Makin kerap pula aduan mengenai masalah apabila tinggal sebumbung dengan mertua sampai kepada saya sejak kebelakangan ini. Paling banyak adalah kes berkaitan menantu perempuan dan ibu mertua. Terus terang, saya tidak berpeluang merasai nikmat mempunyai mertua samada ibu mertua atau bapa mertua kerana suami saya adalah anak yatim piatu. Apabila mendengar kisah daripada rakan-rakan yang mempunyai hubungan yang baik dengan mertua, terasa cemburu di hati. Apabila mengetahui kisah duka dan masalah yang berlaku antara rakan-rakan lainnya dengan mertua masing-masing serta beberapa aduan daripada para pembaca majalah ini khususnya, terasa syukur ke hadrat Ilahi kerana saya tidak diuji dengan masalah-masalah tersebut. Namun, seperti yang sedia dimaklumi, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya. Samalah juga dengan isu berkaitan hubungan antara menantu dan mertua.
Hakikatnya, hubungan seorang menantu dan mertua sepatutnya menjadi seperti hubungan seorang anak dengan kedua ibu bapanya. Apabila seorang lelaki atau wanita menerima kehadiran seseorang sebagai pasangan hidupnya, seharusnya juga dia menerima ahli keluarga pasangannya itu terutamanya kedua ibu bapa pasangannya seperti ibu bapanya sendiri. Samalah juga dengan ibu bapa; mereka seharusnya menerima pasangan hidup anak mereka bagai anak sendiri. Apabila prinsip ini dipegang oleh menantu dan mertua, takkan timbul masalah di dalam hubungan antara menantu dan mertua, tak kiralah tinggal serumah dengan mertua ataupun tidak.
Kebanyakan aduan yang saya terima adalah daripada menantu yang merasakan kehadiran mereka di dalam rumah (bagi kes tinggal sebumbung dengan mertua) seolah menjadi pesaing kepada ibu mertua mereka sendiri. Bukan sahaja daripada menantu malahan ada ibu mertua yang mengadu menantu mereka seolah-olah ingin mengambil tempat mereka. Sebenarnya, situasi dan fenomena ini timbul kerana menantu dan mertua mengalami konflik di dalam memahami tugas dan tanggungjawab mereka yang sebenarnya. Sewajarnya isu persaingan antara menantu dan mertua tidak akan timbul sekiranya mertua memahami peranan dan tanggungjawabnya sebagai mertua dan ibu; dan menantu pula memahami tugas dan tanggungjawabnya sebagai seorang menantu dan isteri. Sebagai seorang mertua dan seorang ibu, anda mempunyai peranan untuk memastikan menantu anda mampu membahagiakan hidup anak anda. Anda perlu pastikan segala tugas, peranan dan tanggungjawab sebagai seorang isteri atau suami dilakukan oleh menantu anda sebaiknya agar hak anak anda tidak terabai. Jika menantu anda adalah isteri, jadikanlah menantu anda sebagai isteri yang menyenangkan hati anak anda. Jika terdapat kekurangan pada diri menantu anda, JANGAN DIHINA sebaliknya ASUH DAN DIDIKLAH menantu anda menjadi seorang isteri yang baik dan mampu membahagiakan anak anda.
Tidak perlu timbul persoalan mengenai anda bimbang kebajikan anak anda terabai sekiranya anda menjalankan peranan dan tugas seperti yang saya tegaskan di atas tadi. Tidak perlu timbul juga soal kasih anak anda beralih arah kerana anak anda akan tetap menjadi anak anda walau apa pun keadaan dan statusnya. Perlu diingat, terdapat perbezaan kasih dan sayang antara seorang ibu dan ayah kepada seorang anak, begitu juga kasih dan sayang antara seorang suami dan isteri. Anak anda mengasihi menantu anda sebagai isterinya atau suaminya, kasih sayang anak anda kepada anda pula adalah kasih sayang seorang anak kepada ibu atau bapanya. Walau sebaik mana pun anda memainkan peranan anda sebagai seorang ibu atau bapa, anda masih tidak mampu menjalankan peranan yang mampu dimainkan oleh menantu anda iaitu menunaikan kehendak batin anak anda. Lantaran itu, berlapang dada lah menerima kehadiran menantu anda ke dalam hidup anak anda.
Bagi seorang menantu pula, anggaplah segala tunjuk ajar daripada mertua anda sebagai satu pelajaran untuk anda lebih mengenali pasangan hidup anda. Ingatlah, ibu dan bapa pasangan andalah yang memelihara, menjaga dan membesarkan pasangan anda hingga mampu menjadi teman hidup anda. Merekalah insan yang paling rapat dengan pasangan anda sebelum anda hadir ke dalam hidupnya. Tidak wajar kehadiran anda membuatkan hubungan yang sedia terjalin menjadi renggang dan tidak mesra. Seperti yang saya tekankan dalam topik perbincangan dua minggu yang lalu, janganlah anda menyalah gunakan kasih sayang suami anda.
Sama seperti isu kasih sayang mertua anda dan pasangan anda, anda tidak berhak untuk rasa cemburu kepada mertua anda sendiri. Apalah salahnya suami anda bermanja dengan ibunya? Bukankah itu ibu yang mengandungkan, membesarkan dan menjaga pasangan anda dengan penuh kasih sayang hingga anda mampu menjadikan pasangan anda sebagai kekasih hati teman sehidup semati? Sewajarnya anda sebagai isteri, berusaha menambahkan rasa kasih dan sayang suami anda kepada ibu dan bapanya walaupun setelah mempunyai keluarga sendiri. Satu perkara yang perlu diingat, jika seorang anak mampu menjaga hati dan perasaan ibu dan bapanya dengan sebaik-baiknya maka lelaki atau wanita tersebut berpotensi menjadi pasangan hidup anda yang penyayang, pengasih dan ideal sepanjang hayat.
Sedarlah, dunia ini hanya pinjaman. Segala yang ada di depan mata kita termasuk juga suami, isteri, anak, ibu, bapa, rakan taulan dan harta benda juga adalah pinjaman. Gunakanlah sebaiknya menepati hak yang ditetapkan oleh Ilahi. Hormatilah hak orang lain, hak anda akan dihormati, insyaAllah.
****Siaran Julai 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan