26 Jun 2008

Cinta sejati adalah cinta yang suci

Cuti hari Sabtu sempena Krismas baru ni, saya ke Tasik Perdana bersama suami dan anak-anak bagi menyertai ‘reunion’ kawan-kawan sepengajian semasa di UM dahulu. Walaupun tak ramai dan bukan semua hadir tetapi tetap meriah dan memang menggembirakan bila dapat berjumpa dan bertukar-tukar cerita setelah lebih 6 tahun tidak bertemu muka.

Namun, kemeriahan tersebut rasa seperti dicemari apabila di belakang tempat kami berkumpul, dalam jarak tak sampai 50 meter, ada sepasang kekasih sedang bercengkerama. Dengan selamba kedua-duanya saling peluk memeluk dan sesekali berciuman. Paling menyakitkan mata mereka adalah pasangan Melayu dan nyata sekali kebanyakan Melayu ini adalah Islam. Tak lama, suami kepada seorang rakan menegur perbuatan mereka. Apa lagi, mereka beredar tetapi dalam keadaan marah. Kemarahan memang nyata apabila minyak motor di’press’ kuat dan kerap sebelum berlalu.

Esoknya pula, hari minggu, saya pergi berkelah ke pantai Port Dickson. Alhamdulillah, tsunami tidak sampai ke sana. Di pantai ini pula, saya menyaksikan perkara yang sama dan kali ini lebih memalukan kerasa si gadis bertudung. Suami isteri? Nyata sangat perwatakan mereka tidak menunjukkan sedemikian. Suami saya menegur dan mereka juga berlalu dalam keadaan marah.

Kedua-dua insiden ini menyebabkan saya teringatkan panggilan yang saya terima pada hari Jumaat sebelum itu, daripada seorang gadis yang sudah diragut kesuciannya. Bukan secara tidak sengaja tetapi si gadis merelakannya kerana teman lelakinya berjanji akan mengahwininya. Namun, kelazimannya apabila madu sudah disedut pastilah sepahnya dibuang ke tepi. Begitulah nasib si gadis tadi. Beliau pening memikirkan apa yang perlu dilakukan sedangkan keluarganya, keluarga lelaki juga dan orang kampung sudah tahu tetapi teman lelakinya tetap enggan mengahwininya.

Saya simpati walaupun ada juga perasaan seperti baru padan ngan muka kau tu…apasal sebelum buat tak nak fikir, fikir sekarang dah tak guna…tapi, inilah hakikatnya yang perlu diterima oleh si gadis. Tak ada satu pun peruntukan syaraq apatah lagi undang-undang yang boleh digunakan bagi memaksa sebuah perkahwinan. Tak kira dah terlanjur atau sengaja melanjurkan diri atau pun kes rogol juga, lelaki yang terlibat tidak berhak dipaksa mengahwini si gadis. Malahan, jika lelaki tersebut diugut agar mengahwini si gadis sekalipun, apakah ianya akan menjamin kebahagiaan? Paling ditakuti berlaku kes yang tak diingini seperti penderaan ataupun pembunuhan, nauzubillah.

Saya pasti masih ramai lagi gadis yang mengalami nasib yang sama seperti gadis yang menghubungi saya ini. Saya juga pasti jika ditanyakan kepada mereka ini kenapa mereka merelakan diri mereka diperlukan sedemikian, sudah pasti jawapannya, demi membuktikan cinta mereka yang sejati.

Wahai adik-adikku, sekelian gadis-gadis yang berada di luar sana, jangan biarkan diri anda musnah kerana cinta. Ketahuilah dan sedarilah bahawa cinta yang sejati adalah cinta yang suci. Cinta yang tidak perlu dinodai dengan perkara-perkara yang melanggar kehendak syarak malah juga perkara-perkara yang tidak menepati tatasusila masyarakat serta adat ketimuran kita.

Ingatlah, jika seseorang lelaki itu benar-benar mengasihi dan menyintai dirimu, dirimu takkan dirosakkan malahan dirimu tidak akan disentuh sewenang-wenangnya sebelum sah menjadi isterinya. Mungkin sesetengah orang berpendapat bahawa sentuhan dan belaian adalah salah satu cara meluahkan rasa cinta. Ya, tetapi itu adalah setelah diri sah menjadi miliknya.

****Siaran 2005

Tiada ulasan: