05 November 2008

Restu ibu asas bahagia

Ibu mithali, ibu sejati, tunggak pada keluarga bahagia, kaulah pembimbing, pendidik, pengasuh, sikapmu penyayang, pengasih…. Inilah antara lirik lagu atau nasyid bertajuk Ibu Mithali yang saya pasti, tika ini… amat hangat dan laris dikeudarakan sempena sambutan Hari Ibu. Seingat saya juga, lagu ini memang telah lama dinyanyikan, sejak saya masih di sekolah rendah lagi. Saya pasti, memang ramai yang mahir mendendangkan lagu ini. Saya juga yakin semua orang tahu kata-kata azimat “Syurga di bawah tapak kaki ibu” walau tak semua mempraktikkan sebagai mana yang sewajarnya. Namun, kali ini, bukan tujuan saya untuk membincangkan tentang kepentingan mempraktikkan kata-kata azimat tersebut kerana semua orang sedia maklumi kepentingannya walaupun pernah tersilap praktik seperti kes yang telah saya bincangkan pada keluaran dua minggu yang lalu.

Sempena hari kebesaran, Hari Ibu… saya berminat untuk berkongsi dengan pembaca semua tentang peranan sebenar sebagai seorang ibu. Saya ada ibu atau yang saya panggil Mak, Che Su namanya. Saya juga ibu atau anak-anak memanggil saya sebagai Ummi. Tak kiralah apa juga namanya, ibu, mak, ummi, mama, mami… semua orang mempunyai ibu. Anda tak mungkin wujud di dunia ini tanpa adanya ibu. Memang penipuan yang nyata jika anda mengakui, anda tidak mempunyai ibu. Mungkin ibu anda tidak berkesempatan atau enggan mengambil tanggungjawab memelihara dan mendidik anda namun ibu anda tetap berjasa kepada anda. Jasa yang tidak dapat anda balas atau bayar walau dengan apa juga harganya. Ya, ibu anda berpenat lelah mengandungkan anda selama sembilan bulan 10 hari malahan ada kes-kes istimewa, melebihi tempoh tersebut seperti ibu saya mengandungkan adik bongsu saya yang kini belajar di sebuah sekolah di Melaka, selama tempoh 13 bulan. Bukan sekadar penat lelah mengandung yang kerap kali mempunyai segala macam alahan, ibu anda juga menyabung nyawa untuk melahirkan anda ke dunia. Betapa besarnya pengorbanan ibu anda. Lantaran itulah, sebagai anak, kita wajib menghormati dan mentaati ibu.

Semua ibu tau, anda mempunyai kuasa besar. Sebagai ibu, anda penentu kebahagiaan hidup anak-anak anda. Bagi yang beragama Islam, redha Allah kepada anda hanya wujud apabila ibu anda restui diri anda. Malah, kepercayaan agama lain juga sama, ibu unggul di takhta teratas. Betapa anda, sebagai ibu, dimuliakan dan diberi penghormatan yang tinggi. Malangnya, kebelakangan ini ramai ibu yang menyalah gunakan kuasa istimewa ini. Jika anda mengikuti ruangan ini pada keluaran 2 minggu yang lepas, seorang ibu meminta anak lelakinya menceraikan isteri, menantu yang bukan pilihan hatinya dengan memberi alasan, jika si anak enggan mengikut katanya maka si anak adalah anak derhaka. Inilah salah satu contoh salah guna kuasa yang saya maksudkan.

Ya, saya faham, ibu punya perasaan. Ibu punya hati. Ibu berhak membuat pilihan. Tetapi, harus diingat, ibu adalah insan yang terkenal dengan sifat pengasih dan penyayang. Sebagai ibu juga, sudah pasti anda inginkan kebahagiaan anak-anak anda. Jangan mendabik dada… aku ibu, aku tau apa yang terbaik untuk anakku… dalam sesetengah keadaan dan situasi, mungkin benar telahan anda itu. Tapi banyak juga kes yang membuktikan, terbaik pada mata ibu, bukan terbaik untuk anak-anak. Jika ibu sinonim dengan sifat pengasih dan penyayang, kenapa anda perlu bertindak sebaliknya? Anda kejam jika menolak tepi pilihan hati anak-anak semata-mata tidak memenuhi ketidak wajaran yang anda tetapkan. Ketidak wajaran yang bagaimana? Sebagai contoh, anda tidak suka pilihan hati anak anda kerana kurang cantik atau kurang tampan konon kurang padan dengan anak anda yang kacak bergaya atau jelita menawan. Atau anda tidak suka pilihan hati anak anda kerana dari kalangan kurang berharta sedangkan anda, punya harta dan kedudukan.

Tahukah anda, anak anda yakin akan bahagia dengan pilihan hatinya. Kenapa anda perlu mengenepikan keyakinan yang ada di dalam diri anak anda? Kenapa anda tegar memaksa anak anda berpisah atau paling tragis memaksa berlakunya satu perceraian. Anda memang zalim dan kejam. Betapa hinanya anda kerana menghancurkan sebuah perkahwinan, meruntuhkan sebuah masjid.

Ke mana perginya sifat pengasih dan penyayang anda? Sifat pengasih dan penyayang bukan hanya kepada anak anda tetapi anak orang lain juga, kepada menantu anda. Tidak terfikirkan anda betapa deritanya hati bekas pasangan anak anda gara-gara sikap kejam anda itu? Tidak terfikirkah anda, anak anda mungkin tidak bahagia walaupun memenuhi kehendak anda mengahwini pilihan hati anda? Kecualilah jika anda yakin, bakal pasangan anak anda memang dari kalangan mereka yang tidak baik akhlaknya. Anda memang berhak menghalang. Namun, jika telah ada ikatan suami isteri, jalan terbaik adalah menerima menantu anda itu sebagai anak sendiri, didik dan bimbinglah dia menjadi insan yang baik akhlaknya.

Restu ibu asas bahagia. Jika anda benar-benar seorang ibu, anda akan berusaha melakukan apa sahaja demi kebahagiaan anak-anak anda. Anda sanggup korbankan pilihan hati anda dan memujuk diri untuk menerima pilihan hati anak anda seadanya. Jika anak anda melakukan sesuatu yang menyalahi kehendak anda, anda akan menerimanya dengan hati terbuka dan merestui dengan doa agar apa jua pilihan anak anda, anak anda akan menemui bahagia. Jika anak anda menerima kecelakaan, jangan pula memaki sesuka hati. Ingat, kata-kata ibu ibarat doa. Jika baik yang keluar dari mulut anda, baiklah jadinya. Akhir kata, sayangkan anak… doakan kebaikannya. Selamat hari ibu!!!

****Siaran Mei 2006

1 ulasan:

romzi berkata...

Assalamualaikum,saya tertarik dgn isi dan maksud yang puan huraikan...saya seorang suami n mak saya masih hidup..walaupun saya sudah berkahwin tetapi saya tetap manja bila berdepan dgn ibu saya..setiap kali saya ader masalah keluarga saya akan rujuk pada wanita yang bergelar "ibu"..saya meletak ibu saya ditempat yang no 3 dalam kehidupan saya adik2 perempuan saya n barulah isteri..dan bagi saya jugak seorang yang bernama ibu nie...kenal n masak benar perangai anaknya..saya cuma takut bila ibu tak ader dalam dunia nie nanti akan timbul seribu penyesalan dalam jiwa saya..jadi saya utama kan ibu saya berbanding isteri saya...restu dari ibu amat penting..tanpa ibu saya bukan lah siapa-siapa dalam dunia nie..tetapi jika ibu menyuruh membuat kemungkaran maka saya akan tolak,tetapi dgn cara yang berkhemah..walau bagaimana pun IBU tak pernah buat dosa dgn anak..kalau dijatuhkan hukuman sekali pun ini adalah diantara ALLAH dan IBU..sebagai seorang anak tak berhak menjatuhkan aper2 hukuman terhadap ibu..jadi aper yang berlaku dalam keluarga saya,saya tak pernah salah kan ibu saya walaupun amat pahit untuk ditelan..saya anggap ini adalah kekuatan supaya menjadi pengajaran kepada isteri betapa hebat nya seorang yang bergelar IBU..