"Salam. Sejak kita kahwin dan sehingga ke saat ni, kita asyik bergaduh.
Setiap kali bergaduh, awak mengambil keputusan untuk bercerai. Dah berpuluh
kali awak minta saya ceraikan awak. Awak pun selalu cakap, awak tiada nafsu
pada saya dan tak boleh nak hormat pada saya. Awak tidak melayan saya sebagai
seorang suami. Awak menengking saya dan banyak berkasar dengan saya. Awak tak
pernah nak belajar bersyukur dan berterima kasih. Saya tak akan menengking
isteri jika isteri tak menengking saya. Skrg saya cuma fikirkan nasib anak shj.
Kalau betul apa yg awak cakapkan pada saya bahawa awak dah benci pada saya dan
dah tak boleh membahagiakan saya, awak buatlah apa yang patut…”
Di atas adalah satu mesej menerusi sistem pesanan
ringkas yang dipanjangkan oleh klien saya kepada saya. Mesej daripada suaminya.
Klien saya ini bertemujanji menerusi panggilan telefon bersama saya tidak lama
dulu. Menurut klien saya ini, dia rasa dikongkong oleh suaminya, sukar nak
bebas bersama rakan-rakan, terpaksa mengikut cakap suami dan macam-macam lagi,
seolah kebebasannya disekat. Saya akan bincangkan mengenai sekatan hubungan
social ini minggu depan, insyaAllah dan kali ini, seperti topik yang tertera,
seorang isteri wajib, perlu dan wajar menghormati suami.
Seperti balasan SMS saya kepada klien tadi;
mengulangi semula pesanan saya tika sesi temujanji sebelum ini; jangan berfikir
menggunakan emosi sebaliknya gunakan fikiran yang waras. Jangan sampai menyesal
belakang hari. Saya tak mendengar daripada suaminya, namun SMS si suami
menyokong cerita-cerita klien saya sebelum ini. Klien mengakui, dia tak ada
hati lagi kepada suami. Mengakui sering bergaduh. Kadang-kadang hanya tentang
perkara kecil. Meneliti SMS si suami, saya yakin, ada tikanya juga, klien saya
memulakan pergaduhan.
Ya!! Pergaduhan, pertengkaran, perkelahian memang
biasa dalam perkahwinan tapi kalau tiap-tiap hari bergaduh, sepanjang masa
berkelahi dan bertengkar, itu sudah jadi luar biasa. Kita semak semula hikmah
dan prinsip perkahwinan, antaranya ialah untuk setiap individu iaitu suami dan
isteri merasa tenang dan bahagia dan untuk kedua-dua pihak, suami dan isteri
menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing. Kalau tiap-tiap hari
bertekak, pantang jumpa mesti bergaduh, bagaimana nak dating ketenangan dan
kebahagiaan? Di mana tanggungjawab dan peranan yang perlu dilaksanakan?
Seorang isteri, diwajibkan untuk hormatkan suami,
walau dalam apa juga situasi. Bukan tak boleh mempertahankan hak sendiri tetapi
hormat tetap perlu ada. Bila hormat tetap ada, si isteri akan berusaha
mengelakkan diri daripada meninggikan suara kepada suami, memaki hamun suami,
mencaci itu ini atau pun tidak akan memperlekehkan suami. Walau isteri lebih
kaya, lebih rupa, lebih tinggi pendidikannya, isteri tetap wajib hormatkan
suami. Walau suami seorang yang tidak berdaya menjalankan tanggungjawabnya
sebagai seorang suami atau sengaja mengabaikan tanggungjawabnya, isteri juga
tetap wajib hormatkan suami.
Ini bukan penganiayaan kepada isteri tetapi keistimewaan.
Apa istimewanya kalau suami tak buat tanggungjawab pun nak hormat juga?
Istimewanya kerana pahala yang akan diperolehi oleh isteri tadi, sukar untuk
dinilai. Aaahh pahala? Apa guna pahala kalau hidup sengsara? Kalau sengsara,
keluar dari perkahwinan tersebut. Ramai isteri yang enggan keluar dari
perkahwinan, berusaha sedaya upaya untuk mempertahankan status isteri tetapi
gagal menghormati suami. Suami diherdik, ditengking, dicaci dan dicerca. Ada
yang mendiamkan diri, suami tegur tak peduli, nak layan suami jauh sekali. Ada
yang berpura-pura, depan suami senyum manis sekali tapi di belakang, suami
diumpat itu ini. Kenapa memilih status isteri jika dalam masa yang sama terus
menerus menambah dosa sendiri?
Manusia normal mesti bertekak dan ada tikanya
tertinggi suara. Ya!! Saya akui kebenaran tersebut. Cuma pesanan saya, jika
perkara tersebut berlaku, cepat-cepatlah mohon ampun dan maaf kepada suami.
Jangan tunggu raya baru nak minta maaf. Kalau suami yang salah, nak minta maaf
juga? Ya!! Minta maaf sebab isteri tertinggi suara, bukan maaf atas kesalahan
yang bukan bermula daripada anda. Kalau tak minta maaf? Kalau suami memaafkan
anda tanpa anda meminta maaf, Alhamdulillah!! Tapi jika tidak, hanya Dia yang
tau kedudukan anda cuma hukum mengatakan; redha Allah kepada isteri hanya
setelah suami redha kepada isteri tadi.
Kan ke kalau suami sengaja gagal laksana tanggungjawab nafkah zahir,
isteri boleh tak layan nafkah batinnya? Betul tu, dengan mengambil kira
kewajipan nafkah sama seperti kewajipan mas kahwin (rujuk blog atau buku saya)
tetapi kegagalan suami itu bukan kebenaran untuk isteri tidak hormatkan suami.
Paling penting, ada perbezaan jelas antara taat dan hormat. Isteri wajib taat
kepada suami selagi segala arahan atau kehendak suami tidak menyalahi hukum
syarak. Hormat pula, perlu sepanjang masa. Dalam
Kamus Dewan edisi 4, hormat bermaksud mempunyai pandangan yang tinggi terhadap
seseorang dengan memberikan layanan yang penuh sopan, khidmat, takzim.
Hormatilah suami sedaya upaya, walau apa juga emosi
anda, walau apa juga situasinya. Jika tak mampu (dengan syarat telah berusaha
sesungguhnya), jalan keluar tersedia…
****Siaran Disember 2009
****Siaran Disember 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan