Tajuk utama akhbar Utusan Malaysia bertarikh 24hb Januari amat menarik perhatian saya: Lelaki berkeluarga dilanda sindrom malas bekerja. Isu yang dibentangkan oleh Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim memang saya akui kebenarannya. Sejak hujung tahun 2005, saya menerima banyak aduan daripada para isteri mengenai sikap suami yang malas. Kalau malas membantu isteri di rumah tu, memang perkara biasa lah dan tak lah mengejutkan sangat. Masalahnya, aduan mengenai suami malas yang diterima adalah malas bekerja mencari nafkah untuk keluarga. Memang satu kes melampau. Ada satu aduan, isteri berusaha membantu suami yang hanya bekerja sebagai operator pengeluaran mencari nafkah untuk keluarga dengan membuat jualan nasi lemak. Malangnya bila isteri mempunyai pendapatan sendiri, suami mula lepas tangan, tidak lagi memberikan perbelanjaan untuk isteri dan anak-anak. Isteri tidak patah semangat, hasil pendapatan disimpan sedikit demi sedikit untuk membuka sebuah kedai runcit. Bila kedai runcit berjaya dibuka, suami bertindak berhenti kerja. Saban hari suami meminta duit daripada isteri untuk belanja diri sendiri dan duit rokok.
Itu hanya satu kes, masih banyak aduan lain yang kalau nak saya ceritakan segalanya di sini, memang boleh dijadikan beberapa buah novel. Namun, sesuai dengan tajuk perbincangan kali ini, sikap malas suami ini bukan hanya untuk diceritakan apatah lagi ditangisi oleh para isteri. Sikap malas suami perlu ditangani. Saya akui memang payah nak ubah sikap suami apatah lagi oleh seorang isteri. Menyuruh suami berubah sikap memang akan dikatakan isteri bersikap kurang ajar. Walau rumit keadaannya, bukan bererti masalah ini tidak boleh ditangani dan untuk menanganinya, isteri perlu tabahkan hati, kuatkan tekad dan semangat dan ubah sikap menjadi seorang yang agak keras hati. Kenapa perubahan sikap ini perlu? Kerana dengan perubahan sikap anda sahajalah, anda mampu mengubah sikap suami anda, insyaAllah.
Setelah anda mengubah sikap anda, ubahlah pula cara anda berhadapan dengan suami yang malas. Perlu diingat, suami boleh menjadi malas kerana sikap isteri sendiri. Ada isteri yang terlalu memberi muka kepada suami. Suami nak kerja lebih masa tak diizinkan dengan alasan risau suami beralih kasih. Bimbang dimadukan, ada isteri yang sanggup melakukan dua hingga tiga kerja untuk membantu suami menambah pendapatan keluarga. Memanglah satu hasrat dan kerja murni tetapi secara tidak langsung, sikap isteri ini menyebabkan suami akan rasa isterinya mampu memegang tanggungjawab mencari nafkah keluarga lebih baik daripada dirinya. Kalau dah begitu keadaannya, tak perlu lagilah suami bekerja. Bagi mengelakkan sikap begini berleluasa, isteri perlu lebih tegas dan berhati-hati ketika membuat keputusan. Sebagai suami yang pastinya seorang lelaki dan terkenal dengan segala kekuatannya, biarlah suami yang bekerja lebih teruk dan kuat daripada anda. Jangan kusutkan fikiran dengan kebimbangan kasih suami beralih arah. Percayalah, jika suami anda merasa betapa perit dan sakitnya menanggung seorang isteri, dia akan berfikir seribu kali untuk mempunyai isteri lagi.
Satu lagi sikap isteri yang perlu diubah bagi mengubah sikap suami ialah, jangan berikan duit belanja kepada suami walaupun suami memaksa. Perlu diingat, hasil pendapatan anda adalah hak anda sepenuhnya. Walaupun suami mengizinkan anda bekerja, ianya bukan tiket atau alasan untuk suami anda memeras duit anda. Jika suami mengambil atau menggunakan wang hasil titik peluh anda, ianya adalah hutang yang perlu dibayar oleh suami walaupun isteri tidak menuntutnya, lainlah kalau isteri anda menghalalkannya dan perlu diingat juga, halal daripada pihak isteri adalah halal dengan rela dan sepenuh hati bukan terpaksa. Saya faham, ada kes isteri terpaksa memberikan wang kepada suami kerana suami menggunakan kekerasan. Kalau isteri tak nak berikan duit, isteri akan ditempeleng dan disepak terajang. Jika kes penderaan seperti ini berlaku, jangan fikir panjang lagi, cepat-cepat adukan kepada pihak yang berkuasa. Tidak ada celanya jika isteri berbuat demikian. Kenapa nak simpati pada insan yang langsung tak berperikemanusiaan kepada anda?
Satu perkara lagi yang boleh dilakukan oleh isteri ialah, kenalpasti punca dan sebab suami enggan bekerja kerana tidak semua kes suami tidak bekerja disebabkan malas. Jika suami tidak sesuai dengan kerja yang ada, berikan dorongan dan semangat kepada suami untuk mencari kerja lain yang lebih sesuai dengan jiwanya. Namun, sebelum menyarankan perkara ini kepada suami, kenalpasti dulu apakah kerja yang suami anda suka dan tidak bosan melakukannya. Perkara suka dan gemar ini juga perlu ditangani dengan berhati-hati. Jika yang disukai suami adalah pekerjaan yang tidak menambah pendapatan keluarga, jangan biarkan suami dengan keseronokan sendiri. Ingatkan suami dengan tanggungjawabnya sebagai suami, mencari nafkah untuk isteri dan anak-anak. Peringatan secara halus dan berhikmah.
Jika agak payah, biarkan suami dengan keseronokkannya sementara tetapi anda perlu berubah sikap. Jika selama ini anda menyediakan hidangan di rumah untuk anda, anak-anak dan suami, ubahlah pula pendekatan anda. Jangan beli barang-barang dapur. Biarkan dapur anda kosong tak berasap. Ajaklah anak-anak makan di luar. Jika suami bising tiada makanan, cakap saja makanan tak dapat disediakan kerana suami tak berikan wang belanja. Memang seperti menyerah diri untuk disakiti tetapi jika anda rasakan keselamatan anda tergugat, seperti yang saya tegaskan sejak awal, anda mampu cari jalan keluar.
Ingatlah wahai wanita, betapa besar dan tingginya kasih sayang anda kepada suami, jangan sampai anda menjadi hamba suami. Anda sepatutnya disara, dijaga makan minum, pakai dan lain-lain kemudahan untuk hidup di dunia ini, anda juga sepatutnya dilindungi… jika semua ini gagal anda perolehi daripada suami, apa gunanya lagi status sebagai isteri. Fikirkanlah….
****Siaran Februari 2007
1 ulasan:
assalammualaikum puan.
Saya amat tertarik dengan blog ini. Mungkin esok dan esok saya ada masa membacanya. Cuma esok dan esok saya ingin berkongsi cerita pasal peranan ibu bapa terhadap anak dan peranan anak terhadap ibu bapa. Saya sebenarnya terperangkap antara keduanya. Umpama nak diluah mati mak, nak ditelan mati bapa. Apapun ringkasnya sya ingin meminta pandangan puan berkaitan isu yang akan saya nyatakan nanti. Blog saya yang saya baru jinak-jinaki sarjanatua.blogspot.com. Saya sudah add favorites blog puan dlm komputer saya ini.
Catat Ulasan