08 Mac 2010

Panduan menjadi surirumah profesional

Tak percaya? Siapa kata surirumah tak boleh jadi profesional? Tak semestinya anda perlu bekerja baru boleh dikatakan professional. Tak semestinya juga anda perlu punya diploma atau ijazah kemudian tinggal di rumah menjadi surirumah, baru boleh dikategorikan sebagai profesional. Surirumah juga adalah satu kerjaya yang amat mencabar malah lebih mencabar daripada semua kerjaya yang ada walau hakikatnya anda tidak diberikan sejumlah pendapatan bagi hasil kerja anda pada setiap ujung bulan. Malah, hasil kerja anda adalah asas utama kepada setiap pembangunan negara. Malangnya, tidak ramai yang sedar tentang hakikat ini termasuk mereka yang memegang jawatan surirumah.

Perbincangan saya kali ini adalah untuk menyedarkan kita semua tentang betapa pentingnya tugasan seorang surirumah dan betapa surirumah juga adalah satu kerjaya profesional dan insyaAllah, saya akan berikan beberapa panduan untuk anda mencapai tahap profesional tersebut. Perkara paling utama ialah anda perlu berbangga dengan kerjaya anda sebagai surirumah. Rata-rata wanita yang saya jumpa semacam malu bila memperkenalkan diri sebagai surirumah. Kenapa perlu malu? Anda sepatutnya berbangga kerana anda adalah pemangkin kepada segala pembangunan yang ada. Mungkin sebelum ini anda tidak sedar tentang perkara ini dan kini anda telah tahu maka mulai hari ini, tanamkan rasa bangga di dalam diri kerana memegang jawatan sebagai surirumah.

Perkara kedua; lakukan segala kerja dengan rasa rela dan gembira. Saya faham, kerjaya sebagai surirumah tak kenal erti rehat apatah lagi erti tamat. Bak kata Labu dalam cerita Labu Labi: “selagi tak tutup mata, kerja kerja kerja…”. Saya pernah kendalikan beberapa kes yang melibatkan suami yang tak nampak sumbangan isteri yang bekerja di rumah menguruskan rumahtangga dan anak-anak. Bagi golongan seperti ini, isteri hanya tau goyang kaki, duduk rumah tonton televisyen dan makan itu ini sepanjang hari. Jika anda tergolong dalam kumpulan tersebut, saya cadangkan agar anda berikan satu hari cuti kepada isteri anda. Hanya satu hari!! Anda akan tahu apa sebenarnya tugas isteri anda di rumah. Saya masih ingat cerita sahabat saya, rakan sepengajian di UM dan kini adalah seorang surirumah. Satu hari sahabat saya ini demam teruk. Masuk hari kedua, suami sahabat saya meluahkan isi hatinya agar isterinya itu segera sihat sebab tak larat melihat keadaan rumah yang tak terurus dan bimbang, si suami pula yang akan sakit teruk.

Mungkin anda juga pernah membaca forwarding email tentang satu kisah hampir sama. Seorang suami yang baru balik dari kerja melihat kawasan tamu rumahnya bersepah dengan mainan anak-anak. Si suami terus memanggil isteri dan marah-marah. Antara perkataan marah yang dihamburkan ialah: “Apa yang kamu buat kat rumah ni kalau mainan ni pun tak boleh nak kemaskan?” Esoknya, suami sampai ke rumah dan melihat si isteri sedang berehat di buaian. Tak pedulikan isteri, suami terus masuk ke rumah. Suami terkejut melihat keadaan rumah yang bagai tongkang pecah. Segala-galanya bersepah, dari ruang dapur ke ruang tamu terus ke tingkat atas. Suami segera berjumpa isteri dan tanyakan, kenapa rumah mereka jadi begitu? Isteri hanya menjawab; “Semalam kan abang tanya, apa yang saya buat kat rumah? Hari ni saya tak buat apa-apa kerja yang saya buat sebelum ni, jadi inilah jadinya.” Mungkin cerita rekaan tetapi penuh pengajaran.

Di samping itu, anda perlu jaga penampilan diri. Siapa kata anda tak boleh bersolek jika di rumah? TIdak ada salahnya anda memakai pakaian yang kemas dan cantik untuk lakukan kerja-kerja rumah. Buang prinsip “duk rumah jer, tak per!!” sebaliknya tanam prinsip, “kemas dan cantik walau di mana berada dan bila-bila masa”. Saya teringat luahan hati seorang suami, dia tak suka berada di rumah waktu cuti sebab terpaksa melihat isterinya yang hampir menyerupai hantu dengan pakaian selekeh dan rambut yang tak terurus. Jika sedemikianlah penampilan anda, jangan bising dan kecoh jika suami cari lain kat pejabat.
Perkara paling penting yang perlu setiap surirumah lakukan bagi memantapkan keprofesionalan kerjaya anda ialah anda perlu belajar dan mengajar. Tak der masa? Tak cukup wang? Saya tak mintak anda ikuti kursus-kursus kat kolej. Anda boleh belajar daripada rancangan televisyen, rancangan radio malah anda sekarang ini kebanyakan rumah ada komputer dan internet, gunakan peluang tersebut untuk belajar. Memang kerja anda banyak dan tak habis-habis namun anda perlu bijak menguruskan segala kerja anda. Anda juga perlu ajar anak-anak menguruskan keperluan mereka sendiri. Contoh paling mudah, ajar anak-anak mengemaskan semula mainan selepas selesai bermain, kemaskan bilik tidur dan ajar anak-anak mengangkat pinggan sendiri ke sinki. Bila dah besar sikit, ajar pula untuk mencuci.

Bila anda bijak mengatur setiap keperluan dan pengurusan rumahtangga dan anak-anak, anda bukan saja dapat memudahkan segala kerja anda sebaliknya anda menyediakan anak-anak anda menjadi seorang yang bertanggungjawab. Malah, anda boleh lakukan kerjaya sampingan untuk tabungan anda sendiri dan boleh juga membantu kewangan suami. Ingat!! Berbanggalah dan tingkatkan keprofesionalan anda sebagai surirumah. Mak saya juga seorang surirumah dan jika Mak saya boleh, anda juga pasti boleh!!

****Siaran Ogos 2008

1 ulasan:

Manah berkata...

kita kena kembali kepada perlaksanaan hukum Allah, dahulukan iman barulah akal. itulah jalan penyelesaian masalah zina dan anak tak sah taraf ini.