01 Jun 2008

Jangan salah guna kuasa sebagai ibu

Malam tadi, untuk entah kali yang ke berapa, saya menonton kisah Ibu Mertuaku lakonan P.Ramlee melalui slot Teater Bintang Lagenda siaran TV2. Seperti biasa, walau telah beratus kali saya menonton kisah tersebut, hati saya tetap tersentuh dan air mata saya menitis mengenangkan nasib seorang menantu ‘dikerjakan’ oleh ibu mertuanya.

Bukan niat saya untuk menganalisa cerita yang saya yakin, tetap menjadi kesukaan ramai walaupun ianya bukan satu komedi. Yang menarik perhatian saya ialah sikap seorang wanita bergelar ibu dan juga ibu mertua.

Umum mengetahui bahawa kita semua wajib menghormati ibu dan mentaati segala kata-kata ibu. Kita dilarang sama sekali menderhaka ataupun melukai hati ibu kerana balasannya adalah kecelakaan dan nasib malang. Ingat lagi kisah Si Tanggang yang disumpah menjadi batu kerana telah melukakan hati ibunya. Sebabnya si anak enggan mengakui wanita tua dan hodoh tersebut adalah insan yang telah melahirkannya ke dunia. Walaupun ianya sekadar cerita hikayat namun pengajaran ceritanya amat penting dan memberi bekas di jiwa.

Warga Muslim pula pasti mengetahui kisah Alqamah, sahabat Rasulullah s.a.w yang hampir-hampir dibakar oleh Rasulullah s.a.w lantaran azab keterlaluan yang diterimanya kerana mengecilkan hati si ibu apabila tidak menjamah makanan yang dibawa oleh si ibu ketika berkunjung ke rumahnya. Walaupun ianya kesalahan yang terlalu kecil dan tidak disengajakan malah tidak disedari oleh si anak tetapi tetap mengecilkan hati dan melukakan hati si ibu, si anak tetap menerima balasan.

Kenapa? Kerana para ibu telah Allah anugerahkan satu kuasa tertinggi berbanding makhluk lain di muka bumi ini. Fokus saya minggu ini ialah mengenai kuasa yang tidak boleh ditukar ganti ini.
Seperti tajuk yang jelas terpampang, saya mohon kepada semua para ibu, jangan salah guna kuasa yang kita miliki. Sebelum bertindak atau melakukan sesuatu, fikirkan sedalam-dalamnya.

Seperti kita sedia maklumi, walau hati kita terguris tanpa anak kita sedari, malah anak-anak tidak pernah berniat melakukan sedemikian tetapi sebagai ibu, kuasa yang ada pada kita boleh menyebabkan mereka derita. Kesilapan kita terlalu mengikut hati dan rasa akan menyebabkan anak yang kita sayangi, yang kita belai sepenuh hati, yang kita didik daripada tapak kaki sebesar dua ibu jari, merana hidupnya belakang hari.

Mungkin emosi kita mengatakan, baru padan ngan muka, rasakan akibatnya kerana engkar kata-kata ibu yang bersusah payah keranamu… fikirkan semula!! Itukah kata hati seorang ibu yang pengasih dan penyayang? Itukah yang ingin kita luahkan kepada seorang anak yang kita lahirkan ke dunia dengan mempertaruhkan nyawa dan apabila hajat kita tidak dilunaskannya, kita menghukumnya dengan kuasa besar milik kita, menjadikannya anak derhaka secara terpaksa.

Ya… kita telah bersusah payah mengandungkannya selama sembilan bulan setengah. Kita bersusah payah melahirkannya. Kita juga bersusah payah mendidiknya dan membelainya dengan penuh kasih dan sayang. Apakah semua jerih payah kita perlu dibayar dengan cara anak-anak perlu mematuhi segala kata dan hasrat hati kita tanpa ada pilihan? Fikirkan, anak-anak tidak pernah minta kita melahirkan mereka ke dunia. Bahkan, kitalah yang telah membawa mereka ke alam yang penuh cabaran, onak dan duri yang sentiasa bersedia untuk membelit diri.

Sewajarnya, sebagai ibu, kita lebih berfikiran terbuka, cuba menyelami jiwa dan kehendak si anak. Kita sebagai ibu, sebelum ini, pernah menjadi anak-anak yang penuh dengan niat dan hasrat. Walau mungkin hasrat kita tidak kesampaian dek halangan ibu kita, jangan jadikan anak-anak tempat untuk membalas dendam. Ingatlah, redha Allah kepada anak-anak akan wujud setelah anak-anak tersebut diredhai oleh ibu bapanya.

Kita adalah ibu dan di dalam masa yang sama, kita juga adalah seorang anak. Sudah tentu kita tidak mahu hidup kita berantakan kerana tidak mendapat restu ibu. Sama juga seperti anak-anak kita, jangan biarkan hidup mereka kecundang di pertengahan jalan hanya kerana kita terlalu mengikut kata hati atau lebih tepat lagi, hasutan syaitan. Kita berhak untuk terasa hati kerana kita adalah manusia yang serba kekurangan tetapi amalkanlah untuk cepat-cepat memaafkan segala kesilapan dan kesalahan anak-anak kita walaupun mereka tidak memohon ampun daripada kita kerana ada tikanya anak-anak tidak sedar keterlanjuran mereka.

Sentiasalah berdoa agar anak-anak kita mendapat kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat kerana seorang ibu pasti tidak sanggup melihat anaknya hidup melarat dan tersiksa. Gunakan kuasa kita sebaik mungkin kerana dengan kuasa kita, kita membantu anak-anak kita menikmati indahnya kehidupan abadi di syurga bila sampai waktunya nanti.

****Siaran Januari 2005

Tiada ulasan: