Saya yakin, tika artikel ini disiarkan, nama Yin masih meniti di bibir kelompok masyarakat dan kisahnya Yin ‘hilang’ selama tempoh 14 hari masih menjadi perhatian umum. Sungguh, tika berita kehilangan Yin disiarkan, air mata saya mengalir dan saya hanya mampu berdoa agar kanak-kanak tersebut selamat kembali ke pangkuan ibu bapanya. Tika berita Yin telah ditemui dan diserahkan ke pangkuan ibu bapanya, terus terang saya menangis gembira, tanpa putus mengucap syukur kepada Ilahi. Mungkin ada yang berkata, apalah perunding psikologi keluarga ni, sensitif sangat. Ya, saya akui. Saya memang sensitif bila kes-kes melibatkan kebajikan anak-anak.
Kenapa saya menangis? Tika mengetahui berita kehilangan Yin, saya menangis bimbangkan keselamatan Yin. Saya bayangkan bagaimana jika yang hilang itu adalah anak saya sendiri dan saya berada di tempat ibu Yin, sedang menghadapi satu kehilangan yang bukannya kematian? Nauzubilah. Mohon Allah jauhkan tragedi seperti itu menimpa anak-anak saya. Tika mengetahui Yin telah dijumpai, sekali lagi saya menangis kerana saya rasa gembira yang amat sangat. Pastinya ibu Yin lebih lagi rasa gembira dan syukurnya kepada Allah. Saya yakin, bukan saya sahaja yang merasai perasaan ini sebaliknya perasaan sensitif ini wajar ada pada setiap wanita yang berjiwa seorang ibu dan pada lelaki yang berjiwa seorang ayah. Kenapa? Ya, kerana anak-anak bukanlah sekadar cahayamata tetapi penawar hati, pengubat duka dan yang paling penting anak-anak adalah tanggungjawab kita dan HARTA yang tiada galang gantinya. Keselamatan anak-anak adalah tanggungjawab kita sebagai ibu dan bapa.
Tika dulu, waktu saya masih di awal remaja, saya menyimpan rasa tak puas hati terhadap Mak saya kerana Mak masih menganggap saya seperti budak kecil. Ketika usia 13 tahun, Mak masih memberikan arahan dan panduan sewaktu hendak melintas jalan. Tika saya mula berulang alik dari Kedah ke ibu kota kerana menyambung belajar, bermula di tingkatan enam rendah hinggalah saya tamat universiti, Mak pasti akan menasihati saya agar pandai-pandai menjaga diri. Pernah beberapa kali saya katakan pada Mak: “Saya dah besar lah Mak. Tak yah la Mak risau lagi.” Masa itu, setiap jawapan Mak adalah sama: “Hang tak jadi Mak lagi, hang tak fahamlah. Nanti hang dah jadi Mak, baru hang tau camana Mak rasa.” Sungguh benar kata Mak, sekarang saya mula faham apa yang Mak saya maksudkan.
Sewajarnya, sikap dan perasaan seperti ini perlu ada pada setiap ibu dan bapa. Sikap prihatin dan rasa bertanggungjawab pada setiap masa dan keadaan. Tak kisahlah di mana anda berada walau apa yang sedang anda lakukan, anak-anak tetap berada di takhta teratas. Jika sikap seperti ini ada pada diri setiap ibu dan bapa, insyaAllah kes yang terjadi kepada Yin dapat dielakkan. Sebenarnya, bukan saja kes Yin, malah dah banyak kes yang sama, anak-anak hilang tika ibu bapa membeli belah. Hatta, sehari selepas kehilangan Yin disiarkan, saya mendengar pengumuman mengenai seorang kanak-kanak menangis kehilangan ibu bapa ketika sedang membeli barang di sebuah pasaraya. Saya faham, bukan bermaksud anda tidak mengawasi anak-anak anda sepenuhnya tetapi perlu diingat, anak-anak mempunyai keinginan yang besar untuk mengetahui perkara baru. Jika berada di tempat awam sebegitu, mereka akan cenderung untuk bergerak ke serata tempat bagi meninjau persekitaran. Kesibukan anda membelek barangan akan menyebabkan anak-anak hilang dari pandangan.
Lantas, jalan terbaik ialah pastikan ada seseorang yang ditugaskan untuk mengawasi anak-anak anda sepanjang masa. Elakkan keluar membeli belah hanya bersama anak anda. Jika tidak pun, letakkan anak anda di dalam troli. Mudah untuk anda bergerak ke sana sini kerana anak anda bersama dengan anda. Itulah yang saya lakukan walaupun anak sulung saya telah pun berusia empat tahun dan kerap kali juga berkeras tak nak duduk di dalam troli. Cakapkan pada anak anda kenapa dia diletakkan di dalam troli. Dia akan faham dan takkan memberontak, insyaAllah. Perlu diingat juga, meletakkan anak-anak di dalam troli bukan jaminan keselamatan terkawal. Anda perlu perhatikan juga troli tersebut. Jangan tinggalkan anak anda di dalam troli dalam keadaan jauh dari pengawasan mata anda. Jangan juga tinggalkan anak-anak anda dengan seseorang yang baru anda kenali, walau sebaik mana pun perwatakan dan penampilannya di depan mata anda. Ingat, dunia hari ini terlalu banyak syaitan bertopengkan manusia. Anda takkan menyesal jika terlalu berhati-hati, percayalah.
Satu masalah yang diajukan kepada saya juga ialah mengenai keselamatan anak-anak tika di sekolah. Sebenarnya, menyalahkan guru 100% bukan jalan terbaik. Ada kalanya cikgu juga tidak mampu mengawasi murid yang ramai apatah lagi jika sikap rakan anak-anak anda yang terlalu kasar dan keras. Jalan terbaik ialah, tanamkan sikap berani di dalam diri anak anda. Bukan bererti anda perlu mengajar anak anda bertindak kasar dan keras tetapi anak anda perlu tahu bila masanya dan bagaimana caranya untuk dia mempertahankan diri. Nasihatkan anak anda, jika dia dibuli rakan-rakan, cepat-cepat beritahu cikgu. Jika anda dapati cikgu gagal bertindak, anda sendiri perlu bertindak dengan membawa kes anak anda ke pihak lebih atas seperti guru besar atau pengetua. Jika gagal juga, anda boleh ajukan kepada pihak berkuasa.
Paling penting, setiap ibu bapa perlu mengambil berat mengenai anak-anak. Ambil tahu mengenai kesihatan, pendidikan, setiap aktiviti dan siapa kawan-kawan mereka. Walau sesibuk mana pun, jangan abaikan tugas dan peranan anda sebagai ibu bapa. Bibik atau pengasuh taska takkan dapat memenuhi tanggungjawab anda sepenuhnya kerana ANAK ANDA MEMERLUKAN IBU BAPANYA SETIAP MASA.
****Siaran Mei 2007
Tiada ulasan:
Catat Ulasan