“Puan, saya bermasalah dengan anak tiri. Dia amat bencikan saya. Dia keluarkan kata-kata kesat hinggakan saya jadi hilang sabar. Saya ada dua anak tiri. Yang kedua manja dengan saya, alhamdulillah. Tapi yang sulung, camana baik pun saya dengan dia, dia tetap melawan, benci dan tak boleh terima saya. Saya turut kehendak dia sampai nak tidur pun saya urut kakinya. Mintak barang-barang mahal pun saya ikut tapi dia tetap bencikan saya. Buat pengetahuan puan, ibu dia tinggalkan dia masa umur tujuh tahun dan sekarang dia dah nak masuk 12 tahun. Ibu dia kawin dengan lelaki yang lebih kaya sebagai isteri kedua. Tolong la puan. Saya tak pernah suruh dia buat kerja berat. Saya suruh dia solat, mengaji, ulangkaji dan kemas tempat tidur sendiri pun dia melawan. Suami tak banyak membantu, terlalu sensitif bila bab anak. Sekarang saya hamil tujuh minggu dan dia dapat tau, lebih-lebih lagi dia buat perangai. Tolong la saya puan.”
Petikan di atas adalah satu daripada beberapa sms yang saya terima berkaitan dengan masalah dilema mempunyai anak tiri. Salah seorang adik sekampus juga pernah mengadu masalah yang sama berkaitan dengan anak tiri. Saya akui, bukan semua ibu tiri bermasalah dengan anak tiri dan sudah semestinya juga tidak semua anak tiri akan bermasalah jika mempunyai ibu tiri. Saya yakin, pembaca juga sudah acap kali membaca cerita-cerita gembira yang wujud di dalam hubungan ibu dengan anak tiri. Begitu juga hubungan ayah dengan anak tiri. Sekarang ini bolehlah dikatakan kisah kekejaman ibu tiri yang wujud di dalam cerita Cinderella atau Bawang Merah Bawang Putih bukanlah satu ‘trademark’ kepada hubungan anak tiri dengan ibu tiri. Walau pun tidak saya nafikan, masih ada lagi kekerasan yang dilakukan oleh ibu tiri atau ayah tiri.
Secara terus terang, saya tidak menyalahkan anak-anak tiri yang bersikap kasar dengan ibu tiri atau ayah tiri. Bukan bermaksud saya menyokong perbuatan mereka atau menafikan kes-kes seperti cerita di dalam sms yang saya bentangkan di awal tadi tetapi PERLU DIINGAT, anak-anak tiri bersikap kasar dan keras kerana mereka sedang mengalami konflik emosi yang amat kuat di dalam diri. Seperti yang saya katakan, rata-rata ahli masyarakat dididik dengan satu prinsip melalui cerita Cinderella dan Bawang Merah Bawang Putih, bahawa ibu tiri adalah orang yang jahat, suka memukul, bersikap kejam dan macam-macam lagi yang tak baik. Dengan prinsip inilah, walau sebaik mana pun perwatakan dan pembawaan si ibu tiri atau ayah tiri, anak-anak tiri akan menganggap semua itu sebagai penipuan dan pura-pura semata, tidak lebih daripada mengambil peluang dan kesempatan.
Satu perkara lagi, anak tiri bertindak kasar dan keras sebagai tanda protes dan marah. Anak tiri beranggapan bahawa ibu tiri atau ayah tiri tidak berhak hadir di dalam hidupnya sekeluarga. Ibu tiri atau ayah tiri dianggap sebagai perampas dan perosak kasih sayang yang telah wujud sebelum itu. Walau apa keadaan sekali pun yang berlaku hatta walau ibu kandung meninggalkan mereka kerana memilih hidup baru yang dianggap lebih baik, anak-anak di usia bawah umur akan sukar memahami. Bagi mereka, ibu mereka tidak jahat dan tidak meninggalkan mereka sebaliknya salah ibu tiri yang hadir ke dalam hidup mereka. Sebabnya, memang satu fitrah, setiap anak inginkan ibu bapanya bersatu walau dalam apa keadaan dan cara sekalipun.
Bagi mengurangkan kemelut ini, setiap pasangan sama ada pasangan ibu dan ayah tiri atau pasangan ayah dan ibu tiri, kedua-duanya perlu memainkan peranan yang utama dan besar. Ceritakan tujuan kehadiran ibu tiri atau ayah tiri di dalam keluarga. Paling penting, jangan sesekali memburuk-burukkan ibu kandung atau ayah kandung mereka walaupun perkara yang dinyatakan adalah benar dan sahih. Cuba berkawan dengan anak-anak tiri anda walaupun memang sukar. Seperti kes di awal tadi, saya memahami kekalutan anda tetapi saya mohon, jangan cepat berputus asa. Selalu luahkan bahawa anda menganggap anak tiri anda sebagai anak anda sendiri. Selalu nyatakan perkara tersebut agar ianya meresap ke dalam minda dan jiwa anak tiri anda. Teruskan dengan sikap anda yang menyuruh beliau solat, mengaji, ulangkaji pelajaran dan mengemas katil sendiri sebab perkara tersebut adalah untuk kebaikan. Cuma anda perlu pastikan cara anda menyuruh bukan seperti memerintah. Cubalah berlembut umpamanya jika tiba waktu solat, ajaklah beliau solat bersama anda. Kalau dia enggan, memadailah dengan mengingatkan: waktu dah masuk, kalau solat di awal waktu, akan dapat lebih ganjaran daripada Allah. Itu adalah contoh arahan yang lembut.
Perlu diingat, anak-anak yang tidak sukakan ibu tiri atau ayah tiri akan sentiasa mencari pasal dengan setiap apa yang dikatakan atau dilakukan oleh ibu tiri atau ayah tiri lantaran ibu tiri atau ayah tiri perlu mempertimbangkan segalanya terutamanya sekali emosi anak tiri sebelum melakukan sesuatu walaupun untuk kebaikan si anak tiri. Ibu kandung atau ayah kandung pula perlu mencari titik pertemuan bagi hubungan pasangan barunya dengan anaknya. Jangan menyerahkan sepenuhnya kepada pasangan anda untuk bertindak menghadapi kerenah si anak. Anda perlu menyokong peranan yang dimainkan oleh pasangan anda. Sebagai ibu tiri atau ayah tiri, anda juga perlu tingkatkan komunikasi antara anda dengan anak tiri anda.
Seperti yang saya tegaskan di awal tadi, jangan cepat putus asa. Anak-anak tiri akan susah untuk menerima situasi baru tetapi insyaAllah, jika keadaan baik berlarutan, hubungan yang lebih baik akan terjalin. Panjatkan doa ke hadrat Ilahi mohon segalanya dimudahkan. Amin!!
****Siaran Mei 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan