untuk setiap individu iaitu suami dan isteri merasa tenang dan bahagia dan untuk kedua-dua pihak, suami dan isteri menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing. Kalau tiap-tiap hari bertekak, pantang jumpa mesti bergaduh, bagaimana nak dating ketenangan dan kebahagiaan? Di mana tanggungjawab dan peranan yang perlu dilaksanakan?

Seorang isteri, diwajibkan untuk hormatkan suami, walau dalam apa juga situasi. Bukan tak boleh mempertahankan hak sendiri tetapi hormat tetap perlu ada. Bila hormat tetap ada, si isteri akan berusaha mengelakkan diri daripada meninggikan suara kepada suami, memaki hamun suami, mencaci itu ini atau pun tidak akan memperlekehkan suami. Walau isteri lebih kaya, lebih rupa, lebih tinggi pendidikannya, isteri tetap wajib hormatkan suami. Walau suami seorang yang tidak berdaya menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami atau sengaja mengabaikan tanggungjawabnya, isteri juga tetap wajib hormatkan suami.

Ini bukan penganiayaan kepada isteri tetapi keistimewaan. Apa istimewanya kalau suami tak buat tanggungjawab pun nak hormat juga? Istimewanya kerana pahala yang akan diperolehi oleh isteri tadi, sukar untuk dinilai. Aaahh pahala? Apa guna pahala kalau hidup sengsara? Kalau sengsara, keluar dari perkahwinan tersebut. Ramai isteri yang enggan keluar dari perkahwinan, berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan status isteri tetapi gagal menghormati suami. Suami diherdik, ditengking, dicaci dan dicerca. Ada yang mendiamkan diri, suami tegur tak peduli, nak layan suami jauh sekali. Ada yang berpura-pura, depan suami senyum manis sekali tapi di belakang, suami diumpat itu ini. Kenapa memilih status isteri jika dalam masa yang sama terus menerus menambah dosa sendiri?

Manusia normal mesti bertekak dan ada tikanya tertinggi suara. Ya!! Saya akui kebenaran tersebut. Cuma pesanan saya, jika perkara tersebut berlaku, cepat-cepatlah mohon ampun dan maaf kepada suami. Jangan tunggu raya baru nak minta maaf. Kalau suami yang salah, nak minta maaf juga? Ya!! Minta maaf sebab isteri tertinggi suara, bukan maaf atas kesalahan yang bukan bermula daripada anda. Kalau tak minta maaf? Kalau suami memaafkan anda tanpa anda meminta maaf, Alhamdulillah!! Tapi jika tidak, hanya Dia yang tau kedudukan anda cuma hukum mengatakan; redha Allah kepada isteri hanya setelah suami redha kepada isteri tadi.

Kan ke kalau suami sengaja  gagal laksana tanggungjawab nafkah zahir, isteri boleh tak layan nafkah batinnya? Betul tu, dengan mengambil kira kewajipan nafkah sama seperti kewajipan mas kahwin (rujuk blog atau buku saya) tetapi kegagalan suami itu bukan kebenaran untuk isteri tidak hormatkan suami. Paling penting, ada perbezaan jelas antara taat dan hormat. Isteri wajib taat kepada suami selagi segala arahan atau kehendak suami tidak menyalahi hukum syarak. Hormat pula, perlu sepanjang masa. Dalam Kamus Dewan edisi 4, hormat bermaksud mempunyai pandangan yang tinggi terhadap seseorang dengan memberikan layanan yang penuh sopan, khidmat, takzim.

Hormatilah suami sedaya upaya, walau apa juga emosi anda, walau apa juga situasinya. Jika tak mampu (dengan syarat telah berusaha sesungguhnya), jalan  keluar tersedia…

****Siaran Disember 2009