Beberapa hari yang lalu, saya dijadualkan bertemu dengan seorang wanita. Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah memenuhkan borang maklumat diri. Sejurus selesai mengisi borang tersebut, seperti biasa, saya menyoal: So, apa ceritanya? Jawapan kepada soalan saya ialah: I nak tanya you, apa pendapat you, wajar atau tidak seorang lelaki berusia awal 50-an bercinta dan merancang untuk berkahwin dengan seorang gadis berusia 24 tahun, hampir seusia dengan anak sulungnya sendiri? Tersenyum lebar saya mendengar soalan tersebut.
Ya lah, hakikatnya situasi tersebut bukan lagi perkara luar biasa di dalam kelompok masyarakat kita. Bukan saja kisah lelaki berumur mengahwini gadis muda sebaliknya kisah wanita berumur mengahwini lelaki muda, dah banyak terjadi.
Masih ingatkan anda dengan kisah seorang lelaki berusia 33 tahun yang telah mengahwini seorang wanita berusia 104 tahun yang disiarkan di dalam akhbar harian awal bulan Mei dua tahun lalu. Walau ramai yang memberikan tanggapan negatif, saya yakin tak kurang juga yang memberikan pandangan positif. Jika anda membaca ruangan Dr Tuah dalam majalah ini beberapa siri yang lalu, beliau mengulas tentang kebahagiaan yang diperoleh oleh pasangan ajaib tersebut.
Jika jarak umur yang dipertikaikan oleh klien saya tadi hanyalah dua kali ganda usia pasangan, bandingkan dengan pasangan ajaib yang saya jelaskan tadi, bukan dua kali ganda sebaliknya lebih tiga kali ganda. Namun, mereka tetap bahagia menjalani kehidupan berumahtangga. Kenapa?
Seringkali saya jelaskan: usia, harta, pangkat, paras rupa... semua itu bukan jaminan kebahagiaan di dalam sesebuah perkahwinan. Tunggak utama kebahagiaan rumahtangga adalah berpunca daripada keikhlasan pasangan suami isteri itu sendiri untuk membina sebuah keluarga yang dihiasi dengan perasaan mawaddah dan rahmah iaitu cinta dan kasih sayang.Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang serta belas kasihan. Sesungguhnya demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” - surah al-Rum ayat 21.
Apabila keikhlasan di dalam berkasih sayang wujud, bererti setiap pasangan suami isteri akan berusaha melaksanakan segala tanggungjawab dan kewajipan yang telah ditetapkan justeru memberikan hak kepada yang berhak.
Jangan rasa pelik atau pertikaikan keputusan seseorang yang bersedia menerima seseorang yang jauh lebih muda atau jauh lebih berumur berbanding dirinya. Setiap individu mempunyai keinginan dan kehendak yang berbeza dan setiap mereka juga diberikan hak untuk memilih yang terbaik buat diri mereka sendiri. Ada yang rasa bahagia apabila dimanjakan oleh pasangan yang lebih berumur dan ada yang rasa bangga apabila mampu memanjakan dan membelai pasangan yang lebih muda dengan penuh kasih sayang. Terpulanglah kepada diri masing-masing.
Yang penting, niat anda ikhlas untuk menerima pasangan anda seadanya dan ikhlas juga mengasihi dan menyayangi pasangan anda itu. Kita ambil contoh pasangan ajaib tadi. Berpunca daripada keikhlasan untuk menjaga seorang warga tua dan bimbang menimbulkan fitnah di dalam masyarakat, lelaki yang muda sanggup menerima seorang wanita yang boleh dipanggil nenek, menjadi isterinya. Jika anda mengikuti kisah pasangan ini di awal-awal perkahwinan, ramai yang melemparkan kata-kata fitnah kepada si isteri hinggakan pernah disiarkan di dalam akhbar, nenek tua ini sanggup bermadu dan membenarkan suaminya berkahwin dengan wanita lebih muda. Nyata, jika keikhlasan dan kejujuran wujud antara anda dan pasangan anda, semua itu tidak perlu. Mereka ini bahagia sama seperti pasangan lain yang berkahwin dengan usia sebaya.
Saya faham, masyarakat mempertikaikan kes cinta jarak usia sekiranya ia melibatkan cinta dengan pihak ketiga. Seperti klien saya tadi, suaminya sedang asyik bercinta dengan seorang gadis hingga mengabaikan tanggungjawab sebagai suami dan bapa kepada anak-anak sedia ada. Inilah masalahnya!! Bila kaum wanita mengamuk bencikan poligami, kaum lelaki menuduh wanita kuat cemburu dan tak nak ikut kebenaran syarak. Bagaimana isteri nak redha dan terima jika belum dimadukan secara sah, dirinya dan anak-anak telah pun diabaikan. Fikirkanlah.....!!
Hakikatnya, bercintalah dan berkahwinlah dengan mana-mana individu yang anda suka walaupun jarak usia antara anda dan pasangan anda jauh berbeza asalkan anda ikhlas dan faham dengan tanggungjawab anda sebagai isteri dan suami. Walaupun anda lebih berusia namun sebagai isteri, anda tetap wajib taatkan suami anda yang muda itu. Sebagai suami pula, walaupun anda jauh lebih muda daripada isteri anda, tanggungjawab anda sebagai suami tetap sama. Anda wajib memberikan nafkah zahir dan batin yang wajib kepadanya. Jangan sesenang hati bersuara dah tak sedap sedangkan mulanya, anda tak kisahkan semua itu. Sebaiknya, jika ada kelemahan pada mana-mana pihak, sama-sama atasi demi kebahagiaan bersama.
****Siaran Januari 2009
4 ulasan:
Salam puan,
Blog puan ni sgt bermakna buat sy. Waktu hati bagai dilanda badai, mencari2 di mana nak dpt nasihat, sekali sy jumpa blog ini. Baca ayat2 terjemahan Al-quran kat tepi tu pon dah melegakan. Bila baca masalah2 rumahtangga org lain, rupanya ramai je isteri2 diluar sana ada masalah ngan sy. So secara x langsung, sy dpt nasihat juga.
Moga usaha puan ni mendapat pahala dan rahmat dr Allah s.w.t
Sy mohon copy ye ayat2 terjemahan tu?
Salam. Alhamdulillah, syukur kpd Allah, sedikit sumbangan sy berikan manfaat. Boleh, silakan lah copy :)
Salam puan..bagaimana saya ingin mengutarakan pertanyaan kpd puan? Boleh beri email.?
Email saya: marialya84@gmail.com
Salam puan bolei saya dpt kn email?
Email saya:marialya84@gmail.com
Catat Ulasan