Rentetan daripada siaran semula topik Anak: Bersediakah Anda Menerima Kehadirannya?, di dalam http://resipihidup-bersamasuzana.blogspot.com/, (perbincangan asal di dalam Resipi Hidup Disember 2005), saya menerima beberapa emel bertanyakan, apakah caranya untuk mengenal pasti sama ada seseorang itu betul-betul bersedia menerima kehadiran seorang anak? Rasanya, jawapan kepada soalan tersebut telah pun saya huraikan dengan panjang lebar di dalam perbincangan yang sama. Namun, jawapan yang paling penting malah lebih penting daripada huraian saya di dalam topik tersebut ialah anda menerima kehadiran anak anda dengan hati terbuka dan dengan pendirian, anak anda itu bukan satu bebanan kepada anda.
Kenapa dua cara tadi adalah cara terpenting? Ya!! Apabila anda menerima dengan hati yang terbuka dan tidak menganggap anak anda sebagai bebanan, anda akan sanggup melakukan apa sahaja demi anak anda. Saya yakin, ramai ibu bapa terutama yang mempunyai anak yang berusia empat tahun ke atas, rasa tertekan atau terbeban tika awal-awal tahun sebegini. Ya lah, usia anak sebegini, biasanya dah masuk sekolah. Kalau dulu kos untuk jagaan di taska sahaja, dah dicampur pula dengan kos kelas tadika. Kalau yang bergaji dua mata tu, mungkin beban kurang terasa. Ada juga yang gaji dua mata, tapi sebelah saja yang berfungsi, tak guna juga, menambahkan sakit kepala sahaja.
Tak kiralah di mana kedudukan anda, walau setinggi mana tekanan yang anda rasai, walau seberat mana kesakitan yang perlu anda hadapi, ingatlah…. anak anda itu bukanlah bebanan kepada anda. Sebaliknya segala yang anda lakukan adalah sebagai satu tanggungjawab, malah tanda kasih sayang anda yang tidak terkira kepada anak anda itu.
Paling penting juga, jangan sampai anak anda terasa dirinya menjadi beban kepada anda. Ya! Ada tikanya kita terlalai dan tanpa sedar, kita secara tidak langsung meluahkan kepada anak-anak bahawa mereka bagaikan satu beban kepada kita. Sebagai contoh, anda mengeluh atau mendengus marah bila anak-anak minta sesuatu. Keluhan dan dengusan anda itu secara tidak langsung boleh difahami sebagai anda meluahkan isi hati anda yang menganggap anak anda adalah bebanan kepada anda.
Bukan tak boleh nak marah tapi biarlah bertempat dan kena caranya. Contohnya kalau anda sedang sibuk dengan kerja rumah dan anak anda minta dilayan, cakaplah elok-elok kepadanya, nyatakan anda perlu selesaikan kerja anda dahulu, nanti anda akan bersama dengannya melakukan aktivitinya pula. Bukannya memekik marahkan anak konon anak tak faham kekalutan dan kesibukan anda. Memang benar anak anda tak faham. Sebabnya, anak anda hanya inginkan perhatian daripada anda. Anak anda akan lakukan apa saja bagi mendapatkan perhatian tersebut termasuklah memberontak.
Teringat, semalam seorang bekas rakan sekerja menceritakan tentang kegusaran rakan sekerja barunya mengenai anaknya yang berusia empat tahun yang selalu memberontak, marah-marah, menangis dan menyepahkan barang-barang jika tidak dilayan. Tambah lagi, hanya dia (si ibu) yang ada di rumah kerana si ayah bekerja jauh di selatan tanahair. Teringat pula diri sendiri yang perlu melayan tiga anak seorang diri kini. Saya faham sangatlah keadaan rakan kepada rakan saya tadi.
Seperti nasihat saya kepada rakan saya semalam: kita perlu ingat, anak-anak adalah insan kecil yang hanya inginkan perhatian dan belaian. Setiap tindak tanduk mereka sama ada mereka menangis, menjerit biarpun tanpa sebab malah segala tingkah laku ketika melakukan apa juga aktiviti seharian, tujuan mereka hanyalah untuk mendapatkan perhatian daripada kita. Sememangnya jiwa kanak-kanak terlalu lembut. Mereka sentiasa inginkan perhatian. Sentiasa inginkan kita memberikan tumpuan kepada mereka. Tak mampu meluahkan keinginan mereka dengan kata-kata maka segalanya disampaikan melalui tindak tanduk mereka. Berikan tumpuan dan perhatian kepada anak anda, percayalah… sikap memberontaknya akan mulai kurang dan menghilang.
Sibuk dengan kerja-kerja rumah? Penat lepas seharian di pejabat? Seperti yang saya tegaskan di awal tadi, tanamkan dalam fikiran, anak anda bukan bebanan sebaliknya mereka adalah penyejuk hati dan minda anda. Jika itulah pendirian anda, sepenat atau seletih mana pun anda dengan kerja pejabat, sesibuk mana pun anda dengan kerja rumah, anda akan tetap mampu meluangkan masa bersama anak anda. Ibu bapa yang menghargai kewujudan anaknya akan hilang rasa penat tika berdepan dengan anaknya. Anda boleh juga libatkan anak anda dalam kerja-kerja rumah. Saya sendiri praktikkan cara ini, mengajak Ayuni dan Suhail dalam kerja-kerja rumah seperti mengemas, memasak malah menjemur dan melipat pakaian. Secara mudah, anda lakukan dua perkara dalam satu masa: menyelesaikan kerja anda dan melayan anak anak. Tambah satu bonus lagi: mengajar anak anda berdikari.
Ingatlah!! Anak anda tak perlukan 24 jam ataupun 12 jam masa anda dalam sehari. Mereka hanya perlukan tiga atau empat jam sehari untuk anda memberikan sepenuh perhatian, belaian dan kasih sayang anda kepada mereka. Hanya tempoh masa tersebut jugalah yang anda ada untuk menunjukkan kasih sayang anda kepada mereka. Jika waktu yang singkat itu pun tidak boleh anda sediakan, percayalah… anda akan kehilangan anak anda satu hari nanti.
****Siaran Januari 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan