19 Mei 2009

Tanggungjawab tetap satu tanggungjawab

Semalam saya berpeluang menemuduga seorang lelaki berusia awal 40-an bagi satu jawatan kosong. Tak perlulah saya jelaskan apakah jawatan yang dipohon. Tujuan saya membawa kisah temuduga tersebut ke dalam sesi perbincangan kali ini ialah untuk saya dan pembaca semua merenung dan meneladani kisah lelaki ini agar dapat dijadikan panduan dan iktibar. Lelaki ini asalnya dahulu adalah seorang yang amat berjaya. Tika berusia di awal 30-an beliau telah berjaya menempa nama sebagai boss paling muda antara firma-firma yang ada di seluruh negara. Dalam apa juga perancangan, segalanya akan berjalan lancar dan menggembirakan hati big bossnya. Namun, panas pagi tidak kekal ke petang, hujan tiba-tiba turun di tengahari. Itulah hakikat yang terpaksa diterima dan ditelan oleh lelaki ini. Sejak tiga tahun lalu, beliau tidak mempunyai pekerjaan. Gara-gara kegawatan ekonomi dan kegagalan big bossnya bertindak dengan cepat dan tepat, beliau kini menganggur. Hanya sesekali membuat kerja sambilan.

Bila ditanya kenapa beliau memohon jawatan yang ditawarkan kerana bagi saya, dengan pengalaman dan kelayakan yang ada, lelaki tersebut berhak mendapat yang lebih baik. Jawapannya cukup membuatkan saya kagum: ”Terus terang, saya nak dapatkan satu pekerjaan yang berpendapatan tetap dan mampu menyara kehidupan saya sekeluarga”. Mungkin ada yang pelik, apa yang nak dikagumkan? Memang semua orang akan memberikan alasan yang sama untuk mendapatkan pekerjaan. Ya, saya akui. Semua orang yang inginkan pekerjaan akan memberikan alasan yang sebegitu tetapi perlu diingat, tidak semua orang seperti lelaki tersebut: sanggup menjawat jawatan yang tidak setaraf dengan kelayakan dan pengalaman semata-mata ingin mendapatkan sejumlah pendapatan yang mampu menyara diri dan keluarganya. Saya yakin, ramai di kalangan pembaca yang pernah bersua dengan kes-kes lelaki yang enggan bekerja semata-mata kerana pekerjaan yang diterima tidak setaraf dengan kelayakannya.

Ingat lagi popular dialek Negeri Sembilan dengan watak terkenal Ujang? Saya tak pasti nama penyanyi atau tajuk lagunya tetapi saya masih ingat kata-kata Ujang yang maksudnya antara lain; takkanlah dengan kelayakan seorang siswazah, nak bekerja di sawah? Saya faham, masing-masing punya pendapat dan pendirian yang tersendiri. Kalaulah anda seorang gadis atau wanita, saya tak lah nak kecoh sangat tetapi yang ingin saya tegaskan di sini ialah, jika anda seorang lelaki, anda tidak boleh bersikap pemilih seperti Ujang. Kenapa? Kerana sebagai seorang lelaki, anda mempunyai tanggungjawab yang berat. Jangan sangka anda bebas daripada melaksanakan tanggungjawab jika anda tidak mempunyai pekerjaan yang setaraf atau sesuai dengan kelayakan anda. Jangan juga menyangka, anda masih boleh bebas selagi tidak memikul amanah sebagai seorang suami.

Perlu diingat! Sebagai seorang lelaki, anda adalah bertanggungjawab sepenuhnya ke atas diri anda apabila anda dikategorikan sebagai mampu berdikari. Mampu berdikari bererti anda telah cukup umur, tidak terikat dengan tanggungjawab untuk belajar yang selayaknya dan boleh menggunakan tulang empat kerat anda untuk mengadakan hidangan untuk disuap ke mulut anda sendiri. Bermaksud, apabila anda telah tamat pengajian, anda wajib melakukan apa juga jenis pekerjaan yang dapat memberikan hasil agar anda mampu mengenyangkan perut anda sendiri. Bukannya masih mengharapkan keringat ibu bapa anda untuk membasahkan tekak anda. Bukan juga mengharapkan duit daripada ibu bapa anda untuk mengisi minyak motosikal atau kereta, untuk membeli minyak rambut atau rokok atau apa sahaja.

Apabila anda telah berkahwin, tanggungjawab anda juga bertambah. Jangan menyangka apabila anda mempunyai isteri yang mempunyai pendapatan tinggi atau berasal daripada golongan orang berada, anda tidak perlu lagi mengambil kisah tentang makan minum, pakaian dan lain-lain kebajikan isteri anda. Terus terang, masih ramai lelaki yang enggan menerima hakikat yang satu ini: bahawa mereka turut bertanggungjawab ke atas isteri yang bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri. Sebaliknya masih ramai juga lelaki yang beranggapan bahawa jika si isteri bekerja, segala pendapatan isteri adalah hak mereka, konon kerana mereka mengizinkan isteri bekerja. Malah, ada juga mertua yang beranggapan demikian. Pendapat sebegini adalah pendapat yang salah dan mengikut nafsu semata.

Hakikat yang pasti, pendapatan seorang isteri adalah hak isteri sepenuhnya walaupun si isteri bekerja dengan izin dan redha suami. Jika suami menginginkan walau sesen pun hasil pendapatan isteri maka ianya adalah dikira sebagai hutang yang perlu dijelaskan walaupun isteri tidak menuntut. Kenapa? Kerana suami TETAP BERTANGGUNGJAWAB SEPENUHNYA KE ATAS DIRI ISTERI DAN ANAK-ANAK WALAUPUN SI ISTERI MAMPU MENYARA DIRI SENDIRI DAN ANAK-ANAK. Sebagai suami, anda perlu menyediakan makan, minum, pakaian dan tempat tinggal yang selesa untuk isteri dan anak-anak. Anak-anak pula wajib diberikan pendidikan dan pembelajaran yang secukupnya.

Ingatlah wahai lelaki, tidak ada alasan untuk anda melarikan diri daripada tanggungjawab kerana tanggungjawab anda tetap satu tanggungjawab yang tidak ada rukhsah atau pengecualiannya.

****Siaran Jun 2007

Tiada ulasan: