Keputusan SPM yang diumumkan dua hari yang lalu amat mengejutkan saya. Rasa kagum dan bangga dengan pencapaian seorang adik di Kedah yang memperolehi 21A. Jika saya yang tidak ada kena mengena dengan adik tersebut rasa cukup bangga, bayangkanlah ibu bapa sendiri. Namun, seperti lumrahnya hidup ini, setiap perkara ada lawannya. Jika ada yang berjaya, ada pula yang gagal. Jika yang berjaya gembira, yang gagal pula sudah pasti kecewa. Gagal pula ada banyak kategorinya, ada yang gagal terus, ada yang berjaya tetapi masih merasakan diri gagal kerana tidak berjaya mendapat keputusan yang dihajati. Itulah yang dialami oleh adik bongsu saya.
Alhamdulillah, adik saya memperolehi keputusan yang membanggakan saya dan keluarga namun dek kerana tidak berjaya menyaingi kejayaan abangnya dua tahun lalu, adik bongsu saya itu menangis, menangis dan terus menangis. Sejak lepas mendapatkan keputusannya hinggalah dalam perjalanan balik. Keceriaan yang selalu ada di dalam setiap perjalanan, hilang. Saya dah puas memujuk. Sebabnya, adik bongsu saya itu masih yang terbaik antara kami enam beradik, Cuma dia tidak dapat menandingi kejayaan abangnya dua tahun lepas. Adik-adik saya yang lain juga telah berusaha memujuk namun sia-sia. Dia masih bersedih kerana tidak berjaya memperolehi keputusan yang diharapkannya. Dalam kekecohan itulah, Bapa saya mencelah: Apalah yang duk teriak-teriak lagi ni? Bersyukur lah dengan apa yang Allah bagi. Ada orang lagi teruk lagi keputusan depa, depa boleh terima. Dah dapat elok macam ni pun, nak teriak lagi. Bersyukur la.
Kata-kata Bapa saya ditambah oleh Mak: Tu la, Mak pun bersyukur sangat anak Mak dapat cam ni. Tok sah duk pikiaq yang tak dapat apa yang nak tu, semua ni ujian Allah. Dia nak tengok, hang syukur ka dak dengan apa yang dia bagi. Hang duk teriak tu, tanda hang tak syukur, tanda hang marah. Marah kat sapa? Nak marah kat Allah? Mak syukur sangat-sangat dah Allah bagi kat hang keputusan cam tuh. Tadi tu ada sorang Mak dengaq, lagi teruk daripada hang. Cuba istighfar banyak-banyak. Jangan ikut perasaan sangat. Ikut perasaan tu ikut setan tau dak?
Haaa! Kan dah kena kuliah hampir zohor! Hehehe… kata-kata Bapa dan Mak saya membuatkan adik bongsu saya berhenti menangis. Alhamdulillah, tak lama selepas itu, keadaan kembali seperti biasa. Malam tu, saya sempat berbicara dengan adik saya. Rupa-rupanya, dia bimbang Mak dan Bapa kecewa sebab tak dapat keputusan lebih baik daripada abangnya sedangkan dua tahun lepas, dia berjaya menandingi keputusan abangnya dalam PMR. Hmm, patutlah bila Mak dan Bapa bersuara, adik saya kembali tenang.
Ya lah, siapa yang tak nak gembirakan hati ibu bapa. Setiap anak yang baik memang ingin berusaha sedaya upaya agar dapat menggembirakan dan membanggakan ibu bapa masing-masing. Namun, tidak semua perancangan berjalan dengan lancar. Kita sebagai hamba hanya mampu berusaha, segala keputusan akhir terletak di tangan Yang Maha Kuasa. Sebagai ibu bapa, anda perlu memainkan peranan membantu anak anda hadapi kekecewaan dan kegagalan di dalam perancangannya. Jangan pula anda yang menambah beban kecewanya. Saya faham, ada ibu bapa yang marahkan anak yang gagal kerana salah anak itu juga. Enggan berusaha bersungguh-sungguh. Belajar main-main atau selalu ponteng sekolah. Boleh nak marah tapi berhati-hati dengan perkataan yang anda lafazkan. Sebaiknya, keluarkan kata-kata berunsur nasihat, bukan mencaci maki hingga melukakan hati yang boleh mengakibatkan perkara yang lebih buruk lagi.
Anda boleh minta anak anda renung dan fikir semua kesan sikapnya yang tidak ambil berat dengan pelajaran. Minta anak anda fikir, apa yang dia akan lakukan bila makin dewasa nanti jika tidak berpelajaran. Ya… memang ada pun ‘dunia’ yang tak perlukan seseorang itu berilmu tinggi tapi sejauhmanakah kebahagiaan hidup boleh dikecapi. Bila cantik dan muda, ada lah yang meminati. Bila dah berumur, baru lah nak mencari pihak itu pihak ini. Mungkin juga anda tak kisah anak-anak anda terlibat dalam dunia sebegitu tetapi nasihat saya, biarlah anak anda berilmu. Kenapa? Sebab orang yang berilmu ibarat benih yang baik, jatuh ke tanah menjadi pokok, jatuh ke laut menjadi pulau. Ke mana jua arah tujunya, akan terpelihara dan terjaga insyaAllah.
Seperkara lagi, mungkin anda ada hasrat tersendiri untuk anak anda tetapi sebaiknya, jangan dipaksa anak anda menjadi seseorang yang dia tidak mahu. Sebagai ibu bapa, anda perlu berfungsi sebagai penyokong dan pendorong setiap impian dan cita-cita anak anda. Kecualilah hasrat dan impiannya itu tidak baik untuk masa depannya. Ingat! Sekali anak anda tewas, terus tiupkan semangat ke dalam dirinya. Jangan sesekali anda patahkan semangatnya walaupun hasratnya itu bukan harapan anda. Ada tikanya ibu bapa perlu berikan ruang untuk anak-anak mencari dirinya sendiri. Dalam masa yang sama, perhati, turuti langkahnya dan jika perlu, pimpin tangannya agar dia mampu terus berdiri. Jangan sesekali anda terus menerus memimpin tangannya kerana sikap tersebut akan menambahkan masalah kepada anda dan juga anak anda.
Paling penting, jangan putus berdoa. Setiap kata-kata ibu bapa adalah doa untuk si anak. Biasakan mengucapkan kata-kata yang baik dan berkawanlah dengan anak remaja anda. Mereka akan lebih menghargai kasih sayang anda, insyaAllah.
****Siaran April 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan