Dah lama juga isu kegawatan ekonomi yang kembali melanda negara kita menjadi perbualan. Bukan sejak awal tahun ini tetapi sejak penghujung tahun yang lalu. Merisaukan dan menyedihkan apabila mendapat khabar puluhan ribu diberhentikan kerja, dicutikan sementara, tidak menerima gaji malah pelbagai masalah lain lagi. Saya juga terlibat di dalam isu yang sama. Malah isu masalah gaji lambat, hinggakan pernah minima dua bulan tidak menerima gaji daripada syarikat multimedia tempat saya bekerja (jika anda pernah baca sebelum ini, saya terlibat dalam kerja-kerja pembangunan multimedia di samping kerjaya sebagai Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie – setelah beralih arah ke bidang rundingcara sahaja dan tidak lagi mengendalikan kes di Mahkamah lantaran ini menumpukan perhatian yang lebih kepada anak-anak) telah berlaku sejak penghujung tahun 2007. Alasan syarikat, kami terima bayaran lambat daripada klien.
Alhamdulillah, saya bekerja juga dengan sebuah syarikat rundingcara dan walaupun pendapatan yang diterima tidak menentu (bergantung kepada pengendalian kes), syukur masih ada sumber untuk saya membiayai keluarga tambahan suami juga bermasalah dalam kerjaya. Bukan sekadar dua kerja tersebut, saya juga melakukan perniagaan kecil-kecilan menjual nasi lemak, bihun goreng dan sedikit kuih-muih. Sungguh, bukan untuk kekayaan tetapi untuk menampung keperluan. Sangkakan isu gaji lambat tidak berpanjangan namun Dia lebih mengetahui, selepas hampir setahun bertahan, keadaan tenang seketika ketika hampir Ramadan dan tika saat meraikan Aidil Adha, keadaan kembali bermasalah. Semalam pula (tika artikel ini disediakan), kami menerima satu pengumuman, syarikat dijangka mempunyai masalah untuk memberikan gaji selama tempoh enam bulan.
Tak ada siapa yang suka namun apa lagi yang boleh dijeritkan? Itu yang berlaku kepada saya dan rakan-rakan sekerja di bidang multimedia. Hakikat yang sukar ini telah dirasai oleh ratusan ribu orang lain di seluruh negara malah dunia. Saya tak nak bincangkan tentang kegawatan ekonomi ini sebaliknya seperti tajuk perbincangan saya kali ini, biarlah gawat ekonomi sebaliknya jangan biarkan emosi anda turut gawat sama. Kenapa? Jika emosi anda gawat, kalut, kecoh dan entah pelbagai lagi istilah lain yang sinonim dengan maksud tidak stabil dan bermasalah, kehidupan anda akan lebih gawat lagi jadinya. Malah, teringat kata seorang rakan di dalam bidang guaman syarie tika awal-awal pembabitan saya di bidang tersebut yang juga dalam kemelut ekonomi global tika itu; “kalau ekonomi gawat, ramai yang gawat emosi, banyak la kes rumahtangga, tak lah gawat ekonomi kita.”
Saya yang masih mentah tika itu, hanya tersenyum sambil memikirkan kemungkinan tersebut. Seperti yang pernah saya jelaskan, tak semua orang yang bekerja di dalam bidang guaman syarie ini, ‘syarie’ seluruh akhlaknya (antara sebab kenapa saya memilih rundingcara sahaja, bimbang terhanyut sama). Jangan salah sangka, tujuan saya menimbulkan semula cakap rakan saya ini bukan bermaksud dia atau mereka yang sama pemikirannya mendoakan keberantakan rumahtangga anda sebaliknya itulah hakikat sebenarnya jika anda gagal mengawal emosi anda daripada kacau dan gawat.
Jika anda mampu bertindak waras dan mampu mengawal emosi, insyaAllah anda juga akan mampu mengawal minda dan tindakan anda. Masalah kegawatan ekonomi kini bukan masalah terpinggir tetapi adalah masalah global yang cuba dipinggirkan oleh sesetengah pihak. Namun, itu bukan bererti peluang anda tertutup rapat. Ingat!! Allah takkan mengubah nasib sesuatu kaum termasuk nasib anda sendiri jika anda tidak berusaha untuk mengubahnya. Berusaha dalam erti kata berikhtiar untuk mendapatkan sedikit pendapatan bagi menampung keperluan, bukannya berusaha memekik, mencaci maki, memarahi, berhutang, meminjam atau apa juga yang sewaktu dengannya.
Jika syarikat anda gagal memberikan gaji dan dalam masa yang sama masih ada kerja yang boleh dibuat, bererti syarikat anda masih ada perniagaan. Anda boleh rundingkan dengan majikan untuk melakukan pembahagian masa kerjaya agar anda boleh melakukan kerja-kerja lain bagi tujuan menampung pendapatan, sama seperti apa yang saya lakukan sekian lama. Jika anda tidak dibayar gaji dan dalam masa yang sama anda hanya goyang kaki di tempat kerja, baiklah anda angkat kaki dan cari atau lakukan sesuatu yang lebih berfaedah dan memberikan sumber pendapatan. Rezeki takkan datang hanya dengan menggoyang kaki atau berborak di pejabat. Buatlah sesuatu yang boleh memberikan sumber pendapatan dengan syarat ia adalah halal di sisi syarak.
Dalam kes sebegini, setiap pasangan suami isteri perlu saling berterus terang, memahami dan bekerjasama. Bagi wanita yang tidak bersuami (ibu tunggal) atau ada suami seperti tidak bersuami (suami sengaja abai tanggungjawab), anda perlu kuat dan tabah untuk meneruskan kehidupan ini kerana saya percaya, hampir semua ibu sanggup melakukan apa sahaja asalkan mampu mengenyangkan perut anak-anak berbanding sesetengah bapa yang boleh ‘bersabar’ dengan tangisan anak-anak yang kelaparan.
****Siaran Mac 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan