18 Mei 2013

Emosi diambil kira tetapi tidak diutama



Saya pernah bincangkan mengenai isu kecurangan pasangan yang disiarkan menerusi satu akhbar harian tempatan. Rentetan daripada perbincangan tersebut, saya menerima satu pendapat yang mempertikaikan ulasan saya menerima suami yang curang. Di dalam perbincangan tersebut, saya jelaskan; bagi suami/lelaki, kalau sekadar berkawan atau bercinta; bagi saya masih belum boleh dikatakan curang. Berbeza dengan isteri/wanita; syarak mengharamkan isteri menyimpan rasa suka apatah lagi rasa cinta kepada lelaki selain suami. Jika isteri bercinta dengan lelaki lain; isteri ini boleh dikategorikan sebagai curang; tak kira apa pun sebabnya termasuk kegagalan suami menunaikan tanggungjawab. Lelaki hanya boleh dikatakan curang jika perkenalan atau percintaannya dengan wanita lain menjadi faktor si suami ini mengabaikan tanggungjawabnya yang patut dan wajar di sisi syarak kepada isteri dan anak-anak.

Komen yang saya terima daripada seorang lelaki itu mempertikaikan ketulusan hati saya sebagai seorang wanita kerana tidak memahami hati suci seorang isteri hingga membenarkan penipuan berlaku. Bagi pengirim komen ini, curang (cheating) bermaksud tipu maka tak kiralah apa pun perlakuannya termasuk mengadakan hubungan dengan wanita lain selain isteri; ia termasuk dalam definisi curang. Merujuk kepada Kamus Dewan; saya bersetuju dengan definisi yang diberikan oleh pengirim komen. Curang dimaksudkan dengan tidak lurus hati; tidak jujur; khia­nat. Terus terang; saya akui maksud tersebut dan bersetuju tanpa sebarang bantahan.

Namun; kecurangan seorang lelaki bukan saja perlu didefinisikan mengikut kamus bahasa sebaliknya perlu dijelaskan juga dengan ketentuan syariat yang membenarkan lelaki yang layak untuk berkahwin lebih daripada satu. Jika curang yang ditetapkan oleh kamus bahasa diterima pakai tanpa sebarang pindaan atau syarat; bermaksud kita telah mengenepikan kebenaran syarak. Ya lah! Nak kahwin lagi mestilah perlu kenal dan cinta. Kalau kenal dan cinta itu menjadi salah sebab berlaku curang, salahkah ketentuan syariat menerusi surah an-Nisa’ ayat 3 yang bermaksud: “Maka kahwinlah dengan perempuan lain yang menyenangkan hatimu; dua, tiga atau empat. Jika kamu bimbang tidak dapat berlaku adil (terhadap isteri-isteri itu), maka kahwinilah seorang saja.”?

Semua orang maklum tentang maksud ayat ini. Ingin saya tegaskan sekali lagi; ayat ini bukan mewajibkan kaum lelaki berpoligami tetapi hanya memberi kebenaran kepada lelaki yang layak. (rujuk perbincangan saya Fahami Kehendak Adil Menurut Syarak melalui ruangan ini beberapa minggu lalu). Bererti tidak semua lelaki layak untuk berkahwin lebih daripada satu. Memang pahit jika bermadu tetapi buat kaum wanita; ada sebab dan hikmahnya Allah mensyariatkan poligami. Poligami bukan hanya bonus kepada kaum suami tetapi juga adalah bonus buat para isteri.

Saya tak faham perasaan wanita? Rugilah saya menjadi wanita selama hampir 36 tahun ini jika saya tak faham. Namun; perasaan dan sensitiviti saya sebagai wanita tidak boleh menjadi alasan atau ukuran apatah lagi menjadi piawaian atau standard tika saya menjalankan amanah dan tanggungjawab saya sebagai Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie. Memang sukar bagi wanita menerima kehadiran cinta wanita lain di dalam diri suami. Sakit. Pedih. Hanya yang mengalami betul-betul memahami. Ada yang luahkan; kalau suami cakap terus terang; sakit hati tak seteruk ini. Yang lain pula akui; kalau suami nak kahwin lain, cakap je terus terang, tak lah rasa sakit hati daripada tiba-tiba saja tau suami dah kawin lagi. Macam-macam lagi luahan wanita yang terpaksa menerima kehadiran orang ketiga di dalam hubungan cintanya bersama suami.

Satu perkara yang sama; semua wanita akan sakit hati dan tak boleh terima suaminya mempunyai cinta baru. Bukan saja dah ada cinta baru; tika suami baru berhajat nak wujudkan cinta baru pun, isteri boleh menyinga kalahkan singa betina. Sebab apa? Fitrah wanita: tak boleh berkongsi. Hati akan sakit, cemburu akan menguasai diri. Itu hakikat! Isteri Rasululllah SAW pun cemburu. Pernah berlaku isu sakit menyakitkan hati antara mereka. Sarah, isteri Nabi Ibrahim melakukan pelbagai cara untuk menghapuskan cinta Nabi Ibrahim kepadanya setelah mengetahui kewujudan Siti Hajar dalam hidup baginda. Apakah kita boleh katakan Nabi Ibrahim curang? Rasulullah SAW juga curang?

Seperti yang saya tegaskan sejak awal; tidak semua lelaki layak berpoligami. Bermaksud; lelaki yang layak berpoligami tidak boleh dikategorikan sebagai curang selagi mana suami ini berusaha melaksanakan tanggungjawabnya yang wajar menurut syarak kepada isteri dan anak-anak.

Emosi isteri tercalar? Islam bukan zalim. Emosi isteri diambil kira oleh syarak tetapi tidak diutamakan. Perlu fahami konsep redha. Poligami adalah ketentuan syarak bermaksud bukan satu musibah sebaliknya adalah hikmah. Jika suami layak, mampu berlaku adil; isteri wajib menerima perkahwinan baru si suami. Jika enggan? Enggan bermaksud anda engkar kehendak Ilahi; anda tidak redha dan melawan takdir Ilahi. Hati sakit? Kenapa perlu sakit sedangkan suami anda berlaku adil? Tak boleh terima ada wanita lain dalam hidup suami? Siapa anda kepada suami? Suami anda hanyalah pinjaman yang dipinjamkan oleh Allah, satu hari Dia akan ambil juga.

Tak boleh terima juga? Itu ego anda. Bukan kasih sayang yang setia. Isteri yang setia akan membantu suaminya menjalankan tanggungjawab sebagai suami kepada dirinya dan madunya kerana madunya juga mempunyai hak yang sama dengan dirinya- dengan syarat; suami tidak abaikan tanggungjawab yang patut menurut syarak. Tak sanggup, nak cerai? Haram bercerai jika tanpa alasan yang munasabah menurut syarak. Tidak sanggup berkongsi kasih bukan alasan yang munasabah berdasarkan syarak sebaliknya berdasarkan emosi dan hukum menuntut cerai dalam keadaan tersebut adalah haram berdasarkan satu hadis: Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Mana-mana perempuan yang memohon cerai daripada suaminya tanpa sebab yang munasabah maka haram ke atasnya bau syurga.” -riwayat Bukhari, Muslim, Tirmizi, Abu Daud dan Ahmad.

***Siaran November 2010

17 April 2013

Setiap individu adalah istimewa


“Saya sedih la kak, mak dan ayah saya mengatakan saya sial, saya ni bawak malang. Sekarang ni, saya risau sial dan malang saya akan menyusahkan suami saya pulak…”

Di atas adalah antara luahan seorang wanita muda dalam temujanji menerusi panggilan telefon bersama saya minggu beberapa hari yang lalu. Sebenarnya, luahan sebegini dah acap kali juga saya dengar, saya terima melalui e-mel malah kiriman SMS menerusi talian temujanji. Bukan saja luahan diri sendiri mengakui kesialan dan malangnya diri tetapi juga luahan kata-kata yang dihamburkan oleh insan yang disayangi, betul-betul menikam hati hingga kata-kata tersebut dipercayai dan sentiasa berlegar mengganggu emosi.

Benarkah anda sial? Anda membawa malang? Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak ada jangkitan, tiada sial, tidak ada kecelakaan burung hantu dan tidak ada bala di bulan safar…”(Hadis Riwayat Bukhari).

Hadis ini menjelaskan setiap makhluk yang diciptakan oleh Allah SWT tidak mempunyai sial ataupun membawa sial ataupun malang kepada sesiapa pun juga. Malah, setiap makhluk ciptaan-Nya: manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, cakerawala dan segala makhluk halus atau seumpamanya, mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri. Kita manusia, sudah pasti lebih istimewa daripada makhluk lain ciptaan-Nya memandangkan kita dikurniakan dengan akal. Akal yang sewajarnya kita gunakan untuk berfikir, mencari rahsia di sebalik setiap kejadian yang berlaku dan bukan dengan sewenang-wenangnya memperakui kesialan dan malang seseorang.

Anda bukan sial. Anda bukan malang. Anda juga bukan pembawa sial malah bukan juga pembawa malang. “Habis tu, kenapa ada saja yang tak kena?” Senaraikan apa yang tak kena kemudian selidik secara teliti, apa punca dan sebabnya. Pasti ada sebab lain dan sebab itu bukanlah kerana nasib anda!!! Paling penting juga, hidup kita sehari-hari bukan berpandukan kepada nasib. Hakikat sebenar kehidupan kita telah ditulis storylinenya oleh Allah SWT sejak kita masih berada di alam roh. Ia seakan sebuah skrip drama yang dilakonkan di pentas sandiwara. Bezanya, skrip ciptaan Allah SWT boleh berubah dan bertukar dengan doa.

Ya!! DOA!!! Ramai yang tidak mempercayai kelebihan dan keistimewaan doa. Doa yang bersungguh-sungguh, penuh mengharap, insyaAllah akan didengar dan dimakbulkan oleh-Nya. Saya ulangi, bersungguh-sungguh dan penuh mengharap!! Kenapa? Analogi mudah, kalau anda inginkan sesuatu daripada seseorang, apakah anda akan dapat benda yang anda inginkan hanya dengan permintaan yang sekadar bergurau dan tidak serius? Jika sesama manusia pun kita perlu bersungguh-sungguh, kenapa tidak dengan Dia? Ya!! Dia tau dan amat mengetahui tapi anda tetap perlu tunjukkan keseriusan anda sebagai tanda kebergantungan sepenuhnya.

“Kalau begitu, kenapa kisah hidup saya tidak ada cerita bahagia? Hanya derita? Hanya tangisan?” Tunggu… apa maksud anda bahagia? Apa pula maksud derita? Gagal dalam bercinta? Gagal dalam perkahwinan? Dapat suami yang abai tanggungjawab? Dapat isteri yang tak tau hormatkan anda? Tidak bekerja? Senaraikan lah…. saya yakin, bukan semua itu milik anda. Sekarang, senaraikan pula perkara-perkara yang tidak mendukacitakan: bertemu kawan, berborak sama-sama, bermain dengan anak, berbual di telefon dengan ibu bapa, makan malam istimewa, terima ucapan hari jadi dan macam-macam lagi… yang telah anda alami berbelas atau berpuluh tahun dalam jangka masa hayat anda kini. Benarkah tidak pernah ada cerita bahagia??

Anda rasa diri anda sial dan malang tapi anda masih mampu membelanjakan wang membeli majalah ini. Anda rasa diri anda sial dan malang tapi anda masih mampu membelek majalah ini. Tahukah anda, ada orang lain yang hidupnya lebih sial dan malang (jika itu lah pendirian anda) daripada anda?

Tak percaya? Perhatikan sekeliling anda, pasti ada orang lain yang lebih teruk lagi nasibnya. Tak ada? Atau anda enggan mempercayainya!! Saya berikan kes mudah: bersyukurlah kerana anda bukan tergolong dalam mangsa keganasan di Palestin, anda bukan mangsa kecelakaan gempa bumi dan paling penting, biar apa pun ujian yang Allah SWT berikan kepada anda, anda masih mampu terus menghembus nafas di muka bumi ini, nikmat hidup yang takkan ada sesiapa pun boleh berikan jaminannya kepada anda, sebagai satu peluang untuk anda membina kecemerlangan diri kerana anda memang istimewa dan boleh cemerlang.

Percayalah kepada diri sendiri, percayalah anda bukan sial, anda juga bukan malang. Anda ada keistimewaan, anda ada kelebihan yang tersendiri. Buang semua kata-kata karut yang menghantui emosi dan minda anda. Bangunlah bermula detik ini, capailah apa juga impian anda dengan usaha tanpa lelah, tanpa putus harap kerana kita ada Dia untuk mengharap dan terus berharap.

****Siaran Disember 2009

26 Mac 2013

Rezeki bukan di tangan manusia

Masih ingatkah lagi dengan topik perbincangan minggu lepas, berkaitan kelayakan sebagai penjaga kepada anak-anak selepas berlakunya perceraian? Persoalan yang sama telah ditanyakan kepada saya dalam siri ceramah Hidup Bahagia Tanpa Keganasan anjuran Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Pahang. Seorang peserta meluahkan, masih bimbang dengan perbelanjaan anak-anak walaupun ada peruntukan yang menetapkan ibu tidak bekerja masih layak menerima hak jagaan dan saran anak dipertanggungjawabkan kepada si bapa. Kebimbangan berlaku disebabkan terlalu banyak kes yang didengar tentang kegagalan si bapa melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Jawapan kepada persoalan tersebut, saya kongsikan bersama pembaca semua di sini. Ya!! Seperti tajuk perbincangan saya kali ini, rezeki, makan minum, segala peruntukan untuk perbelanjaan kita seharian bukan terletak di tangan manusia; bukan di tangan suami atau juga di tangan isteri malah bukan juga di tangan majikan. Setiap pemberian yang kita nikmati setiap saat: udara untuk bernafas, air untuk diminum, makanan untuk dijamah, pakaian untuk dipakai, rumah untuk tempat tinggal dan macam-macam lagi, segalanya itu adalah pemberian dan rezeki yang diberikan oleh Allah SWT. Suami, isteri, majikan atau siapa pun juga adalah sebagai perantara. Percaya? Kalau percaya, kenapa masih bimbang?

“Ye lah, bukannya apa… kalau isteri bekerja tu lain la, ada juga pendapatan tapi bagi isteri yang tak bekerja, takkan nak berserah ja?” Persoalan yang amat menarik!! Ya lah, takkan nak berserah sahaja. Nak berserah kepada Allah SWT pun ada syaratnya. Syarat paling utama ialah berusaha, kemudian berdoa seterusnya barulah berserah atau bertawakkal.

Saya nak kongsi dengan pembaca semua tentang satu kisah benar. Seorang klien saya yang dulunya tika masih bergelar isteri adalah seorang suri rumah sepenuh masa, tidak melakukan sebarang bentuk pekerjaan dan seluruh hidupnya diabdikan untuk suami dan anak-anak. Apa yang diberi suami, itulah yang diterima. Pernah tak cukup dan terpaksa mengikat perut tapi si isteri redha, paling penting perut anak-anak diisi. Hinggalah tiba satu hari, si isteri dapat tau suami telah berkahwin lagi dalam keadaan si isteri dan anak-anak sedia ada hampir merempat. Bukan sekali tapi dah banyak kali suami bersikap sedemikian. Kali ini, si isteri dan serik dan tak percaya lagi.

Cuma satu masalahnya, isteri bimbangkan tentang anak-anaknya nanti. Siapa yang nak suapkan makan? Dalam keadaan masih suami isteri pun, suami boleh pandang sebelah mata. Si isteri pula tak bekerja. Sama seperti klien-klien lain, saya mohon si isteri tadi berdoa mohon yang terbaik untuk dirinya, suami dan anak-anak. Selepas dua minggu, si isteri menghubungi saya dan memohon agar saya membantu kes tuntutan cerainya. Dalam masa yang sama, si isteri nekad belajar membuat kuih dan kini, tika artikel ini disediakan, klien saya tadi dah pun bergelar seorang peniaga, walau kecil-kecilan tapi telah mampu menampung segala perbelanjaan anak-anak biarpun telah bergelar ibu tunggal.

Fakta paling penting, rezeki kita semua ditentukan dan diberikan oleh Allah SWT. Jangan merintih, jangan menangis dan jangan bersedih bila lelaki yang selama ini diharapkan menjadi penjaga anda dan anak-anak, enggan menjalankan tanggungjawabnya lagi setelah berlakunya perceraian walaupun diperintahkan oleh pihak mahkamah. Biarkan perintah mahkamah dilanggar tetapi anda perlu bertindak. Bukan bertindak membuat bising dan onar mencanangkan kegagalan bekas suami menjalankan tanggungjawab tetapi bertindak mencari sumber kewangan.

Banyak kerja yang boleh anda lakukan. Berniaga nasi lemak, menjahit, menjaga anak orang, membuat kuih untuk jualan dan macam-macam lagi. Dalam usaha anda, jangan lupakan Dia. Sentiasalah berdoa dan memohon kepada-Nya agar setiap usaha dan ikhtiar anda membuahkan hasil. Doakan agar anda mampu membiayai keperluan anda dan anak-anak. Berdoalah sepanjang masa dan setiap ketika. Tak perlu tunggu waktu solat sahaja, malah anda boleh berdoa bila-bila masa. InsyaAllah, aka nada jalan untuk anda. Mungkin ambil masa tapi percayalah, aka nada pertolongan daripada-Nya. Yakinkan itu!!!

Paling penting, carilah pekerjaan atau sumber pendapatan yang halal. Saya akui, sukar untuk memenuhi setiap keperluan dengan pendapatan yang sedikit. Seperti kes yang pernah didedahkan di dalam akhbar tika musim Aidilfitri yang lalu, seorang ibu menjual badan demi membeli baju raya untuk anak-anak. Kenapa perlu sampai menjahanamkan diri sendiri? Ya!! Anak-anak nak baju baru tapi percayalah, anak-anak takkan pakai baju baru tersebut jika tahu dari mana sumbernya. Sama juga dengan keperluan lain. Jangan masukkan makanan haram ke dalam diri anak-anak. Walaupun yang anda suap ke mulut anak adalah nasi yang nyata adalah halal tetapi jika wang yang digunakan untuk membeli nasi adalah wang dari hasil kerja yang haram, samalah dengan anda menyuapkan makanan haram ke mulut anak anda.

Jangan patah semangat. Terus cekal dan tabah. Jangan lupakan Dia kerana Dia tak pernah lupakan anda. Mintalah kepada-Nya kerana Allah dah janji: “Mintalah, sudah pasti Aku akan beri….”

****Siaran November 2009

Kelayakan sebagai hadhinah



Hadhinah bermaksud penjaga kepada anak atau anak-anak iaitu sama ada ibu atau bapa atau orang lain selain ibu dan bapa. Saya terpanggil untuk membincangkan topik ini setelah seorang kenalan mengirimkan SMS meminta penjelasan tentang kes adiknya. Hadhanah atau hak jagaan anak pula bermaksud pemeliharaan anak lelaki atau anak perempuan yang masih kecil dan belum boleh berdikari, menjaga kepentingan anak, melindunginya dari segala yang membahayakan dirinya, mendidik rohani dan jasmani serta akalnya supaya si anak dapat berkembang dan dapat mengatasi persoalan hidup yang akan dihadapinya.

Setelah berlaku perceraian antara ibu bapa, persoalan yang timbul ialah siapa yang berhak memelihara dan menjaga anak-anak tersebut? Ramai wanita yang sanggup bertahan hanya kerana bimbang kehilangan anak tambah bila diugut suami atau kerana wanita itu tidak bekerja.

Hakikatnya, Islam mengutamakan perempuan dalam hal hadhanah kerana secara asasnya ibu lebih sayang kepada anaknya, lebih tahu mendidiknya dan lebih sabar mengasuh anaknya daripada si ayah. Menurut satu riwayat daripada Abdullah bin Umar r.anhu: “Seorang perempuan telah datang menemui Rasulullah SAW dan bertanya: “Ya Rasulullah, bahawa anakku ini, perutkulah kandungannya, susukulah minumannya dan ribaanku rumahnya tetapi bapanya telah menceraikan aku dan hendak merampas anak itu daripada aku”. Selepas mendengar aduan itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:,“Engkaulah yang lebih berhak menjaga anak itu selagi engkau belum berkahwin lain”. – hadis  riwayat Abu Daud.

Menurut Undang-undang Keluarga Islam, sekiranya anak-anak di bawah usia mumaiyiz, mereka berhak dipelihara oleh ibu mereka bererti hak jagaan diberikan kepada isteri. Berdasarkan maksud seksyen 84(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan: kanak-kanak lelaki yang belum mumaiyiz ialah dari usia bayi hingga berumur enam tahun. Kanak-kanak perempuan pula dari usia bayi hingga berumur lapan tahun. Ini bermakna kanak-kanak lelaki yang telah mencapai umur tujuh tahun dan kanak-kanak perempuan yang telah mencapai umur sembilan tahun dianggap mumaiyiz. Mumaiyiz bermaksud berkemampuan untuk membuat keputusan membezakan antara yang baik dan buruk.

Namun, si ibu berhak memohon hak lanjutan penjagaan sehingga usia anak mencapai 11 tahun bagi perempuan dan sembilan tahun bagi lelaki. Selepas usia tersebut, mahkamah akan memberi pilihan kepada anak-anak untuk memilih sama ada ingin bersama ibu atau bapa mereka. Namun, ada masanya keputusan anak tersebut tidak diambil kira. Undang-undang Keluarga Islam memperuntukkan: keputusan yang dibuat oleh anak tidak mutlak kerana mahkamah boleh memerintahkan keputusan yang berlawanan dengan pilihan anak. Sebagai contoh, jika si anak memilih untuk tinggal bersama bapa dengan alasan bapa selalu bawa membeli belah atau bermain ‘game’ dan enggan tinggal bersama ibu kerana ibu selalu suruh belajar atau mengaji, maka mahkamah akan menyerahkan hak jagaan kepada si ibu.

Kelayakan yang perlu bagi seorang ibu untuk mendapatkan hak penjagaan terhadap anak-anaknya ialah seorang Islam, sempurna akal, berumur yang melayakkannya memberikan penjagaan dan kasih sayang yang diperlukan oleh si anak, berkelakuan baik mengikut akhlak Islamiyah dan tinggal di tempat anak itu tidak mungkin terdedah kepada apa-apa akibat buruk dari segi akhlak atau jasmani.

Ramai isteri yang rasa bimbang dengan hak jagaan kerana mereka tidak bekerja. Jika dilihat kepada kelayakan yang perlu, tidak mensyaratkan seorang ibu itu bekerja bagi melayakkannya mendapatkan hak jagaan. Ini adalah kerana anak-anak adalah di bawah tanggungan bapa sepenuhnya hinggalah anak tersebut mampu berdikari (bagi lelaki) atau berkahwin (bagi perempuan).

Ada beberapa sebab yang boleh menyebabkan kelayakan seorang ibu hilang antaranya jika ibu itu bernikah dengan seorang lelaki yang tidak mempunyai pertalian dengan anak itu. Namun, ada kes isteri berkahwin lain tetapi masih mendapat hak menjaga dan memelihara anak-anaknya. Kenapa? Sebenarnya, kehilangan kelayakan seorang ibu diputuskan oleh mahkamah. Sekiranya seorang bapa dapati bekas isterinya berkahwin lain, si suami boleh mengemukakan permohonan untuk melucutkan hak hadhanah yang diperolehi oleh bekas isterinya. Sekiranya mahkamah dapati, perkahwinan baru bekas isteri tidak mengganggu kebajikan si anak, hak jagaan akan tetap diberikan kepada si ibu.

Paling penting, dalam menentukan hak jagaan ini, mahkamah menitikberatkan kebajikan dan kemaslahatan anak-anak agar anak-anak dapat hidup berlandaskan ajaran Islam.

****Siaran November 2009