13 Mac 2010

Anakku bukan anakku siri 1

Ini bukan perbincangan tentang satu cereka dari Indonesia yang ditayangkan di satu rangkaian televisyen. Sebaliknya saya nak kongsi mengenai satu kes yang saya kendalikan pada pertengahan April yang lalu. Sepasang suami isteri berjumpa saya memohon penjelasan, bagaimanakah caranya si suami hendak membatalkan nama pada surat kelahiran anak yang dilahirkan oleh bekas isterinya beberapa tahun dulu, sebelum perkahwinan terkini.

Situasi kes: isterinya tika itu mempunyai hubungan dengan rakan sekerja dan hubungan sulit tersebut dapat dihidu olehnya. Isteri memohon maaf dan berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Suami memaafkan dan tidak lama, isteri disahkan hamil sedangkan suami yakin sangat, tika tempoh yang memungkinkan wujudnya benih tersebut, suami tidak bersama dengan isteri. Isteri mengakui kesilapan dan memohon maaf berulang kali. Suami bermunajat memohon petunjuk dan akhirnya suami mengambil pendirian, memaafkan dan menutup kes kecurangan si isteri tambahan pula si isteri daripada golongan yang disegani. Selepas kelahiran, sah dan nyata anak tersebut bukan daripada suami kerana darah yang amat berbeza malah wajah langsung tidak ada iras isteri atau suami sebaliknya mirip rakan sekerja. Dipendekkan kes: isteri kembali berkelakuan sumbang dengan lelaki lain pula dan akhirnya si suami menceraikan si isteri.

Ketika berjumpa saya, lelaki (bekas suami) telah berusaha membatalkan namanya pada surat lahir anak yang bukan anaknya itu melalui permohonan kepada Jabatan Pendaftaran malangnya hampir dua tahun, masih belum ada kata putus. Setelah mendengar penjelasan kes, satu perkara yang dikenalpasti ialah proses pertukaran nama sukar diproses kerana tidak ada perintah khusus daripada Mahkamah.

Bagi mendapatkan perintah tersebut, suami perlu membuktikan isterinya sudah berzina dan ini menjadi beban kepadanya melainkan suami sendiri nampak dengan mata kepalanya atau dapat mengemukakan saksi di mahkamah yang boleh memberi bukti isterinya melakukan zina. Sebaliknya, jika suami tidak melihat kejadian itu ataupun tiada saksi yang menyaksikan isteri berzina, suami diharuskan oleh hukum syarak untuk menuduh isterinya berzina atau menafikan nasab anak yang dikandung atau dilahirkan adalah anaknya dengan cara berli'an. Li'an adalah sumpah seorang suami apabila dia menuduh isterinya melakukan zina tanpa saksi atau menafikan kandungan isterinya bukan daripada benihnya dan isterinya bersumpah menafikan tuduhan suaminya.

Mengikut peruntukan undang-undang, seorang lelaki boleh berli'an menafikan anak yang lahir daripada isteri atau bekas isterinya itu sebagai anaknya (dalam tempoh empat tahun selepas perceraiannya dengan syarat bekas isteri tidak berkahwin lain dalam tempoh empat tahun itu.) Jika lelaki itu tidak berli'an, maka anak hendaklah dinasabkan kepadanya.

Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 di bawah Seksyen 110 mempunyai peruntukkan seperti berikut:- “Jika seorang perempuan berkahwin dengan seorang lelaki melahirkan seorang anak lebih daripada enam bulan qamariah dari tarikh perkahwinan itu atau dalam tempoh empat tahun qamariah selepas perkahwinannya dibubarkan sama ada oleh sebab kematian lelaki itu atau oleh sebab perceraian, dan perempuan itu pula tidak berkahwin semula, maka lelaki itu hendaklah disifatkan sebagai bapa anak itu, tetapi lelaki itu boleh dengan cara lian atau kutukan menafikan anak itu sebagai anaknya di hadapan mahkamah.”

Li'an adalah jalan terbaik jika suami yakin bahawa anak yang bakal dilahirkan atau telah dilahirkan oleh isterinya bukan daripada darah dagingnya. Suami perlu bersumpah di hadapan mahkamah bahawa anak itu bukan anaknya dan jika dia berbohong maka Allah akan melaknatnya. Sumpah dibuat dengan nama Allah dan si suami menyebut: "Saya naik saksi dengan nama Allah bahawa isteri saya sudah melakukan zina" atau "Saya naik saksi dengan nama Allah bahawa anak yang dikandung (atau dilahirkan) bukan dari benih saya."

Sumpah itu hendaklah diulang sebanyak empat kali berturut-turut dan akhir sekali si suami akan melafazkan: "Sesungguhnya Allah melaknat saya jika saya berdusta" dan sumpah ini hanya diulang sekali saja. Bagaimanapun, tuduhan suami hanya akan bersabit selepas isteri tidak mahu bersumpah. Jika isteri sanggup bersumpah maka segala tuduhan suami dengan sendirinya akan tertolak. Sama seperti suami, isteri perlu bersumpah dan sumpah dibuat dengan nama Allah. Isteri menyebut: "Saya bersaksi kepada Allah, saya tidak berzina" atau "Saya bersaksi kepada Allah, kandungan ini dari benih suami saya." Sumpah itu juga hendaklah diulang sebanyak empat kali berturut-turut dan akhir sekali si isteri akan melafazkan: "Bahawa suami saya berdusta, dan kemurkaan Allah ke atas saya jika suami saya bercakap benar" dan sumpah ini hanya diulang sekali saja.

Dari segi hukum syarak, li'an memberi impak besar kepada hubungan suami isteri. Hubungan perkahwinan akan berakhir dan mereka tidak boleh merujuk semula. Li’an adalah termasuk dalam kategori bain kubra iaitu satu bentuk perceraian yang tidak boleh dirujuk sampai bila-bila. Selain daripada itu, anak tidak boleh dinasabkan kepada suami dan hendaklah dinasabkan semata-mata kepada ibunya. Suami juga tidak diwajibkan membayar nafkah anak.

***bersambung minggu depan untuk perbincangan anak yang dikandungkan sebelum akad perkahwinan***

****Siaran Ogos 2008

Tiada ulasan: