17 Oktober 2008

Jadilah diri anda sendiri

Semalam, ketika dalam perjalanan balik ke rumah, saya singgah di sebuah restoran makanan segera berhampiran stesen petrol di sebuah lebuhraya. Sekadar membeli kentang putar kegemaran anak-anak saya. Ketika menanti pesanan, saya perasan ada dua lelaki Cina tidak jauh dari tempat saya berdiri, memandang saya sambil tersenyum dan berbual-bual. Hmmm.. biar jer lah. Tak lama saya mengambil pesanan, lelaki tadi turut bangun dari tempat mereka, turut sama bergerak ke pintu keluar. “Wow’! Manyak best arr jadi olang bujang. U balik kerja, beli makanan segera saja.!” Tegur salah seorang daripada mereka. Terkejut jugak saya. Teguran itu sudah pasti untuk saya kerana hanya saya bersama mereka berdua tika itu. Saya hanya senyum kemudian membalas, “I dah kawin la. Ini pun untuk anak-anak I.”

Jawapan saya nyata mengejutkan sebab memang jelas di muka lelaki Cina tersebut, betapa dia terkejut. Tapi sempat jugak dia menjawab: “Betul ka U sudah kawin?? Tapi U punya style arr, tak da macam olang sudah kawin oooo…” jawapan lelaki Cina itu langsung tidak mengejutkan saya. Kenapa? Isyyy… tidak ler kerana rupa atau penampilan sebab saya ni memang jauh ler nak ngaku diri bagai gadis yang belum dimiliki. Cuma yang pasti, seperti kata lelaki Cina tadi, style atau gaya dan cara saya memang bukan seperti mak orang. Bukan seorang dua yang mengatakan perkara yang sama tetapi dah ramai. Tak tau lah apa yang peliknya: Saya seorang penunggang motosikal, berulang alik dari rumah ke tempat kerja menyamai jarak satu marhalah. Saya tidak suka menggunakan beg tangan seperti kebanyakan wanita. Saya lebih senang dengan beg sandang yang saya sandang melintang dari bahu kanan ke sebelah kiri pinggang. Mungkin sebab itulah, ramai yang tak percaya saya ini isteri orang dan ummi kepada sepasang cahaya mata. Atau mungkin jugak kerana badan saya yang besar, ada yang tak percaya ada orang yang sudi memperisterikan saya…. Mungkin…..

Tak kisah lah apa juga kata orang, saya berbangga dengan diri saya. Inilah saya sejak dulu, kini dan insya-Allah, akan kekal selamanya. Saya pernah ditanya, tak segan ker saya menunggang motosikal ke mahkamah? Tak malu ker saya menghadiri temujanji dengan klien hanya dengan menunggang motosikal? Ye lah, seorang peguam kena ler jaga kewibawaan dan penampilan. Hmmmm….. apa kena mengena motosikal dengan kewibawaan? Apa yang tak kena penampilan dengan motosikal? Alhamdulillah, sampai hari ini saya masih mampu menjalankan tugas-tugas saya. Malah, motosikal lebih memudahkan segala pergerakan dan kerja saya. Tak payah nak pening-pening kepala menghadapi kesesakan lalu lintas. Tak payah nak sakit kepala memikirkan petrol dan tol.

Saya tahu, ada sesetengah orang memang menjaga penampilan dan gaya diri. Terpulanglah. Masing-masing punya cita rasa dan kehendak. Tetapi, harus diingat, jangan bergaya semata-mata meniru penampilan atau cara orang lain. Jangan bila orang lain berpakaian mahal, yang ada ‘brand’, anda turut sama menggayakan pakaian yang sama sedangkan anda tidak mampu. Falsafah hidup biar papa asal bergaya tidak sesuai dipakai, bukan saja pada abad ini tetapi sejak dulu lagi. Kenapa? Kalau dah papa, camana nak isi perut? Nak susahkan orang lain? Nak susahkan isteri? Kalau isteri tu, memang ‘agak’ boleh diterima ler sebab perutnya diisi oleh suami.

Namun, seperti yang pernah saya tegaskan dulu, kenapa perlu meniru orang lain? Jadilah diri anda sendiri. Biarlah jiran-jiran menukar langsir baru, membeli barang kemas sampai ke siku, menukar kereta baru ataupun asyik keluar makan angin sampai ampaian kat rumah tak pernah disidai baju… biarlah!! Itu kemampuan dia. Kalau anda mampu, tak kisah lah. Masalahnya, banyak kes melibatkan sikap meniru gaya dan cara orang lain ini yang akhirnya menyebabkan berlakunya perceraian. Kata orang tua-tua, ukur baju biarlah di badan sendiri. Cuma saya akui, walau di badan sendiri, cara ukuran tetap tak sama, ada yang suka pakaian longgar, ada yang suka ngam-ngam saiz dan ada yang suka tak cukup inci. Kebebasan memilih ukuran inilah yang boleh memberikan impak atau kesan kepada diri anda di belakang hari.

Kalau yang pilih ukuran longgar tu, senang sikit nak bergerak, boleh jer bukak langkah lebar-lebar. Kalau yang pilih ukuran ngam-ngam saiz jer tuh, tak ler susah nak bergerak tapi tak jugak sesenang mereka yang memilih ukuran longgar. Bagi mereka yang pilih ukuran tak cukup inci, tak jugak susah, masih boleh bergerak cuma masalahnya ada banyak gangguan… kejap-kejap kena tarik tepi, kejap-kejap kena pegang situ sini, kalau tidak, haaaaa… boleh buat tayangan free. Mungkin kali ini agak banyak kiasan tetapi hakikatnya, anda yang membuat pilihan untuk meletakkan diri anda di tahap mana. Walau anda bergaya sederhana, anda masih orang yang sama, dengan nama yang sama, pekerjaan yang sama, pendapatan yang sama. Peduli apa orang lain nak kata? Kalau anda senang, memang ramai yang nak tawarkan bantuan, nak jadikan anda kawan. Kalau anda susah? Kadang-kadang saudara pun mengaku tak pernah kenal.

Saya tak mintak orang lain mengikut cara saya. Mungkin cara saya ini adalah hasil ajaran yang Bapa saya berikan. Bapa saya bakal bersara sebagai Guru Besar pada penghujung Jun ini. Namun, jika dipandang kepada cara beliau, penampilan beliau… terus terang, seorang peniaga perabot berbangsa Cina terkejut apabila Bapa saya yang menandatangani surat akuan belian perabot sekolah, tak percaya itulah Guru Besar sekolah. Saya ingat lagi kata Bapa saya: Manusia ni macam kereta, biarlah badan kereta nampak kurang menarik tetapi enjinnya baik… memang boleh bergerak ke mana-mana.

Terpulanglah kepada diri anda. Anda berhak memilih jalan anda sendiri. Yang penting, jangan meniru orang lain hingga menyusahkan diri sendiri dan mereka di sekeliling anda!!!!

****Siaran April 2006

Tiada ulasan: