“Happy birthday to me!!! Happy birthday to me!! Happy birthday! Happy birthday!! Happy birthday to me!!!!”
Ya!! Tika perbincangan ini disiarkan, saya baru saja meraikan ulangtahun kelahiran saya. Yang ke berapa? Yang ke 34 tahun! Tak perlu lah saya nak rahsiakan walau kerap juga saya mendapat maklum balas, penampilan saya tidak menunjukkan usia saya yang sebenar. Nampak lebih berumur tentunya. Tak kisah la kan. Bagi saya, tua atau muda bukan satu masalah, malah bukan juga satu kelebihan apatah lagi kekurangan. Hakikat sebenar setiap kali tibanya ulangtahun kelahiran kita ialah usia kita bertambah satu angka lagi dan paling penting, masa hayat kita makin singkat.
Tidak dinafikan, setiap kali ulangtahun, rata-rata ucapan yang sering diberikan ialah semoga panjang umur, murah rezeki dan bahagia selalu. Tiada siapa pun yang ingin menamatkan riwayat hidupnya segera. Semua manusia yang waras di muka bumi ini, inginkan kehidupan yang lebih panjang dan lama. Sebabnya? Terlalu banyak perkara atau hasrat yang belum ditunaikan. Namun, berapa ramaikah yang meletakkan sasaran untuk melengkapkan diri kita menjadi hamba-Nya yang diredhai agar mendapar rahmat dan barakah dalam kehidupan di dunia dan juga akhirat?
Berapa ramai pula yang menjadikan impian dan cita-cita untuk menjadi suami atau isteri solehah, penyejuk dan penenang perkahwinan dan rumahtangga? Berapa ramai juga yang menjadikan hasrat untuk menjadi pembimbing anak-anak dan keluarga ke jalan yang diredhai oleh-Nya agar jika tiba masa dijemput mengadap Ilahi, anda telah meninggalkan barisan anak-anak yang soleh dan solehah yang akan sentiasa mendoakan anda? Paling penting, siapakah antara anda yang memberikan ucapan sayang dan mengucapkan terima kasih kepada mak atau ibu atau mama atau ummi atau apa saja panggilannya, kerana melahirkan anda ke dunia ini?
Saya percaya, memang boleh dibilang dengan jari jumlah mereka yang mendapat jawapan YA bagi semua soalan saya tadi. Yang lain? Rata-ratanya ramai yang menjadikan hari ulangtahun kelahiran sebagai hari bagi menguji cinta atau setia kasih si dia, ada juga yang menjadikan hari ulangtahun sebagai satu titik mula bagi melangkah lebih jauh hingga meminggirkan insan tersayang di sekeliling. Ada yang mengabdikan hari ulangtahun kelahiran menjadi tarikh bersejarah yang lain. Tak kisah lah apa juga cara atau hasrat anda bila tiba hari ulangtahun kelahiran. Yang perlu diingat dan disimpan kemas di lipatan memori anda ialah setiap kali tibanya ulangtahun kelahiran anda bererti anda makin hampir ke penghujung hayat.
Oppsss… saya bukan nak takutkan anda dengan kematian. Ya lah, nak takut apa kan sebab semua orang tau kematian adalah perkara yang pasti. Tujuan saya bincangkan mengenai perkara ini ialah supaya anda termasuk saya sendiri lebih menghargai insan di sekeliling malah menghargai diri anda sendiri. Seperti yang saya tegaskan tadi, maut memang menunggu di depan sana, hanya kita tidak tau bilakah masanya yang tepat? Bila bertambah usia, bertambah dekat lagi lah diri kita dengan ajal walau tidak dinafikan ada yang ‘dipanggil’ dalam usia yang muda.
Lantaran itu, jadikanlah ulangtahun kelahiran anda sebagai pendorong untuk anda menjadikan diri anda seorang yang lebih baik dalam setiap lapangan kehidupan: seorang anak yang lebih baik, seorang isteri atau suami yang lebih bertanggungjawab, seorang ibu atau ayah yang lebih berperanan membentuk anak-anak menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara dan paling utama: jadikan diri anda seorang hamba yang abid atau abidah yang bijak mengurus masa untuk beribadat kepada-Nya tanpa meninggalkan terus urusan duniawi.
Peganglah kata-kata hikmah: “Beribadatlah kepada Allah seolah-olah kamu akan mati esok hari dan bekerjalah untuk duniamu seolah-olah kamu akan hidup selamanya.” Jangan pula anda rasakan anda akan hidup lama hingga meletakkan satu tarikh ulangtahun kelahiran sebagai satu titik untuk berubah. Suami kepada seorang klien saya yang sama-sama bertemu dengan saya bagi menyelesaikan kes mereka, sesuka hati menjawab: “Umur muda lagi, 40 nanti berubah lah.” Astaghfirullah… itu yang keluar dari mulut saya tika itu dan satu soalan saya berikan: “Encik yakin kah akan hidup hingga umur 40? Buatnya keluar saja dari pejabat saya ni, encik meninggal dunia?” Mungkin agak pedas tapi itulah saja respons terbaik untuk manusia sedemikian dan lelaki tersebut hanya tersenyum.
Saya tak minta atau mendoakan umur sesiapa pun juga dipendekkan. Cuma saya geram bercampur sedih bila ada di kalangan ahli masyarakat yang menjadikan ulangtahun kelahiran sebagai tarikh untuk meletakkan diri di ambang masalah. Kenapa masalah? “Dah umur 35, boleh la nak merasa kahwin dua.” Itu kata suami seorang klien saya. Dua kes saya kemukakan hakikatnya mewakili banyak kes serupa; lupa hakikat sebenar ulangtahun kelahiran dan lupa untuk bersyukur apabila dibangunkan pada setiap pagi. Mulai hari ini, sama-sama lah kita berubah…
“Ya Allah! Kau panjangkanlah usiaku agar aku boleh mendidik dan membesarkan anak-anakku menjadi hamba-Mu yang soleh dan solehah, agar aku dapat berbakti kepada Mak dan Bapa, menyumbang sesuatu kepada masyarakat dan paling penting, agar aku sempat mengumpul pahala amalan bagi kehidupan abadi di akhirat. Amiinnn!!!!”
****Siaran Disember 2008
2 ulasan:
Salam :)
Sanah helwah, semoga diberkati usia ...Ameen.
selamat hari lahir...... =)
but usually my mum said...kalau hari lahir ni bukan celebrate diri sendiri..tapi celebrate mak ayah kita....sebab tanpa mereka siapalah kita...ada betul nya jugakkan..
Catat Ulasan