Baru-baru ni saya terima satu emel yang mengandungi pendapat; isteri tidak perlukan izin suami untuk merancang keluarga. Isu ini telah saya bincangkan di dalam blog saya. Tumpuan saya kali ini ialah tentang satu soalan yang lahir rentetan daripada komen saya berkenaan pandangan tersebut; kenapa isteri perlukan izin suami dalam setiap tindakannya kecuali di dalam beberapa perkara tertentu? Malah, seorang lelaki secara telus meluahkan, tidak suka dengan arahan tersebut yang seolah-oleh menyekat kemahuan isteri. Terkejut juga pendapat sedemikian keluar daripada buah fikiran seorang lelaki. Ya lah, manusia kan punya pelbagai ragam.
Tak kiralah apa pendapat atau pandangan anda, secara mudah dan jelasnya Islam memang menetapkan, isteri perlu malah wajib mendapatkan izin suami dalam setiap tindakan yang ingin dilakukannya kecuali bagi melaksanakan perintah Allah yang wajib, kerana suaminya itu adalah ketua keluarga. Tak kiralah suami itu mempunyai latar belakang pendidikan yang lebih rendah berbanding isteri atau mempunyai pekerjaan atau pendapatan yang lebih sikit berbanding isteri atau si suami merupakan pekerja bawahan kepada isterinya sendiri, suami tetap menjadi ketua keluarga, yang wajib dihormati, ditaati dan diminta izin untuk melakukan apa juga tindakan di dalam kehidupan harian si isteri kecuali di dalam perkara berkaitan kewajipan melaksanakan perintah Allah dan Rasul-Nya.
Di dalam satu firman Allah SWT yang bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah telah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita …….” – surah al-Nisa’ ayat 34. Di dalam satu hadis pula, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sekiranya aku boleh menyuruh seseorang supaya sujud kepada orang lain tentu sekali aku akan menyuruh isteri sujud kepada suaminya.” – hadis riwayat Abu Daud dan al-Hakim.
Dua dalil ini adalah antara beberapa dalil yang menunjukkan dan membuktikan kepada kita semua keperluan seorang isteri mentaati dan menurut cakap dan kata-kata suami yang tidak melanggar hukum dan kehendak syarak.
“Ya lah! Takkan itu jer sebabnya? Sebab dah ada dalil dalam al-Quran dan al-hadis? Sebab lelaki ada keistimewaan? Zaman sekarang ni, dah ramai kaum wanita yang mampu mencapai setiap perkara atau tindakan yang boleh dilakukan oleh lelaki, masih perlukah suami jadi ketua keluarga?” Tak mustahil ada suara-suara yang melontarkan soalan sebegini.
Semua orang tahu, setiap perkara yang ditentukan dan ditetapkan oleh Allah SWT mempunyai alasan dan sebab yang tersendiri. Sama lah juga kenapa kaum lelaki atau suami dijadikan ketua di dalam rumahtangga. Perkara paling utama ialah kerana suami dipertanggungjawabkan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak. Hai! Zaman sekarang ni, dah ramai pun isteri yang bekerja dan menanggung diri sendiri malah ramai juga yang menanggung suami. Saya akui kebenaran tersebut namun hukum asal tetap mengatakan suami yang wajib memberikan nafkah. Jika berlaku berbeza daripada ketetapan asal, anda diberikan jalan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Satu perkara paling penting dan tak mungkin akan berlaku sebaliknya biar apa juga keadaannya ialah suami adalah orang yang bertanggungjawab mempastikan setiap ahli keluarganya berada di landasan yang betul, sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya ialah manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras lagi kasar (layanannya); mereka tidak pernah derhaka kepada Allah dalam setiap perkara yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” – surah al-Tahrim ayat 6.
Lanjutan daripada perintah Allah SWT ini meletakkan peranan dan tugas berat suami sebagai ketua keluarga. Suami yang gagal menjalankan peranan dan tanggungjawab ini, bukan saja membawa ahli keluarganya ke jalan yang tidak diredhai Allah malah meletakkan dirinya turut berada bersama mereka. Kenapa? Kerana suami yang gagal mendidik isteri dan anak-anak atau gagal menyuruh isteri dan anak-anak melaksanakan setiap perintah dan meninggalkan setiap larangan Allah dan Rasul-Nya, akan turut sama menerima dosa yang dibuat oleh isteri dan anak-anaknya.
Isteri dan anak-anak tak solat, suami biarkan... suami juga menanggung dosa pengabaian solat oleh isteri dan anak-anak. Isteri dan anak-anak (tak kiralah lelaki atau perempuan sebab setiap lelaki dan perempuan mempunyai ketetapan aurat yang perlu dipelihara) yang tidak menutup aurat sewajarnya seperti kehendak syarak, dosa mendedahkan aurat ini bukan sahaja ditanggung oleh isteri dan anak-anak tersebut sebaliknya turut ditanggung oleh si suami. Tak cukup dengan dosa sendiri, kaum lelaki bernama suami dan ayah ini akan turut membawa dosa isteri dan anak-anak mereka juga bersama mereka ke akhirat.
Lantaran itulah, nama sebagai ketua keluarga bukan satu kemegahan malah bukan kebanggaan sebaliknya satu tanggungjawab.
****Siaran Disember 2008
1 ulasan:
jikalau suami itu seorang yang buta agama..hinggakan si isteri merayu supaya si suami solat tap masih tiada perubahan...nyata sekali suami ini tidak memberi perhatian yang sepenuhnya kepada isteri dan anak2 dan tidak membimbing keluarganya dengan baik selari dgn batas2 agama...apakah jalan keluar terbaik untuk si isteri?
Catat Ulasan