11 Mac 2010

Selarikan kehendak dan doa

Tiga bulan sebelum ini, saya berdepan dengan seorang klien yang ragu-ragu tentang apakah yang perlu dilakukannya? Dia adalah seorang isteri yang dibiarkan ‘sepi dan sendiri’ dah lebih 10 tahun sejak hari pertama perkahwinan. Tak pasti apakah masalah suaminya tetapi si isteri mula rasa bosan dan bengang namun dalam masa yang sama si isteri masih tetap sayang kerana suaminya sempurna dalam semua perkara kecuali gagal menunaikan nafkah batinnya. Ketika bertemu saya, kesnya akan dibicarakan di Mahkamah Syariah kurang dari seminggu dan si isteri keliru, wajarkah untuk meneruskan kes atau pun tidak? Bila saya tanyakan, kenapa keliru? Jawapan isteri, dia masih rasa sayang tetapi dalam masa yang sama dia rasa amat tertekan dan kerana tekanan tersebut, dia panjangkan kes ke Mahkamah. Biasalah tu, bila tekanan menghimpit perasaan, keputusan memang sukar berpaksi atas nama kewajaran.

Bila semakin panjang sesi perbualan, saya dapat tahu bahawa wanita ini masih sayangkan suami cuma amat tertekan bila kehadirannya tidak dipeduli malah pernah ditolak bila cuba menggoda suami sendiri. Bukan sehari dua, bukan sebulan dua tetapi dah lebih 10 tahun. Si isteri bersabar kerana bimbang bergelar janda dan dalam masa yang sama, komitmen suami tinggi sebagai seorang ketua rumahtangga bezanya suami gagal menunaikan kehendak batinnya. Hanya selepas tempoh yang agak lama, si isteri berani mengadu ke pihak berwajib dan mengemukan kes. Cuma isteri keliru, wajarkah dia bertindak sedemikian? “Sepanjang tempoh ini, apa doa Puan?” Memang itu adalah soalan rutin saya. Jawab si isteri: “Saya berdoa agar perkahwinan kami selamat.”

Saya tersenyum mendengar jawapan si isteri. Mungkin ada antara anda yang faham maksud senyuman saya tika itu. Ya! Doa si isteri dimakbulkan. Allah dah janji, mintaklah dan Dia akan makbulkan. Di dalam kes ini, permohonan si isteri dimakbulkan walau hakikatnya itu bukan kehendaknya yang sebenar. Kenapa saya katakan bukan kehendak sebenar? Sebab si isteri bukan saja nakkan perkahwinannya selamat tetapi inginkan seorang suami yang sebenarnya: mampu menunaikan tanggungjawab zahir dan batin. (Jangan ingat hanya suami sahaja ada kehendak batin, isteri juga perlu dipenuhkan kehendak batinnya.)

Dah nyata, kehendak tak selari dengan doa. Ya! Allah itu Maha Mengetahui. Dia memang faham dengan segala yang terbuku di minda dan hati anda tetapi dah rutinnya, anda akan dapat apa yang anda minta walau ada tikanya, anda akan terima sesuatu yang bukan kehendak anda. Itu kerja Dia, kerja kita sebagai makhluk adalah untuk memohon dan meminta dengan telus dan terterus terang. Analoginya mudah. Anda minta suami anda ke pasar dan belikan ikan tanpa memberitahu jenis ikan yang anda inginkan. Kemungkinan besar ikan yang suami anda belikan adalah berbeza daripada kehendak anda walau hakikatnya suami anda sudah faham dengan selera dan kegemaran anda. Lantas, berterus terang dan nyatakan dengan jelas.

Ramai daripada kita yang masih belum faham hakikat berdoa yang sebenarnya. Ada yang meminta orang lain yang dirasakan lebih alim atau warak berdoa bagi pihaknya. Ada yang mencari dan membeli buku himpunan dan berusaha membaca walau merangkak dan teragak-agak. Tak kurang juga yang berusaha mengerjakan solat hajat dan istikharah bagi mendapatkan petunjuk Ilahi. Saya tak kata segala tindakan dan perbuatan tersebut salah cuma kurang tepat. Kenapa perlukan orang lain berdoa untuk anda sedangkan hanya anda sendiri yang betul-betul faham dengan kehendak anda? Kenapa perlu membaca bacaan doa yang anda langsung tak faham apakah yang anda sedang minta? Kenapa perlu tunggu waktu solat hajat atau istikharah untuk mengemukakan hajat dan permintaan anda kepada Allah?

Semua orang maklum, Allah itu Maha Mengetahui. Luahkan segala hasrat hati anda kepada-Nya sama seperti anda meluahkan masalah anda kepada saya atau siapa sahaja yang anda percayai bagi merungkaikan permasalahan anda. Berterus terang mengenai perasaan anda dan ucapkan juga apakah permintaan anda. Allah akan faham setiap perkataan anda tak kira dalam bahasa apa sekalipun yang anda gunakan kerana Dia Maha Mengetahui. Jangan fikir diri anda kotor atau hina kerana Allah itu Maha Pengampun. Serahkan dan dekatkan diri anda kepada-Nya, Dia akan dekat dengan anda. Berdoalah bila-bila masa tak kira sedang bekerja, memasak atau apa sahaja. Bila teringatkan kehendak anda, berhenti seketika, bermunajat kepada-Nya dan berdoalah.

Seperti yang saya tegaskan daripada awal, berdoa minta kehendak anda namun perlu diingat, kehendak anda belum tentu adalah yang terbaik. Lantas, praktikkan untuk berdoa memohon yang terbaik. Sebagai contoh kes yang saya kemukakan awal tadi, berdoalah minta jika meneruskan perkahwinan adalah yang terbaik untuk anda dan suami, mohon agar suami berubah sikap menjadi seorang suami yang dapat melaksanakan tanggungjawab nafkah zahir dan juga batin. Jika sebaliknya, mohon agar dimudahkan jalan untuk mengakhiri perkahwinan anda.

Paling penting, doakan agar apa juga keputusan terbaik yang diberikan oleh-Nya, anda akan kekal tabah dan kuat untuk meneruskan hidup dan dapat terima dan percaya, ada hikmah di sebalik setiap ketentuan-Nya.

****Siaran Ogos 2008

Tiada ulasan: