07 Disember 2009

Amalkanlah anak orang anak kita

Artikel ini saya sediakan agak lewat, sehari selepas deadline. Memang di luar jangkaan sebabnya saya terpaksa mengambil cuti kecemasan sejak Isnin hinggalah Khamis kerana anak ketiga saya, baru berusia enam bulan 10 hari mengalami demam yang tinggi. Mulanya, hampir jam 6.00pm Jumaat, saya mendapat panggilan daripada taska, bayi saya demam dan muntah-muntah. Terkejut jugak sebab pagi tadi bayi saya sihat-sihat saja. Ketika mengambil bayi di taska, memang perasan bayi saya agak lemah. Ketika mendapatkan rawatan di sebuah klinik swasta berdekatan, suhu badan anak saya 38.7°C. Nafas anak saya juga seakan berombak. Saya dinasihatkan agar merujuk kes anak saya ke hospital kerajaan.

Hmmm… sebelum ni saya memang dah banyak kali sangat dengar kes-kes lambat kat klinik atau hospital kerajaan tapi agaknya rezeki saya, tak pula saya terkena kes-kes yang saya boleh kategorikan segera maka saya masih boleh menerima kelambatan yang diperkatakan. Namun, kes kali ini memang membuatkan saya menyinga. Beza nombor saya dengan pesakit sedang dirawat hanyalah enam orang tetapi saya perlu menunggu hampir dua jam barulah berjaya menemukan anak saya dengan doktor. Apa tidaknya, ada lima bilik rawatan, hanya dua bilik yang berfungsi. Bayangkanlah keadaan saya memujuk bayi yang tak sihat, dengan keadaan yang saya tak pasti kondisinya. Memanglah demam bukan kecemasan tetapi demam yang tinggi begitu bagi seorang bayi adalah satu kes kecemasan. Memang saya marah betul.

Tambah buat saya marah bila doktor tanya: Selalu mandikan baby kul baper? Yang dapat saya jawab: Kalau dengan saya memang mandi awal la dalam kul 9 sebab saya mandikan dengan air suam. Kalau kat taska, saya tak pasti la pulak.

Mmm… kemungkinan baby akak ni dimandikan lewat ni, sebab tu dia demam tinggi. Menyirap darah saya mendengar jawapan tersebut. Teringat kisah hampir tiga minggu lepas. Seminggu selepas bayi saya mula ditinggalkan kat taska, saya perasan bayi saya batuk-batuk di awal pagi, batuk seakan berkahak. Saya syak bayi saya dimandikan dengan air sejuk. Bila saya tanyakan kepada pengasuh di taska, seorang demi seorang mengelak daripada memberikan jawapan. Hmmm… cara paling tak baik mengelak diri kan? Bila saya ingatkan agar mandikan bayi saya dengan air suam, seorang pengasuh bersuara: Kalau cam tu, mandikan tengahari sikit la. Jawapan tersebut segera saya pintas; tak boleh la cam tu, nanti demam pulak. Saya bagitau pemilik taska, yang memang saya dah kenal lama. Terkejut dia sebabnya air suam memang disediakan, bererti pengasuh sengaja malas nak mandikan dengan air suam. Jadi, bila doktor mengeluarkan kenyataan tersebut, memang membuat saya betul-betul marah. Buat saya tambah marah, geram dan sedih bila selepas dua hari, bayi saya masih demam dan berak-berak cair hingga perlu ditahan di wad selama 2 hari. Bezanya, marah saya tidak boleh saya lepaskan kepada sesiapa.

Jika anda di tempat saya, apakah anda juga akan marah? Atau ada yang boleh menerima keadaan tersebut dengan berlapang dada? Saya juga boleh menerima sebab semuanya sudah terjadi, semuanya telah ditakdirkan. Apa yang terjadi hanyalah sebagai sebab dan alasan untuk sesuatu kejadian itu berlaku. Cuma perkara-perkara begini masih boleh dielakkan. Itu yang penting. Jika para pengasuh mengambil sikap, anak-anak yang dijaga di taska adalah anak-anak mereka, insyaAllah kejadian tidak diingini oleh mana-mana ibu bapa, bukan saja saya, tidak akan berlaku. Tak kisahlah la pengasuh taska ker, pengasuh kat rumah ker, pembantu rumah ker, SIAPA JUGA ANDA YANG MENGAMBIL AMANAH UNTUK MENJAGA ANAK ORANG LAIN, ANDA WAJIB MENJAGA MEREKA DENGAN BAIK, bukan sekadar lepas tangan dan cukup bulan, dapat bayaran.

INGAT! IBU BAPA MENGHANTAR ANAK MEREKA KEPADA ANDA UNTUK DIJAGA DENGAN SEBAIKNYA, DENGAN PENUH KASIH SAYANG, DENGAN PENUH KEJUJURAN DAN KEIKHLASAN. Bukan menginginkan jagaan sambil lewa. Jam 7am dihantar, jam 7pm diambil semula. Kebanyakan masa siang atau masa celik anak-anak adalah bersama anda. Saya akui, bayaran RM200 atau RM300 untuk seorang anak belum cukup untuk anak itu mendapat semuanya yang perlu dan boleh diberi oleh seorang ibu jika ibu sendiri yang menjaga dan membesarkannya. Tetapi bukan bererti, bayaran yang tidak setimpal itu membolehkan anda menganiaya anak orang sesuka hati.

Cuba letakkan diri anda di tempat ibu bapa yang terpaksa meninggalkan anaknya kepada orang lain… apa yang anda rasa? Bersyukurlah dengan adanya kami ibu bapa yang terpaksa meninggalkan anak kepada anda, membantu anda mendapatkan saraan hidup. Kalau bukan saraan penuh pun, membantu juga kan?? Persoalan kewangan bukan perkara utama sebaliknya TANGGUNGJAWAB DAN AMANAH yang anda terima daripada ibu bapa yang perlu anda laksanakan.

INGAT! Jagalah anak-anak yang dipertanggungjawabkan kepada anda bagai menjaga anak anda sendiri. Fikirkan, jika anak anda diperlakukan sama seperti apa yang anda lakukan kepada anak orang lain, bolehkah anda menerimanya dengan hati yang senang? TOLONGLAH!! Saya merayu… janganlah kes yang berlaku kepada anak saya berulang kepada anak orang lain.

****Siaran April 2008

1 ulasan:

mama aunirayyan berkata...

sy amat bersetuju dgn peringatan di dlm artikel ini..kerana sy juga menghantar 2 org anak sy ke nursery.Setakat ini sy berpuas hati dgn nursery tmpt anak2 sy ditinggalkan ini.Saya nmpak sendiri kemesraan dan meriahnye anak2 sy dan anak2 org lain bergurau senda dgn penjaga mereka.Lebih2 lagi setiap bulan akan diadakan majlis sambutan harijadi bg budak2 yg lahir pd bulan2 tersebut dan tidak pulang dgn tgn kosong. Sy juga nmpak kemesraan mereka dgn anak kedua sy yg baru berusia 3 bulan apabila berkali2 penjaga mencium anak sy sebelum melepaskan anak sy balik.Sy harap supaya kebanyakan nursery/taska pun akan melakukan perkara yg sama memandangkan kita sesama mencari rezeki yg halal.Ibubapa menghantar anak2 ke nursery/taska atas sbb perlu bekerja mencari rezeki.