Sejak akhir-akhir ini sering sangat kisah bayi dibuang, dibunuh atau ditinggalkan di merata-rata tempat termasuk tempat buangan sampah dipaparkan di dalam berita baik di media cetak ataupun elektronik. Seingat saya, dah agak lama juga kes buang bayi ini tak berlaku setelah agak kecoh dan riuh pada penghujung tahun 90-an. Menitis air mata saya melihat bayi-bayi comel tidak berdosa ini. Air mata akan mengalir laju apabila bayi-bayi tidak berdosa dan tidak pernah minta dilahirkan ke dunia ini akhirnya menemui ajal dek kerana sikap binatang ibu dan ayah sendiri. Setiap kali membaca kisah-kisah sedih ini, jika tidak dapat memeluk anak-anak, paling tidak pun saya pasti akan memandang sayang ke arah puteri dan putera saya serta saya akan meraba penuh kasih ke kandungan keempat saya (kandungan ketiga gugur pada awal Januari tahun lepas) yang kini berusia tiga bulan lebih.
Saya yakin, bukan saya sahaja yang berasa sedemikian. Setiap ibu yang pernah melahirkan malah kaum wanita yang masih belum ditakdirkan menjadi ibu tetapi mempunyai naluri seorang ibu, pasti turut merasakan apa yang saya rasai. Teringat satu kes yang saya terima lebih kurang dua tahun lepas, seorang ibu meminta pandangan bagaimanakah caranya untuk beliau kembali mendapatkan anak yang dilahirkannya tetapi kemudian diserahkan kepada orang lain lantaran ingin menutup malu kerana tika itu, anak yang dilahirkan itu bukanlah anak sah taraf? Walau terpisah kasih, si ibu masih beruntung kerana mengetahui siapakah yang menjaga dan memelihara anaknya. Bagaimana dengan kes bayi-bayi yang ditinggalkan begitu sahaja, si ibu tidak mengetahui apakah nasib anak yang dikandung dan dilahirkannya? Apakah si anak bahagia dijaga dan dipelihara oleh orang lain? Panjangkah usia si anak hingga sempat ditemui oleh orang lain untuk dijaga?
Allah Maha Besar. Hanya Dia yang Mengetahui apakah takdir bayi-bayi tidak berdosa ini. Namun, sebagai manusia terutamanya sebagai seorang Muslim, sememangnya kita wajib mempercayai kehendak takdir tetapi bukan bererti kita boleh terus menyerah begitu sahaja. Saya tidak tahu apakah yang berada di fikiran ibu atau ayah atau siapa sahaja yang sanggup meninggalkan bayi seorang diri di tepi longkang, tempat sampah ataupun di tangga pangsapuri? Tidak terfikirkah bagaimana jika bayi tersebut lapar? Dahaga? Digigit nyamuk atau semut? Paling bahaya jika terkena gigitan anjing? Nauzubillah min zalik. Sedangkan kanak-kanak belasan tahun pun masih belum mampu untuk mempertahankan diri, bagaimana bayi sekecil itu?
Saya faham, ibu yang membuang bayi (atau sanggup membunuh bayi sendiri) mengalami tekanan emosi yang amat kuat. Kebanyakan ibu-ibu ini adalah ibu yang melahirkan anak tidak sah taraf (walau ada kes melibatkan anak sah taraf tetapi dibuang/ditinggalkan kerana desakan hidup seperti masalah kewangan atau ditinggalkan suami). Namun, satu perkara yang ingin saya pohon dan rayu daripada kaum wanita di luar sana yang melahirkan anak tidak sah taraf ialah tanamkan di dalam hati dan fikiran anda, si kecil itu tidak berdosa dan dia tidak pernah minta dilahirkan ke dunia ini. Jangan berulang melakukan dosa besar semata-mata ingin menjaga maruah diri di mata dunia. Ke mana perginya maruah diri anda ketika asyik masyuk hingga anda bunting dan melahirkan si kecil? Ingatlah, cukuplah sekali anda melakukan dosa, jangan mengulangi dosa dengan menganiayai darah daging anda sendiri.
Saya tidak pelik jika lelaki enggan bertanggungjawab di atas kehamilan yang diberikannya kepada anda. Lelaki tidak mempunyai rahim (kasih sayang) sebab itulah mereka senang sekali menyuruh teman wanita yang dibuntingkannya menggugurkan bayi atau membuang bayi selepas dilahirkan. Lantaran itu jugalah, anak tidak sah taraf wajib dibin atau dibintikan dengan nama ibu atau pun Abdullah (hamba Allah) dan tidak dibenarkan oleh Islam untuk dibin atau dibintikan dengan lelaki yang bertanggungjawab menyebabkan kelahiran bayi tersebut malah sekiranya anak tidak sah taraf itu perempuan, si anak boleh berkahwin dengan lelaki yang menyebabkan kelahirannya ke dunia. Hanya di dalam kes-kes tertentu sahaja, anak tidak sah taraf ini boleh dibin atau dibintikan dengan si ayah. (Saya tidak dapat menjelaskannya di sini lantaran kemudharatan mengetahui maklumat ini adalah lebih besar daripada kemaslahatannya. Anda boleh mendapatkan maklumat ini daripada mereka yang berkelayakan).
Saya akui, tidak semua wanita yang melahirkan anak tidak sah taraf melakukan dosa zina. Ada kes bayi ini dilahirkan kerana si ibu diperkosa. Anda ditakdirkan untuk melahirkan bayi anda ada hikmahnya antaranya untuk anda mengenal pasti siapakah yang bertanggungjawab membuntingkan anda. Dalam keadaan seperti ini, sokongan daripada ibu bapa dan keluarga terdekat amat penting dan perlu. Jangan jadikan diri anak anda atau saudara perempuan anda hina semata-mata kerana beliau terpaksa mengandungkan dan melahirkan anak yang bukan hasil kerelaan dirinya. Seandainya anak anda atau saudara perempuan anda ditakdirkan mengandung hasil keterlanjuran yang disengajakannya, jangan dirinya dipinggirkan. Sikap anda yang meminggirkan dirinya akan memberikan kesan yang lebih buruk lagi kepada anak anda atau saudara perempuan anda itu.
Sedangkan Allah mengampunkan hamba-Nya, inikan pula anda yang sama taraf dengannya sebagai manusia yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan dan kesalahan. Selagi pintu taubat masih terbuka, sebagai ibu bapa dan saudaranya, anda berhak membimbing gadis atau wanita yang terlanjur ini ke jalan yang diredhai. Paling penting, anak yang dilahirkan dengan identiti anak tidak sah taraf ini mempunyai darjat yang sama dengan setiap bayi sah taraf yang lainnya. Bayi tidak sah taraf ini adalah bersih dan suci daripada segala dosa, ibarat kain putih dan anda, yang memelihara dan membesarkannya bertanggungjawab mendidiknya menjadi insan yang diredhai Allah. Kegagalan anda berbuat demikian semata-mata kerana identiti dirinya yang lahir sebagai anak tidak sah taraf adalah dilaknat dan dikutuk oleh Allah…..
****Siaran Mac 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan