13 Oktober 2008

Biar jadi ayam, jangan jadi ketam

Untuk perbincangan kali ini, saya ingin berkongsi dengan pembaca semua tentang satu pengalaman yang diemelkan kepada saya oleh salah seorang peminat ruangan ini. Menurut wanita yang juga seorang ibu ini, ketika cuti sekolah baru-baru ini beliau bersama suaminya membawa anak-anaknya bercuti ke pulau legenda. Ketika menunggu kapal terbang untuk penerbangan pulang, ada satu babak yang amat mengejutkan beliau malah orang yang ada di situ: seorang wanita yang juga seorang ibu dalam busana muslimah mengheret anak-anaknya memotong kumpulan mereka yang sedang berbaris untuk mendahului orang lain. Bukan sekadar memotong barisan tetapi mulutnya kecoh menjerit memarahi orang lain yang kononnya tidak memberikannya keutamaan sedangkan beliau membawa abak-anak kecil bersamanya. Hakikat sebenarnya, bukan dia sahaja yang membawa anak-anak kecil tetapi ramai lagi termasuk pengirim emel ini. Bukan hanya wanita tersebut malah suaminya turut bertempik kepada orang ramai yang menghalang laluannya untuk ke tempat si isteri.

Yang ingin dikongsi bersama para pembaca semua ialah, wajarkah wanita tersebut bertindak sedemikian sedangkan anak-anaknya memandang ke wajah ibu mereka seperti terkejut dengan sikapnya? Satu soalan yang ditanyakan kepada saya juga ialah layakkan ibu bapa sedemikian memelihara anak-anak mereka? Menjawab sama ada layak atau tidak memang sukar kerana menjaga dan mendidik anak-anak adalah tugas dan tanggungjawab setiap ibu bapa. Sebaliknya, setiap ibu bapa perlu menyediakan dirinya untuk menjadi seorang penjaga dan pendidik yang baik. Anak-anak ibarat kain putih, ibu bapa adalah orang yang bertanggungjawab untuk mencorakkan kain tersebut. Jika dicorak cantik, cantiklah jadinya, begitu juga sebaliknya.

Untuk mencorakkan pula, bukan sekadar mengarahkan anak-anak berbuat itu ini seperti mencanting sehelai batik. Jika ibu bapa sendiri gagal melakukan apa yang diarahkan, bagaimana boleh mengharapkan agar si anak mengikuti setiap kata dan arahan ibu bapa? Jangan kita jadi seperti ketam, mengajar anak berjelan ke depan sedangkan diri sendiri bergerak ke tepi. Jadilah seperti ayam yang sepanjang masa mengawasi anak-anak dan amat peka dengan musuh-musuh yang bakal menggangu anak-anaknya.

Malangnya, banyak kes membuktikan, ibu bapa kini gagal mendidik anak-anak mereka kerana gagal mendidik diri sendiri. Sebagai contoh, merokok. Di sekolah anak-anak diajar bahawa merokok itu merbahaya. Balik ke rumah, anak-anak dapati ayah mereka merokok. Dah timbul konflik di dalam diri si anak. Tambah konflik lagi bila si anak menegur perbuatan si ayah, si ayah akan menengking marahkan si anak. Tak cukup dengan tengkingan, ada kes si ayah mencaci maki cikgu sekolah sebagai seorang yang bodoh. Dah menambahkan bebanan dan konflik di dalam diri anak-anak? Ya lah, kalau cikgu yang mengajar dikatakan sebagai orang bodoh, buat apa lagi si anak pergi ke sekolah? Dah tambah pula kes ponteng sekolah.

Sebab itu lah, jika kita inginkan A daripada anak-anak maka kita perlu jadikan diri kita A+ bukannya B atau C. Saya tidak bermaksud, ibu bapa yang tidak berjaya di dalam pelajaran akan gagal memberikan pelajaran kepada anak-anak. Bukan itu maksud saya. Yang saya tegaskan sebagai A+ tadi adalah berkenaan dengan sikap dan tindak tanduk kita. Ada ibu bapa yang gagal di dalam pelajaran tetapi anak-anak mereka mampu menamatkan pengajian di peringkat paling tinggi seperti PhD. Ini kerana ibu bapa yang gagal di dalam pelajaran tadi mempunyai sikap dan tindak tanduk yang A+. Begitu juga ada ibu bapa yang berjaya di dalam pelajaran dan menjawat jawatan tinggi tetapi anak-anak mereka menjadi sampah masyarakat. Ini kerana ibu bapa tadi mempunyai sikap dan tindak tanduk B atau C.

Saya tahu, bukan semua kesalahan anak-anak berpunca daripada kesalahan ibu bapa tetapi berbalik kepada asas, peribadi dan tingkah laku anak-anak adalah berpunca daripada ibu bapa. Lantaran itulah, ibu bapa perlu menyediakan diri sebaiknya agar anak-anak boleh menjadikan ibu bapa mereka contoh atau idola. Jangan asyik menyalahkan anak-anak yang tak dengar kata. Renung ke dalam diri kita, pernahkah kita tunjukkan sifat yang sama? Kadang-kadang tanpa sedar, kita dah berikan contoh tidak baik kepada anak-anak. Contohnya ada isteri yang marahkan sikap suaminya jika gagal melakukan hajatnya. Amarah tersebut dilepaskan di hadapan anak-anak. Anak-anak akan belajar, tak salah marahkan sesiapa juga asalkan orang tersebut gagal memenuhi hajat mereka. Dengan ilmu tanpa sedar tersebut, anak-anak akan belajar memarahi dan menengking ibu bapa apabila hajat dan kehendak mereka tidak dipenuhi.

Tepuk dada tanya diri kita. sejauh manakah kita telah tunjukkan contoh terbaik kepada anak-anak? Ingat, anak-anak belajar pada setiap masa. apa juga tindakan dan perlakuan kita memberikan pembelajaran secara tidak langsung kepada mereka. Inginkan anak-anak yang soleh dan solehah? Jadikan diri kita individu yang soleh dan solehah. Kebahagiaan akan kita perolehi, insyaAllah!!

****Siaran Mac 2006

Tiada ulasan: