Seringkali soalan yang menjadi tajuk perbincangan kali ini, diajukan kepada saya dan kebanyakannya daripada para ibu (isteri) termasuklah ibu-ibu yang bekerja. Kalau ibu yang tak ada pendapatan sendiri memanglah lebih runsing bila timbul persoalan sebegini hinggakan ada yang sanggup mengenepikan kegembiraan dan kebahagiaan sendiri asalkan anak-anak berada bersama di depan mata. Inilah hakikatnya, seorang ibu tidak akan melepaskan anak-anaknya ke tangan orang lain walau dalam apa keadaan sekali pun kecuali kes-kes tertentu akibat desakan hidup.
Namun, percaya atau tidak, saya pernah berjumpa dengan seorang ibu yang tidak mahukan anak-anaknya gara-gara ingin memulakan hidup dengan teman lelakinya hatta sanggup memohon cerai daripada suami yang amat bertanggungjawab cuma kurang berada berbanding teman lelakinya. Memang mengejutkan apabila persoalan saya mengenai penjagaan anak-anak dijawab bersahaja daripada si isteri (tika itu masih di dalam perbincangan bagi memudahkan kes dibawa ke mahkamah): “Bagi jer lah kat dia (suami). Saya boleh beranak lagi lepas ni.” Sungguh, saya amat terkejut dengan penyataan tersebut hinggakan terdetik dalam hati saya tika itu: Ya Allah! Janganlah Kau izinkan perempuan ni beranak lagi. Bukan dengki atau mengharapkan yang tidak baik tetapi saya percaya, wanita seperti ini bukan mempunyai jiwa seorang ibu yang sebenar.
Kita tinggalkan kes yang mungkin satu dalam sejuta ini, kembali ke tajuk perbincangan. Menjawab persoalan yang dikemukakan, peruntukan Akta Undang-undang Keluarga Islam bagi setiap negeri (mungkin berbeza pada seksyen tetapi mempunyai maksud dan prinsip yang sama) menyatakan bahawa seorang ibu mempunyai hak ke atas penjagaan anak-anaknya yang berusia di bawah umur iaitu sembilan tahun (bagi lelaki) dan 11 tahun (bagi perempuan) selepas berlaku perceraian. Peruntukan ini tidak membezakan apakah status si ibu iaitu sama ada si ibu bekerja atau tidak?
Tidak bekerja bukan halangan untuk si ibu mendapatkan hak jagaan ke atas anak-anaknya kerana tanggungjawab memberi nafkah terletak di bahu si bapa (suami/bekas suami). Setiap bapa perlu menanggung segala perbelanjaan si anak hinggalah si anak mampu berdikari (jika anak lelaki) dan jika si anak berkahwin (jika anak perempuan). Perbelanjaan bukan sekadar cukup dengan memberi RM100 setiap bulan selama bertahun-bertahun daripada si anak berusia setahun hingga dewasa. Sebaliknya perbelanjaan hendaklah meliputi segala keperluan si anak daripada makan minum, pakaian, tempat tinggal, perubatan, pendidikan, perayaan dan segalanya yang menjadi KEPERLUAN si anak.
Bagi anak-anak yang berusia lebih daripada sembilan tahun (anak lelaki) dan 11 tahun (bagi perempuan), pihak mahkamah akan memberi pilihan kepada anak-anak ini untuk memilih sendiri, dengan siapakah mereka akan tinggal bersama? Dalam masa yang sama, anak-anak ini perlu dijelaskan bahawa walaupun tidak tinggal dengan pihak yang satu lagi, hubungan mereka tidak akan terputus kerana mereka masih boleh berkomunikasi, berjumpa dan bermesra apabila tiba masa-masa tertentu yang telah ditetapkan setiap masa lawatan.
Namun, harus diingat, hak seorang ibu untuk menjaga anak-anaknya yang berusia di bawah umur BUKANlah HAK MUTLAK bererti hak ini masih boleh dipertikaikan jika berlaku beberapa perkara. Antaranya jika si ibu berkahwin. Dalam keadaan ini, si bapa boleh menuntut kepada mahkamah agar hak bekas isterinya untuk penjagaan anak-anak dibatalkan. Namun, perlu diingat, bukan semua kes wanita yang berkahwin semula selepas perceraian boleh hilang hak jagaan anak-anak daripada perkahwinan sebelumnya. Paling penting, mahkamah akan melihat kepada kebajikan anak-anak. Jika si ibu berjaya meyakinkan mahkamah bahawa perkahwinan barunya tidak menimbulkan masalah apatah lagi mengganggu kebajikan anak-anak, maka si ibu berhak untuk terus mendapat hak jagaan seperti sediakala. Namun, jika mahkamah mendapati kebajikan anak-anak terganggu maka hak jagaan akan diberikan kepada ibu si ibu (nenek si anak). Jika nenek si ibu tiada atau tidak menepati syarat kelayakan, maka hak jagaan berpindah ke tangan nenek sebelah bapa. Selepas nenek sebelah bapa, barulah hak jagaan berpindah ke tangan si bapa.
Mungkin ada yang mempersoalkan, bagaimana jika suami meletakkan syarat bahawa si isteri hanya akan diceraikan jika si isteri bersetuju melepaskan hak jagaan anak-anak kepadanya, dalam erti kata lain, si ibu akan kehilangan hak ke atas penjagaan anak-anak jika berlakunya perceraian? Dalam kes seperti ini dan sememangnya amat kerap terjadi, perjanjian ini adalah tidak mengikat. Bererti perjanjian ini boleh dipertikaikan ketika perceraian dibicarakan di mahkamah. Jika isteri tidak sanggup mempertikaikan syarat suami, bimbang apa-apa hal yang lebih teruk terjadi, tak mengapa. Boleh terus memegang perjanjian sementara tersebut dan selepas itu, isteri berhak untuk memohon perintah agar mahkamah meminda semula perintah penjagaan anak yang telah ditetapkan sebelumnya. Caranya, failkan kes untuk mengubah perintah mengenai hak jagaan anak-anak.
Satu perkara yang harus diingat, walau siapa pun yang mendapat hak jagaan anak-anak, hubungan anak dengan pihak yang satu lagi tidak boleh diganggu. Hubungan anak dengan ibu atau bapa tidak akan putus lantas setiap pihak wajib menjaga hubungan yang mulia ini.
****Siaran April 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan