20 Januari 2011

Biar gawat ekonomi tapi jangan gawat emosi

Dah lama juga isu kegawatan ekonomi yang kembali melanda negara kita menjadi perbualan. Bukan sejak awal tahun ini tetapi sejak penghujung tahun yang lalu. Merisaukan dan menyedihkan apabila mendapat khabar puluhan ribu diberhentikan kerja, dicutikan sementara, tidak menerima gaji malah pelbagai masalah lain lagi. Saya juga terlibat di dalam isu yang sama. Malah isu masalah gaji lambat, hinggakan pernah minima dua bulan tidak menerima gaji daripada syarikat multimedia tempat saya bekerja (jika anda pernah baca sebelum ini, saya terlibat dalam kerja-kerja pembangunan multimedia di samping kerjaya sebagai Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie – setelah beralih arah ke bidang rundingcara sahaja dan tidak lagi mengendalikan kes di Mahkamah lantaran ini menumpukan perhatian yang lebih kepada anak-anak) telah berlaku sejak penghujung tahun 2007. Alasan syarikat, kami terima bayaran lambat daripada klien.

Alhamdulillah, saya bekerja juga dengan sebuah syarikat rundingcara dan walaupun pendapatan yang diterima tidak menentu (bergantung kepada pengendalian kes), syukur masih ada sumber untuk saya membiayai keluarga tambahan suami juga bermasalah dalam kerjaya. Bukan sekadar dua kerja tersebut, saya juga melakukan perniagaan kecil-kecilan menjual nasi lemak, bihun goreng dan sedikit kuih-muih. Sungguh, bukan untuk kekayaan tetapi untuk menampung keperluan. Sangkakan isu gaji lambat tidak berpanjangan namun Dia lebih mengetahui, selepas hampir setahun bertahan, keadaan tenang seketika ketika hampir Ramadan dan tika saat meraikan Aidil Adha, keadaan kembali bermasalah. Semalam pula (tika artikel ini disediakan), kami menerima satu pengumuman, syarikat dijangka mempunyai masalah untuk memberikan gaji selama tempoh enam bulan.

Tak ada siapa yang suka namun apa lagi yang boleh dijeritkan? Itu yang berlaku kepada saya dan rakan-rakan sekerja di bidang multimedia. Hakikat yang sukar ini telah dirasai oleh ratusan ribu orang lain di seluruh negara malah dunia. Saya tak nak bincangkan tentang kegawatan ekonomi ini sebaliknya seperti tajuk perbincangan saya kali ini, biarlah gawat ekonomi sebaliknya jangan biarkan emosi anda turut gawat sama. Kenapa? Jika emosi anda gawat, kalut, kecoh dan entah pelbagai lagi istilah lain yang sinonim dengan maksud tidak stabil dan bermasalah, kehidupan anda akan lebih gawat lagi jadinya. Malah, teringat kata seorang rakan di dalam bidang guaman syarie tika awal-awal pembabitan saya di bidang tersebut yang juga dalam kemelut ekonomi global tika itu; “kalau ekonomi gawat, ramai yang gawat emosi, banyak la kes rumahtangga, tak lah gawat ekonomi kita.”

Saya yang masih mentah tika itu, hanya tersenyum sambil memikirkan kemungkinan tersebut. Seperti yang pernah saya jelaskan, tak semua orang yang bekerja di dalam bidang guaman syarie ini, ‘syarie’ seluruh akhlaknya (antara sebab kenapa saya memilih rundingcara sahaja, bimbang terhanyut sama). Jangan salah sangka, tujuan saya menimbulkan semula cakap rakan saya ini bukan bermaksud dia atau mereka yang sama pemikirannya mendoakan keberantakan rumahtangga anda sebaliknya itulah hakikat sebenarnya jika anda gagal mengawal emosi anda daripada kacau dan gawat.

Jika anda mampu bertindak waras dan mampu mengawal emosi, insyaAllah anda juga akan mampu mengawal minda dan tindakan anda. Masalah kegawatan ekonomi kini bukan masalah terpinggir tetapi adalah masalah global yang cuba dipinggirkan oleh sesetengah pihak. Namun, itu bukan bererti peluang anda tertutup rapat. Ingat!! Allah takkan mengubah nasib sesuatu kaum termasuk nasib anda sendiri jika anda tidak berusaha untuk mengubahnya. Berusaha dalam erti kata berikhtiar untuk mendapatkan sedikit pendapatan bagi menampung keperluan, bukannya berusaha memekik, mencaci maki, memarahi, berhutang, meminjam atau apa juga yang sewaktu dengannya.

Jika syarikat anda gagal memberikan gaji dan dalam masa yang sama masih ada kerja yang boleh dibuat, bererti syarikat anda masih ada perniagaan. Anda boleh rundingkan dengan majikan untuk melakukan pembahagian masa kerjaya agar anda boleh melakukan kerja-kerja lain bagi tujuan menampung pendapatan, sama seperti apa yang saya lakukan sekian lama. Jika anda tidak dibayar gaji dan dalam masa yang sama anda hanya goyang kaki di tempat kerja, baiklah anda angkat kaki dan cari atau lakukan sesuatu yang lebih berfaedah dan memberikan sumber pendapatan. Rezeki takkan datang hanya dengan menggoyang kaki atau berborak di pejabat. Buatlah sesuatu yang boleh memberikan sumber pendapatan dengan syarat ia adalah halal di sisi syarak.

Dalam kes sebegini, setiap pasangan suami isteri perlu saling berterus terang, memahami dan bekerjasama. Bagi wanita yang tidak bersuami (ibu tunggal) atau ada suami seperti tidak bersuami (suami sengaja abai tanggungjawab), anda perlu kuat dan tabah untuk meneruskan kehidupan ini kerana saya percaya, hampir semua ibu sanggup melakukan apa sahaja asalkan mampu mengenyangkan perut anak-anak berbanding sesetengah bapa yang boleh ‘bersabar’ dengan tangisan anak-anak yang kelaparan.

****Siaran Mac 2009

06 Januari 2011

Elakkan cuba-cuba atau suka-suka

Sabtu baru ni, saya berdepan dengan tiga klien dalam tiga sesi berasingan bermula jam 9am dan berakhir jam 3.30pm. Memang jarang-jarang saya berjumpa tiga klien sehari dan seboleh dapat, saya akan cuba elakkan. Tapi klien ketiga mengharap sangat, maka saya bersetuju. Tak sangka pula, ketiga-tiga kes melibatkan isu yang sama: orang ketiga di dalam rumahtangga. Saya tak nak ceritakan kes-kes tersebut secara terperinci namun yang ingin saya kongsikan dengan pembaca semua kali ini ialah; antara tiga kes tersebut, kes pertama dan kes ketiga mempunyai satu persamaan, hubungan dengan orang ketiga yang pada mulanya hanya atas dasar cuba-cuba dan suka-suka sahaja.

Kes 1, suami wanita A sekadar suka-suka menjalinkan persahabatan melalui ‘online chatting’, cuba-cuba ‘test market’ dan mengena. Sekarang ni si suami mengaku percubaan ‘test market’ peringkat awal tu dah menjerat dirinya. Walaupun berjanji akan menamatkan hubungan namun si suami meluahkan rasa sukar nak lupakan gadis yang juga merupakan tunangan orang tersebut. Kes 3, suami wanita C pula, terlibat dalam hubungan dengan isteri orang. Dulunya rakan sekerja, sekadar suka-suka bergurau senda hingga menjentik perasaan walaupun tahu si gadis adalah juga tunangan orang. Namun, gurau senda dan suka-suka membawa kepada hubungan di luar batasan moral dan syarak. Belum tidur bersama tetapi bunga-bunganya telah ada dan hubungan terlarang tersebut masih berlangsung walaupun suami si gadis yang dah bukan gadis itu, memaklumi hubungan mereka.

Saya maklum, kisah-kisah tadi adalah kisah-kisah biasa saja. Yang biasa-biasa inilah yang nak kita hindarkan. Seperti tajuk perbincangan saya kali ini, elakkan cuba-cuba atau suka-suka nak menjalinkan hubungan dengan orang ketiga di dalam perkahwinan anda. Tak kiralah orang ketiga itu hakikatnya adalah orang pertama yang muncul di dalam hidup anda berbanding pasangan anda tetapi dek kerana terlarang, anda terpaksa menerima pasangan anda dan dalam masa yang sama, anda masih nak cuba-cuba atau suka-suka nak teruskan hubungan dengan si dia. Jangan lakukan!!

Anda perlu ingat, ijab dan qabul bukan sekadar satu ucapan yang menghalalkan hubungan yang selama ini terlarang. Sebaliknya, ijab dan qabul itu adalah sebagai satu ucapan perjanjian untuk anda menerima pasangan anda, menyayangi, mengasihi, melaksanakan segala tanggungjawab anda kepadanya dan terus setia kepadanya hingga ke akhir hayat. Saya tahulah ijab dan qabul di dalam Islam tak ada sebut semua perkara tu, tak seperti ucapan dalam perkahwinan mat saleh (bukan mat saleh sinar fm yer) namun hakikatnya, bila pengantin lelaki mengucapkan; “Aku terima nikahnya (nama isteri) dengan mas kahwinnya (jumlah)….” maka secara jelas, perjanjian untuk bersama-sama berkongsi hidup dalam apa juga keadaan dan cabaran, telah dimeterai antara suami dan isteri.

Isteri tak lafaz apa-apa pun?? Yang kau setuju nak nikah dengan lelaki tadi tu, apa ke bendanya? Dah kira persetujuan kepada ikrar tu jugak la. Kahwin paksa? Tiada istilah kahwin paksa sekarang ni sebabnya jurunikah akan bertanya dahulu kepada setiap pengantin perempuan, setuju atau tidak? Dah kalau tak setuju, kenapalah kau mengaku? Diam pun tanda setuju tau. Kalau tak setuju, cakap ja terus terang.

“Puan Suzana oooo, ini bukan filem Hindustan. Nak kena juga fikir air muka ibu bapa.” Sebab bukan filem Hindustan la, saya suruh anda berterus terang. Jangan nak cuba-cuba terima hubungan yang anda tak boleh nak terima. Sebaliknya, bila anda dah terima, anda dah tak boleh nak cuba-cuba atau suka-suka saja nak terima pasangan anda. Apabila akad nikah telah diikrarkan sah, maka setiap individu tak kiralah lelaki atau wanita, suami atau isteri, anda semua wajib mengasihi dan menyayangi pasangan anda dengan sepenuh hati. Anda mesti berusaha untuk menerima pasangan anda sepenuh hati, tiada lagi percubaan, tiada lagi rasa kasihan. Anda wajib kasih dan cintakan pasangan anda, bersedia melakukan segala tanggungjawab yang wajib sebagai suami atau isteri.

Apabila telah berjanji untuk setia bersama, anda juga tidak boleh cuba-cuba atau suka-suka nak adakan hubungan akrab dengan lelaki atau wanita lain di luar sana. Bukannya bermaksud anda tak boleh berkawan tetapi anda perlu bijak membezakan antara kawan dan kawan rapat. Jangan nak suka-suka atau cuba-cuba tembusi pasaran. Sedarlah diri tu sikit, awak tu dah jadi isteri atau suami orang. Dah ada tanggungjawab. Kebahagiaan perkahwinan dan rumahtangga awak bergantung kepada awak dan pasangan awak, bukan pasangan awak jer!!

Letakkan diri anda di tempat pasangan anda, apakah yang anda rasa jika anda tau pasangan anda sedang berkawan rapat dengan seseorang hingga menimbulkan rasa kasih dan cinta? Jika anda tak mahu dikhianati, jangan juga khianati pasangan anda.

****Siaran Mac 2009

24 Disember 2010

Hubungan seks suami isteri pun ada waktu haramnya

Minggu ni, grup saya (yahoogroups syariah-law98) kecoh membincangkan isu menarik yang diutarakan oleh rakan saya yang kini berkhidmat sebagai Qadhi di sebuah daerah di utara tanahair. Isu berpunca daripada satu kes yang dikendalikan oleh qadhi tadi: sepasang suami isteri berjumpa rakan saya itu bagi mendapatkan panduan untuk rujuk semula. Mereka baru sahaja bercerai talak dua. Suami melafazkan cerai kerana berang si isteri enggan melayan kehendak batinnya. Isteri enggan kerana baru sahaja melahirkan anak sulung lima hari sebelum kes.

Mungkin ada antara pembaca yang melabelkan suami di dalam kes tadi sebagai gila. Namun, saya percaya, ramai juga lelaki malah mungkin wanita, yang bersuara, apa salahnya? Kan ke isteri? Bukan orang lain. Ya!! Memanglah suami isteri tapi seperti tajuk perbincangan saya kali ini, hubungan seks suami isteri pun ada tikanya haram dilakukan. Antara waktu haram tersebut ialah tika isteri di dalam masa haid dan di dalam tempoh nifas.

Firman Allah SWT yang bermaksud "Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: "Haid itu adalah kotoran". Oleh itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu." (Al-Baqarah: 222)

Kenapa haram? Hubungan seks adalah sinonim dengan cara untuk mendapatkan zuriat. Haid dan nifas (berpunca daripada tempat yang sama) pula disifatkan sebagai satu najis atau kekotoran. Ia perlu dibiarkan keluar tanpa apa-apa gangguan. Melakukan hubungan seks tika haid atau nifas sama seperti menanam benih ke dalam tanah beracun dan kotor yang memungkinkan berlakunya masalah kepada percambahan benih dan boleh menambahkan keracunan sedia ada.

Seorang rakan yang turut serta dalam perbincangan, menceritakan satu kisah benar yang diketahuinya: seorang isteri yang baru sahaja melahirkan bayi sulung dalam tempoh tak sampai seminggu, meninggal dunia setelah mengalami tumpah darah yang banyak. Si suami meluahkan rasa kesal kerana memaksa si isteri melayan kehendak seksualnya sehari sebelum kejadian malang tersebut. Menyesal pun, apa gunanya lagi? Memang lah dah takdir tapi setiap yang berlaku, ada sebab dan musababnya.

Tak tau? Dalam setiap kursus perkahwinan dah diceritakan tentang hukum ini: haram mendekati isteri (dalam erti kata menggauli untuk hubungan kelamin) ketika isteri berada di dalam keadaan haid dan nifas. Namun, seperti yang diluahkan oleh seorang rakan, ada sesetengah penceramah kursus yang tidak menekankan hal-hal ini sebaliknya semakin menggiat dan menimbulkan keseronokan semata-mata tentang perkahwinan, bukan menitik beratkan tentang hak dan tanggungjawab dan perkara wajib lain yang berkaitan dalam perkahwinan.

Tak boleh tahan? Bukan anda saja lelaki yang perlu ‘berpuasa’ enam hingga tujuh hari sebulan atau 40-60 hari sekali dalam 365 hari atau mungkin 730 hari atau mungkin lebih lagi. Kalau ramai lagi yang mampu bertahan, kenapa tidak anda? Kuat seks? Kuat atau lemah datangnya daripada diri anda sendiri. Saya akui, setiap individu termasuklah wanita mempunyai nafsu syahwat yang dianugerahkan oleh Allah. Sama seperti jumlah akal, nafsu syahwat ini juga diberikan sama jumlahnya kepada setiap manusia. Bezanya, bagaimana anda menggunakan kedua-dua anugerah Allah tersebut dengan sebaiknya. Akal diberikan kepada manusia untuk digunakan sebagai penentu keputusan dan hala tuju termasuk juga untuk mengendalikan nafsu syahwat anda. Paling penting, jangan biarkan nafsu syahwat anda mengendalikan hidup anda.

Dalam satu kes yang baru saya kendalikan dua hari lepas, seorang isteri berjumpa saya untuk minta panduan keluar daripada perkahwinannya yang berusia 19 tahun. Dia dah lama bersabar dengan sikap suami yang sering bertukar-tukar perempuan sejak dia mengandungkan anak sulungnya yang kini berusia 18 tahun. Yang parahnya, suami enggan kahwin. Bila disoal, suami suarakan: tak tahan tengok perempuan cantik.

Dalam satu kes yang pernah sampai ke pengaduan saya tidak lama dulu, seorang isteri terpaksa bersembunyi di rumah jiran tika waktu tengahari kerana suaminya akan balik ke rumah untuk menidurinya. Dah la sebelah malam dibedal dua tiga kali. Si isteri dah rasa tertekan sangat dengan ‘keganasan suami.’ Inilah contoh membiarkan nafsu syahwat mengawal diri. Bukan tak boleh. Buatlah berapa kali yang anda suka tapi kena pastikan juga, pasangan anda suka dan tidak menderita dan pastikan waktu itu, bukan waktu diharamkan oleh syarak.

Abis tu, nak tentang poligami? Kan ke poligami boleh selesaikan masalah ketidaktahanan ini? Oppsss… poligami bukan nak selesaikan masalah kehendak seks yang melampau. Belajar ilmu poligami sampai abis dulu, barulah anda faham poligami tu bonus atau beban kepada lelaki. Dan ingatlah juga, Islam menganjurkan supaya bersederhana dalam setiap perkara termasuk dalam perkara seks. Melampau itu selalunya membahayakan….

*** CEPAT! Sertai Kelab Eksekutif Bina Bahagia , Bengkel Menggilap Permata dan Santai Ilmiah terdekat pada 8 Januari dgn topik Nikah Sindiket vs Nikah Sempadan.

04 Disember 2010

Restu ibu bapa adalah segalanya

Seorang remaja perempuan meluahkan rasa kecewa malah marah dengan tindakan ibu dan bapanya yang menghalang niatnya untuk menyambung pengajian di sebuah universiti di luar negeri. Menurut remaja perempuan ini, dia berhasrat ke universiti luar negeri tersebut semata-mata untuk menunaikan impian ibu bapanya juga yang ingin melihat dia menjadi seorang doktor dan impian tersebut memang sukar dicapai jika dia tidak menerima tawaran daripada universiti swasta tersebut. Masalah timbul apabila ibu bapa remaja melarang malah enggan memberikan wang untuk untuk ‘booking’ universiti berjumlah RM1500.

Hmmmm… teringat kisah sendiri lebih 16 tahun yang lalu, hasrat saya untuk melanjutkan pengajian di Mesir juga dihalang. Tika itu, saya mendapat biasiswa penuh dan memang dari awal lagi, saya berhasrat untuk menyambung pengajian di Mesir. Saya cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Kolej (STK - aliran Arab) dan dijangka bertolak seminggu selepas selesai peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) iaitu kira-kira enam minggu selepas keputusan peperiksaan STK diumumkan. Khabar gembira ini saya sampaikan kepada Mak dan Bapa melalui panggilan telefon, di samping nak minta Bapa tandatangan borang yang akan saya poskan pagi esoknya.

Malangnya khabar gembira yang saya sampaikan disambut sebaliknya oleh Mak dan Bapa. Bapa secara jelas melafazkan: “tak payah la pergi jauh. Sambung belajar dalam negara dah la.” Memang mengejutkan tambah pula saya memang tak bersedia langsung untuk menghadapi STPM yang bakal menjelang tak sampai sebulan lagi. Kerisauan tersebut saya luahkan kepada Bapa. Bapa hanya menjawab: “Usaha dulu, insyaAllah boleh!!” Apa yang dapat saya katakan lagi. Bukannya saya suka tetapi saya tak berani melawan keputusan Bapa.

Masih jelas di minda saya, sebuah kisah yang berlaku di zaman tabien yang pernah saya baca. Seorang remaja lelaki berdegil dengan keputusan ibunya yang tidak mengizinkannya belajar agama di bumi Makkah. Dek kerana cintakan ilmu dan impian yang disimpan lama, remaja lelaki ini keluar dari rumah di tengah malam dan meninggalkan sekeping nota memberitahu tujuannya. Ketika membaca nota si anak, si ibu hanya mampu menangis. Tak sangka si anak sanggup membantah cakapnya.

Beberapa bulan berlalu. Satu hari, ketika baru selesai menunaikan solat Asar, si ibu mendengar suara telor seorang lelaki memberi salam. Si ibu menjawab. Lelaki telor meminta segelas air kerana sangat dahaga. Mendengar permintaan si lelaki, si ibu meminta agar si lelaki bergerak hampir ke muka pintu bagi memudahkan dia menghulurkan gelas air. Si lelaki meminta maaf kerana tidak dapat berbuat demikian memandangkan kedua-dua kakinya tiada. Si ibu meminta si lelaki menghulurkan tangannya pula menerusi tingkap. Sekali lagi si lelaki meminta maaf kerana tidak dapat berbuat demikian memandangkan kedua-dua tangannya juga tiada.

“Lantas, bagaimana aku nak berikan gelas ini? Aku bimbang menimbulkan fitnah jika kita bersemuka.” Kebimbangan si ibu dijawab si lelaki: “Tak perlu bimbang kerana kedua-dua mataku tidak dapat melihat.” Mendengar jawapan si lelaki, si ibu bergerak keluar bertemu si lelaki. Alangkah terkejutnya si ibu apabila dikenalpasti, lelaki yang cacat itu adalah anaknya yang lari keluar dari rumah untuk menyambung belajar tanpa izinnya. Si anak pula redha dan pasrah, menerima ketentuan Ilahi sebagai balasan kedegilannya membantah cakap ibunya.

Anda boleh dapatkan cerita benar ini daripada banyak sumber. Tak perlulah saya ceritakan segalanya dengan terperinci di sini. Perkara paling penting yang ingin saya kongsi dengan remaja perempuan yang kecewa dek hasrat terlarang tadi malah dengan semua pembaca, resti ibu bapa adalah segalanya di dalam kehidupan seorang anak. Si anak yang degil dalam kisah benar tadi mendapat balasan daripada Allah di atas kedegilannya walaupun hasratnya murni, ingin mendalami bidang agama. Alhamdulillah, dek kepatuhan saya kepada keputusan Mak dan Bapa, saya berjaya mendapat keputusan cemerlang di dalam STPM biarpun hanya ‘pulun maut’ dalam masa tak sampai sebulan. Dengan keputusan tersebut, saya berjaya melanjutkan pelajaran di dalam bidang yang masih sama iaitu Syariah dan kini, saya mampu berkongsi segala ilmu dan pengalaman hidup sendiri dan orang lain dengan semua pembaca Resipi Hidup. Saya yakin, saya takkan mencapai tahap ini jika tidak mendengar cakap Mak dan Bapa dulu.

Seperti yang selalu saya tegaskan, restu ibu bapa adalah perlu dan penting di dalam apa juga perkara yang kita ingin lakukan. Mungkin anda berpendirian, ibu bapa tidak faham atau kurang mengerti. Jika itu yang anda rasakan, ambil masa untuk membuatkan ibu bapa anda faham dan mengerti. Dalam masa yang sama, berdoa mohon Allah bukakan pintu hari ibu bapa anda untuk menerima keputusan anda, jika itulah yang terbaik untuk anda dan ibu bapa anda juga. Jika keputusan masih sama, terimalah dengan hati yang terbuka.

Ingatlah, redha Allah kepada seorang anak hanya akan ada sekiranya ibu bapa meredhai anda.

****Siaran Februari 2009