Seorang isteri yang juga seorang suri rumah mempunyai anak-anak berusia lima tahun dan empat bulan menanyakan kepada saya, salahkah jika dia terus menjadi suri rumah sedang kawan-kawan sepengajian dahulu mencadangkan agar dia bekerja? Wanita ini berasa lebih selesa menguruskan rumahtangga dan anak-anak sendiri tetapi mula berasa serba salah selepas menerima pelbagai pendapat dan nasihat daripada rakan-rakan agar dia bekerja. Menurut wanita muda ini, beliau mempunyai suami yang cukup bertanggungjawab, tidak pernah timbul soal mengabaikan nafkah zahir, makan minum dan segala keperluan rumahtangga cukup malah suaminya memberikan sebahagian hasil perniagaan untuk disimpan olehnya. Selesai membaca emel wanita ini, saya tersenyum, syukur kepada Allah kerana di samping pelbagai masalah yang melanda begitu ramai wanita di luar sana, masih ada lagi yang bernasib baik seperti wanita muda ini.
Yang dapat saya katakan, jawapan mudah kepada persoalan wanita ini ialah berdasarkan situasi yang anda alami, tidak ada salahnya anda terus menjadi suri rumah. Tiada cela atau hinanya jika wanita berpendidikan menjadi suri rumah. Kawan-kawan sepengajian saya dahulu pun ramai juga yang menjadi suri rumah. Sahabat baik saya masih boleh menyambung pelajaran di peringkat sarjana dalam keadaan diri sebagai suri rumah sepenuh masa dan mempunyai empat cahayamata. Malahan jika mempunyai pilihan, saya yakin ramai wanita berkarier termasuk saya sendiri, lebih suka jika boleh menjadi suri rumah sepenuh masa. Kenapa tidak? Segala keperluan rumahtangga, hal anak-anak dan suami dapat diuruskan dengan tangan sendiri. Anak-anak dapat dididik dan dibimbing sepenuhnya tanpa perlukan bantuan bibik, pengasuh atau penjaga taska.
Tambah pula dengan keadaan dunia hari ini yang penuh dengan pelbagai ‘keindahan dan kesenangan’ yang jika disalahgunakan, boleh merosakkan identiti dan keperibadian anak-anak, nauzubillah.
Jika dilihat kepada kajian kes juga, kebanyakan masalah sosial hari ini yang melibatkan remaja dan anak-anak adalah kerana kurangnya perhatian dan didikan daripada ibu bapa. Secara fitrahnya, kaum lelaki atau bapa perlu keluar bekerja untuk mencari nafkah dan rezeki untuk ahli keluarga. Lantas, tanggungjawab mendidik dan membimbing anak-anak lebih terarah kepada kaum wanita atau ibu walau hakikatnya di dalam Islam, tanggungjawab mendidik dan membimbing anak-anak terletak di bahu ibu dan bapa, bukan ibu sahaja. Bererti, menjadi suri rumah dan mampu mendidik dan membimbing anak-anak sendiri adalah satu kelebihan dan patut dibanggakan. Bagi wanita yang bekerja, tanggungjawab mengurus rumahtangga masih terpikul di bahu jika tidak mempunyai pembantu. Memang memenatkan jika perlu menjadi wanita dwi kerjaya kerana itu saya katakan, jika diberi pilihan, memang ramai wanita yang rela menjadi suri rumah.
Namun, tidak ramai yang beruntung seperti wanita ini. Di zaman serba moden dan canggih ini, tika segelas air kosong bukan lagi boleh diminum percuma, ada wanita yang perlu keluar bekerja bagi membantu meringankan bebanan suami.
Bukan saja membantu suami tetapi ada wanita yang perlu bekerja dengan alasan-alasan tersendiri, kukuh dan boleh diterima. Jika anda TIDAK tergolong di kalangan wanita-wanita yang PERLU BEKERJA untuk mempunyai pendapatan sendiri, tidak perlu rasa rendah diri atau malu jika anda memegang status sebagai suri rumah. Anda sepatutnya berbangga jika mampu menjaga dan menguruskan suami, anak-anak dan rumahtangga anda sendiri. Jangan anda merasakan pengorbanan dan usaha anda mencari ilmu selama ini sia-sia sahaja. Ilmu yang ada boleh anda gunakan untuk mendidik anak-anak malahan menjadi suri rumah bukan penghalang untuk anda berhubung dengan dunia luar. Di zaman IT sekarang ini, anda boleh mempunyai ramai kawan dan bertukar-tukar pandangan mengenai pelbagai isu yang berlaku di dunia kini.
Ya… saya akui, saya pernah menyarankan bahawa wanita perlu mempunyai pendapatan sendiri. Mempunyai pendapatan sendiri bukan bererti anda perlu bekerja. Ingat lagi perbincangan saya dahulu, jika anda suri rumah sepenuh masa dan suami anda mampu menyara keluarga dengan sewajarnya, cukuplah jika anda menyimpan sedikit demi sedikit wang pemberian suami anda. Seperti wanita ini, suaminya memberikan sejumlah wang untuk simpanannya, itu sudah menjadi pendapatannya sendiri. Anda juga boleh meminta suami menyediakan takaful untuk dirinya, anda dan anak-anak. InsyaAllah, jika berlaku hal yang tidak diingini di belakang hari, anda dan anak-anak takkan bermasalah walaupun pada asalnya anda tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa.
Usah bimbang jika suami bertukar arah kepada wanita yang bekerja. Jika benar suami anda sukakan wanita bekerja, dia boleh menyuruh anda bekerja daripada awal. Paling penting, anda perlu betul-betul menjaga penampilan anda kerana rata-rata kes suami mempunyai hubungan dengan rakan sekerja tika isteri sibuk di rumah ialah kerana penampilan anda sendiri. Anda masih boleh tampil anggun dan menawan. Kepada para suami, perlu diingat, anda bertanggungjawab sepenuhnya kepada penampilan isteri anda. Jika inginkan isteri anda sentiasa kekal cantik dan menawan, pandai-pandailah hulurkan duit untuk menghiaskan isteri anda. Jangan main arah itu ini saja. Satu lagi isu yang sering dikaitkan dengan suri rumah ialah jika berlaku perceraian (sebab kita hanya mampu merancang, bila ujian berlaku, Dia lebih tahu segalanya), apakah isteri berhak mendapat hak jagaan anak-anak? Ya, secara asasnya anda berhak walaupun anda tidak bekerja malah anda berhak memperolehi harta sepencarian walaupun harta yang terkumpul sepanjang tempoh perkahwinan adalah hasil usaha sepenuhnya oleh suami anda. Bagaimana? InsyaAllah, saya akan bincangkan nanti.
****Siaran Mac 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan