27 Mei 2009

Seruan untuk ibu

Kes 1: Seorang wanita berusia awal 30-an telah mengalami keguguran lantaran tekanan perasaan yang dialami kesan daripada perbuatan ibunya. Si ibu telah bertindak mengherdik, mencaci maki malah menyumpah bahawa anaknya itu akan mengalami kesusahan sewaktu melahirkan nanti gara-gara sikap si anak yang meluahkan rasa sedih dengan sikap si ibu yang langsung tidak bertanyakan khabar dirinya yang sedang dalam trimester pertama kehamilan sebaliknya mempersoalkan mengenai wang hasil jualan keretanya.

Kes 2: Seorang lelaki berusia lewat 30-an mengalami koma untuk kali kedua tetapi berjaya sembuh hanya dalam masa dua minggu. Doktor yang merawat berasa takjub dan pelik kerana lelaki tersebut mengalami dua kali koma dalam tempoh masa yang amat pendek dan mampu pulih dalam masa yang juga agak cepat. Bila ditanya kepada lelaki tersebut kenapa situasi tersebut dialaminya, lelaki tersebut menjelaskan; dia amat tertekan dengan sikap ibunya yang selalu mendesak agar dia membiayai perbelanjaan bukan keperluan adik-adiknya antaranya membeli kereta baru untuk digunakan oleh si adik yang sedang belajar di IPT dan adiknya yang baru mendapat pekerjaan, dengan alasan tidak mahu menyusahkan adik-adiknya. Sedangkan lelaki tersebut tidak berpendapatan tinggi dan mempunyai isteri dan anak-anak yang lebih perlu diberikan perhatian. Paling membuat lelaki tersebut tertekan ialah setiap kali dia mempertikaikan keputusan si ibu, dia akan dikatakan sebagai anak derhaka. Namun demi memikirkan kebajikan isteri dan anak-anak, dia berjuang untuk segera pulih.

Dua kes yang saya kemukakan di awal perbincangan kali ini bukanlah kes ciptaan atau rekaan sebaliknya adalah kisah benar dan nyata yang berlaku di dalam masyarakat kita pada hari ini. Sebenarnya masih terdapat beberapa kes lain yang berkaitan namun memadailah dengan dua kes di atas. Paling penting, tujuan saya mengemukakan kes-kes ini ialah untuk panduan dan pedoman kita bersama terutama sekali kepada para wanita yang bernama ibu. Sebenarnya, saya telah pernah membincangkan mengenai isu yang sama di dalam dua topik perbincangan iaitu Benarkah Ibu Salahkan Anak dan Jangan Salah Guna Kuasa Sebagai Ibu dan kali ini, saya terpanggil untuk membincangkan isu yang sama sekali lagi setelah menerima beberapa emel berkaitan isu ini dengan satu harapan: bantulah saya puan, apa yang perlu saya lakukan? Sebelum saya bincangkan mengenai tindakan yang perlu dilakukan oleh si anak yang mengalami krisis kekalutan emosi ini, saya lebih suka untuk bincangkan mengenai peranan yang perlu dan patut dimainkan oleh si ibu kerana bagi saya, ibulah punca kepada kekalutan yang dialami oleh si anak. Bukan 100% menyalahkan si ibu atau membela si anak tetapi melihatkan kepada kes, si ibu perlu diperbetulkan dahulu dan tidak pelik kerana si ibu juga manusia biasa yang mempunyai kekurangan dan kelemahan. Walau anda adalah ibu, emak, ummi, mama atau apa juga panggilan yang anda gunakan, anda juga mempunyai had dan batasan di dalam memainkan karektor anda di muka bumi ini.

Semua memahami, setiap anak terikat dengan satu perkara: syurga di bawah tapak kaki ibu. Setiap kata ibu tidak boleh disangkal, setiap perintah ibu tidak boleh disanggah, setiap permintaan ibu hendaklah dipenuhi, setiap kehendak ibu hendaklah dipatuhi. Melawan, menolak, membangkang atau membantah bererti si anak telah menderhaka kerana di dalam ayat al-Quran jelas, berkata ‘uh’ sahaja sudah salah, apatah lagi lebih daripada itu. Namun, perlu diingat, walau ibu diberikan darjat yang tinggi sedemikian, ibu masih manusia biasa yang terikat dengan hukum dan peraturan syarak. Ibu tetap tertakluk kepada kata hukum: tidak boleh melampau batasan syarak. Syarak memerintahkan si anak menghormati dan mematuhi kata, perintah dan kehendak ibu selagi segalanya itu tidak berlawanan dan bercanggah dengan prinsip syariat. Prinsip syariat adalah luas, bukan bererti apa-apa kata, perintah atau kehendak yang tidak mendatangkan maksiat kepada Allah SWT semata-mata sebaliknya setiap kata, perintah dan kehendak ibu mestilah TIDAK BERLAWANAN DENGAN PERANAN, TANGGUNGJAWAB, KEWAJIPAN DAN HAK SI ANAK.
Islam memberikan ibu hak untuk dihormati oleh si anak kerana ibulah yang bersusah payah mengandungkan, melahirkan dan membesarkan si anak yang secara asas dan logiknya, penuh dengan kasih sayang walau masih ada kes ibu yang gagal memainkan peranan tersebut. Walaupun anda gagal, hak anda tetap tidak boleh dinafikan oleh sesiapa juga. Namun, satu perkara yang perlu diingat, hak untuk dihormati bukan bermaksud si anak perlu membalas segala susah payah anda selama ini. Sebagai ibu, anda tidak berhak membangkitkan atau mengungkit segala susah payah anda mengandungkan, melahirkan atau membesarkan anak anda. Kenapa tidak berhak? Kerana segala yang anda lakukan itu adalah kewajipan dan tanggungjawab anda. Anak anda tidak pernah meminta untuk dilahirkan ke dunia, kenapa si anak perlu membayar segalanya?

Malah, segala susah payah anda telah dinilai oleh Allah SWT. Selepas melahirkan, status anda adalah sama dengan status bayi anda, bersih dari segala dosa. Ketika menyusukan, setiap kali sedutan, anda akan diberikan pahala satu kebajikan. Banyak lagi kebajikan dan pahala yang Allah berikan kepada anda sebagai ibu, dengan syarat segalanya anda lakukan dengan ikhlas tanpa keluh kesah. Tak cukupkah lagi semua itu? Masih menginginkan anak anda membalas budi anda sedangkan anda tahu, budi bukan untuk dibalas? Sewajarnya sebagai ibu, anda mengharapkan yang terbaik di dalam hidup anak anda, bukannya menyusahkan anak anda dengan perkara-perkara yang di luar kemampuannya.

Kepada si anak, bersabar dan berdoalah, moga Allah memberikan kesedaran kepada ibu anda kerana ibu anda juga manusia biasa. Jangan ulangi sikap yang sama kepada anak-anak anda andai anda sendiri tidak sukakan perlakukan ibu anda kepada anda. Moha hidup kita semua lebih diredhai Allah Taala. Amin!!

****Siaran Julai 2007

Tiada ulasan: