Baru-baru ni, tika dalam perjalanan ke tempat kerja, saya melayan dengar topic yang dibincangkan di sebuah stesyen radio. Satu SMS yang dibaca oleh DJ agak memeranjatkan saya. SMS tersebut berbunyi: “Saya berkahwin dah setahun. Masalahnya isteri saya takut nak beranak. Bukannya susah sangat. Baring atas katil, count one two three then push…” Begitulah bunyinya lebih kurang SMS yang dibacakan oleh DJ tersebut. Saya teringat, seorang DJ wanita yang mendengar melenting dengan ayat SMS tersebut. “Amboi!!! Senangnya kau cakap yer!! Kau nampak senang la tapi orang yang merasa hakikat sebenar tu…. Kau tau apa perasaannya?” Saya pun melenting sama.
Sungguh, lelaki jenis ini bukanlah lelaki yang tau menghargai. Kenapa saya tegaskan sedemikian? Kerana seorang lelaki yang betul-betul peka dan pandai menghargai akan perasan dengan jelas perbezaan yang wujud kepada seorang wanita setelah seorang wanita itu hamil, melahirkan kemudian membesarkan bayinya. Bukan sahaja perubahan bentuk fizikal (yang memang selalunya menjadi perhatian kaum lelaki) tetapi juga ketahanan dan kesihatannya, ada tikanya turut terganggu.
Saya tau, tak semua wanita hamil mengalami alahan. Jika anda pernah masuk ke blog saya, ada sedikit cerita tentang kehamilan saya yang pertama. Tika itu, hanya Dia yang tahu betapa penat dan lelahnya. Sungguh saya mengerti dan faham kenapalah seorang ibu wajib ditaati hingga Allah meletakkan syurga di bawah telapak kaki ibu. Semasa kehamilan kedua, ketiga (sempat trimester pertama sahaja) dan keempat, alhamdulillah Allah berikan kemudahan. Bak kata adik saya, sedar-sedar jer perut saya membesar.
Itu tika hamil, tika bersalin lain pulak rasanya. Saya yakin, anda pernah dengar tentang tiga jenis sakit yang paling sakit: sakit gigi, sakit nak bersalin dan sakit menghadapi kematian. Hah? Dah masuk jenis sakit yang paling sakit hingga nak samakan dengan saat sakaratulmaut pun, masih kata mudah dan senang? Kalaulah begitu mudah, takkan ada yang cakap, bersalin ni ertinya menyabung nyawa!!
Itu dari pandangan luaran. Hakikatnya, Islam mengiktiraf kesusahan dan kepayahan seorang isteri tika hamil dan melahirkan bayi. Segala jerih payah seorang isteri mengandungkan zuriat suami mendapat pengiktirafan yang amat tinggi. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Apabila wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan.
Rasulullah SAW bersabda lagi yang bermaksud: Apabila wanita mulai sakit untuk bersalin, Allah SWT mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah (perang sabil) dan apabila wanita melahirkan anak maka keluarlah dosa-dosa darinya seperti keadaan ibunya melahirkannya.
Dua hadis ini sudah cukup membuktikan betapa Islam mengiktiraf pengorbanan seorang ibu, seorang wanita. Kenapa pengorbanan? Kerana setiap kali bersalin, kaum wanita mempertaruhkan nyawanya. Sebab itulah wanita yang meninggal dunia kerana bersalin termasuk di dalam kategori shuhadak atau mati syahid. Ada kes ibu yang lumpuh, tidak boleh melakukan tugasan berat kesan daripada melahirkan. Seorang wanita yang bersalinkan anak lelaki, dua sarafnya akan terputus berbanding hanya satu saraf jika melahirkan anak perempuan. Selepas bersalin, nak kena berpantang macam-macam lagi, semuanya demi suami. Tak jaga nanti, suami mula cari lain pulak. Itu semuanya pengorbanan.
Pengorbanan, bukanlah suka-suka dan syok sendiri. Maksudnya juga bukanlah semudah yang diucapkan oleh pengirim SMS tadi atau sesiapa sahaja yang berpendirian serupa.
Apakah ini semata-mata tanda protes atau omelan saya berkaitan SMS yang disiarkan di radio? Tidak, bukan semata-mata protes sebaliknya satu penjelasan dan harapan agar kaum lelaki lebih peka dan sedar tentang kepayahan dan pengorbanan yang telah diberikan oleh seorang isteri dan seorang ibu.
Bukan pula untuk menakut-nakutkan kaum wanita. Tak perlu bimbang atau takut adik-adikku…. hamil dan kemudiannya bersalin memang menggerunkan tapi bak kelazatan memakan cili, makan nak makan dan terasa pedas tapi kalau tak der cili, tak sedap pulak nak makan nasi. Begitulah analoginya…
Satu pengalaman menarik yang saya nak kongsi dengan mereka yang bakal menjadi ibu: segala kesakitan dan kepenatan akan hilang setelah anda mendengar tangisan pertama bayi anda. Bila anda pulang ke rumah, anak-anak anda akan menyambut anda dan secara mudah, segala kepenatan dan lelah seharian anda akan hilang begitu sahaja. Yang penting, anda perlu ikhlas dalam menerima amanah berharga ini. Buat kaum lelaki, jangan meluah sesedap rasa… buruk padahnya!!
****Siaran Januari 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan