Ketika negara gempar dengan kisah perkahwinan seorang artis dengan wanita yang berada di dalam tempoh eddah, rakan saya yang menjadi qadhi di sebuah daerah di utara tanahair juga berdepan kes yang sama. Saya pula menerima kepastian daripada seorang klien, benarlah suaminya bernikah lagi baru-baru ini menggunakan sindiket. Dalam satu emel pula, seorang isteri mengadu tentang sikap suaminya yang masih enggan mendaftarkan perkahwinan mereka (yang dilakukan di sempadan kerana poligami tanpa kebenaran) sedangkan anak dah nak masuk dua dan anak pertama, masih belum mempunyai sijil kelahiran hingga kini, dah berusia hampir tiga tahun.
Empat kes yang berbeza fakta tetapi mempunyai satu persamaan, mencari jalan mudah tetapi akhirnya menimbulkan masalah. Teringat kata orang: bukan senang nak senang dan bukan susah nak susah. Ya lah, kalau nak susah tu, mudah je tapi kalau nak senang belakang hari, perlulah bersusah sedikit di awalnya. Kalau senang dan mudah di awal tadi, biasanya malah kebanyakan kes membuktikan, akan ada payah dan susahnya di belakang hari.
Ramai yang tahu hakikat ini. Tak perlu saya sentuh di dalam perbincangan ini pun, dah ramai yang tahu. Namun, yang menjadi masalahnya ialah tahu tetapi enggan mengambil iktibar. Ada juga yang tahu tetapi bila terkena batang hidung sendiri, bertindak seolah hakikat bukan senang nak senang tu dusta semata-mata. Tetap nak juga ambil jalan mudah dengan pendirian, berdoalah agar mudah juga belakang hari. Ya… memang betul lah tu, kita usaha dan yang lain-lainya kita serahkan kepada Allah yang Maha Kuasa.
Jangan lupa… usaha dan ikhtiar perlulah mengikut jalan dan landasan yang betul. Sungguh, matlamat tidak menghalalkan cara walaupun jalan yang anda ambil hanyalah bercanggah dengan undang-undang dan bukan hukum syarak. Satu perkara yang perlu diingat terutamanya oleh para gadis dan wanita di luar sana, undang-undang adalah untuk kebaikan anda. Melanggar undang-undang bererti anda menempuh bencana dan paling tragis, ada kes perlanggaran undang-undang dan dalam masa yang sama bercanggah juga dengan hukum syarak.
Ketahuilah, perkahwinan bukanlah perkara main-main apatah lagi perkara gurauan atau suka-suka. Perkahwinan memerlukan agar setiap rukun dan syaratnya dipenuhi. Rukun nikah ada lima: calon isteri, calon suami, wali, dua orang saksi dan sighah iaitu ijab dan qabul. Saya tak nak jelaskan dengan terperinci megenai hukum dan syarat nikah ini. Saya yakin, anda boleh cari faktanya sendiri. Namun, fokus saya ialah mengenai perkara yang selalu diambil mudah di dalam perkahwinan iaitu wali dan saksi.
Teringat kes pertama yang saya kendalikan ketika menjalani latihan praktikal di Kuala Muda, Kedah: seorang lelaki ditangkap bersama seorang wanita yang diakui sebagai isterinya. Malangnya ketika tangkapan dibuat, tiada surat akuan nikah yang berjaya dikemukakan. Ketika perbicaraan, lelaki ini mengeluarkan kenyataan yang amat menggeletek hati saya hinggalah sekarang.
Tika hakim bertanya: siapa wali perkahwinan? Si lelaki menjawab: “saya tak tau yang arif, abang angkat saya yang uruskan”. Hakim bertanya lagi: siapa saksi perkahwinan? Jawapan masih sama: “saya tak tau yang arif, abang angkat saya yang uruskan”. Ya Allah!! Kenapalah boleh jadi begini? Itu kata hati saya tika itu dan setelah lebih 10 tahun terlibat di dalam bidang kerjaya ini, saya kenal pasti satu perkara, ramai yang mencari jalan keluar yang mudah tanpa memikirkan kesan dan akibatnya di belakang hari. Seperti kes lelaki yang terlalu mengharapkan abang angkatnya inilah, khabarnya perkahwinan dijalankan oleh qadhi Thailand tetapi bila ditanya di mana tempat nikah, jawapannya: sebuah kampung dekat dengan Kuala Ketil. Alahai, bila pulak Kuala Ketil masuk bawah sempadan Thailand?
Itu kisah pada tahun 1996. Saya tahu dan saya yakin, hari ini tika kita disogok dengan pelbagai kemajuan, masih ramai lagi yang terlibat dan bercadang untuk terlibat di dalam perkara yang bodoh seperti itu. Ya, memang perkara bodoh dan juga memalukan.
Saya merayu kepada para gadis atau wanita di luar sana, jangan termakan pujuk rayu lelaki yang konon cintakan anda sepenuh hati. Jika benar cinta, minta si lelaki berkahwin dengan anda mengikut cara yang betul, tidak melanggar adat, menepati kehendak undang-undang dan paling penting bertepatan dengan kehendak syarak. Ketahuilah dan ingatlah, simpankan kemas di lipatan minda anda… natijah dan kesan daripada perbuatan bodoh itu akan diterima dan ditanggung oleh anda sendirian. Terus terang, hampir kebanyakan kes sebegini, kaum lelaki bertindak lepas tangan. Yang merana dan menderita, yang terpaksa meneruskan hidup dalam sengsara adalah anda!!
Lantaran itu, biarlah bersusah dahulu kerana insyaAllah, akan terbentang kesenangan di depan sana….
****Siaran November 2008
1 ulasan:
soalan dari saya yg kurang arif:
Adakah dituntut dlm AlQuran yg bakal suami wajib mendapatkan persetujuan isteri sebelum berpoligami? Jika ada, ref. ayat2nya. Jika tiada, mengapa JAI menuntut persetujuan isteri sedangkan ia tidak dituntut hukum Islam.
Catat Ulasan