“Puan, betulkah kata orang, isteri tak boleh mintak cerai, nanti bergegar tiang arasy, berdosa….” Inilah soalan yang ditanya oleh seorang isteri ketika mengadu mengenai masalah rumahtangganya. Beliau telah berkahwin hampir 14 tahun dan dikurniakan tiga orang anak. Yang sulung berusia 12 tahun, kedua 10 tahun dan yang bongsu 8 tahun. Sejak awal perkahwinan, beliau terlalu banyak bertolak ansur dengan suami. Suami tak berikan wang belanja, dia diamkan dan gunakan duit hasil kerja sendiri untuk menanggung diri sendiri dan anak-anak malah kerapkali turut sama menanggung makan minum suami. Bukan tak pernah minta tetapi berbagai alasan suami berikan dan paling kerap, mana ada duit? Peliknya, ke mana perginya gaji suami setiap bulan? Bayar duit kereta sendiri berapalah sangat? Selepas bersalinkan anak ketiga, si isteri dapat tau si suami mula main perempuan.
Bila disoal atau diajak berbincang, suami akan menyinga. Tak cukup dengan caci maki, suami dah pandai main pukul dan lempang. Tak berani nak mengadu dengan ibu bapa kerana suaminya menantu pilihan dan kesayangan, cerita pun tak guna, memang ibu bapa takkan percaya. Kalau ibu bapa sendiri tak boleh diharapkan, apatah lagi ibu bapa mertua. Pernah mengadu dengan beberapa orang tetapi kebanyakannya menasihatkan agar dia bersabar, fikirkan anak-anak yang makin membesar, lagipun berdosa kalau isteri mintak cerai dan akhirnya soalan benarkah isteri meminta cerai daripada suami satu dosa diajukan kepada saya.
Saya tak pelik dengan soalan tersebut sebab bukan hanya isteri ini yang bertanya, dah banyak kali saya menerima soalan yang serupa. Jawapannya mudah sahaja, kalaulah isteri tak boleh mohon cerai, kenapa ada talak, fasakh, takliq dan khuluk? Saya tau, kebanyakan orang bila disebut talak, jelas di minda mereka talak adalah hak suami. Fasakh, takliq dan khuluk barulah hak isteri tetapi masih perlukan persetujuan suami. Ada benarnya pendapat tersebut dan ada juga yang kurang benar. Sungguhpun lafaz talak diucap oleh suami tetapi kuasa talak suami boleh berpindah ke pihak hakam sekiranya jelas perceraian adalah perlu dan suami enggan menceraikan. Fasakh, takliq dan khuluk pula bukan bergantung penuh kepada suami. Jika jelas bukti yang dikemukakan, mahkamah akan meluluskan permohonan isteri tanpa menunggu kebenaran suami. Paling penting dan perlu diingat, perbuatan isteri memohon cerai bukanlah satu dosa. Sebabnya mudah sahaja, perceraian walaupun perkara yang tidak disukai oleh Allah Taala tetapi ianya ada dan dibenarkan di dalam Islam. Perkahwinan bukanlah satu pekerjaan saja-saja atau sia-sia. Perkahwinan mempunyai prinsip, matlamat dan hikmah yang tersendiri. Jika prinsip, matlamat dan hikmah perkahwinan yang dianjurkan oleh Islam gagal dicapai maka jalan keluar terbaik ialah perceraian.
Apakah contoh prinsip, matlamat atau hikmah perkahwinan yang gagal dicapai? Seperti kes isteri yang menyoal tadi, nyata sekali prinsip, matlamat dan hikmah perkahwinannya telah gagal dicapai. Prinsip perkahwinan mengatakan isteri adalah tanggungjawab suami. Matlamat perkahwinan adalah untuk suami dan isteri mencapai bahagia. Hikmah perkahwinan antaranya adalah untuk suami menjaga kebajikan isteri dan anak-anak. Menjaga kebajikan bererti suami perlu memberikan makan minum, pakaian dan tempat tinggal yang sesuai. Bukan kemewahan tetapi yang wajar dan bersesuaian. Menjaga kebajikan juga bererti suami tidak boleh sewenang-wenangnya menyakiti hati dan perasaan isteri. Anggapan bahawa suami boleh melakukan apa juga aktiviti luar dan isteri patut diam dan tak boleh ambil tau adalah salah. Walaupun apa yang suami lakukan tidak perlukan izin dan kebenaran isteri tetapi sebagai teman perkongsian hidup, isteri berhak tahu ke mana dan apa yang dilakukan oleh suami. Bukan untuk mengongkong apatah lagi menyibuk tetapi itulah dia aturannya hidup berumahtangga. Bayangkan jika isteri tidak tahu ke mana suaminya pergi dan tiba-tiba ada urusan kecemasan, apa yang akan terjadi? Apatah lagi jika ada suami yang bertindak ‘off’kan telefon bimbit jika keluar rumah?
Ada perkahwinan yang bukan saja gagal menepati prinsip, matlamat dan hikmahnya tetapi turut memberikan kemudharatan kepada pihak-pihak yang berada di dalamnya hingga mengundang dosa. Ada kes isteri yang bencikan suami kerana kegagalan suami menjalankan tanggungjawab. Kebencian ini tak seharusnya wujud dan isteri yang membenci suami bererti melakukan dosa. Apabila perkara-perkara seperti ini berlaku, tiada jalan penyelesaian terbaik selain daripada perceraian bererti perbuatan isteri memohon cerai bukanlah satu kesalahan atau dosa. Yang dikatakan boleh menggegarkan tiang arasy ialah sikap isteri ketika memohon cerai.
Memohon cerai yang bukan menjadi kesalahan ialah memohon secara baik mengikut cara dan prosedur yang ditetapkan. Berikan bukti-bukti jelas dan benar yang boleh menyokong permohonan. Yang boleh menjadi kesalahan dan dosa ialah memohon cerai dengan sikap yang tidak baik seperti menjerit-jerit kepada suami minta diceraikan ataupun mengemukakan bukti-bukti palsu untuk permohonan cerai. Walaupun memohon cerai bukan satu dosa dan jalan terbaik untuk keluar daripada perkahwinan tetapi perlu diingat, perkahwinan dan perceraian bukan satu mainan apatah lagi menjadi bahan ujian. Betulkan niat ketika memasuki gerbang perkahwinan dan berusaha sedaya upaya untuk mencapai prinsip, matlamat dan hikmah perkahwinan. Perkahwinan bukan hanya satu kegembiraan tetapi adalah satu medan penuh ujian dan dugaan. Berhati-hati ketika membuat keputusan untuk mengakhiri perkahwinan anda dengan perceraian kerana tersilap langkah, perceraian boleh menjadi bukan jalan terbaik untuk anda menyelesaikan masalah. Berwaspadalah….
****Siaran Mac 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan