Seorang anak mengadu kepada saya mengenai sikap ibunya yang berusia lewat 40-an, seorang ibu tunggal, bersikap mengalahkan anak remajanya sendiri. Malam hari pasti keluar dengan pakaian dan solekan ala-ala gadis remaja dan akan pulang awal pagi. Ibunya juga mempunyai ramai teman lelaki yang terdiri daripada mereka yang lebih muda daripadanya. Malah kerap juga teman lelakinya dibawa pulang ke rumah. Si anak amat tidak senang hati dengan sikap si ibu malangnya beliau tidak berani untuk menegur, bimbang ibunya marah-marah kerana si abang sudah pernah menegur dan si ibu bertindak memarahi abangnya itu hingga memberi kata dua, jika tak suka dengan perbuatannya, si anak (abang pengadu) boleh keluar daripada rumah itu.
Agaknya betul kata orang, dunia sekarang sudah terbalik. Kalau ibu bapa risaukan sikap anak-anak yang melanggar norma dan batas masyarakat dan agama, memang bukan perkara biasa. Di zaman serba canggih kini pula, anak-anak tidak menyenangi sikap ibu bapa yang melanggar batasan agama dan nilai masyarakat, bukan lagi perkara luar biasa. Sebabnya, kes aduan ini bukanlah kes pertama atau kes tunggal sebaliknya dah banyak emel dan sms yang saya terima mengadu masalah seumpamanya. Bukan saja mengadu tidak suka malah ada yang serba salah, bolehkah kesilapan ibu bapa ditegur oleh anak-anak?
Jawapannya: YA. Setiap anak berhak malah wajib menegur kesilapan yang dilakukan oleh ibu atau bapa mereka. Walaupun anak-anak tidak menanggung dosa akibat perbuatan ibu atau bapa mereka (tidak seperti bapa yang turut bertanggungjawab ke atas doa anak-anaknya jika tiada inisiatif daripada si bapa untuk mengubah kelakuan si anak – contoh: bapa turut sama menanggung dosa anak perempuan yang mendedahkan aurat jika si bapa tidak pernah melarang kelakuan tersebut), anak-anak tetap bertanggungjawab untuk membawa ibu dan bapa ke jalan yang diredhai Allah. Membiarkan kelakuan yang menyalahai batasan agama berlaku adalah sama seperti menerimanya dan si anak akan turut sama menanggung dosa bersubahat, nauzubillah. Jika anak-anak tidak berdaya menegur, cukuplah sekadar membenci kelakuan tersebut (bukan bencikan ibu atau bapa yang melakukan kesalahan) dan kebencian itu tandanya anda tidak bersubahat dan anda terlepas daripada turut sama menanggung dosa.
Persoalannya, sejauhmanakah daya seorang anak diambil kira? Terdapat dua daya usaha yang boleh dilakukan oleh seorang anak iaitu menegur sendiri dan meminta orang lain menegur ibu bapa. Jika berkemampuan untuk menegur sendiri, tegurlah dan nasihatlah secara baik, bukan menyindir atau melenting. Ingat!!! Sejahat mana pun ibu dan ayah anda, anda tetap wajib menjaga tutur dan tingkah laku anda, jangan sampai anda menjadi anak yang derhaka. Jika tidak mampu menegur secara terus atau teguran anda gagal mengubah sikap ibu bapa anda, cubalah berikan bahan-bahan bacaan yang menyatakan tentang tegahan atau larangan mengenai perlakuan salah ibu bapa. Anda juga boleh dengarkan kaset-kaset atau pita yang berkaitan ketika ibu bapa anda berada bersama. Cara ini lebih praktikal berbanding bahan bacaan kerana bimbang bahan bacaan tersebut terbiar tanpa disentuh oleh ibu bapa anda.
Bukan saja mengenai perlakuan salah laku seperti kes yang saya sebutkan di awal tadi tetapi juga salah laku mengenai tanggungjawab ibu bapa anda di dalam rumahtangga. Ada kes si anak membenci si ayah yang suka memukul isteri (ibu), ada kes si ayah abaikan tanggungjawab dan macam-macam lagi. Sebagai anak, anda boleh menegur dan menasihati ibu bapa anda secara baik, berdiplomasi dan berhikmah. Andai masih tetap gagal atau tidak berdaya menegur sendiri, carilah seseorang yang anda yakin boleh dipercayai dan mampu menegur sikap ibu bapa anda, contohnya datuk atau nenek anda. Tidak ada salahnya juga anda memohon bantuan rakan-rakan baik ibu bapa anda.
Selain daripada teguran berterus terang, anda juga boleh ‘psiko’ mental ibu bapa anda. Caranya, luahkan segala isi hati anda di dalam sepucuk surat. Titipkan segala apa yang anda kurang suka (jangan gunakan istilah tidak suka kerana secara psiko, ianya boleh melambangkan anda membenci perlakuan mereka. Jangan luahkan kebencian tetapi luahkan rasa tidak senang. Kebencian akan membuatkan ibu bapa merasa anda cuba untuk mengajar mereka). Luahkan apa harapan anda kepada mereka.
Sebagai contoh, bagi kes yang saya bentangkan di awal tadi, mulakan dengan harapan anda untuk meluangkan masa bersama ibu anda. Nyatakan bahawa anda berasa terlalu sekejap cuma masa untuk anda bersama ibu anda. Jika ibu anda suka bersaing, anda boleh bergurau: bimbang kalau-kalau anda dipikat oleh teman lelaki ibu anda yang lebih muda itu. Anda juga boleh nyatakan hasrat anda untuk memiliki pengganti bapa anda dengan ciri-ciri yang tersendiri yang pastinya tidak ada pada teman-teman lelaki ibu anda sekarang. Anda juga boleh mengkiaskan kes anda kepada kes orang lain. Nyatakan kegagalan cinta ibu kawan anda atau sesiapa sahaja, yang bercinta dengan lelaki muda dan suka berpoya-poya. Anda boleh lakukan pelbagai cara dengan lembut dan berhikmah kerana ibu bapa tidak boleh ditegur dengan kekerasan. Yang penting, jangan cepat putus asa dan jangan membenci ibu bapa anda. Kesilapan takkan boleh diubah dengan membenci pelakunya.
Paling penting, jangan lupa berdoa. Walau dalam apa keadaan sekalipun, mohon pada-Nya agar Allah memudahkan segala urusan anda. Mohon juga agar Allah melembutkan hati ibu bapa anda agar mereka kembali ke jalan yang diredhai, agar hidup anda sekeluarga lebih diberkati dan bahagia, insyaAllah. Amin!!
****Siaran April 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan