07 September 2010

Adab kunjung mengunjung di hari lebaran

Saya baru menjenguk peti masuk e-mel saya. Ada banyak e-mel yang belum sempat saya baca, apatah lagi nak membalasnya. Dalam banyak-banyak e-mel tersebut, saya tertarik dengan satu subjek e-mel: Bosan berhari raya. Bila saya baca hingga tamat luahan hati remaja tersebut, saya mengambil keputusan untuk membincangkan tentang luahan hati remaja tersebut melalui perbincangan kali ini. Menurut remaja perempuan berusia 19 tahun tersebut, dia tak seronok berhari raya disebabkan sikap ibunya yang sering memperlekehkan hiasan-hiasan yang ada di rumah jiran-jiran atau pun sanak saudara yang dikunjungi mereka semasa berziarah di hari raya.

Teringat baru-baru ini, Mak saya telefon, mengkhabarkan rasa tidak senang hati dengan perlakuan sepasang suami isteri yang menjadi tetamu di rumah Mak, tanpa izin malah tidak memaklumkan apa-apa, terus naik ke tingkat atas rumah. Mak saya hanya sedar bila nak dihidangkan air, Nampak kedua-duanya turun dari tingkat atas. Bimbangkan berlaku kecurian perkara kedua tetapi yang paling Mak saya tak puas hati, bila dengan selambanya si suami meluahkan: saja tengok-tengok, balik nanti boleh cerita kat orang. Alahaiii… lelaki pun dah pandai ber’gossip’ sekarang ni.

Hakikatnya, kunjung mengunjung dan ziarah menziarahi sememangnya amalan yang dituntut oleh agama Islam. Bukan sekadar menziarahi sanak saudara tetapi juga jiran-jiran terdekat malah setiap individu walaupun tidak pernah kenal sebelum ini. Tujuan kunjung mengunjung ini juga antaranya ialah merapatkan hubungan silaturrahim dan saling bermaaf-maafan. Bukan bertujuan untuk mendapatkan duit raya, atau bersaing baju raya siapa paling cantik atau mahal atau pun melihat-lihat setiap hiasan atau susun atur rumah mereka yang kita kunjungi.

Islam memperincikan beberapa syarat atau adab yang perlu diamalkan ketika seseorang individu Muslim berhasrat untuk menziarahi jiran atau sanak-saudara, bukan sahaja di hari raya malah juga ketika hari-hari biasa. Adab-adab tersebut diperincikan bermula daripada sebelum berziarah, semasa menziarah dan juga selepas menziarah termasuk perkara-perkara yang perlu dihindarkan ketika berziarah. Saya ringkaskan seperti di bawah:

Adab sebelum berziarah:
Memilih masa yang sesuai
Memakai pakaian yang menutup aurat dan sopan
Berniat pertemuan dan perpisahan adalah kerana Allah

Masa yang sesuai adalah dikira berdasarkan keselesaan pihak yang anda kunjungi, bukan keselesaan pihak anda. Sebagai contoh, kunjungan ke rumah seseorang tanpa perkhabaran terlebih dahulu, melebihi jam 10 malam sebab masa tersebut telah dikira sebagai masa rehat, bukanlah masa yang sesuai. Jalan terbaik, khabarkan terlebih dahulu kepada tuan rumah mengenai kunjungan anda.

Adab semasa menziarah:
Memberi salam dan bersalaman
Meminta izin untuk masuk
Memendekkan tempoh ziarah
Mengawal pandangan
Merendahkan suara

Memendekkan tempoh ziarah bermaksud tidak bersenang-senang di rumah tersebut dalam masa yang lama. Seseorang dikira sebagai tetamu hanya di dalam tempoh tiga hati ziarah. Walaupun begitu, anda perlu peka dengan keadaan dan situasi tuan rumah, agar kunjungan anda tidak sampai menimbulkan ketidakselesaan kepada mereka. Mengawal pandangan pula termasuklah mata anda tidak meliar merayau-rayau ke segenap ceruk rumah meneliti setiap hiasan atau susun atur kelengkapan rumah yang anda kunjungi.

Adab selepas menziarah:
Meminta izin apabila hendak beredar
Memberi salam dan bersalaman sebelum beredar

Perkara yang perlu dihindarkan semasa menziarah:
Enggan memberi salam
Masa yang tidak bersesuaian
Mengaibkan tuan rumah
Mengumpat

Satu perkara yang perlu diingat juga, memberi salam kepada tuan rumah turut mempunyai syarat yang tertentu. Jika pintu rumah terbuka, jangan berdiri di depan muka pintu dan member salam. Anda perlu berdiri agak jauh dari muka pintu, anggaran tidak dapat melihat isi rumah termasuk tuan rumah, bimbang terdedah aurat tuan rumah atau apa-apa sahaja yang mungkin tidak mahu diperlihatkan oleh tuan rumah.

Mungkin nampak mudah dan agak remeh namun jika tidak diberikan perhatian, kunjungan anda mungkin boleh menimbulkan kebencian dan permusuhan, nauzubillah!! Salam Aidil Fitiri dan ziarahlah dengan suci hati…

****Siaran September 2009

Tiada ulasan: