Seorang remaja berusia 16 tahun mengirimkan emel kepada saya, memohon panduan bagaimana untuk dia meleraikan pertengkaran yang sering saja berlaku antara ibu dan ayahnya. Malah, ada tikanya pergaduhan ibu bapanya berpunca daripada perkara yang remeh. Bukan sehari dua malah menurut remaja berasal dari utara tanahair ini, sikap ibu bapanya itu dah lama, membuatkan remaja tersebut lemas jika berada di rumah.
Simpati saya kepada remaja ini. Kenapalah anak yang berusaha untuk meleraikan konflik sebaliknya ibu bapa masih kekal berada di dalam konflik tersebut. Ada kemungkinan mereka ini ‘selesa’ dengan keadaan tersebut atau pun tidak sedar diri mereka berada di dalam konflik.
Hakikatnya, perkahwinan merupakan satu komitmen yang serius di antara lelaki dan perempuan untuk hidup bersama sepanjang hayat. Sebarang perbezaan dari segi cara berfikir, sikap malah citarasa antara suami isteri boleh menimbulkan perselisihan faham bahkan pertengkaran. Lantaran itulah, setiap pasangan perlu mempunyai kemahiran menguruskan konflik bagi mengelakkan konflik tersebut menjadi krisis yang lebih serius. Malangnya, jangankan nak uruskan konflik malah ramai pasangan suami isteri yang tak sedar mereka sedang berhadapan dengan konflik.
Tahukah anda, punca-punca yang boleh menimbulkan konflik? Terdapat pelbagai punca konflik di dalam rumahtangga. Antaranya ialah: pengabaian tanggungjawab sebagai suami atau isteri, tiada perasaan kasih sayang, sering menyalahkan pasangan bila menghadapi masalah, komunikasi yang tidak berkesan, masalah kewangan, tumpuan yang berlebihan terhadap kerjaya, masalah di dalam hubungan seksual, campur tangan orang ketiga termasuk tidak setia kepada pasangannya.
Tidak dinafikan, konflik merupakan satu lumrah dalam kehidupan berumahtangga. Bak lirik lagu yang terlalu sinonim dengan rumahtangga: sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri…. namun jika sering sangat tergigit pun, boleh mendatangkan kesan yang tidak baik. Sama juga dengan konflik yang tidak ditangani, boleh menimbulkan pelbagai kesan negatif. Antaranya ialah perasaan tertekan yang menyebabkan penampilan diri tidak ceria, halangan untuk berkomunikasi dengan baik, kesetiaan dan penghormatan terhadap pasangan berkurangan, peranan dan tanggungjawab tidak dilaksanakan dengan sepenuhnya, pasangan sering bertengkar dan paling klimaks, boleh berlaku perpisahan atau penceraian.
Seperti yang saya tegaskan di awal tadi, setiap pasangan suami isteri perlu bijak di dalam menguruskan konflik. Perkara yang paling penting yang perlu anda lakukan untuk menangani konflik ialah bertenang dan bersabar serta kawal emosi anda agar tidak mengatasi rasional dan kewarasan fikiran anda.
Seterusnya:
- segera kenalpasti punca konflik
- utamakan isu-isu yang boleh diselesaikan
- segera menangani masalah secara bersama, bukan bersendirian
- pilih cara yang boleh dilaksanakan dengan mudah dan tidak memerlukan banyak perbelanjaan, tenaga atau masa
- tidak mencari kelemahan pasangan walaupun punca konflik adalah kelemahannya sebaliknya gunakan jalan tengah, tak rugi mengalah kerana mengalah bukan bererti anda kalah
- wujudkan komunikasi berkesan - bersikap jujur dan sedia mendengar
- pilih masa yang sesuai –> jika pasangan anda masih gagal mengawal emosi, sejukkan emosinya dulu dan jika anda tidak mampu, jauhkan diri anda daripadanya dan beri peluang dan masa agar emosinya sejuk dahulu
- dapatkan bantuan luar seperti khidmat nasihat dan bimbingan kaunselor, tokoh agama, peguam atau doktor
- paling penting: doa yang berterusan kepada Allah, memohon petunjuk dan bantuan-Nya untuk mengatasi konflik.
Ramai pasangan suami isteri yang tidak dapat terima wujudnya konflik di dalam rumahtangga mereka, tambahan pula jika perkahwinan wujud atas dasar cinta atau suka sama suka. Konflik adalah perkara biasa di dalam perkahwinan dan anda tidak boleh mengelak daripada mengalami konflik. Yang perlu anda lakukan ialah tangani konflik tersebut.
Perlu diingat, perkahwinan dan kehidupan sebelumnya adalah dua perkara yang amat berbeza. Jika dulu, anda hidup sendirian tetapi kini, di dalam diri anda ada dia, begitu juga di dalam dirinya ada anda. Tidak salah mempunyai pendapat atau citarasa yang tak serupa. Tak perlu menukar diri anda menjadi dirinya demi mengelakkan konflik. Kebahagiaan sesebuah perkahwinan bukan wujud atas dasar persamaan kehendak atau citarasa antara suami dan isteri sebaliknya kebahagiaan terhasil daripada keserasian antara kehendak anda dan pasangan anda.
****Siaran November 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan